Dewi Lat: dewi utama Makkah dan juga sembahan utama Bani Thaqif yang menetap di Taif. Patung Lat diperbuat daripada batu granit putih di mana ia diletakkan di bawah jagaan Bani Attab bin Malik, salah satu daripada pecahan Bani Thaqif. Selain menjadi sembahan utama penduduk Taif, puak-puak Arab lain termasuk Bani Khuzaah, Bani Lihyan, Bani Hawazin dan kaum Quraisy turut membuat perjalanan ke kota berkenaan untuk menyembah dewi itu. Penyembahan Lat boleh dikesan di seluruh Semenanjung Tanah Arab dan sejauh Palmyra di Syria.
Mengikut mitologi masyarakat Arab Hijaz, Lat merupakan antara tiga dewa-dewi utama Makkah dan merupakan salah satu daripada tiga anak perempuan Allah. Peranan utamanya ialah sebagai dewi bumi yang bertanggunjawab menjaga kesuburan dan kualiti tanah Taif dan sekitar kawasan Hijaz. Lat mempunyai pelbagai gelaran seperti Ummu Alihah (Ibu Tuhan-Tuhan) dan Ummu As-Shams (Ibu Dewa Matahari). Di tempat-tempat lain, Lat juga mempunyai nama-nama lain seperti Athiratan/Ilat (orang-orang Himyar), Ilahatan (Hadramaut) dan Elat (Aramaic).
Setiap kali datang membuat sembahan, orang Arab membawa sawiq (sejenis bubur barli) sebagai sajian dan mengorbankan haiwan berharga seperti unta dan singa bergantung kepada wilayah di mana puak Arab membuat sembahan. Mana-mana haiwan yang berkeliaran sekitar Lat tidak akan diganggu termasuk dibunuh dan larangan sama turut terpakai kepada tumbuhan di kawasan sama.
Sebarang usaha mengorbankan manusia untuk dijadikan korban khas untuk Lat juga dilarang. Bagi golongan Arab Badwi, mereka menyeru nama Lat bukan saja untuk meminta perlindungan daripada manusia, haiwan dan cuaca tetapi juga untuk memohon diberi kesuburan tanah dan kemakmuran dalam hidup.
Dewi Uzza: dewi kuasa, kekuatan dan planet Zuhrah yang menjadi sembahan orang Quraisy dari Bani Sulaim hingga Bani Kinanah. Dewi ini dikatakan boleh muncul dalam bentuk nyata iaitu dalam bentuk tiga pokok akasia di Nakhla berhampiran kota Makkah. Uzza mempunyai dua kuil iaitu satu di Makkah dan satu lagi di Nakhla. Kuil yang dipanggil Buss yang menempatkan Uzza diperbuat daripada batu-bata dengan patungnya diperbuat daripada batu granit dan diukir mengikut tulang peha. Bagi puak-puak Arab Jahiliah, mereka percaya Uzza boleh berbicara dengan mereka dan menghantar peramal kepada para penyembahnya.
Kabilah-kabilah Arab yang menetap sekitar Makkah sentiasa merujuk dewi ini dalam banyak urusan termasuk menawarkan korban haiwan ternakan dan adakalanya korban manusia terdiri daripada hamba atau tawanan perang di atas mazbah yang dipanggil al-Ghabghab di kuil Buss. Semasa perang, nama Uzza dan suaminya, Dewa Hubal dilaungkan bagi menyemarakkan lagi semangat tentera yang berperang terutama semasa Perang Badar al-Kubra dan Perang Uhud.
Semasa majlis perkahwinan pula, nama Uzza diseru bagi merahmati perkahwinan pasangan mempelai. Di Yaman pula, Uzza dikenali sebagai Uzzayan iaitu dewi penyembuh dan bagi kelompok Himyar bertaraf hartawan, mereka menawarkan patung kecil Uzza yang diperbuat daripada emas dan diletakkan di sebelah katil anak mereka yang sakit.
Nama-nama seperti Amat Uzzayan dan Abdul Uzza amat popular dalam kalangan masyarakat Arab. Uzza turut dikenali dengan nama al-Zuhara dan Kawkabta. Penjaga terakhir patung dewi ini ialah seorang hartawan bernama Dubayyah bin Haram as-Sulami. Dubayyah kemudiannya mati dibunuh oleh Khalid bin al-Walid r.a sebelum pokok-pokok sekitar kuil Buss dan patung Uzza dimusnahkan semasa Fathul Makkah. Ini bertujuan untuk memastikan tiada lagi sembahan Uzza berlaku di Makkah selepas ia berada di bawah pemerintahan kerajaan Islam Madinah yang dipimpin Nabi Muhammad s.a.w.
Allah: bagi masyarakat Arab Jahiliah, mereka masih percaya bahawa Allah s.w.t berkuasa ke atas segala-galanya termasuk menurunkan hujan dan campur tangan dalam isu-isu genting seperti serangan tentera bergajah Abrahah. Nama tiga dewi utama Makkah iaitu Lat, Uzza dan Manat disebut dalam satu jalur yang sama dengan Allah setiap kali mereka berdoa di hadapan berhala-berhala. Mengikut mitologi Arab, selepas mencipta alam semesta, Allah kemudiannya menjadi pemerhati senyap dan bersemayam di Aliyyin (langit tertinggi) dan hanya campur tangan bila keadaan menjadi genting seperti isu kemarau dan bahaya.
Tatkala Dia bersemayam di Aliyyin, dewa-dewi dan para malaikat memerintah dari langit (As-Samawat). Mitologi Arab turut menyatakan Allah mempunyai hubungan istimewa dengan golongan jin di mana mereka merupakan dewa yang memerintah padang pasir dan tempat tandus. Mengikut teori politeisme masyarakat Arab, Allah dianggap terlalu berkuasa untuk menunjukkan minat terhadap manusia. Justeru, sembahan kemudiannya ditujukan kepada anak-anaknya iaitu dewa-dewi yang campur tangan bagi pihak-Nya.
Walaupun kebanyakan orang Arab ketika itu merupakan penyembah berhala, masih ada yang menyembah Allah secara terus iaitu golongan Hanif (golongan yang mengikut ajaran Nabi Ibrahim a.s) seperti bapa Said bin Zaid, Zaid bin Amru bin Nafil. Dan bagi yang mengikuti sirah perjuangan Nabi s.a.w, pasti perasan setiap kali mereka bersumpah termasuk kelompok yang memusuhi baginda seperti Abu Lahab, Utbah bin Rabiah dan Abu Jahal, mereka memulakannya dengan menyebut nama Allah.
Dewa Hubal: dewa pahlawan dan peperangan, kekayaan dan hujan serta menjadi sembahan utama Bani Khuzaah, Kinanah dan Quraisy. Suami kepada dewi Uzza, anak kepada dewi Manat dan abang kepada dewa bulan Wadd serta penaung kepada kota Makkah. Namanya diseru oleh tentera-tentera Quraisy semasa peperangan bagi memohon perlindungan dan keberanian dalam memerangi pihak musuh. Selain diseru untuk memohon kemenangan di medan perang dan kejayaan dalam perniagaan, Hubal turut menjadi rujukan bila mana mereka membuat tilikan dalam bentuk cabutan anak panah sebelum diikuti dengan korban kebiasaannya ialah 100 ekor unta.
Orang Quraisy amat menyanjung berhala ini sehinggakan apabila salah satu daripada tangan berhala itu putus, artisan-artisan diupah untuk menghasilkan tangan baru yang diperbuat daripada emas sebagai ganti. Selain popular di Hijaz, aktiviti penyembahan Hubal turut berlaku di utara Semenanjung Tanah Arab dan selatan Jordan terutama membabitkan kelompok Nabatean. Kelompok itu memanggil Hubal dengan nama Hblw (Hubaluw) yang bermaksud asap atau semangat. Hubal kemudiannya dimusnahkan bersama 360 berhala semasa Fathul Makkah.
Dewa Manaf: dewa gunung dan lembah masyarakat Arab yang menjadi sembahan masyarakat Quraisy dan Bani Hudail. Namanya bermaksud ketinggian kerana ia melambangkan dewa-dewi yang memerintah kawasan gunung-ganang, bukit-bukau dan lembah-lembah sekitar Makkah. Kawasan-kawasan ini dianggap suci bagi penyembah berhala termasuk mempersembahkan korban di tempat-tempat tinggi.
Sebelum kedatangan Islam, penyembah-penyembah Manaf berkumpul sekitar patung dewa berkenaan tetapi wanita haid tidak dibenarkan menghampirinya. Manaf merupakan dewa penting bagi tokoh-tokoh besar Quraisy termasuk moyang Rasulullah s.a.w, Qusay bin Kilab. Menjelang abad kelima dan abad keenam Masihi, ia tidak lagi menjadi patung sembahan utama tetapi masih menjadi rujukan dalam soal ramalan. Penyembah Manaf turut dikesan sejauh Palmyra dengan dewa itu dipanggil Zeus-Manaphis dan nama lain Amat-Manaf.
Dewi Manat: dewi kematian dan takdir orang Arab. Ia diwakili oleh sebuah patung besar yang diperbuat daripada batu marmar hitam dan ditempatkan di Kuil Mushallal di pesisir Wadi Qudayd, tidak jauh dari kota Yathrib (kini Madinah). Manat merupakan sembahan utama suku Aus dan Khazraj sebelum kedatangan Islam. Berikutan popularitinya, ia juga menjadi sembahan kaum Quraisy, Bani Hudail dan Bani Tamim serta menjadi sanjungan kerajaan Nabatean. Manat dianggap dewi kedua paling tua dalam kalangan dewa-dewi selepas Allah s.w.t dan merupakan isteri kepada dewi kilat, Quzah.
Orang Arab amat takut dengan Manat dan barangsiapa yang cuba mencabar kekuasaannya akan mengalami perubahan nasib malang. Justeru, sesiapa yang bersumpah di atas namanya dianggap orang yang ikhlas dan suci hatinya. Sebarang urusan haji dan umrah dianggap tidak selesai melainkan selepas puak Aus dan Khazraj mengunjungi Kuil Mushallal dan mencukur rambut mereka. Semasa operasi Fathul Makkah, Kuil Mushallal turut menerima nasib sama iaitu dimusnahkan bersama 360 berhala lain.
Selepas kuil tersebut dimusnahkan, pasukan pemusnah diketuai Ali bin Abi Talib r.a menemui sebuah peti yang mengandungi pelbagai barang berharga termasuk pedang Mikhdam dan Rasub. Semua barang rampasan ini kemudiannya dibawa kepada pengetahuan Rasulullah s.a.w. Bukan satu rahsia kuil-kuil menyimpan barangan berharga yang dijadikan sebagai persembahan kepada berhala-berhala dan disimpan di tempat selama.
Dewa Quzah: dewa awan, kilat dan ribut yang menjadi sembahan suku Khuzaah dan orang Quraisy dengan kuilnya terletak di Muzdalifah, tidak jauh dari Makkah. Dalam mitologi Arab, Quzah ialah seorang pemanah gergasi yang tinggal di awan dan memanah kilat terhadap syaitan-syaitan dengan busurnya.
Setiap kali bunyi guruh kedengaran, itu dianggap sebagai laungan perangnya dan menakutkan semangat penyakit dan malang. Pelangi menurut penyembah berhala ialah tangga-tangga ke syurga dengan Quzah sebagai penjaganya. Di bahagian utara Semenanjung Tanah Arab, Quzah merupakan suami kepada dewi Manat. Semasa Ramadan sebelum kedatangan Islam, pesta meraikan Quzah dibuat di Muzdalifah bukan sahaja untuk memohon kedatangan hujan tetapi juga sebagai manifestasi sembahan mereka terhadap Quzah.
Isaf dan Nailah: dua dewa dan dewi air Makkah yang juga penjaga telaga Zamzam. Dua patung ini diletakkan di atas bukit Safa dan Marwah berhampiran Kaabah. Golongan penyembah berhala dari Bani Khuzaah dan Quraisy menyembah mereka dari jauh tetapi tidak menyentuh dua patung ini kerana terlalu suci di mata mereka. Semasa musim haji, jemaah akan mengadakan saie antara Safa dan Marwah membabitkan dua patung ini. Isaf digelar Mu’tim at-Tair atau Pemberi Makan Burung-Burung kerana persembahan Isaf iaitu kurma dimakan oleh burung-burung. Bagi penyembah berhala, ini bermakna persembahan mereka itu diterima.
Berdasarkan legenda, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Isaf dan Nailah ialah seorang pembesar Bani Khuzaah bernama Amru bin Luhayy. Namun berdasarkan catatan sejarawan seperti al-Azraqi dan Ibnu al-Kalbi, Isaf dan Nailah ialah kisah sepasang kekasih yang pergi menunaikan haji dan umrah. Selepas melihat keadaan mengizinkan, pasangan kekasih ini kemudiannya memasuki Kaabah dan mengadakan perzinaan di dalamnya.
Tindakan tersebut mendapat kemurkaan Allah s.w.t yang mengakibatkan kedua-duanya bertukar menjadi batu. Peristiwa ini berlaku semasa era pemerintahan Makkah yang ketika itu ditadbir oleh Bani Jurhum. Tidak lama selepas itu, Bani Jurhum memindahkan dua patung itu ke Safa dan Marwah sebagai tanda amaran kepada sesiapa yang cuba melakukan perkara mungkar di Tanah Haram. Tetapi selepas beberapa generasi, dua patung ini disembah sebagai dewa-dewi. Kedua-dua patung ini musnah dalam operasi pembersihan berhala pasca-Fathul Makkah pada tahun 630 Masihi.
RUJUKAN:
Yunajjam, Amr-Athtar. (2011). Mythology and religion of pre-Islamic Arabia: Deities, Spirits, Figures and Locations. Wathanism. http://wathanism.blogspot.com/2011/11/deities-beings-and-figures-in-arabian.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih