Tidak lama dahulu, penulis The Patriots Ustaz Hasanuddin Yusof pernah bercerita secara panjang lebar keupayaan Empayar Turki Uthmaniyyah membasmi gejala kemiskinan. Satu instrumen yang digunakan oleh pemerintah-pemerintah Uthmaniyyah ialah institusi wakaf dan ia disertai oleh ramai orang dari golongan pemerintah dan bangsawan hinggalah rakyat marhaen. Dan antara kehebatan institusi ini semasa era pemerintahan Uthmaniyyah ialah konsep perbandaran wakafnya.

Bagi para pemerintah Uthmaniyyah, institusi wakaf dipandang tinggi bukan saja kerana menjadi instrumen amalan yang berterusan bersesuaian dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w tetapi juga cara untuk menjaga kebajikan dan menaiktaraf taraf ekonomi penduduk. Tidak kiralah sama ada melalui pembentukan bandar baru atau penawanan kota-kota, wakaf menjadi asas utama nadi kehidupan penduduk di situ.

Ini dibuktikan menerusi peristiwa penawanan kota Constantinople (kini Istanbul) oleh Sultan Mehmed II/Muhammad al-Fatih. Menurut sejarawan Uthmaniyyah abad ke-15, Ashikpasazade, selepas kota tersebut ditawan, baginda melantik Suleyman Bey semasa penguasa baru kota itu dan mengarahkannya pergi ke seluruh ceruk empayar untuk mengundang penduduk Constantinople kembali ke kota asal mereka.

Baginda turut berpesan, “Sesiapa sahaja yang ingin datang, biarkan mereka datang, dan biarkan mereka menjadi pemilik kepada rumah-rumah kediaman, pengeluar dan ladang-ladang yang ada di Istanbul.” Kota tersebut turut dibangunkan semula dengan membabitkan penyertaan bukan sahaja umat Islam tetapi juga kelompok bukan Islam seperti orang Nasrani dan Yahudi.

Selain dalam bentuk penawanan kota, pembentukan bandar juga dibuat melalui institusi wakaf. Melalui  pemerintahan  kerajaan  Uthmaniah, bangunan-bangunan terkenal yang dipanggil sebagai kompleks atau kulliye di mana ia dibangunkan, diselia dan dibiayai sepenuhnya menerusi institusi wakaf. Keunikan  kulliye ialah ia berfungsi sebagai institusi sokongan rohani, sosial dan ekonomi di mana ia dibina dalam tiga bahagian berlainan yang saling berhubung antara satu dengan yang lain.

Bahagian pertama bangunan tersebut terdiri daripada  rumah-rumah  ibadat, rumah penjagaan  warga  emas,  hospital,  kemudahan  pendidikan (sekolah, kolej dan universiti), perpustakaan, rumah tetamu, pusat pengedaran makanan (imaret),  perkhidmatan air awam (pancuran air awam) dan tanah-tanah perkuburan. Unit-unit bangunan dibina secara kolektif dan ia dipanggil  sebagai hayrat. Unit-unit ini berperanan untuk menyediakan pelbagai bentuk perkhidmatan yang diperlukan oleh masyarakat tanpa mengira bangsa, agama mahupun keturunan dan diberi tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Bahagian kedua kulliye pula terdiri daripada bangunan-bangunan perniagaan seperti kedai, perkhidmatan mandian Turki (hammam), bazaar, pasar tertutup (bedesten) dan rumah-rumah penginapan pedagang (carravanseraei). Unit-unit bangunan dalam bahagian kedua yang juga dipanggil akarat ini berfungsi sebagai penjana sumber pendapatan bagi membiayai kos dan penyelenggaraan hayrat dalam bahagian pertama. Sementara bahagian ketiga pula terdiri daripada  bangunan-bangunan  yang  menempatkan  kediaman penduduk  di  sekeliling bahagian pertama (hayrat). Masjid pula dibina dan ditempatkan di tengah kulliye bagi membolehkan masyarakat beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Menariknya, Prof Murat Cizakca menghubungkan peranan kulliye dalam pembangunan insan sekaligus bertepatan dengan hadis  Rasulullah s.a.w berkenaan ganjaran selepas kematian. Menurutnya, pewakaf yang mengerjakan solat dalam masjid yang dibina di  tengah-tengah kulliye ini dianggap telah menyediakan  amal  yang  berterusan  daripada seorang  hamba  kepada  penciptanya  iaitu Allah s.w.t.

Kulliye juga turut menyediakan makanan percuma kepada golongan yang  memerlukan. Sementara itu,  ilmu pengetahuan  yang disebarkan  melalui sekolah,  kolej dan  universiti  yang dibina menerusi wakaf ini turut dianggap sebagai mudarabba (perkongsian modal-buruh). Amal kebaikan dalam bentuk ilmu pengetahuan yang dihasilkan melalui wakaf ini pula akan dikongsi antara para sarjana, pewakaf dan masyarakat. Akhirnya, pengurusan wakaf akan menjanjikan kelahiran anak soleh yang sentiasa mendoakan kesejahteraan roh pewakaf.

Pembinaan  kulliye melalui konsep  hayrat  dan  akarat  dengan  menempatkan  unit-unit entiti  wakaf  seperti  rumah-rumah  ibadat,  rumah penjagaan warga tua, hospital, institusi pendidikan (sekolah, kolej dan universiti), perpustakaan, rumah tetamu, imaret, perkhidmatan air awam  (pancuran air awam), tanah-tanah  perkuburan,  bazaar,  carravanseraei  dan  kawasan petempatan penduduk di sekelilingnya merupakan satu kompleks binaan yang begitu unik dan berfungsi sebagai sebuah mekanisme pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Malah, pembinaan kulliye yang berkonsepkan spiritual, intelektual dan memenuhi keperluan biologi ini memang selayaknya memenuhi konsep bandar untuk keamanan yang dicanang oleh filsuf Islam terkenal,  Al-Farabi.  Sementara Philippe DuFresne-Canaye yang melawat Istanbul pada tahun 1576 turut menyifatkan bandar-bandar Turki sebagai bandar yang wujud melalui hubungan antara alam, manusia dan tuhan menerusi wakaf.

Pasar tertutup atau bazaar merupakan binaan yang berasaskan seni bina masjid. Bazaar tertutup merupakan salah satu institusi ekonomi dan sosial yang sangat penting sepanjang pemerintahan Empayar Turki Uthmaniah. Salah satu bazaar yang terkenal ialah Buyuk Bedesten atau Grand Bazaar yang telah dibina pada tahun 1455 di Istanbul atas perintah Mehmed II. 

Bazaar yang mempunyai 4,000 buah kedai ini dihubungkan melalui 58 jalan yang berlainan sekaligus menjadi nadi kepada pusat perdagangan khususnya barang perhiasan (emas), rempah  ratus, permaidani dan seramik yang bersumberkan wakaf. Pendapatan daripada hasil sewaan kedai-kedai di bazaar tersebut digunakan untuk tujuan kebaikan yang telah ditetapkan seperti membiayai kos pembinaan dan penyelenggaraan masjid, hospital, rumah warga tua dan anak-anak yatim.

Sementara carravanseraei merupakan bangunan berbentuk segi empat besar yang dibina sebagai tempat penginapan yang selamat bagi para pedagang dan pengembara sejak zaman pertengahan Turki. Semasa era pemerintahan kerajaan Seljuk, carravanseraei dilihat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara. Malah, bangunan-bangunan penginapan ini sering dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti kerajaan Seljuk yang dibiayai sepenuhnya melalui wakaf.

Imaret atau pusat penyediaan makanan juga merupakan entiti wakaf yang sangat terkenal dalam menyediakan  makanan secara  percuma kepada golongan fakir miskin dan mereka yang memerlukan seperti kelompok musafir.  Menurut sejarawan Profesor Amy Singer, sehingga tahun 1530, terdapat  83 buat imaret dibina oleh kerajaan Uthmaniah.

Di Erdine misalnya, imaret yang dibina telah menyediakan makanan secara percuma setiap hari kepada 2,600 orang daripada populasi seramai 22,000 orang. Jumlah imaret yang dinyatakan di atas tidak mengambil kira bilangan yang sedia ada di Istanbul, Mesir dan Hijaz dan ribuan projek lagi yang sedang dibina selepas tahun berkenaan.

Penulis Turki terkenal, Orhan Yilmazkaya menyebutkan hammam merupakan sebahagian daripada unit dalam kumpulan binaan kompleks atau kulliye yang terdiri daripada masjid, hospital, imaret, perpustakaan, sekolah dan tempat penginapan bagi golongan  agamawan dan pelajar. Pembinaan hammam menyerupai binaan tempat mandian awam Rom di England.

Hammam bukan sahaja  memberi ruang kepada masyarakat untuk beriadah dan bersosial tetapi mekanisme pelaksanaannya dan pengurusannya turut dibuat mengikut prinsip syarak seperti pengasingan tempat mandian lelaki dan wanita.

Selepas penaklukan Constantinople, Al-Fateh telah membina 19 buah hammam di  Istanbul dengan lima buah hammam tersebut telah dibina dengan saiz besar di mana ia boleh memuatkan sehingga  5,000 orang.  Pendapatan  yang diperolehi  daripada hammam (yang  dibiayai  oleh  sultan,  keluarga  sultan  dan  golongan bangsawan) digunakan untuk membiayai masjid dan bangunan-bangunan dalam kumpulan kulliye tersebut. Terdapat ribuan hammam telah dibina untuk kesejahteraan masyarakat di seluruh wilayah jajahan Uthmaniyyah.

SUMBER

Mohammed Noor, Affandi, Mat Rani, Mohd Afandi dan Othman, Razali. (2014). WAKAF IRSOD: SUMBANGAN KEPADA PELESTARIAN PEMBANGUNAN ISLAM DI MALAYSIA. Persidangan Antarabangsa Pengurusan Pembangunan Islam. Universiti Sains Malaysia. https://www.researchgate.net/publication/310859728_WAKAF_IRSOD_SUMBANGAN_KEPADA_PELESTARIAN_PEMBANGUNAN_ISLAM_DI_MALAYSIA


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.