Jagten ataupun ‘The Hunt’ merupakan sebuah filem ‘Danish’, salah satu bahasa Jerman Utara, yang ditayangkan pada tahun 2012. Filem yang bergenre drama ini dilakonkan oleh Mads Mikkelsen yang terkenal memainkan watak Hannibal Lecter dalam siri televisyen ‘Hannibal’. 2012 Cannes Film Festival menganugerahkan beliau Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem ini. Selain itu, filem Jagten ini juga telah dicalonkan dalam beberapa anugerah filem berprestij seperti Academy Awards mahupun Golden Globe Awards.

Jagten mengisarkan tentang seorang lelaki bernama Lucas yang bekerja sebagai seorang guru pra-sekolah di sebuah kawasan berkomuniti kecil, di mana penduduknya saling mengenali antara satu sama lain. Lucas mempunyai rakan rapat yang dikenali sebagai Theo, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 5 tahun iaitu, Klara. Klara merupakan anak murid kepada Lucas di pra-sekolah. Oleh kerana sering diabaikan oleh ibu bapanya yang seringkali bergaduh, Klara menyimpan perasaan terhadap Lucas yang mengambil berat dan melayannya dengan baik.

Masalah mula timbul apabila perasaan Klara ‘ditolak’ dan dia mengeluarkan kata-kata berbaur lucah yang dipelajari daripada abangnya. Malangnya, sebagai seorang guru pra-sekolah, Lucas menjadi mangsa apabila dituduh sebagai seorang paedophile yang menyasarkan anak-anak muridnya. Keadaan menjadi lebih tegang apabila rata-rata anak muridnya mula memberi keterangan bahawa mereka juga dicabul dan menjadi mangsa penderaan seksual. Hal ini menyebabkan Lucas kehilangan kerja sekali gus mengakibatkan hubungannya dengan rakan baiknya serta masyarakat menjadi buruk.

Jagten mendedahkan bagaimana kehidupan seorang lelaki yang tidak bersalah boleh hancur dalam sekelip mata akibat penipuan dan mass hysteria oleh masyarakat. Filem ini berjaya mengetengahkan kepada penonton akan bahaya elemen psikologi dan sosiologi yang ditonjolkan oleh kelompok masyarakat iaitu mass hysteria. Selain itu, filem ini juga mampu menimbulkan persoalan kepada penonton, khususnya ibu bapa yang mempunyai anak kecil, adakah kanak-kanak sememangnya tidak pandai berbohong?

I. Groupthink dan Mass Hysteria

Terma ataupun teori ‘Groupthink’ ini mula dipelopori oleh seorang pakar Psikologi sosial pada tahun 1972 iaitu Irving Janis. Menurut beliau, groupthink adalah fenomena psikologi yang berlaku dalam kalangan sesebuah kelompok di mana keharmonian dan kata sepakat merupakan keutamaan sehingga rasionalisasi dan penilaian kritikal diabaikan sama sekali. Disebabkan fenomena Groupthink ini mengambil ringan kesan moral dan etikal, ia sering mencetuskan hasil akhir yang lebih buruk terutamanya dalam kerangka politik dan geo-politik.

Menurut Bartholomew (2001), Mass Hysteria yang juga dikenali sebagai salah satu penyakit psikogenik, merupakan satu fenomena yang membabitkan penyebaran ilusi ancaman secara kolektif kepada masyarakat atau komuniti, yang berpunca daripada ketakutan dan juga khabar angin yang benar mahupun rekaan semata.

Fenomena groupthink yang tidak dibendung mampu membawa kesan lebih ekstrem iaitu mass hysteria dalam kalangan masyarakat.  

Menerusi filem Jagten, masyarakat yang majoriti berkeluarga dan mempunyai anak kecil melihat terma ‘pedofilia’ sebagai ancaman yang amat membimbangkan. Justeru apabila Lucas dipercayai merupakan seorang pedofil di samping pekerjaannya sebagai guru pra-sekolah yang berurusan dengan kanak-kanak secara langsung, masyarakat sekeliling yang bimbangkan keselamatan anak masing-masing mula mencemuh dan menjauhkan diri mereka.

Apabila keterangan anak-anak murid Lucas didapati tidak benar, Lucas dibebaskan daripada tuduhan jenayah penderaan seksual. Namun begitu, keganasan masyarakat terhadapnya tidak berkurangan sama sekali malahan semakin menjadi-jadi. Lucas diserang secara fizikal sehingga dia terpaksa mengurung diri di dalam rumahnya sendiri di samping anjing peliharaannya juga turut dibunuh.

Penonton dapat melihat bagaimana fenomena groupthink dan seterusnya mass hysteria berlaku dalam kalangan masyarakat. Tiada seorang pun ahli masyarakat yang menilai situasi dan bukti-bukti dengan rasional. Sebaliknya, mereka membiarkan kebimbangan dan ketakutan menguasai minda dan perasaan sekali gus mencapai kata sepakat untuk menghalau dan menyerang Lucas tanpa usul periksa dengan lebih terperinci. Kesannya, kebenaran tidak dapat ditegakkan justeru menghukum Lucas yang sememangnya tidak bersalah dan menjadi mangsa keadaan dan penipuan seorang kanak-kanak. 

II. Kanak-kanak dan Kebenaran

Rata-rata ibu bapa lebih selesa mempercayai anak mereka sendiri, terutamanya kanak-kanak yang dirasakan masih kecil dan belum pandai berfikir dengan baik apatah lagi untuk berbohong. Walau bagaimanapun, Kang Lee, seorang professor psikologi di University of Toronto mendapati kanak-kanak mampu berbohong seawal usia 2 tahun.

Kanak-kanak yang mampu berbohong pada usia awal juga merupakan kanak-kanak yang mempunyai kebolehan kognitif yang lebih baik daripada kanak-kanak lain. Hal ini kerana kanak-kanak ini mempunyai kebolehan ‘Theory of Mind’ iaitu mereka mampu fahami bagaimana orang lain berfikir dengan cara mengetahui apa yang orang lain tahu dan tidak tahu. Kebolehan memahami cara orang lain berfikir membantu mereka berbohong dengan lebih mudah.

Menurut Michael Brody, seorang pakar psikiatri kanak-kanak di Maryland, kanak-kanak didapati berbohong kerana mereka masih belum pandai menilai dan membezakan antara rekaan atau kebenaran.

Matthew Rouse seorang ahli psikologi klinikal pula meyenaraikan sebab-sebab kanak-kanak berbohong dan antaranya adalah untuk menguji karakter diri, meningkatkan keyakinan diri, mengelakkan atau menarik tumpuan atau keprihatinan ke atas diri, bercakap tanpa berfikir mahupun untuk menjaga hati orang lain.

Menerusi filem Jagten ini, Klara merupakan punca Lucas disyaki sebagai seorang pedofil. Klara berbohong kerana marahkan Lucas yang menolak perasaannya. Sebagai seorang kanak-kanak yang cuma berumur 5 tahun, sudah tentu dia tidak berfikir panjang akan kesan pembohongan tersebut. Apabila dia cuba memulihkan keadaan dengan mengatakan bahawa dia cuma berbohong, ibu bapanya menganggap bahawa Klara cuba menyembunyikan memori penderaan seksual tersebut.     

Kanak-kanak lain yang memberi keterangan palsu juga dapat dilihat tidak pandai membezakan antara realiti dan imaginasi. Hal ini kerana mereka mengaku didera secara seksual di bilik bawah tanah sedangkan rumah Lucas tidak mempunyai bilik bawah tanah sekali gus membebaskannya daripada tuduhan jenayah seksual tersebut.

Dalam hal ini, golongan dewasa juga memainkan peranan penting. Ibu bapa Klara dan juga pengetua pra-sekolah beranggapan bahawa kanak-kanak tidak pandai berbohong dan mempercayai apa yang diperkatakan sepenuhnya tanpa usul periksa.

Realitinya, kanak-kanak mampu berbohong dan golongan dewasa memainkan peranan penting dalam memastikan kebenaran di sebalik keterangan dan kata-kata kanak-kanak.

III. Kesimpulan     

Bagi penulis, Jagten merupakan salah satu filem bergenre drama yang wajar ditonton oleh setiap ahli masyarakat. Filem ini membuka mata penonton akan pentingnya memeriksa keadaan dan mendengar cerita semua pihak secara terperinci sebelum menjatuhkan hukuman sekali gus menggalakkan setiap ahli masyarakat untuk berani tampil ke hadapan dalam mengemukakan pandangan. Hal ini kerana pendapat setiap ahli masyarakat itu penting dalam mencapai kata sepakat yang berpaksikan pemikiran rasional, bermoral dan adil buat semua. 

RUJUKAN:

  1. Bartholomew, Robert. Little Green Men, Meowing Nuns and Head-Hunting Panics. Jefferson, North Carolina: McFarland & Company, Inc. Publishers. 2001. Print.
  2. Janis, I. L. (1972). Victims of Groupthink: a Psychological Study of Foreign-Policy Decisions and Fiascoes. Boston: Houghton Mifflin. ISBN 0-395-14002-1.
  3. Beth Arky. ‘Why Kids Lie and What Parents Can Do To Stop It’. Child Mind Institute. Retrieved from https://childmind.org/article/why-kids-lie/
  4. Kang Lee’s TED Talk. Retrieved from https://www.ted.com/talks/kang_lee_can_you_really_tell_if_a_kid_is_lying/discussion
  5. Jagten film trailer at https://www.youtube.com/watch?v=ieLIOBkMgAQ

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku menulis kerana kalian membaca. And for that we compliment each other. Selamat membaca dan semoga terus setia; untuk aku yang bertemankan pena dan kalian yang gigih mendalami kata-kata.

Comments are closed.