Baru-baru ini, saya banyak terbaca akan karya-karya milik laman The Patriots terutamanya artikel dan video di-eksploit atau dalam erti kata lain dicetak rompak. Ini merupakan suatu perkara yang amat memalukan dan tidak bertamadun untuk dilaksanakan oleh mana-mana individu dan juga organisasi. Apakah wujud undang-undang atau peraturan untuk mengelakkan hasil karya kita daripada terus dicetak rompak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini?

Hakcipta (Copyright)                                                                                                                    

Perkara ini pernah diulas oleh Tuan Moustapha Abbas dalam artikel beliau (Di Manakah Etika Kewartawanan Kebanyakan Portal Di Alam Maya) di laman TP pada tahun 2017. Dari segi undang-undang, hak cipta merupakan hak eksklusif yang diberikanan kepada pencipta karya dalam tempoh masa yang ditetapkan untuk mengawal penggunaan karya mereka. Di negara kita, tiada pendaftaran perlu dibuat pada karya yang dicipta bagi mendapatkan perlindungan terhadap karya yang dicipta disebabkan perlindungan akan dikuatkuasakan serta merta apabila karya tersebut diterjemahkan dalam bentuk penulisan, gambar, video dan sebagainya.

Terdapat beberapa jenis karya yang dilindungi oleh peraturan hakcipta ini, antaranya ialah karya terbitan, karya sastera, karya muzik, karya seni, siaran, filem dan juga rakaman bunyi. Di Malaysia, tempoh masa perlindungan bagi karya sastera, muzik dan seni adalah semasa penciptanya masih hidup dan dipanjangkan ke 50 tahun setelah penciptanya meninggal dunia. Untuk siaran, filem dan rakaman bunyi pula, tempoh masa perlindungan adalah 50 tahun dari tarikh karya tersebut diterbitkan.

Harta Intelek (Intellectual Property)

Harta intelek boleh didefiniskan sebagai pengakuan hak ke atas hasil kerja atau ciptaan yang dicetuskan menerusi pemikiran manusia. Harta intelek merangkumi hampir segenap aspek dalam perlindungan terhadap sebarang hasil ciptaan di bawah kategori-kategori seperti Cap Dagangan , Reka Bentuk Perindustrian, Paten, Hak Cipta, Petunjuk Geografi dan Reka Bentuk Litar Bersepadu.

Di negara kita, terdapat beberapa akta berasingan yang berkait dengan harta intelek ini. Akta-akta tersebut ialah Akta Cap Dagangan 1976, Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996, Akta Paten 1983, Akta Hak Cipta 1987, Akta Petunjuk Geografi 2000 dan Akta Reka Bentuk Litar Bersepadu 2000. Dalam menguatkuasakan undang-undang harta intelek ini, sebuah badan bertanggungjawab telah ditubuhkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Perbadanan Harta Intelek Malaysia atau juga dikenali sebagai MyIPO, sebuah agensi bertanggungjawab di bawah kementerian tersebut dalam urusan pendaftaran dan pengeluaran sijil bagi hasil ciptaan yang terkandung di bawah kategori-kategori harta intelek. Namun, bagi harta intelek yang berada di bawah kategori hakcipta pula tidak perlu didaftarkan kerana ianya akan didaftarkan secara automatik sebaik ianya diterbitkan.

Apa Boleh Kita Laksanakan Untuk Menangani Isu Plagiarisme?

Pertama sekali, sudah tentu kita boleh memberi amaran kepada pihak yang terlibat dalam aktiviti plagiarisme ini supaya memadam segala hasil cipta yang telah diplagiat mereka. Ini boleh dilaksanakan dengan jayanya jika pihak tersebut memberi kerjasama dan akur akan kesalahan mereka.

Jika hasil ciptaan yang anda terbitkan di laman internet diplagiat, anda boleh memfailkan aduan kepada pihak Google menerusi aplikasi Google Webmaster Tool. Dengan cara ini, apabila pihak Google mendapati terdapat laman lain yang memplagiat hasil ciptaan anda, laman tersebut boleh dibuang akses mereka atau dalam erti kata lain, laman mereka boleh ‘di-banned’ oleh pihak Google di bawah peraturan hakcipta.

Langkah terakhir yang boleh anda ambil jika hasil ciptaan atau harta intelek anda dicetak rompak adalah dengan memfailkan laporan kepada pihak berkuasa seperti pasukan Polis Diraja Malaysia dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Dua badan ini bertanggungjawab dalam membanteras individu-individu atau pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Ulasan Penulis                                                                                                                                                              

Dengan masih wujudnya isu plagiarisme ini, saya berasa amat kesal dengan perbuatan tidak bermoral tersebut. Perbuatan tersebut seakan-akan merosakkan periuk nasi pengkarya-pengkarya yang mencipta karya-karya mereka yang pada akhirnya dicetak rompak oleh pihak dan individu tidak bertanggungjawab. Semua orang harus memainkan peranan dalam membanteras aktiviti tidak bermoral ini supaya jenayah sebegini tidak lagi dapat bermaharajalela pada masa akan datang.

Artikel kiriman Sang Taming Marhaen untuk The Patriots.

RUJUKAN :

1. ZERALOGIES (2016). Perbezaan Di Antara Paten, Cap Dagangan, Hak Cipta & Rekabentuk Industri. http://www.zeralogies.com/perbezaan-di-antara-paten-cap-dagangan-hak-cipta-rekabentuk-industri/

2. ZERALOGIES (2009). Pengenalan Kepada Harta Intelek. http://www.zeralogies.com/pengenalan-kepada-harta-intelek/

3. ustazkenali (2012). Maksud harta Intelek. https://ustazkenali.wordpress.com/2012/10/14/maksud-harta-intelek/

4. EMMA J. CHARLES (2017).  Protecting Your Online Content From Internet Thieves. https://www.emmajcharles.com/blog/protecting-your-online-content-from-internet-thieves/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.