Setiap bangsa mempunyai tradisi dan adat yang tersendiri sekaligus menjadikan mereka unik dan lain dari yang lain. Adakalanya, adat sebegini kadang-kadang membuatkan kita tertanya-tanya apa sebab mereka berbuat demikian. Satu perkara yang membuatkan ramai menggaru kepala ialah adat membentuk tempurung kepala menjadi lonjong ke atas atau kita kenali sebagai adat membentuk kepala.
Apa itu membentuk kepala? Bentuk kepala ialah satu kaedah di mana tempurung kepala bayi dibentuk dengan cara-cara tertentu bagi membolehkan ia mengikut bentuk yang dimahukan mengikut tradisi sesebuah masyarakat.
Adat ini dibuat semasa di peringkat bayi kerana tempurung kepala kanak-kanak masih lembut dan berada di peringkat awal tumbesarannya. Untuk membentuk kepala lonjong ini, dua papan kecil akan diletakkan di dahi dan belakang kepala bayi.
Dalam sesetengah masyarakat, ada yang menggunakan tali atau pelapik sebagai ganti kepada papan. Yang pasti, bahan yang dipilih akan diikat ketat dengan beberapa helai kain dan ditolak ke bawah bagi memastikan tempurung kepala ditolak ke belakang dan ke atas untuk menghasilkan bentuk kepala lonjong.
Ritual sebegini dikatakan sudah lama berlaku sepanjang lipatan sejarah manusia sejak ribuan tahun dahulu. Amalan ini dikatakan berhenti pada zaman moden atau lebih tepat pada abad ke-20 dengan laporan terakhir pembentukan kepala kanak-kanak dilaporkan di kawasan pedalaman Perancis pada tempoh berkenaan.
Namun di sesetengah tempat di Polinesia terutama Vanuatu, amalan ini masih lagi dilakukan sehingga hari ini. Bukti pembentukan kepala lonjong pada zaman purba bukan saja ditemui di Afrika tetapi juga di timur Jerman, Australia, Amerika Tengah, masyarakat orang asli Amerika Utara dan Kepulauan Carribean. Amalan ini dilihat tidak memberi kecederaan fizikal atau menggugat kecerdasan minda si pelaku.
Tidak diketahui apa punca yang mendorong sesetengah masyarakat ini sanggup membentuk kepala mereka kepada bentuk sedemikian. Bagi pendukung teori konspirasi angkasawan purba seperti Erich von Daniken dan Giorgio Tsoukalos, kelompok ini mendakwa masyarakat-masyarakat ini cuba meniru rupa fizikal ‘dewa-dewi’ mereka iaitu makhluk asing.
Tetapi menurut Prof Dr Michael Obladen dari Charité—University Medicine Berlin, terdapat banyak sebab berbeza yang mendorong sesetengah masyarakat ini membentuk tempurung kepala menjadi lonjong.
Pada era pra-Columbus di benua Amerika, pembentukan kepala ini dianggap tanda bagi kelompok elit atau bangsawan. Tempurung kepala yang lebih panjang dianggap simbol kecantikan dan status seseorang dalam masyarakat. Sebab sama turut menjadi punca pembentukan kepala di Nicaragua pada abad ke-19.
Sementara bagi sesetengah puak orang asli Amerika seperti Chinook dan Cowlitz, amalan meratakan kepala secara sengaja itu dianggap simbol kebebasan individu sementara individu yang berdahi bulat dipandang hina oleh masyarakat. Ada pula menjadikan amalan membentuk kepala ini sebagai satu cara membezakan satu puak dari sebuah puak yang lain. Ini berdasarkan penemuan arkeologi membabitkan beberapa tengkorak di tapak ekskavasi Hermanov vinograd di Croatia pada tahun 2013. Menurut penyelidik Mario Novak, jenis pembentukan kepala yang berbeza dilihat penanda puak-puak tertentu.
Bagi sesetengah masyarakat, pembentukan kepala sebegini dianggap status kehebatan seseorang dalam masyarakat terutama jika dia bertaraf bangsawan, simbol kecantikan fizikal atau sebagai lambang kebebasan individu. Tetapi ada pula yang menjadikan amalan memanjangkan kepala ini sebagai cara untuk meningkatkan lagi kecerdasan minda anak-anak.
Perkara ini dilakukan oleh sebuah puak di Papua New Guinea pada abad ke-20. Menurut Obladen, pembentukan kepala dianggap satu pencapaian kebudayaan manusia yang percaya bahawa manusia masih belum sempurna, satu kepercayaan yang mana penambahbaikan boleh dan mesti dilakukan pada tubuh bayi.
Dan menurut Obladen, apa yang dianggap amalan kuno ini sebenarnya berlaku pada hari ini. Pada tahun 1994, kempen Safe to Sleep iaitu menidurkan bayi pada posisi muka dan dada mengadap atas dilancarkan bagi membantu mengurangkan masalah kematian bayi membabitkan Sindrom Kematian Bayi Mengejut (SIDS). Menjelang tahun 2002, bilangan kematian membabitkan SIDS berkurangan pada kadar enam bayi bagi setiap 10,000 bayi.
Tetapi ia mendatangkan masalah baru iaitu peningkatan kes plagiosefali atau sindrom kepala rata. Bagi memperbetulkan semula isu berkenaan, ibu bapa boleh menggunakan pengikat kepala atau topi keledar pembentuk kranial untuk memastikan kepala bayi nampak normal. Namun, wujud keraguan sama ada cara tersebut berkesan atau tidak. Ini kerana wujud satu kajian bahawa mempelbagaikan posisi tidur bayi dilihat sama berkesan dengan menggunakan topi keledar pembentuk kranial.
RUJUKAN:
1. Barras, Colin. (2014). Why early humans reshaped their children’s skull. BBC. http://www.bbc.com/earth/story/20141013-why-we-reshape-childrens-skulls
2. HistoricMysteries.com. The Mystery of the Elongated Skulls. https://www.historicmysteries.com/elongated-skulls-mystery/
3. Saplakoglu, Yasemin. (2019). Ancient Skeletons with Alien-Like Heads Unearthed in Croatia. Live Science. https://www.livescience.com/ancient-skulls-croatia-artificially-deformed.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih