Jika di Eropah ada kisah Cinderella, maka di alam Melayu pula ada kisah Bawang Putih Bawang Merah. Bawang Putih dan Bawang Merah ini merupakan dua gadis cantik yang memiliki perangai yang berbeza. Tema kedua-dua kisah ini sangat mirip iaitu kekejaman ibu tiri dan saudari tiri kepada seorang gadis baik. Yang menariknya, konsep nama Bawang Putih Bawang Merah ini pula seakan kisah rakyat dari orang German iaitu Snow White & Rose Red walaupun temanya tidak serupa.
Tahukah anda, Bawang Putih ialah watak gadis yang baik dalam versi Indonesia tetapi jika dalam versi Malaysia, Bawang Merah itulah watak gadis yang baik.
Jika menurut versi Indonesia, Bawang Putih itu baik kerana warna putih mewakili kesucian budi. Manakala Bawang Merah itu jahat kerana warna merah mewakili api ammarah. Jika menurut versi Malaysia, Bawang Merah itu baik kerana saat bawang merah terhiris, kita pasti mengalirkan air mata. Manakala Bawang Putih itu jahat kerana saat bawang putih ditumbuk, kita pasti terhidu bau menusuk.
Selain berbeza dari sifat pada watak, Bawang Putih Bawang Merah juga mempunyai dua versi cerita yang berbeza. Versi pertama hanya masih diceritakan dalam sebahagian kalangan masyarakat Indonesia manakala versi kedua adalah lebih popular termasuklah di Malaysia.
• Versi Pertama (Labu Ajaib)
Versi pertama mengisahkan tentang seorang gadis baik yang hidup ditindas oleh ibu tiri dan saudari tirinya. Gadis baik itu dipaksa membuat semua kerja rumah. Suatu hari, gadis baik itu pergi mencuci pakaian keluarga tirinya lalu salah satu pakaian itu hanyut di sungai. Gadis baik itu tersedar akan kehilangan pakaian itu lalu cuba mencarinya. Dia berkejar mengikut arus sungai untuk mendapatkan semula pakaian tersebut.
Akhirnya, gadis baik itu tiba di sebuah gua yang dihuni oleh seorang nenek kebayan. Nenek itu tahu akan kehilangan pakaian tersebut dan meletakkan syarat agar gadis baik itu perlu membantunya terlebih dahulu untuk membuat suatu kerja. Oleh kerana sudah terbiasa membuat kerja rumah, maka gadis baik itu tidak berasa susah untuk tunaikan permintaan tersebut.
Setelah semua kerja selesai, nenek kebayan itupun memberi pakaian yang hanyut tersebut. Nenek kebayan juga menyuruh gadis baik itu untuk memilih salah satu dari dua biji buah labu. Oleh kerana gadis baik ini tidak memiliki sifat tamak, maka dia memilih labu yang lebih kecil. Kemudian, gadis itu pulang ke rumah.
Apabila tiba di rumah, ibu tirinya marah kerana lewat pulang ke rumah. Lalu gadis baik itu beritahu bahawa dia terlewat kerana pergi mencari pakaian yang hanyut. Saudari tirinya marah kerana gadis baik menghilangkan pakaiannya.
Namun, gadis baik itu memberitahu bahawa pakaian itu dijumpai semula dari nenek kebayan bahkan dia turut menerima buah labu yang kecil. Geram akan tindakan gadis baik yang memilih buah labu kecil, ibu tiri dan saudari tirinya bertindak merampas dan menghempas buah tersebut hingga pecah.
Apabila pecah, ternyata buah itu adalah Labu Ajaib yang terkandung emas permata di dalamnya. Terkejut akan hal ini, keluarga tirinya mula timbul sikap tamak untuk turut pergi mengambil buah labu yang besar kerana sudah pasti lebih banyak emas permata di dalamnya. Mereka menyuruh gadis baik itu tunjukkan gua tersebut.
Apabila tiba di gua, ibu tiri dan saudari tiri gadis itu enggan menerima syarat nenek kebayan untuk bekerja terlebih dahulu. Sebaliknya, mereka terus mengambil labu besar untuk dibawa pulang. Setelah pulang, mereka memecahkan labu tersebut. Mereka begitu terkejut kerana apabila labu itu dipecahkan, ternyata yang keluar darinya adalah ular yang berbisa.
• Versi Kedua (Ikan Ajaib)
Versi kedua juga mengisahkan tentang seorang gadis baik yang hidup ditindas oleh ibu tiri dan saudari tirinya juga. Gadis baik itu dipaksa membuat semua kerja rumah. Suatu hari, gadis baik itu pergi mencuci pakaian keluarga tirinya lalu secara tiba-tiba muncul seekor ikan ajaib. Ikan itu boleh bercakap lalu ia berkata bahawa dirinya adalah ibu kepada gadis baik tersebut. Dia berubah menjadi ikan sewaktu ibu tiri gadis baik itu cuba melemaskannya di sungai tersebut.
Oleh itu, gadis baik itu gembira untuk mencuci pakaian di sungai kerana dapat berjumpa dengan ibunya. Suatu hari, saudari tiri gadis baik itu mengekorinya ke sungai. Dia kehairanan melihat gadis baik itu bercakap dengan ikan di sungai. Setelah gadis baik itu selesai mencuci pakaian, maka dia pun pulang. Kesempatan ini diambil oleh saudari tirinya lalu memanggil ikan ajaib itu. Apabila ikan ajaib itu muncul, maka cepat-cepat ianya ditangkap.
Ikan itu dibawa pulang dan ditunjukkan kepada ibunya. Lalu mereka menggoreng ikan tersebut dan dihidangkan kepada gadis baik itu. Setelah selesai makan, barulah mereka beritahu bahawa ikan goreng itu adalah ikan ajaib di sungai. Maka menangislah gadis baik itu lalu mengumpul tulang belulang ikan tersebut untuk ditanam di suatu tempat.
Keesokkan harini, gadis baik itu melihat wujud sebuah buaian yang cantik ditempat dia tanam ikan ajaib itu. Maka diapun berbuailah disitu sambil menyanyi dengan suara yang merdu. Nyanyiannya ini didengari oleh gerombolan putera raja yang kebetulan lalu disitu. Lalu gerombolan itu mencari bunyi suara tersebut. Kemudian, mereka dapati ada seorang gadis cantik di buaian itu yang mula bergerak pulang ke rumah.
Mereka mengekorinya hingga tiba di rumah. Apabila tiba di rumah, gerombolan putera raja itu bertemu dengan si ibu tiri. Mereka memperkenalkan diri lalu bertanya siapakah gadis cantik yang bersuara merdu di buaian tadi. Maka si ibu tiri itu membawa anaknya kepada mereka dan menyuruh gadis baik itu agar tidak keluar dari bilik. Gerombolan itu membawa ibu tiri dan anaknya ke buaian tersebut. Putera raja yang menanti di sana ingin mendengar suara merdu itu.
Namun, anak si ibu tiri tersebut tidak mampu menyanyi semerdu gadis baik itu. Bahkan, buaian itu tidak mampu berhayun. Maka putera raja tahu bahawa ini bukan gadis yang menyanyi sebelum ini. Putera raja itu memaksa si ibu tiri agar menceritakan hal sebenar dan menunjukkan siapa gadis yang bersuara merdu itu. Maka si ibu tiri itupun terpaksa mengaku lalu memberitahu bahawa dia memiliki seorang anak tiri.
Maka putera itu meminta agar gadis tersebut di bawa ke tempat buaian. Setelah dibawa, gadis itu diminta naik ke buaian dan menyanyi. Sekonyong-konyong, berhayunlah buaian itu dan gadis baik itu menyanyi dengan merdu. Maka jatuhlah hati putera raja itu kepada gadis baik ini. Kemudian, berkahwinlah mereka sehingga kehidupan gadis baik itu menjadi bahagia.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih