Dalam al-Quran, Allah menyebut tentang nama seorang lelaki bernama ‘Uzair. Hanya sekali nama ini disebut iaitu dalam Surah al-Taubah ayat ke-30 iaitu “Dan orang-orang Yahudi berkata: Uzair putera Allah…”
Siapakah Uzair ini? Tersebut dalam riwayat bahawa dalam ramai-ramai Bani Israel, tiada seorang pun yang lebih mengerti dan menghafal Kitab Taurat berbanding beliau. Ulama’ berbeza pendapat sama ada dia seorang nabi, atau seorang yang soleh. Jadi di sini, kita cuma sebutkan namanya saja tanpa menyatakan dia itu nabi atau bukan. Malah ulama’ juga berbeza pendapat mengenai nama sebenarnya.
Kenapa orang Yahudi sangat mengagungkan Uzair sehingga menggelarnya sebagai anak Allah?
Perlu kita tahu bahawa Kitab Taurat yang ada pada hari ini bukanlah Taurat yang sama sebagaimana di zaman Nabi Musa alaihissalam. Kerana kitab ini telah dibakar habis sewaktu pemerintahan seorang raja yang zalim iaitu Bukhtunassar atau lebih dikenali sebagai Nebuchadnezzar II.
Bukhtunassar merupakan seorang raja zalim yang mempunyai kerajaan yang amat besar. Bahkan dalam sebuah hadis dhaif diriwayatkan bahawa Rasulullah sendiri mengiktiraf kekuasaan beliau dengan menyatakan bahawa bahawa raja dunia ini ada empat, dua mukmin dan dua kafir iaitu Zulqarnain dan Nabi Sulaiman serta Namrud dan Bukhtunassar.
Dalam Surah al-Baqarah, Allah menceritakan mengenai seseorang yang masuk ke dalam sebuah perkampungan, yang mana bangunannya telah roboh, lalu dia bertanya bagaimana Allah akan menghidupkan semua ini setelah ianya binasa? Untuk menjawab persoalan itu, Allah mematikan baginda selama seratus tahun kemudian Allah membangkitkannya semula. Orang itu menurut para ulama sejarah dan tafsir, adalah Uzair. Baginda bertanya bukanlah kerana ragu-ragu tetapi kerana ingin mengetahui caranya dan untuk menambahkan lagi keimanannya.
Kalau dalam Al-Quran, ayat ini betul-betul berada sebelum ayat mengenai Nabi Ibrahim bertanyakan cara Allah menghidupkan sesuatu yang telah mati. Kedua-dua cerita ini saling berkaitan, kerana maksudnya sama; bertanya kerana ingin menambahkan keimanan. Tidak seperti kebanyakan Bani Israel yang banyak tanya, bukan sebab nak amalkan, tapi kerana nak memperlekeh dan suka-suka.
Berbalik pada kisah Uzair tadi, selepas seratus tahun dimatikan secara literal atau sekadar ditidurkan seperti Ashabul Kahfi, Allah bangunkan baginda semula. Kemudian Allah tanya berapa lama baginda tak sedarkan diri? Dia kata sehari saja, sedangkan sebenarnya seratus tahun. Kisahnya beliau ini persis dua kisah lain di dalam al-Quran. Pertama iaitu kisah Ashabul Kahfi, kedua seperti kisah Nabi Ibrahim.
Setelah dibangkitkan, Allah mengarahkannya untuk melihat makanan dan minum yang dia bawa sebelum ini, ianya masih elok dan tidak basi atau rosak sedangkan masa telah berlalu 100 tahun. Tapi cuba tengok keldai tunggangan kamu, ianya telah hancur binasa dan yang tersisa cumalah tulang-belulang. Lalu dengan kekuasaan Allah, tulang-tulang keldai itu bercantum, kemudian dibaluti daging dan akhirnya menjadi seperti keldai beliau yang asal. Sama seperti kisah Nabi Ibrahim sebelum ini, bukan? Bagi sesiapa yang pernah baca dan teringat, pasti rasa seakan ‘Déjà vu’.
Ada juga yang menceritakan bahawa setelah itu baginda balik semula kepada kaumnya, tetapi semua orang tak mengenalinya memandangkan jarak masa yang telah merubah generasi. Puas diterangkan bahawa baginda sememangnya Uzair, tokoh Bani Israel, tapi tiada yang percaya melainkan seorang makcik tua yang berumur 120 tahun. Lalu makcik ini setelah yakin, dialah yang meyakinkan pula kaumnya bahawa ini memang Uzair.
Disebabkan mereka semua tahu yang Uzair ini menghafaz Taurat, jadi mereka minta untuk dikumpulkan semula Taurat yang telah dibakar sewaktu pemerintahan Bukhtunassar. Peristiwa inilah yang membuatkan Bani Israel menggelarnya anak Allah. Bukanlah sebagaimana yang dimaksudkan oleh orang Kristian apabila mengungkapkan mengenai Nabi Isa, tetapi adalah lebih kepada pengagungan dan kebesarannya. Dalam Bible yang ada sekarang, memang ramai orang yang digelar ‘Anak Tuhan’, bukan Jesus saja.
Malah sebutan Uzair itu sendiri adalah menunjukkan kasih daripada Bani Israel kepada dirinya. Asalnya ‘Izra, kemudian ditukarkan bentuknya kepada ism tasghir, menjadi ‘Uzair. Bahkan Bible yang ada pada hari ini turut mengabadikan nama beliau dalam ‘The Book of Ezra.’
RUJUKAN:
HAMKA (1982), Tafsir al-Azhar, Pustaka Panjimas: Jakarta
Ismail Ibnu Kathir (2013), Kisah Para Nabi, Klang Books Centre: Selangor
Ismail Ibnu Kathir (2003), Tafsir Ibnu Kathir, Pustaka Imam Syafie: Jakarta
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih