Saya terbaca beberapa artikel ahli politik yang menggesa agar “perbezaan kaum” dilupakan agar erti merdeka dicapai. Saya tidak bersetuju. Merdeka adalah apabila kita mengenali satu sama lain, menghormati sejarah dan bersyukur atas pengorbanan setiap kaum yang lain atas kemerdekaan negara.
Tulisan ini agak sensitif. Tapi saya memilih untuk terus menulis.
Dalam pepatah Cina, ada satu frasa yang berbunyi ‘Ru Xiang Sui Su’. Maksudnya, apabila kita berada di sesuatu tempat, berasimilasilah dengan penduduk asal. Ia sama dengan pepatah Melayu “Masuk kandang kambing, mengembek” atau pepatah Inggeris “When in Rome, do as the Romans do”.
Di Malaysia, kumpulan Cina dan India terawal yang memasuki negara ini (sebelum kurun ke 18) benar-benar mengamalkan pepatah tersebut. Mereka berasimilasi dengan penduduk asal, mengamalkan cara hidup tempatan sehinggakan perbezaan mereka dengan Melayu hanya tinggal agama sahaja. Hari ini, mereka dikenali sebagai India dan Cina Peranakan.
Sehingga sekarang, saya masih berpegang bahawa kelompok ini sepatutnya mendapat taraf bumiputera.
Tetapi kumpulan Cina yang memasuki negara pada kurun ke 19 adalah berbeza. Pada tahun tersebut, China sedang berhadapan dengan masalah ekonomi kesan daripada kekalahan berterusan mereka dalam Perang Candu kepada British. Kebuluran berleluasa dan penghijrahan adalah pilihan terbaik bagi melepaskan diri daripada kemiskinan.
Di sini, Cina di negara China berpecah kepada dua. Pertama, Cina Utara (Mandarin). Cina Utara adalah Cina yang kaya dan datang daripada golongan atasan. Malahan perkataan Mandarin itu sendiri datang daripada perkataan Sanskrit – ‘Menteri’. Cina Utara memilih untuk berhijrah dan menetap terus di negara-negara Eropah dan US. Disebabkan mereka memilih untuk menetap, mereka berasimilasi dengan budaya tempatan. Anda tidak akan jumpa sekolah vernakular di US, Britain atau Jepun sekalipun. Tak ada.
Kedua, Cina Selatan. Kumpulan ini memilih untuk berhijrah ke Tanah Melayu tetapi bukan untuk menetap. Asalnya mereka hanya mahu bekerja dan pulang apabila keadaan politik stabil. Atas sebab itu kaum Cina pada ketika itu mempunyai sekolah sendiri (contoh Kuen Cheng School, Nanyang Overseas School, Foon Yew High School) dan akhbar sendiri (Kwong Wah Jit Poh). Akhbar ini adalah akhbar Cina paling tua diluar Tanah Besar.
Malahan, revolusi ke atas Dinasti Qing sendiri dimulakan di Pulau Pinang. Tak percaya? Pergi ke Georgetown dan lawati Muzium Sun Yat Sen. Muzium itu adalah bangunan asal tempat Dr Sun Yat Sen merancang bagi menggulingkan Dinasti Qing pada tahun 1910.
2 tahun selepas itu, Dr Sun menang dan menjadi Presiden China pertama dan mengasaskan parti Kuomintang.
Dari sudut ini anda semua dapat melihat bagaimana rapatnya hubungan kaum Cina di Tanah Melayu dan Tanah Besar pada ketika itu.
Tapi sejarah China berubah lagi. Pada tahun 1949, Parti Komunis China (PKC) berjaya mengalahkan Parti Kuomintang dalam Perang Saudara dan menyebabkan Kuomintang terpaksa berundur dan menubuhkan kerajaan mereka di Taiwan.
Disini saudara-saudara semua sepatutnya sudah memahami kenapa badan pendidikan Cina Malaysia berkeras mahu kerajaan mengiktiraf UEC yang banyak bersilibus Taiwan dan bukan China. Dan saudara semua sepatutnya boleh memahami kenapa sebuah parti perkauman yang mengaku demokratik tidak berapa disukai China sehingga Tun Daim akhirnya mewakili negara dalam rundingan ECRL dengan kerajaan negara itu.
Baik. Apabila PKC menang, mereka mengamalkan Dasar Tutup Pintu. Maka bermulalah masalah. Tiada rakyat China dibenarkan keluar dan tiada orang luar dibenarkan untuk masuk. It’s a trap. Sebiji macam Korea Utara hari ini. Kaum Cina Tanah Melayu terpisah dengan kaum keluarga, sahabat handai dan cinta hati yang berada di Tanah Besar. Mereka tiada negara.
Disinilah kaum Melayu menjadi penyelamat. Tunku Abdul Rahman menawarkan kewarganegaraan untuk kaum bukan Melayu dengan syarat ketat yang dinamakan kontrak sosial. Bukan Melayu mendapat kewarganegaraan, tetapi Melayu Bumiputera diberikan hak istimewa yang terkandung kemas di dalam Perlembagaan.
Tetapi sudah tentulah sebahagian kaum bukan Melayu masih berharap agar dapat pulang ke negara asal. Atas sebab itu, ada pertubuhan pendidikan masih mengekalkan silibus pelajaran sedia ada agar identiti mereka tidak berubah. Saudara semua boleh lihat kerasnya mereka sehinggakan kerajaan terpaksa menarik kewarganegaraan Lim Lian Geok, pengasas Dong Zong pada tahun 1961
Tapi pada tahun 1974, China dan Malaysia akhirnya menjalin hubungan diplomatik secara rasmi. Hubungan diplomatik ini sebenarnya tidak dipersetujui SUA UMNO Tan Sri Senu dan beberapa menteri kabinet atas sebab darurat dan isu Parti Komunis Malaya (PKM). Ini kita cerita bab lain tentang bagaimana Tun Razak menangani konflik dalaman.
Ya. Akhirnya pintu terbuka semula. Tetapi Presiden China Zhou Enlai ketika itu bersuara. Mahukan kesetiaan kaum Cina di Malaysia adalah kepada Yang Di Pertuan Agong dan bukan kepada selain daripadanya.
Ia menutup terus pintu kepada sebahagian kecil kaum Cina yang masih berharap untuk pulang ke negara asal.
Jadi bagaimanakah erti kemerdekaan? Merdeka adalah apabila kita semua memahami sejarah dan mensyukurinya. Merdeka adalah apabila kita menghormati hak setiap kaum yang ada dan tidak mengambil lebih daripadanya.
Itulah merdeka. Merdeka tidak akan berjaya jika kita cuba memadam sejarah yang ada.
Adakah tulisan ini mengatakan Cina dan India pendatang?
Well. Sebahagian besar kaum Cina dan India memang asalnya imigran. Tetapi akhirnya mereka menjadi kawan dan jiran.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih