Berikutan artikel berkenaan doa kemerdekaan tempoh hari, ada rakan-rakan yang keliru lalu bertanya, “Syeikh Ahmad al-Linggi bin Syeikh Muhammad Said al-Linggi itu dikatakan pengamal Ahmadiyyah, tapi bukankah ajaran Ahmadiyyah ini telah dihukum sesat oleh majlis fatwa?”

Ramai yang terkeliru perbezaan antara Ahmadiyyah Qadyani dengan Ahmadiyyah Idrisiyyah. Kedua perkara ini amat jauh beza dan tiada kaitan antara satu sama lain pun. Ahmadiyyah Qadyani itu adalah ajaran sesat yang menyimpang dari sudut Akidah Islam manakala Ahmadiyyah Idrisiyyah ini adalah tarekat tasawwuf yang bernaung di bawah mazhab Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. 

Hal ini juga sama dengan kekeliruan sesetengah pihak terhadap golongan Qadariyyah dan Qadiriyyah. Qadariyyah itu adalah ajaran sesat yang menyimpang dari akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah kerana mereka menolak untuk beriman kepada Qada’ dan Qadar. Manakala Qadiriyyah pula adalah tarekat Tasawwuf Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang diasaskan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

Ilmu Tasawwuf adalah ilmu untuk menyucikan rohani diri yang wajib dipelajari oleh setiap mukmin sepertimana kata Imam al-Ghazali bagi melengkapkan Iman-Islam-Ihsan, manakala Tarekat adalah jalan praktikal bagi ilmu Tasawwuf yang dipimpin oleh Mursyid atau Syeikh Tarekat yang dibaiat. Maka lengkaplah ilmu Syariat-Tarekat-Hakikat-Makrifat.

Berbalik kepada Ahmadiyyah, Ahmadiyyah Qadyani adalah ajaran sesat yang diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad di Qadyan, India. Kerana itulah ajaran ini dikenali sebagai Qadyani bersempena tempat kelahiran pengasasnya. Kelompok Ahmadiah Qadyani merupakan antara masyarakat “Muslim” terawal yang bergerak aktif di United Kingdom dan negara Barat lain. Bahkan komuniti Ahmadiyyah Qadyani masih banyak di eropah terutama di United Kingdom hingga kini. Mirza Ghulam Ahmad mengaku sebagai al-Mujaddid, al-Mahdi dan al-Masih yang ditunggu-tunggu. Bahkan dia mengaku sebagai seorang Nabi dan jelmaan Krishna (Tuhan Hindu). Dia mendakwa Nabi Muhammad bukanlah Rasul Allah yang terakhir. 

Menurut mereka, gelaran Khatamul Anbiya pada Nabi Muhammad bukanlah bermaksud ‘Penutup Para Nabi’ seperti yang difahami oleh majoriti umat Islam. Khatamul Anbiya itu bermaksud ‘Perhiasan Para Nabi’ kerana sememangnya dalam bahasa Arab, Khatam membawa maksud perhiasan atau penutup. Dalil mereka adalah dalam surah as-Saff ayat 6 yang diubah tafsirannya iaitu berkenaan isyarat nabi akhir zaman yang bernama Ahmad. Kata mereka, nama Ahmad tersebut merujuk kepada Mirza Ghulam Ahmad bukan kepada Rasulullah yang namanya Muhammad. Sedangkan seluruh umat Islam mengetahui bahawa nama lain bagi Nabi Muhammad juga ialah Ahmad.

Pengikutnya beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta mukjizat dan antaranya adalah Allah menurunkan kitab suci yang dikenali sebagai at-Tazkirah kepadanya. Mereka beriktikad bahawa nabi Isa telah wafat dan dimakamkan di Srinegar, India. Selain itu, mereka beriktikad bahawa Malaikat itu adalah pancaindera Allah. Mereka mengisytiharkan wilayah Qadyan sebagai tempat suci menggantikan Melah untuk melaksanakan ibadat haji. Tatkala para ulama dan mujahidin Islam di India menentang penjajahan British disana, kelompok Ahmadiyyah Qadyani memfatwakan penghapusan jihad perang sebaliknya hanya cukup dengan berdakwah (jihad pena dan ucapan).

Manakala Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah pula telah wujud sebelum kewujudan Ahmadiyyah Qadyani lagi. Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah diasaskan oleh Syeikh Sayyid Ahmad bin Idris al-Fasi. Beliau lahir di Fez, Maghribi pada tahun sekitar 1760. Syeikh Ahmad bin Idris meninggal pada tahun 1837 sedangkan Mirza Ghulam Ahmad yang lahir pada 1835, ketika itu baru berusia 2 tahun.

Syeikh Ahmad bin Idris ialah ulama Sufi Sunni berketurunan Rasulullah dari jalur Saiyidina Hassan. Beliau menuntut ilmu di Universiti Qarawiyin. Pada asalnya, beliau bertarekat dengan Tarekat Syadzuliyyah, Qadiriyyah dan Khalwatiyyah. Beliau kemudiannya berhijrah ke Mekah hingga namanya menjadi masyhur disana dan berhijrah lagi ke Yaman.

Syeikh Ahmad bin Idris memiliki ramai murid dari serata negara yang kemudiannya mereka menyebarkan Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah di negara masing-masing. Antara negara yang tersebarnya Tarekat ini adalah Libya, Sudan, Mesir, Somalia, Eritrea, Kenya, Yaman, Syria, Lubnan dan Asia Tenggara. Murid-murid kanan beliau yang menyebarkan Tarekat ini disebut sebagai Khalifah iaitu wakil yang dilantik bagi memimpin majlis Tarekat di wilayah tertentu.

Salah seorang pengikut Syeikh Ahmad bin Idris iaitu Syeikh Ibrahim al-Rasyid menyebarkan cabang tarekat ini dengan nama Ahmadiyyah-Rasyidiyyah. Kemudian, pengikut Syeikh Ibrahim al-Rasyid iaitu Syeikh Muhammad al-Dandrawi menyebarkan lagi cabang tarekat ini menjadi Ahmadiyyah-Rasyidiyyah-Dandrawiyyah. Melalui jalur Rasyidiyyah-Dandrawiyyah lah tarekat ini mula masuk ke Nusantara secara cabang atas cabang.

Jalur ini dibawa oleh Tok Syafie di Kedah, Tuan Tabal di Kelantan dan Syeikh Muhammad Said Linggi di Negeri Sembilan. Tarekat ini terus berkembang pesat di Kelantan melalui Mufti Wan Musa (anak Tuan Tabal), Sidi Muhammad Azhari dan Tuan Haji Daud Bukit Abal. Manakala di Negeri Sembilan, ianya terus dikembangkan oleh keturunan Syeikh Muhammad Said Linggi iaitu Syeikh Abdullah al-Linggi dan Syeikh Ahmad al-Linggi. Seterusnya anak Syeikh Ahmad al-Linggi iaitu Syeikh Murtadza mantan Mufti Negeri Sembilan dan Pengerusi Jilsah Turuq Sufiyyah Negeri Sembilan mewarisinya. Tarekat ini terus bercambah dengan pelbagai cabang lagi.

Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah yang lebih masyhur ialah melalui jalur as-Sanusiyyah. Ianya dikembangkan oleh Syeikh Muhammad ibn Ali as-Sanusi al-Hassani. Beliau merupakan murid kanan Syeikh Ahmad bin Idris yang menguasai ilmu Hadis. Gerakan Sanusiyyah ini adalah gerakan Mujahidin Sufi yang bangkit menentang penjajahan Barat di negara-negara Afrika Utara sama ada kuasa Itali, Perancis mahupun British.

Selepas Syeikh Muhammad ibn Ali as-Sanusi al-Hassani meninggal dunia, gerakan ini dipimpin oleh anaknya Syeikh Muhammad al-Mahdi. Kemudian, gerakan ini dipimpin oleh sepupu Syeikh Muhammad al-Mahdi iaitu Syeikh Ahmad Shariff. Antara pengikut Syeikh Ahmad Shariff ialah Syeikh Umar Mukhtar iaitu pejuang kemerdekaan Libya menentang Itali yang digelar The Lion of Desert.

Seterusnya, gerakan ini dipimpin oleh menantu Syeikh Ahmad Shariff iaitu Syeikh Idris bin Muhammad al-Mahdi bin Muhammad bin Ali as-Sanusi. Beliau menjadi Raja Libya pertama setelah negara itu merdeka dari penjajahan Itali. Kemudian, kerajaan King Idris I ini diruntuhkan secara biadap oleh Muammar Ghadafi. Maka tidak hairanlah apabila kita melihat Muammar Ghadafi digulingkan pula oleh golongan yang lebih biadap lagi di kemudian hari.

Antara cabang lain yang masyhur dalam Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah adalah dari jalur Jaafariyyah oleh Syeikh Soleh al-Jaafari al-Azhari al-Husaini. Tarekat Jaafariyyah ini juga tiada kaitan langsung dengan Mazhab Akidah Syiah Jaafariyyah walaupun namanya sama. Syeikh Soleh al-Jaafari mengambil sanad tarekat ini dari Syeikh Muhammad asy-Syarif dari Syeikh Abdul Ali dari Syeikh Ahmad bin Idris. Kealiman dan kewarakan Syeikh Soleh al-Jaafari sehingga membuatkan Syeikhul Azhar menggelarkannya sebagai Kiblat Ilmu dan tarekatnya tersebar di Mesir. 

Cabang-cabang tarekat ini dipimpin oleh Khalifah Tarekat. Namun, induk tarekat yang asal dipimpin oleh Syeikh Umum Tarekat yang pastinya lebih tinggi kedudukannya dalam hierarki disiplin Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah. Sehingga kini, Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah yang asal masih dipelihara oleh para Adarisah iaitu keturunan Syeikh Sayyid Ahmad bin Idris. Sanad induk tarekat ini adalah :-

1) Syeikh Ahmad bin Idris (pengasas)
2) Syeikh Abdul Ali (Syeikh Umum pertama)
3) Syeikh Muhammad asy-Syarif (Syeikh Umum ke-2)
4) Syeikh Muhammad al-Mirghani (Syeikh Umum ke-3)
5) Syeikh Muhammad al-Hassan (Syeikh Umum ke-4)
6) Syeikh Muhammad al-Kamil (Syeikh Umum ke-5)
7) Syeikh Abdul Wahab al-Tazi (Syeikh Umum terkini)

Jalur Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah yang asal lagi induk ini dibawa masuk ke Malaysia melalui pengasas Yayasan as-Sofa, Dato’ Syeikh Fuad Kamaluddin ar-Rembawi apabila beliau dilantik secara rasmi sebagai Khalifah Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah bagi wilayah Asia Tenggara oleh Syeikh Umum Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah keenam sendiri iaitu Syeikh Abdul Wahab al-Tazi. 

Begitulah kisah panjang perbezaan antara Tarekat Sufi Sunni Ahmadiyyah Idrisiyyah dengan ajaran sesat Ahmadiyyah Qadyani. Ianya dalam dua perbahasan yang berbeza iaitu Akidah dan Tasawwuf. Ajaran Ahmadiyyah Qadyani telah difatwakan sesat bahkan kufur, manakala Tarekat Ahmadiyyah Idrisiyyah ini merupakan Tarekat yang muktabar.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.