Tahukah anda, watak anak derhaka ini dikenali sebagai Si Tanggang di Malaysia, Malin Kundang di Indonesia dan Nakhoda Manis di Brunei. Kisah anak derhaka yang disumpah menjadi batu ini amat popular dan menjadi cerita rakyat bagi masyarakat Nusantara.

Dalam Versi Malaysia, Si Tanggang ini merupakan seorang anak nelayan yang miskin. Keluarganya merupakan orang asli Temuan di Sungai Batu, Batu Caves berdekatan mukim Hulu Klang, Selangor.

Si Tanggang ialah seorang pemuda yang rajin bekerja. Suatu hari, dia pergi mengikut pelayaran dengan sebuah kapal besar yang membawa barang dagangan sebagai anak kapal. Ibunya amat sedih untuk berpisah dengan Si Tanggang. Namun, Si Tanggang memujuk ibunya bahawa kelak dia akan pulang dari perantauan sebagai seorang yang kaya dan berjaya.

Bertahun-tahun lamanya kapal itu pergi berlayar. Oleh kerana kerajinan Si Tanggang, akhirnya dia cepat naik pangkat sehingga menjadi nakhoda kapal. Perdagangan dari kapal Nakhoda Tanggang amat laku sehingga namanya dikenali ramai. Nakhoda Tanggang mula bergaul dengan kalangan elit orang Melayu. Kekayaan Nakhoda Tanggang membuatkan Sultan memanggilnya ke istana.

Akhirnya, Nakhoda Tanggang dikahwinkan dengan puteri Sultan. Maka Nakhoda Tanggang pergi berlayar bersama isterinya yang cantik itu ke serata negeri. Suatu ketika, pelayarannya sampai ke tempat asal Si Tanggang. Di situ, terlihat seorang wanita tua yang sentiasa menunggu kepulangan anaknya.

Melihat berlabuhnya kapal besar itu, maka riuhlah perlabuhan tersebut kerana kapal ahli pedagang terkenal iaitu Nakhoda Tanggang berlabuh di situ. Maka perempuan tua itu pun sangat gembira kerana anaknya Si Tanggang telah pulang. Maka dia segera pergi ke kapal besar tersebut.

Apabila perempuan tua itu tiba berdekatan kapal dia pun memanggil-manggil nama anaknya. “Tanggang, Tanggang… Di mana kamu oh Si Tanggang… Ini ibumu… Ibu rindu kepadamu nak… Tanggang, Tanggang”.

Kejadian ini dilihat oleh isteri Nakhoda Tanggang. Isteri Nakhoda Tanggang memberitahu kepadanya tentang kejadian itu dan bertanya siapakah ibu tua tersebut. Namun, Nakhoda Tanggang berasa malu untuk mengakui asal usulnya yang miskin. Dia berpura-pura tidak mengenali perempuan tua itu lalu memberitahu isterinya bahawa ibu bapanya telah mati.

Kemudian, Nakhoda Tanggang dengan kasar dan biadap menghalau ibunya itu. Maka sedihlah ibunya itu tidak terperi. Diangkatnya tangan menadah doa kepada Tuhan, “Ya Tuhan, jika benarlah aku ialah ibu yang menyusukannya ketika kecil, maka Kau tunjukkanlah kebenarannya dengan kekuasaanMu!”

Maka sekonyong-konyong, bersabunglah petir di langit, ribut membadai, laut bergelora sehingga kapal Nakhoda Tanggang terumbang ambing. Kapalnya mula pecah dan Si Tanggang mula sedar akan dosanya. Namun, semuanya sudah terlambat. Doa ibunya sudah dimakbul Tuhan. Maka musnahlah kapalnya yang mewah itu dan Si Tanggang disumpah menjadi batu.

Jika Versi Indonesia, Malin Kundang ini merupakan kisah masyarakat Minangkabau. Kejadian Malin Kundang disumpah menjadi batu adalah di Pantai Air Manis, Padang, Sumatera Barat. Sehingga kini masih boleh dilihat seketul batu yang menyerupai manusia sedang bersujud meminta ampun di pantai tersebut.

Manakala Versi Brunei, Nakhoda Manis berasal di perkampungan berdekatan Sungai Brunei. Dia disumpah menjadi batu di Jong Batu, Sungai Brunei. Kawasan itu dinamakan Jong Batu adalah kerana kapal (jong) Nakhoda Manis turut disumpah menjadi batu.

RUJUKAN

– Kit Leee (2007). Tanah Tujuh: Close Encounters with the Temuan Mythos. Kuala Lumpur: Siverfish Books. 
– Walter William Skeat (1900). Malay Magic: Being an introduction to the folklore and popular religion of the Malay Peninsula. Siverfish Books.
– The tale of the unfilial son, Rozan Yunos, Brunei Times, Mar 30, 2007
– https://web.archive.org/…/www.aseanstorie…/brunei/story3.php


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

IBN JAWI merupakan penuntut bidang Engineering di sebuah universiti. Beliau juga giat dalam pengajian Turath Islami secara Talaqqi Sanad bagi mengimbangi aspek duniawi dan ukhrawi. Beliau yang meminati topik Falsafah, Sejarah dan Politik merangka usaha kebangkitan ummah melalui Kalam & Qalam. Walaupun memiliki aliran pemikiran tersendiri, namun beliau terbuka untuk bertukar pandangan dengan mana-mana aliran pemikiran agar dapat memahami cara berfikir kelompok berlainan.

Comments are closed.