Pertempuran Yarmuk yang berlaku pada pertengahan bulan Ogos tahun 636 Masihi harus diingati sebagai salah satu daripada pertempuran dalam sejarah Islam yang saya kira salah satu pertempuran yang harus diingati oleh kita semua. Ianya adalah salah satu daripada pertempuran yang terdapat dalam kempen penaklukan Islam ke atas wilayah Byzantine.
Untuk rekod, ketika penaklukan ini berlaku, dan kemenangan tentera Islam, ianya adalah berkat daripada perang panjang yang berlaku antara Empayar Rom Byzantine dan juga Empayar Parsi Sassanid yang berlaku selama lebih daripada 25 tahun.
Perang panjang inilah yang membuatkan kedua-dua ketumbukan askar Byzantine dan Parsi mengalami keletihan dan mendedahkan mereka kepada penaklukan Islam pada masa yang akan datang tanpa mereka sendiri mampu mematahkan serangan-serangan yang dipimpin oleh sahabat-sahabat Rasulullah yang menjadi jeneral-jeneral perang yang masyhur dalam sejarah seperti Khalid bin Al-Walid r.a dan juga Abu Ubaidah bin al Jarrah r.a.
Maka salah satu daripada pertempuran yang harus diperhatikan dalam membincangkan tentang penaklukan Empayar Islam ke atas wilayah Rom Byzantine dalam sejarah ialah sudah tentu, Pertempuran Yarmuk yang boleh kita labelkan salah satu daripada pertempuran yang sangat mengasyikkan dan agung dalam sejarah militari.
Lokasi pertempuran ini berlaku di sekitar Sungai Yarmuk yang kini menjadi sempadan antara tiga negara iatu Jordan, Syria dan Israel lalu lokasi pertempuran inilah yang dijadikan sebagai nama pertempuran yang sehingga hari ini, masih lagi dikenang sebagai salah seorang pertempuran yang sangat mengasyikkan untuk dikaji.
Serangan tentera Islam ke atas Byzantine pada awalnya bersifat penjarahan, bukannya berdepan secara terus dengan tentera Byzantine. Namun, daripada beberapa buah penjarahan, ia berubah kepada sebuah pertempuran dalam skala besar seperti dalam Pertempuran Ajnadayn dan juga Pertempuran Pella atau juga dikenali sebagai Pertempuran Lumpur. Pertempuran-pertempuran ini kemudiannya membawa kemaraan tentera Islam ke atas wilayah di sekitar Palestine dan Syria.
Dalam waktu yang singkat, seluruh Levant ( Syam) berada di tangan Khalid Al-Walid dan ini membuatkan Heraclius menjadi tidak keruan. Mana boleh dia kehilangan wilayah kesayangannya yang telah memberikannya kekayaan yang tak berbelah bagi.
Penguasa Byzantine ketika itu iatu Maharaja Heraclius (610 – 641) mengirimkan lebih kurang 250, 000 orang tentera berdasarkan sumber Islam. Tetapi sejarawan moden berpendapat bahawa jumlahnya mungkin lebih kurang dalam sekitar 50 hingga 100 ribu orang sahaja. Tentera Byzantine ketika itu dipimpin oleh seorang jeneral perang bernama Mahan daripada Armenia.
Bagaimana pula dengan tentera Islam? Mereka tidak mempunyai banyak tentera. Ketumbukan Byzantine yang maha besar ini terdiri daripada campuran daripada orang Yunani Byzantine sendiri, serta campuran daripada kaum Slavs, Franks, Armenia, Geogrgian dan orang Kristian Arab sendiri. Tentera besar ini telah pun dibahagikan kepada lima bahagian.
Tentera Islam pula sekadar memiliki sekitar 7500 hingga 25 000 orang askar. Walaupun angka sebenar tentera Islam di Yarmuk banyak didebatkan oleh para sejarawan, tetapi hakikat kehebatan mereka tetap tidak dapat dinafikan. Dalam pertempuran ini, memang tentera Islam jauh ketinggalan dari segi angka.
Rancangan daripada Maharaja Heraclius ini diketahui oleh tentera Islam sendiri dan selepas bersidang antara satu sama lain, mereka berpendapat buat waktu sekarang adalah lebih baik dengan berundur daripada tengah dan utara Syiria dan mermfokuskan tentera di sekitar Yarmuk.
Pada awalnya, kedua-dua tentera, baik dari pihak Byzantine atau daripada pihak Islam, masing-masing melakukan perbincangan tetapi semuanya gagal lalu menjurus kepada peperangan. Komander Byzantine, Mahan dari Armenia telah menggariskan tenteranya sekurang-kurangnya sepanjang 12 batu panjangnya.
Unit berkuda ini dibahagikan sama banyak antara tenteranya sambil Mahan sendiri meletakkan tentera Arab Kristian berada di bahagian paling hadapan dengan tunggangan kuda dan untanya, sebagai unit sokongan ringan untuk memudahkan pengaturgerakan pasukan ke mana-mana rusuk yang memerlukan bantuan, selain pasukan ini menggunakan senjata dan perisai yang tidak terlalu berat seperti kavaleri utama.
Khalid Al-Walid pula telah membahagikan tenteranya kepada 36 pejalan kaki dan 4 unit berkuda di belakang unit pejalan kaki tentera Islam yang memanjang sehingga 10 batu jauhnya. Unit berkuda tentera Islam adalah suku daripada seluruh pasukan tentera Islam ketika Pertempuran Yarmuk. Di belakang unit berkuda mereka, Khalid bin al Walid r.a menyiapkan sebuah unit simpanan berkuda yang bebas bergerak dan tidak spesifik pada satu lokasi sahaja.
Hari Pertama
Pada hari pertama, pertempuran antara kedua-dua pihak bermula dengan setiap pihak mengirimkan jagoan masing-masing untuk saling bertempur. Dan dalam kebanyakan pertempuran, ianya dimenangi oleh tentera Islam dan antara jagoan wakil tentera Islam yang telah banyak membunuh tentera Byzantine ialah Abdurrahman bin Abu Bakar. Perang yang berlaku pada hari pertama tidak berlaku dalam keadaan kuasa penuh kerana Mahan mahu menguji dan mencari kelemahan tentera Islam.
Ada sebuah kisah yang sangat popular berkaitan dengan Pertempuran Yarmuk ini. Dikatakan pada hari pertama pertempuran, terdapat seorang jeneral perang tentera Byzantine yang telah memeluk Islam. George Theodorius namanya. Dia kemudian bersama dengan tentera Islam, berperang pada hari pertama lalu akhirnya syahid di jalan ALLAH!
Hari Kedua
Mahan merancang untuk melakukan serangan mengejut ke atas tentera Islam sebelum Subuh. Namun Khalid bin al-Walid r.a lebih bijak apabila terlebih awal memasang unit yang ditugaskan untuk berkawal pada waktu malam, bagi menangani sebarang serangan hendap (ambush) daripada pihak musuh. Ini memberi masa untuk tentera Islam menyiapkan dan memperlengkapkan diri demi melakukan serangan balas ke atas serangan mengejut tentera Byzantine.
Di bahagian tengah, tentera Islam berjaya mengekang asakan daripada tentera Byzantine. Tetapi ketika itu, situasi di bahagian sayap kanan tentera Islam mengalami masalah untuk menangani sayap kiri Byzantine yang terdiri daripada kebanyakannya bangsa Slav menyebabkan pejalan kaki di sayap kanan terpaksa berundur. Mujurlah ketika Amru bin al As r.a telah mengarahkan unit berkuda di sayap kanan membantu pasukan pejalan kaki tersebut lalu meneutralisasikan seketika bahagian sayap kanan Islam.
Khalid Al-Walid yang menyedari akan ini lalu telah membawa unit berkuda simpanannya untuk membantu sayap kanan tentera Islam menghadapi sayap kiri tentera Byzantine. Khalid sendiri telah menyusun serangan tiga serangkai yang terdiri daripada satu pasukan pejalan kaki dan dua unit berkuda tentera Islam untuk menyerang sayap kiri tentera Byzantine.
Unit berkuda sayap kanan Islam menyerang bahagian utara sayap kiri Byzantine, unit pejalan kaki sayap kanan tentera Islam menyerang bahagian hadapan sayap kiri Byzantine manakala Khalid sendiri bersama dengan unit berkuda simpanannya menyerang bahagian selatan sayap kiri Byzantine. Selepas beberapa ketika, akibat dari bantuan Khalid, maka sayap kiri Byzantine terpaksa berundur selepas diserang dalam tiga serangkai.
Malangnya di sayap kiri tentera Islam pula mengalami masalah menentang sayap kanan Byzantine. Yazid bin Abu Sufyan r.a mengalami masalah menghadapi Panglima Gregory yang ketika itu mengarahkan tenteranya membentuk Formasi Testudo, sejenis formasi pertahanan terkenal yang berasal dari Rom purba yang membuatkan setiap tenteranya membentuk perisai yang bertindak sebagai pelindung dari segenap arah.
Yazid cuba untuk memecahkan formasi itu tetapi tidak berjaya. Bahkan terdapat juga tentera-tentera Islam yang lari ke kem mereka kerana dibantai teruk di sayap kiri. Sampai sahaja di kem Islam, mereka berdepan dengan para wanita Islam yang diketuai oleh Hindun binti Utbah yang menghalau semula tentera-tentera Islam yang mahu lari kembali berperang. Antara ucapan-ucapan yang terkenal datang dari mulut Hindi ialah:
“Kalian mahu pergi ke mana? Apakah kalian akan membiarkan kami ditawan oleh pasukan Romawi?”
“Kalian mahu lari ke mana? Kalian melarikan diri dari apa? Apakah dari Allah dan syurga-Nya? Sungguh, Allah melihat apa yang kalian lakukan!”
Ketika Hindun tersempak dengan suaminya Abu Sufyan bin Shakhr (Harb) yang mahu melarikan diri maka Hindun mengejar kuda suaminya sambil berteriak:
“Engkau mahu ke mana, wahai putera Shakhr? Ayuh, kembali lagi ke medan perang! Berjuanglah habis-habisan agar engkau dapat membalas kesalahan masa lalumu, saat engkau begitu tekad untuk menghancurkan Rasulullah.”
Sungguh, setiap semangat dan teriakan daripada Hindun mengembalikan semangat tentera Islam yang mahu berundur. Mereka kembali berpatah balik membantu sahabat-sahabat yang masih gagah bertarung demi memperjuangkan agama ALLAH.
Akhirnya selepas membantu sayap kanan tentera Islam, Khalid bin al-Walid r.a kembali ke sayap kiri tentera Islam yang sedang mengalami masalah.
Di sini, Khalid telah mengarahkan Dhirar bin al Azwar r.a membawa sebahagian tentera berkuda simpanannya lalu menyerang bahagian kiri tengah tentera Byzantine demi mewujudkan lencongan kepada sayap kanan Byzantine yang sedang menyerang sayap kiri tentera Islam. Dengan baki tentera simpanan yang selebihnya, Khalid Al-Walid berjaya menyerang sayap kanan Byzantine sehingga memaksa Byzantine berundur. Salah seorang daripada jeneral perang Byzantine iaitu Dairjan telah terkorban dalam pertempuran ini.
Hari Ketiga
Pertempuran diteruskan dengan tentera Byzantine tidak henti-henti memberikan tentangan pada sayap kanan tentera Islam membuatkan akhirnya sayap kanan tentera Islam terpaksa berundur sekali lagi. Sekali lagi, Khalid bin al-Walid r.a muncul sebagai seorang penyelamat apabila mucul dengan unit berkuda simpanannya dan menyelamatkan keadaan.
Hari Keempat
Mahan, ketua tentera Byzantine mendapati bahawa pelannya semakin mendatangkan hasil lalu meneruskan serangan ke atas sayap kanan tentera Islam berulang kali. Seperti biasa, serangan Byzantine berjaya dan sayap kanan tentera Islam terpaksa berundur sebelum Khalid bin al Walid r.a datang dengan unit berkuda simpanannya. Kali ini, kita dapat melihat bagaimana “manuver flanking” atau serangan merusuk digunakan oleh Khalid bin al-Walid r.a dalam peristiwa ini.
Khalid bin al-Walid telah memecahkan unit berkuda simpannya kepada dua lalu mengarahkan untuk menyerang sayap kiri Byzantine dari arah timur dan barat manakala pejalan kaki tentera Islam menyerang dari bahagian hadapan membuatkan sayap kiri Byzantine terpaksa berundur selepas menerima asakan dari tiga arah sekaligus!
Dalam masa yang sama, tentera Islam di bahagian yang lain juga mengalami masalah apabila Mahan mula mengerahkan unit berkuda berpanahnya lalu menghujani tentera Islam dengan anak panah. Banyak tentera Islam kehilangan mata mereka dalam pertempuran ini termasuklah sahabat Rasulullah dan veteran perang Quraisy sejak dari zaman Jahilliah lagi iaitu Abu Sufyan bin Harb r.a (bapa kepada Muawiyah dan Yazid bin Abu Sufian r.a) sehinggakan hari ini digelar “Hari Kehilangan Mata.”
Pada hari keempat inilah, Ikrimah bin Abu Jahal r.a, seorang panglima tentera Quraisy yang hebat dan unggul sejak zaman jahilliah lagi dan juga sahabat sepermainan Khalid Al-Walid gugur syahid. Tatkala semua rejimen tentera Islam sedang berundur, Ikrimah dan rejimen askarnya yang terdiri daripada 400 unit berkuda masih gagah berperang, melindungi rakan-rakan mereka yang sedang berundur. Banyak yang gugur syahid termasuklah Ikrimah bin Abu Jahal r.a sendiri.
Hari Kelima
Pada hari ini, kita dapat melihat Mahan semakin terdesak untuk mendapatkan kejayaan bagi tenteranya. Pelbagai cara telah digunakan namun masih gagal untuk menghapuskan tentera Islam yang masih kental bertahan. Lalu Mahan mengirimkan utusan untuk membuat perdamaian tetapi ditolak bulat-bulat oleh Khalid bin al Walid r.a sebagai ketua tentera Islam pada masa itu. Apa yang dilakukan oleh Mahan ini sebenarnya memberikan isyarat kepada tentera Islam bahawa semangat sedang luntur di pihak tentera Byzantine sendiri.
Kalau selama ini, taktikal yang digunakan oleh Khalid bin al Walid r.a bersifat defensif. Tetapi kini ia mula bertukar menjadi offensif. Khalid mengumpulkan semua unit berkudanya menjadi satu kekuatan yang unggul yang akan digunakan untuk menggempur terus barisan Byzantine. Unit berkuda simpanan yang juga bertindak sebagai unit bebas pada hari-hari pertempurannya menjadi teras tentera Islam sendiri.
Rancangan Khalid ialah mahu menghapuskan terus unit berkuda tentera Byzantine dari medan perang, lalu meninggalkan ruang untuk tenteranya lalu menyerang rusuk tentera Byzantine serentak. Dalam masa yang sama, Khalid bin al-Walid r.a telah meletakkan tenteranya dan mengawal di satu-satunya laluan cabut lari daripada medan perang sebagai persediaan kalau nanti tentera Byzantine akan cabut lari dari medan perang.
Hari Keenam
Sekali lagi, Khalid Al-Walid menggunakan serangan merusuk ke atas formasi tentera Byzantine. Khalid menggerakkan berkudanya menyerang bahagian sayap kiri tentera Byzantine. Sebahagian daripada unit berkuda yang digerakkan oleh Khalid akan berlawan dengan unit pejalan kaki sayap kiri Byzantine dari hadapan, dan dalam masa yang sama.
Sebahagian lagi daripada unit berkuda beliau akan menyerang unit berkuda Byzantine dari depan dan belakang, yang ketika itu sedang berkampung melindungi bahagian pejalan kaki dari belakang. Ini membuatkan bahagian sayap kiri pejalan kaki Byzantine yang sedang diserang dalam serangan merusuk terpaksa berundur kerana mengalami serangan dari rusuk kanan dan kiri.
Mahan yang menyedari akan terdapat manuver besar-besaran dari tentera Islam yang menyasarkan unit berkudanya yang berpecah kerana serangan merusuk tentera Islam, lantas mengarahkan mereka untuk berkumpul semula, tetapi langkah itu tidak terlalu pantas apabila ketika mereka sedang berkumpul dari arah kiri dan kanan, tentera Islam sedang dalam manuver serangan merusuknya ke atas mereka.
Ketika inilah, barisan pejalan kaki Byzantine kehilangan lindungan daripada unit berkuda mereka, sekaligus mendedahkan kepada serangan dari pelbagai arah. Maka Khalid bin al-Walid terus mengarahkan unit berkudanya menyerang unit berkuda Byzantine yang sedang dalam pembentukan formasi yang baru bagi menghalang manuver besar-besaran yang sedang digerakkan oleh Khalid, lalu membuatkan unit berkuda ini terpaksa berundur jauh ke utara medan perang, meninggalkan unit pejalan kaki tanpa perlindungan.
Selepas itu, Khalid memimpin unit berkudanya menghala ke arah sayap kiri Byzantine lalu menyerang dari belakang. Sayap kiri Byzantine yang sedang berhadapan dengan serangan merusuk oleh tentera Islam tidak dapat menerima serangan dari belakang dan akhirnya berjaya dikalahkan.
Ketika inilah jeneral-jeneral Byzantine mula cabut lari bersama dengan tentera-tenteranya. Namun malangnya satu-satunya jalan keluar daripada medan Yarmuk telah ditawan oleh 500 orang tentera Islam yang diarahkan sebelum itu oleh Khalid bin al-Walid r.a untuk berjaga dan berkawal di situ. Ketika itu, tentera Byzantine tidak punya tempat lagi untuk lari. Mereka terkepung dari segenap arah.
Akhirnya, tentera Islam mencapai kemenangan sekaligus wilayah Syria dan Palestine terus selamat berada dalam genggaman tangan umat Islam. Kota Damascus (Damsyik) dan Emesa (Homs) berjaya ditawan semula oleh Khalid bin al-Walid r.a manakala ketika itu, Maharaja Heraclius terpaksa menumpukan pula pada jajahannya di Mesir untuk menghalau tentera Islam yang juga berada di sana.
Diramalkan jumlah korban di tangan tentera Byzantine berjumlah lebih 50 000 orang manakala tentera Islam sekadar 3000 nyawa sahaja yang gugur syahid. Tetapi yang paling penting dalam pertempuran ini, kalian dapat melihat bagaimana Khalid bin al-Walid r.a membuktikan bahawa beliau antara jeneral perang paling genius dalam sejarah Islam dengan adaptasi taktikalnya yang bijak pada setiap situasi yang melanda tentera Islam ketika itu.
Saya akhiri artikel ini dengan ucapan Maharaja Heraclius yang masih diingati sehingga hari ini apabila seluruh Syria (Syam) jatuh ke tangan tentera Islam.
“Selamat tinggal wahai Syriaku, jajahanku yang indah. Kau berada di tangan musuhku sekarang. Semoga keamanan bersamamu, wahai Syria, tanah yang cantik!”
RUJUKAN:
Akram, A. I. (1970), The Sword of Allah: Khalid bin al-Waleed, His Life and Campaigns
Akram, A.I (2004), The Sword of Allah: Khalid bin al-Waleed – His Life and Campaigns, third edition
Haldon, John (2001), The Byzantine Wars, Tempus Publishing,
Yarmouk in Sword of Allah at GrandeStrategy. https://web.archive.org/web/20120210221551/http://www.grandestrategy.com/2007/12/sword-of-allah-chapter-34-eve-of-yarmuk.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih