New Zealand sememangnya merupakan kepulauan yang menjadi minat para saintis untuk mengkaji haiwan-haiwannya yang boleh dianggap unik berbanding di tempat lain. Kepulauan ini masyhur sebagai habitat pelbagai spesies burung gergasi sejak jutaan tahun lampau. Antara beberapa contoh burung yang telah pupus ditemui termasuk moa, burung tidak boleh terbang yang dianggarkan beratnya sehingga 230 kilogram, helang Haast juga beberapa spesies penguin gergasi seperti Kumimanu biceae.

Baru-baru ini, ahli paleontologi telah mengumumkan penemuan baru spesies penguin gergasi yang setinggi manusia dan kakak tua terbesar pernah direkodkan dalam sejarah. Fosil tulang kaki penguin gergasi yang dinamakan sebagai Crossvallia waiparensis ditemui di tapak fosil Waipara Greensand dalam kawasan North Canterbury pada tahun 2018 manakala 10 tahun sebelum itu spesies kakak tua gergasi bernama Heracles inexpectatus telah dijumpai fosilnya berdekatan St. Barthan di Central Otago.

Penguin Gergasi

Berdasarkan fosil tulang kaki penguin gergasi (C. waiparensis), ahli paleontologi menyimpulkan bahawa penguin ini dianggarkan setinggi 1.6 meter (5’ 3) dan mempunya berat sekitar 80 kilogram. Ia diketahui hidup pada zaman Paleocene iaitu di antara 66 hingga 56 juta tahun dahulu. C. waiparensis menyertai spesies penguin gergasi lain seperti Kumimanu biceae yang dijumpai pada tahun 2017 yang seberat 100 kilogram dan berketinggian 1.65 meter, dan penguin terbesar sekali pernah direkodkan iaitu Palaeeudyptes klekowskii dengan berat 115 kilogram dan tinggi 2 meter.

Perbandingan saiz badan di antara C. waiparensis, manusia dan penguin terbesar di dunia pada masa kini, Penguin Maharaja Sumber: PUKmedia Patriotic Union of Kurdistan

Fosil tulang kaki C.waiparensis di tapak Waipara Greensand merupakan salah satu daripada beberapa fosil spesies penguin ditemui di sana. Ia merupakan fosil kelima penguin prasejarah yang dijumpai di tapak itu dan ahli paleontologi menjangkakan mereka akan menemui lebih banyak lagi fosil penguin di tapak tersebut. Walau bagaimanapun, saudara terdekat C. waiparensis bukanlah berasal dari New Zealand tetapi Antartika iaitu satu spesies penguin Paleocene diberi nama C. unienwillia, berdasarkan sebahagian fosil tulang rangka yang ditemui di Cross Valley pada tahun 2000.

Tulang kaki C. waiparensis Sumber: Alcheringa: An Australasian Journal of Palaeontology

Paul Scofield penulis bersama kajian itu dan kurator senior di Muzium Canterbury berkata, “Semasa spesies Crossvallia masih hidup, New Zealand dan Antartika amat berbeza daripada hari ini. Antartika masih diselubungi hutan dan kedua-dua tempat mempunyai iklim lebih panas.”

Pada zaman itu, berdasarkan bukti geologi dan paleontologi, perkaitan di antara Austaralia, New Zealand dan Antartika agak kuat iaitu dari segi tumbuhan dan hidupan liar yang serupa. Persamaan dua spesies penguin ini (C. waiparensis dan C. unienwilia) mengukuhkan lagi hujah saintis bagaimana benua-benua tersebut saling berkait sekitar 10 juta tahun dahulu.

Penguin dikatakan akhirnya berevolusi untuk mengecilkan saiz badan berpunca daripada peningkatan mamalia laut seperti anjing laut, paus dan sebagainya yang bersaing demi sumber makanan yang sama

Kakak Tua Gergasi

Ketika ini burung kakak tua terbesar di dunia ialah satu spesies tidak boleh terbang endemik di New Zealand iaitu kakapo (Māori: kākāpō, kakak tua malam) (Strigops habroptilus). Saiz kakapo dengan berat 2.2 kilogram mengatasi 349 spesies burung kakak tua lain yang masih wujud di dunia ini. Hari ini, populasinya kian terancam akibat kemusnahan habitat dan serangan haiwan perosak yang mungkin suatu masa nanti menyumbang kepada kepupusannya.

Kakapo Sumber: National Geographic

Pada tahun 2008, rekod burung kakak tua ini sebagai spesies terberat dipatahkan apabila spesies kakak tua purba bernama Heracles inexpectatus yang ditemui fosil tulang kakinya di St. Barthan, New Zealand membuktikan yang ia merupakan kakak tua paling besar ditemui.

Spesies in dinamakan sempena nama seorang pahlawan di dalam mitologi Latin iaitu Hercules. Menurut penyelidik, H. inexpectatus bermungkinan mempunyai berat sekitar 7 kilogram, dua kali ganda berat kakapo dan berketinggian 1 meter. Burung ini dianggarkan hidup pada zaman Miocene iaitu sekitar 19 juta tahun dahulu.

Kiri: Perbandingan saiz badan di antara seorang manusia dengan H. inexpectatus Kanan: Lakaran Heracles inexpectatus oleh Brian Choo Sumber: Reddit

Paul Scofield, kurator senior sejarah alam semula jadi di Muzium Canterbury memberitahu bahawa fosil tulang kaki tersebut telah dieskavasi pada 2008 tetapi para pasukan penyelidik menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti burung itu dan mulanya beranggapan yang ia tulang kaki seekor helang gergasi. Meskipun kini kawasan itu amat sejuk namun tambah Scofield, pada 19 juta tahun dahulu, burung kakak tua itu tinggal berdekatan sebuah tasik besar dan berdekatan hutan subtropika.

Beliau berkata lagi, berdasarkan berat kakak tua itu, sama seperti kakapo ia juga tidak mampu terbang dan kemungkinan sama seperti kebanyakan spesies kakak tua lain ia satu spesies herbivor tetapi Scofield juga tidak menolak kebarangkalian haiwan besar seperti H. inexpectatus ialah haiwan karnivor bagi memenuhi keperluan kalori hariannya. Ini merujuk kepada beberapa spesies burung kakak tua omnivor di New Zealand yang memakan burung laut.

Mengapa wujudnya burung bersaiz gergasi di New Zealand?

Kepelbagaian avifauna bersaiz besar di New Zealand adalah kerana ekosistem di pulau selalunya memerlukan burung bersaiz besar, ganjil dan tidak mampu terbang seperti kiwi di New Zealand dan dodo di kepulauan Mauritius.

Fenomena yang dinamakan oleh para saintis sebagai insular gigantism ini berlaku apabila sebuah populasi organisma terasing daripada populasi di tanah besar yang mendorong kepada perubahan saiz badan. Sebagai tamsilan, ketiadaan haiwan pemangsa menyebabkan burung berevolusi untuk hilang keupayaan untuk terbang dan burung itu juga mampu melanjutkan proses evolusi dengan membesarkan saiz badan kerana tiada keperluan untuk menyimpan dimensi aerodinamik yang penting untuk penerbangan.

Malangnya, saiz badan yang besar mendorong burung-burung ini terhadap kepupusan spesies mereka. Spesies mereka boleh pupus sekelip mata hanya dengan kehadiran pemangsa di habitat mereka seperti yang berlaku pada saudara gergasi mereka yang lain.

RUJUKAN

Anderson, C. (2019). World’s fattest parrot, the endangered kākāpō, could be wiped out by fungal infection. Retrieved from https://www.theguardian.com/world/2019/jun/13/worlds-fattest-parrot-endangered-kakapo-fungal-infection-new-zealand

Filin, I. & Ziv, Y. (2004). New theory of insular evolution: unifying the loss of dispersability and body-mass change. Evolutionary Ecology Research, 6(1), 115 – 124.

Howard, J. (2019). This toddler-size parrot was a prehistoric oddity. Retrieved from https://www.nationalgeographic.com/science/2019/08/fossils-15-pound-parrot-found-new-zealand-kakapo/

Mongabay.com (2019). Newly described giant extinct penguin and parrot once lived in New Zealand. Retrieved from https://news.mongabay.com/2019/08/newly-described-giant-extinct-penguin-and-parrot-once-lived-in-new-zealand/

Starr, M. (2019). A Human-Sized Penguin Fossil Has Turned Up in New Zealand, Again. Retrieved from https://www.sciencealert.com/another-ancient-human-sized-penguin-fossil-has-turned-up-in-new-zealand

Ploszajki, A. & Martin, L. (2019). Fossils of largest parrot ever recorded found in New Zealand. Retrieved from https://www.theguardian.com/science/2019/aug/07/fossils-largest-parrot-ever-recorded-found-new-zealand-heracles-inexpectatus


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Applied Science (Biodiversity Conservation and Management) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Amat meminati sejarah alam semula jadi, zoologi, dan ekologi. Pernah menulis kertas kajian mengenai mamalia kecil tidak boleh terbang di Tasik Kenyir semasa belajar di UMT dan dimasukkan di dalam buku ilmiah bertajuk Greater Kenyir Landscapes. Selain itu,esei bertajuk Peranan Mamalia Kecil di Malaysia pernah diterbitkan dalam Dewan Kosmik, majalah sains terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Comments are closed.