Bagi yang selalu meneliti teks-teks seperti Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah pasti sudah biasa dengan terma Keling. Keling pada teks-teks Melayu ini bukanlah sebuah penghinaan awalnya, sebaliknya merujuk kkepada sebuah wilayah dan kerajaan pesisir timur yang terletak antara Sungai Mahanadi dengan Sungai Godavari.
Nama Kalinga ini diambil daripada nama puak sama yang disebut dalam teks Mahabharata, Kalinga. Menurut teks berkenaan, moyang kepada puak-puak yang dinyatakan dalam teks itu merupakan saudara. Selain Kalinga, terdapat juga nama puak Anga, Vanga, Pundra dan Suhma. Kerajaan ini menguasai wilayah yang luas dari Sungai Baitarani di Odisha hinggalah Varahanandi di daerah Visakapathnam. Ibu kota kerajaan ini ialah Dantakura/Dantapura (kini dikenali sebagai kubu Dantavaktra berhampiran Chicacole, daerah Ganjam.
Berdasarkan inskripsi Hathigumpha yang ditemui berhampiran Bhubaneswar, Odisha, inskripsi menceritakan seorang raja bernama Nandaraja menggali sebuah akueduk di situ pada masa silam. Jika Nandaraja ini merujuk kepada raja dari Dinasti Nanda, ini menunjukkan pada satu ketika Kalinga pernah menjadi sebahagian daripada wilayah jajahannya dan berjaya mencapai kemerdekaan selepas kejatuhan dinasti berkenaan.
Kalinga juga pernah disebut oleh diplomat Yunani, Megasthenes menerusi catatan Indicanya. Dalam catatan tersebut, ibu kota kerajaan tersebut dikenali sebagai Parthalis dan mempunyai angkatan perang yang besar terdiri daripada 60,000 tentera infantri, seribu tentera berkuda, 700 tentera bergajah dan penjaganya. Sejarawan Rom, Pliny the Elder menggelar Kalinga sebagai Calingae dan merujuk bangsa tersebut sebagai bangsa pendek umur. Tetapi menurut sejarawan kontemporari, keterangan sebut sengaja dibesar-besarkan Pliny dan sama seperti keterangannya yang merujuk orang Mandi mengandungkan anak seawal usia tujuh tahun.
Semasa era kerajaan Maurya, Kalinga menjadi saksi pertempuran sengit antara tentera Maurya dipimpin Maharaja Asoka dengan pihak Kalinga yang dikenali sebagai Pertempuran Kalinga pada tahun 262 SM. Pertempuran sengit itu menyaksikan wilayah itu menjadi sebahagian daripada wilayah jajahan empayar berkenaan namun 100,000 tentera dan orang awam terbunuh sementara 150,000 lagi diusir dari Kalinga. Pertempuran ini turut memberi kesan besar kepada Asoka di mana baginda menukar sikapnya dari seorang yang pendendam kepada seorang pencinta kedamaian dan bertanggungjawab menyebarkan agama Buddha sehingga kemangkatannya pada 232 SM.
Pada abad keempat Masihi, Kalinga kemudiannya jatuh ke tangan kerajaan Gupta. Kerajaan yang memerintah dari pertengahan abad ketiga Masihi hingga 543 Masihi ini menguasai lebih 21 kerajaan termasuk Parasika dan Huna. Selepas kejatuhan kerajaan berkenaan, ia kemudian diperintah oleh kerajaan-kerajaan kecil dengan setiap pemerintahnya memegang gelaran Kalingadhipati (pemerintah Kalinga). Antara dinasti kecil yang pernah berkuasa di situ ialah Vasishtha, Mathara dan Pitirbhakta. Menjelang abad ketujuh, Raja Madhavaraja II dari Dinasti Shailodbhava dan Raja Ganga Timur, Indravarman saling bersaing untuk mendapatkan gelaran Sakala-Kalingadhipati (pemerintah seluruh wilayah Kalinga).
Antara
abad kelapan hingga ke-10 Masihi, Kalinga jatuh pula ke tangan Dinasti
Bhauma-Kara. Tetapi kerajaan ini dipanggil Tosala sempena nama ibu kota Kalinga
semasa ia diperintah Empayar Maurya, Tosali. Raja-raja Dinasti Somavashi
terkemudian dari abad kesembilan hingga ke-12 menggelar diri mereka raja
Kalinga, Kosala dan Utkala. Sementara dari abad ke-11 hingga abad ke-15,
kerajaan Ganga Timur menjadi kuasa dominan di wilayah berkenaan dan memegang
gelaran Kalingadhipati.
Ibu kota kerajaan ini pada mulanya terletak di Kalinganagara (kini perkampungan
Mukhalingam) sebelum dipindahkan ke Kataka (kini bandaraya Cuttack) semasa era
pemerintahan Anantavarman Chodaganga pada abad ke-12. Berdasarkan sajak
Mahavamsa, Kalinga juga menjadi sebahagian kisah legenda pembentukan Sri Lanka
di mana ia menjadi lokasi kelahiran raja pertama Sinhalese, Putera Vijaya.
RUJUKAN:
R. C. Majumdar (1996). Outline of the History of Kalinga
Chandramani Nayak (2004). Trade and Urban Centres in Ancient and Early Medieval Orissa. New Academic.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih