Pernahkah anda melihat sepotong video ataupun dokumentari yang memperlihatkan seorang wanita yang sanggup menggadaikan emasnya bagi melihat kibaran megah bendera kebangsaan di udara. Lebih-lebih lagi barang kemas yang digadaikannya itu merupakan gelang perkahwinannya sendiri.
Jika ditanya kepada orang lain mungkin tidak ramai yang akan melakukan perkara ini kerana mereka tidak akan mendapat apa-apa hasil. Tetapi wanita pejuang ini yakin dan percaya bahawa gelangnya itu akan membawa Tanah Melayu pada ketika itu mencapai sebuah kebebasan yang sudah lama ditunggu tunggu. Pembebasan daripada cengkaman penjajah.
Siapa kata wanita tidak memainkan peranan yang penting ketika negara kita ingin mencapai kemerdekaan. Penulis disini dengan tegasnya menyanggah persepsi songsang tersebut dan menegaskan bahawa wanita juga mempunyai peranan mereka dalam membebaskan tanah air tercinta.
Mungkin mereka tidak berjuang dengan mengangkat senjata tetapi mereka berjuang mengadaikan harta pusaka mereka. Perjuangan dalam bentuk ini dilihat mudah untuk dilakukan tetapi percayalah tidak ramai yang sanggup untuk melakukannya. Ia ibarat sebuah pertaruhan, “All in or nothing”.
Beralih kepada skop yang lebih kecil dalam artikel ini iaitu tentang wanita gelang merdeka. Nama yang telah diilhamkan kepada pejuang kemerdekaan ini ialah Siti Rahmah binti Kassim. Beliau telah dilahirkan pada 30 November 1926 di Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau mula menceburi bidang politik ketika umurnya baru menginjak 19 tahun. Berbekalkan semangat ingin melihat negaranya merdeka, beliau telah menentang Malayan Union berhabis-habisan.
Pada tahun 1957, persidangan UMNO telah dilaksanakan di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir, Melaka. Pada ketika itu, pemimpin-pemimpin negara mahu pergi ke London untuk melakukan rundingan kemerdekaan. Malangnya, akibat kesusahan dan kesempitan yang dilalui oleh penduduk Tanah Melayu, mereka tidak mempunyai dana yang cukup untuk ‘terbang’ mahupun berlayar ke sana.
“Masih ingat lagi kata-kata Tunku ketika berucap, ‘Saya nak pi (nak pergi) London jumpa raja orang putih dengan raja-raja (Melayu) naik kapal laut tak da (ada) duit… nak naik kapal terbang duit tak daq (ada)… kalau tak pi (pergi), tak tentu nak merdeka…lagu (macam) mana nak buat tak tahulah’…,”
Itulah kata-kata yang masih segar di dalam ingatan dan sanubari Srikandi Negara itu ketika ditemuramah oleh watawan akhbar. Ia bagaikan menusuk ke jiwa dan ke lubuk hati yang paling dalam, ditambah lagi apabila melihat Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menangis ketika menyampaikan ucapan beliau.
Srikandi Negara ini yang berada di bahagian hadapan pada ketika itu, terus bangkit dan menyuarakan bahawa beliau akan menyumbangkan gelang emas ini demi melihat detik kemerdekaan negara. Apalah sangat jika dibandingkan harga sebuah gelang emas jika hendak dibandingkan dengan harga sebuah kemerdekaan kepada negara
Lantas beliau juga mengatakan “Jangan sayangkan emas, emas boleh dibeli di kedai bila-bila masa tetapi kemerdekaan negara yang kita tuntut, kalau tidak bersungguh-sungguh belum tahu berjaya atau tidak,”
Akibat daripada tindakan dan kata-kata yang dilontarkan oleh seorang wanita muda pada ketika itu, seluruh dewan bagaikan tersentak malah Tunku sendiri terharu melihat pengorbanan seorang anak muda lagi-lagi merupakan seorang wanita. Majoriti yang hadir pada persidangan tersebut dan menyerahkan barang barang berharga yang terdapat pada diri mereka ubtuk disumbangkan buat kemeredekaan negara.
Gelang perkahwinan, cincin pusaka, rantai emas semuanya digadaikan oleh rakyat Tanah Melayu bagi membantu perjuangan ini. Datuk Siti Rahmah juga mengatakan bahawa terdapat seorang wanita yang sanggup membuka kerongsang yang dipakainya di baju untuk menderma walaupun dia perlu memegang bajunya selepas itu. Peristiwa yang agak melucukan ialah seorang wanita membuka gigi palsu emasnya untuk disumbangkan. Rela berkorban apa sahaja untuk negara!
Tidak ketinggalan juga, kebanyakkan kaum lelaki yang pada ketika berada di tingkat atas. Mereka membuka cincin dan jam tangan serta segelintirnya memberi duit. Peristiwa itu digambarkan oleh Srikandi Negara seperti gugurnya daun getah. Tetapi jatuh ini bukan bermaksud kecundang tetapi merupakan sebuah permulaan baru untuk mencapai kemerdekaan. Begitulah kesanggupan yang ditunjukkan oleh rakyat Tanah Melayu bagi memerintah sebuah negara dengan corak kita yang tersendiri.
Peristiwa itu lantas merebak ke seluruh Malaya dan menyemarakkan lagi semangat rakyat untuk menyumbang buat Tanah Air. Tiada kempen yang dilakukan untuk mengutip derma tetapi mereka melakukan dengan rela hati. Mereka tiada duit tetapi mereka sanggup menjual hasil tanaman mereka bagi melakukan sumbangan. Begitu patriotiknya rakyat Malaya pada ketika itu.
Disebalik peristiwa gelang emas tersebut, Siti Rahmah menceritakan bahawa beliau telah disebat oleh ibunya sendiri hingga berdarah dan berbekas parut dan perlu menjalani rawatan di klinik. Tindakan nekad pejuang negara ini turut didoraong oleh gurunya yang berasal dari Indonesia yang sering menceritakan tentang kemerdekaan yang telah mereka kecapi disana. Tiada apa yang mampu menghalang perasaan membuak buak beliau untuk membebaskan negara.
Selepas mencapai kemerdekaan, Siti Rahmah terus mencurahkan bakti kepada masyarakat dengan menjadi seorang wakil rakyat wanita pertama di Dun Terentang sejak 1959 selama dua penggal. Kecintaannya terhadap bangsa dan negara diteruskan apabila menjadi seorang Pegawai
Penerangan UMNO Malaya di bawah kepemimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tan Sri Syed Jaafar Albar. Tidak ketinggalan juga, beliau pernah bergelar seorang guru di Sekolah Perempuan Melayu Sungai Setar, Parit Buntar, Perak. Beliau menegaskan suaminya menjadi tulang belakang dan sentiasa memberikan sokongan kepada beliau ketika berkecimpung di dalam arena politik.
Jasa dan pengorbanan beliau telah diberikan pengiktirafan yang sewajarnya oleh banyak pihak. Antara pengiktirafannya adalah seperti Tokoh Wanita UMNO Malaysia, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Negeri Sembilan, Tokoh Wanita Perkim, Toloh Jubli Emas Perkim, Anugerah Pengkisahan Sejarah ‘Wira Tak Dicanang’ dan Srikandi Negara, serta darjah kebesaran seperti Ahli Mangku Negara dan Johan Setia Mahkota.
Akhir kata, jangan sesekali memperlekehkan perjuangan seseorang itu untuk negaranya walau siapa pon beliau dan dari bentuk apa pon sumbangannya. Siapa sangka langkah mendermakan gelang emas itu telah menjadi titik tolak yang menyemarakkan semangat masyarakat Tanah Melayu untuk menyumbang membebaskan negara.
Srikandi Negara ini telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 2017 ketika usianya menjangkau 91 tahun. Semoga segala perjuangan beliau diterima oleh Allah dan dikenang oleh anak bangsanya. Diharapkan agar ada pihak yang mengangkatkan namanya di tempat yang sepatutnya sebaris dengan tokoh kemerdekaan yang lain. Bagi mendapatkan gam baran yang lebih jelas boleh lihat dalam filem 1957: Hati Malaya. Al-Fatihah
RUJUKAN:
I- Korban Emas Demi Kemerdekaan. https://www.utusan.com.my/rencana/utama/korban-emas-demi-kemerdekaan-1.129579
II- Korban Gelang Kahwin Demi Kemerdekaan. https://www.bharian.com.my/node/78506
III- Wanita Ini Orang Pertama Derma Untuk Selamatkan Malaysia Dahulu. Ini Kisah Ketika Tunku Abdul Rahman Meminta Derma Untuk Negara Malaysia Merdeka. http://kicappedas.com/2018/05/31/wanita-ini-orang-pertama-derma-untuk-selamatkan-malaysia-dahulu-ini-kisah-ketika-tunku-abdul-rahman-meminta-derma-untuk-negara-malaysia-merdeka/
IV- Berjuang Atas Wang Tabung Derma. https://www.kosmo.com.my/jurnal/berjuang-atas-wang-tabung-derma-1.688367
V- At 87, Siti Rahmah is Still A Gem in Umno. https://www.thestar.com.my/news/nation/2012/11/28/at-87-siti-rahmah-is-still-a-gem-in-umno/
VI- Siti Ramah, Unsung Hero in Fight For Merdeka, dies. https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/03/24/siti-ramah-unsung-hero-in-fight-for-merdeka-dies/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih