“Aku lebih rela membelakangi dunia daripada dunia membelakangi aku.”

Itulah kata-kata keramat yang dilontarkan oleh seorang tokoh terkemuka di zaman Tiga Kerajaan Cina (220-280 Masehi) bernama Cao Cao (155-220M) sebaik sahaja membunuh seluruh keluarga bapa angkatnya – jika menurut drama Hong Kong tahun 2010.

Setahun (atau dua tahun) sebelum penyiaran drama sejarah itu, pekerja-pekerja di relau penghasil batu-bata yang berlokasi di Kampung Xigaoxue menemui sebuah tapak yang berkeluasan 740 meter persegi dipercayai merupakan makam persemadian Cao Cao.

Tapak ini ditemukan semasa mereka sedang mengorek lumpur untuk digunakan bagi membuat batu-bata. Pihak berkuasa dari Daerah Anyang, wilayah Henan, Cina ditambah maklum tentang penemuan tersebut apabila menerima sebuah tablet batu yang padanya terukir inskripsi berbunyi “Raja Wu dari Wei”, iaitu gelaran yang disandang oleh Cao Cao pada zaman kepenguasaannya di penghujung era Dinasti Han Timur (25-220M) .

Dari semasa ke semasa, kerja-kerja ekskavasi dijalankan di tapak berusia 1800 tahun itu. Usaha penggalian semakin giat digerakkan pada tahun 2016 dan 2017 oleh pakar-pakar dari Institusi Warisan Budaya dan Arkeologi Wilayah Henan.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh media South China Morning Post, penemuan tersebut melibatkan sebuah kompleks makam diraja bersaiz besar dengan dipisahkan kepada dua buah ruangan dan sebuah terowong bawah tanah. Ditemukan di ruang permakaman utama adalah tiga jasad yang terdiri daripada seorang lelaki dewasa, dipercayai mati ketika berusia 60 tahun, dan dua jasad wanita yang masing-masing diperkirakan meninggal dunia ketika berusia 20 hingga 50 tahun.

Pandangan udara tapak pemakaman Cao Cao di Kampung Xigaoxue

Pakar-pakar arkeologis yang diketuai oleh Zhou Ligang juga menjumpai kira-kira 250 buah artifak purba – emas, perak, tembikar, lukisan suasana hidup di zaman Cao Cao, pedang, sarung pedang dan 59 buah plat batu berukir serta sejumlah lembaran. Penemuan paling penting dalam ekspedisi arkeologi ini sudah tentu adalah tablet yang tercantum pada 8 buah senjata yang padanya tertulis inskripsi “Inilah barangan yang digunakan oleh Raja Wu dari Wei”.

Tablet-tablet yang menyebutkan nama Cao Cao ini menjadi bukti kuat bagi mengukuhkan lagi dakwaan bahawa pemakaman tersebut adalah milik tokoh terbilang dari Cina itu. Keadaan ini sekaligus mengubah pandangan Institusi Warisan Budaya dan Arkeologi Henan apabila pada tahun lepas, mereka secara umum mewar-warkan tapak tersebut sebagai pemakaman Cao Cao di mana sebelum itu, mereka agak ragu-ragu untuk menyatakan sedemikian.

Kata Zhou Ligang, anggaran umur terakhir jasad lelaki yang ditemukan di ruang utama pemakaman tersebut bersesuaian dengan usia Cao Cao semasa menghembuskan nafas terakhir, iaitu sekitar 60an (atau lebih tepat, 64-65 tahun). Pun begitu, keadaan bagi kedua-dua jasad wanita di ruang makam itu tidak dapat dikenal pasti secara jelas.

Tablet batu mengandungi inskripsi “Raja Wu dari Wei” dan batu-batuan akik yang ditemui di pemakaman ini

Menurut catatan sejarah, Cao Cao dipercayai disemadikan bersama isterinya. Namun, usia kemangkatan isterinya adalah 70 tahun yang mana angka tersebut bercanggah dengan anggaran umur terakhir kedua-kedua jasad wanita di makam itu (20-50 tahun). Justeru itu, identiti kedua-dua jasad tersebut masih lagi cuba dikenal pasti walaupun kebanyakan penulis mengandaikan keduanya adalah isteri dan hamba Cao Cao.

Di sebuah lagi ruang di pemakaman tersebut yang saiznya lebih kecil, turut ditemukan tinggalan jasad seorang lelaki yang diyakini milik putera sulung Cao Cao, iaitu Cao Ang. Cao Ang adalah seorang panglima tentera yang terkenal gagah dan terkorban di usia muda, sekitar 20 tahun di dalam Pertempuran Wancheng. Pakar yang bertanggungjawab memberikan identiti kepada jasad tersebut adalah seorang lagi penyelidik dari institusi sama, bernama Pan Weibin.

Penemuan ini dianggap begitu signifikan bagi seluruh lapisan masyarakat di negara Cina. Selain berupaya menghidupkan dengan lebih giat sejarah seputar zaman Tiga Kerajaan yang sedia maklum amat epik, penemuan ini turut berhasil membongkar misteri lokasi makam Cao Cao yang tersimpan rapi selama 1800 tahun bermula dari tahun 220 Masehi sehinggalah kurun ke-21M.

Hal ini kerana menurut catatan sejarah dan epik legenda seperti novel klasik abad ke-14 berjudul The Romance of the Three Kingdoms, Cao Cao dikisahkan telah membuat perancangan yang begitu rapi untuk merahsiakan jasad dan makamnya. Menerusi wasiatnya, Cao Cao berpesan supaya makamnya jangan sampai diketahui. Untuk itu, legenda mengisahkan betapa Cao Cao mengarahkan agar 72 buah keranda dihasil dan dihantar ke 72 buah tapak pemakaman yang berbeza-beza di hari pengebumiannya. Kemudian, kesemua pembawa keranda itu dibunuh agar lokasi setiap makam itu tidak dibocorkan.

Artifak patung purba (kiri) dan ruangan utama pemakaman Cao Cao

Menurut Zhou Ligang, penemuan yang mereka lakukan mendapati bahawa wasiat tersebut pada awalnya tidak dipatuhi oleh pewaris Cao Cao, iaitu Cao Pi. Putera Cao Pi enggan membiarkan makam bapanya, si Cao Cao si tokoh yang terbilang masyhur itu kekal rahsia dan tersembunyi daripada pengetahuan umum. Untuk itu, beliau pun membina sebuah pemakaman yang besar demi memuliakan dan menghormati bapanya.

Namun beberapa tempoh kemudian, kata pakar, Cao Pi mengarahkan agar pembinaan tersebut diroboh dan diratakan kerana khuatir ia akan dibongkar dan dijarah oleh musuh-musuh Cao Cao. Oleh kerana itu, Zhou Ligang dan pasukannya langsung tidak menemukan sebarang puing runtuhan berskala besar pada pemakaman tersebut.

“Ini bermaksud bahawa proses menghancurkan pemakaman ini bukanlah suatu tindakan yang bermotif pembalasan dendam, sebaliknya ia dilakukan secara terancang dan berniat,” jelas Zhou Ligang. Tambahnya lagi, “Jika binaan ini diruntuhkan oleh musuh Cao Cao, sudah tentulah kita dapat menemukan timbunan puing-puing runtuhan. Namun hakikatnya, makam ini tidak ditemukan dalam keadaan sebegitu.”

Belakangan ini pada 9 Julai 2019, diadakan pameran ‘Tiga Kerajaan – Menyingkap Kisah Bersejarah’ di Muzium Negara Tokyo, Jepun bersempena ulangtahun ke-40 Persetujuan Pertukaran Budaya Jepun-China. Pameran ini melibatkan relik dari lebih 50 institusi kebudayaan di Cina, antaranya patung Guan Yu berketinggian 1.72 meter dan termasuklah relik-relik dari pemakaman Cao Cao ini.

Malah menurut Institusi Warisan Budaya dan Arkeologi Henan, sebuah muzium khusus yang mempamerkan artifak daripada pemakaman Cao Cao ini akan dibuka untuk kunjungan awam kira-kira pada tahun 2021, sekitar 2 tahun sahaja lagi dari sekarang. Jadi bagi peminat-peminat sejarah Tiga Kerajaan Cina terutama penggemar watak Cao Cao, boleh sudah masukkan muzium ini ke dalam senarai-tempat-bakal-dikunjungi oleh anda.

Laluan masuk ke pemakaman Cao Cao

RUJUKAN

April Holloway. (27 Mac 2018). Cao Cao Could Not Hide Forever: Remains Finally Confirmed As Chinese Warlord. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/cao-cao-could-not-hide-forever-remains-finally-confirmed-chinese-warlord-021854

Kristin Hugo. (27 Mac 2018). Archaeologists Discover Ancient Han Dynasty Tomb of Chinese General. News Week.
https://www.newsweek.com/ancient-chinese-general-tried-hide-his-tomb-archaeologists-found-it-862341

Laura Zhou. (26 Mac 2018). Archeologists confident they have found body of fabled Chinese warlord Cao Cao. South China Morning Post.
https://www.scmp.com/news/china/society/article/2138951/archaeologists-confident-they-have-found-body-fabled-chinese

Phoebe Weston. (28 Mac 2018). Cao Cao is finally found in a 1800-year-old Han Dynasty tomb despite ancient efforts to hide the site. Science Tech.
https://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-5554109/Body-fearsome-Chinese-warlord-Cao-Cao-finally-found.html

Xinhuanet. (10 Julai 2019. Feature: Chinese relics of “Three Kingdoms” mesmerize Tokyo visitors.
http://www.xinhuanet.com/english/2019-07/10/c_138214351.htm


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.