Berlaku jujur kepada realiti. Sejak pengunduran Sir Alex Ferguson, Manchester United mempunyai perancangan masa depan yang sangat mengarut. Perlahan-lahan pihak pentadbiran meranapkan nama yang telah lama dibina, sehinggakan “element of fear” di Old Trafford telahpun mendap serendah-rendahnya. Kelab-kelab lawan mengunjungi gelanggang bersejarah ini peliknya dengan harapan ampuh untuk bukan saja menang, tetapi menang dengan penuh bergaya.
Pemecatan David Moyes telah menyuntik nafas baharu kepada harapan penyokong. Kerana dalam saki-baki perlawanan yang ada bagi musim penuh duka, Ryan Giggs menunjukkan semarak baharu. Corak permainan semasa empat perlawanan beliau uruskan pun nampak ada unsur-unsur perjuangan, walaupun tertewas sekali.
Kedatangan Louis van Gaal pun tidak membetulkan keadaan. Falsafah yang beliau bawa mendidihkan suasana menjadi hambar. Memanglah perkara biasa bagi van Gaal untuk puji permainan skuadnya meskipun dibelasah 4-0. Bagi beliau, kekalahan besar bukannya suatu masalah asalkan ikut corak falsafahnya. Hampir £240 juta kemudian, dengan kedatangan nama-nama besar tidak pernah disangka akan sertai, Manchester United mengakhiri musim-musim dibawah kepimpinan van Gaal dengan keputusan tidak memuaskan.
Setahun setengah selepas perbelanjaan sedemikian, Manchester United tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah dengan hina. Namun jasa besar beliau agaknya ialah pengijazahan belasan pemain muda yang menjadi tarikan utama dalam Old Trafford pada masa kini. Senang kata, Louis van Gaal telah mengabadikan dirinya sebagai The Teacher, meskipun kemudian digantikan dengan Jose Mourinho.
Banyak pendapat boleh ditaburkan tentang Mourinho. Namun apa yang bermain dalam fikiran penyokong-penyokong Manchester United bukanlah musim pertama atau keduanya. Dari awal perlantikannya, ramai juga yang berasa gusar menunggu tahun ketiganya dimana beliau biasanya lingkup. Dan sumpahan sama berlaku, apabila Mourinho dipecat meninggalkan Manchester United dalam keadaan yang sangat teruk.
Lima tahun selepas perletakan jawatan Sir Alex Ferguson, ternyata Manchester United tidak ke mana. Ungkapan “merry go round” sangatlah relevan untuk menggambarkan ketandusan konsistensi dalam prestasi. Sementara itu, Liverpool dan Tottenham Hotspurs pula bingkas bangun sebagai pencabar utama pemenang liga. Dan perlu diakui bahawa pengurusan efisyen jiran Manchester telah mengubahkan sistem “noisy neighbors” dalam situasi dikatakan “shift of power”.
Bagaikan United Kingdom ke Amerika Syarikat – Arab Saudi ke Rusia – dan pelbagai lagi “shifts of power” dalam lebaran sejarah, Manchester City pula menjuarai konsistensi yang tidak pernah terjangkau dek akal. Asalnya terkandas ibaratkan bil air tertunggak, Manchester City telah menjadi juara berkali-kali cuma masih belum menempah tuah di gelanggang Liga Juara-Juara Eropah.
Pada 19 Disember 2018, Manchester United mengumumkan pengurus sementara iaitu Ole Gunnar Solsksjaer. Dalam kehangatan khabar angin yang mana Zinedine Zidane dikatakan akan mengambil alih, tindakan ini bersifat “anti-thesis” tetapi penyokong-penyokong tegar (bukan African experts yang bahalul) tetap memberikan restu dan sokongan. Perlawanan pertama Solksjaer boleh disimpul bagaikan orang mengantuk dihidang kopi. Cardiff City dibelasah selumat-lumatnya dengan wisel penamat menokhtahkan kemenangan 5-1. Bak kata jurucakap, “it’s been too long since I’ve seen that smile.”
Solksjaer merakamkan empat lagi kemenangan yang menyekutukan dirinya dengan Sir Matt Busby. Akhirnya harapan menyinggah Old Trafford, dengan “old guards” membentangkan cara lama yang berkesan. Setelah gagalnya “Moyesian Football”, “Total Football” dan “Park the Damn Bus”, Manchester United yang konservatif dengan akar silam telah bangkit. Solksjaer mengutip 25 mata, jauh lagi banyak berbanding pengurus-pengurus lain dalam sembilan perlawanan pertama.
Kekecewaan pertama melanda di Paris apabila PSG mematahkan harapan Eropah dengan kemenangan 2-0. Pusingan kedua walau bagaimanapun mengikat kemas wajah pucat Neymar apabila Marcus Rashford melengkapkan comeback 3-1 di Old Trafford. Walaupun musim tersebut berakhir dengan ketiadaan piala, semangat sedia ada itu sudah mencukupi. Solksjaer telah menghembuskan nafas baharu.
Hari pertama Musim 2019/2020 merupakan cabaran besar bagi Solksjaer. Bukan darjat tinggi Chelsea yang menjadi cabaran. Tetapi pasukan lawan tersebut pun mempunyai nama baharu yang perlu bersinar. Senang kata “Manchester United v Chelsea” ialah pertembungan lagenda: Solksjaer vs Frank Lampard. Sistem Manchester United boleh diakui lebih taat berbanding autokrasi Roman Abramovich. Dan pertarungan bermula dengan gegaran tiang apabila Tammy Abraham hampir menjaringkan gol.
Namun 90 minit kemudian, perlawanan pun tamat dengan kemenangan besar 4-0. Lampard gagal. Solksjaer berjaya.
Dua nama ini menunjukkan kejayaan yang mana Ryan Giggs gagal. Sejak 2014 lagi, Giggs telah didendangkan sebagai bakal pengganti yang akan mengambil-alih tampuk pemerintahan dalam masa terdekat. Bermula dengan van Gaal yang mana beliau diberikan tanggungjawab pembantu pengurus. Tetapi kedatangan Mourinho menghapuskan aspirasinya, apabila pengurus Portugis tersebut memilih Rui Faria.
Sementara itu, Solksjaer menempah nama dengan cabaran bersama kelab-kelab bawahan iatu Molde dan Cardiff City. Purata kemenangan hanyalah 47.03%, mengharungi 80 kekalahan sebelum peluang keemasan di Old Trafford terbuka. Lampard pun begitu juga. Beliau tidak naik semata-mata atas nama sahaja. Pada 31 Mei 2018, beliau diberikan kontrak tiga tahun bersama Derby County. Dan percaya tidak – Derby menewaskan Manchester United (diuruskan Mourinho) dalam Piala EFL, sekaligus mengharumkan namanya.
Dibawah Lampard, Derby hampir kembali ke Liga Perdana Inggeris selepas tersadai dibawah lebih daripada 10 tahun. Kali terakhir Derby berjuang di persada tertinggi ini adalah 2007-2008 apabila mereka disingkirkan dengan rekod paling teruk iaitu satu kemenangan dan 11 mata sahaja. Di Derby juga, Lampard mengharungi kepedihan kalah dengan rekod kemenangan 42.1% sahaja. Siapa sangka kepimpinan Maurizio Sarri kekal sementara sahaja. Siapa lagi sangka bahawa pemergiannya tidak digantikan dengan Kepa Arrizabalaga.
Apa yang jelas dan nyata di sini ialah menanti dan mengharapkan jaminan semata-mata tidak akan membuahkan hasil dalam bolasepak. Sebaliknya, dua nama ini sedang mengurus kelab-kelab besar hasil daripada perjuangan di bawah. Kadangkala selepas gagalnya olahan-olahan dengan pengaruh luar, sifat konservatif itulah diperlukan untuk mencernakan semula kejayaan silam. Yang pasti, musim ini bermula dengan baik apabila Manchester United tewaskan bukan Norwich… bukan West Ham United… tetapi Chelsea dengan empat gol. GGMU.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih