Sempena Hari Raya Aidil Adha yang akan disambut oleh umat Islam diseluruh dunia tidak lama lagi. Mesti ramai daripada kita yang ternantikan daging korban yang akan diagihkan. Bagi umat Islam makanan yang dimakan mestilah halalan toyyiban. Islam sangat menekankan aspek pemakanan kerana makanan yang kita makan akan tumbuh menjadi darah daging kita.
Memakan makanan yang haram akan memberikan kemudaratan kepada kita secara fizikal dan juga rohani. Namun begitu, adakah anda tahu bahawa agama Yahudi yang merupakan agama samawi sangat mengambil berat berkenaan dengan aspek pemakanan mereka. Bahkan perintah pemakanan mereka lebih ketat berbanding Islam. Makanan yang halal dalam agama Yahudi dikenali sebagai kosher. Kosher bukan sahaja istilah khusus kepada makanan tetapi juga berkaitan dengan aspek penyediaannya.
Secara umumnya, Kosher adalah istilah Yahudi yang membawa maksud sesuai. Istilah dalam Islam adalah halal. Perintah pemakanan ini adalah berdasarkan kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s. Therif pula membawa maksud makanan yang diharamkan dalam agama Yahudi. Peraturan pemakanan ini telah diamalkan oleh bangsa Yahudi sejak Nabi Musa a.s. diutuskan kepada mereka berdasarkan peristiwa penurunan Mitzvah atau sepuluh perintah (ten commandments) di Gunung Sinai yang diturunkan kepada baginda.
Undang-undang yang menyediakan asas bagi pola makanan kosher secara kolektif dirujuk sebagai kashrut dan dinyatakan di dalam Kitab Taurat. Undang-undang pemakanan Kosher adalah menyeluruh dan mempunyai peraturan tegas dan ketat yang bukan sahaja menyatakan makanan yang dibenarkan atau dilarang tetapi juga perintah bagaimana makanan yang dibenarkan mesti dihasilkan, diproses, dan disediakan sebelum dimakan.
Dapat disimpulkan bahawa “Kosher” adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan makanan yang mematuhi garis panduan diet yang tertakluk oleh undang-undang Yahudi tradisional. Undang-undang ini menentukan makanan mana yang boleh dimakan dan bagaimana ia mesti dihasilkan, diproses dan disediakan.
Hukum syariah dalam aspek pemakanan dalam agama Islam dan Yahudi adalah lebih kurang sama seperti pengharaman memakan babi dan bangkai. Namun begitu, terdapat beberapa makanan yang dihalalkan dalam Islam tetapi tidak pada agama Yahudi.
Terdapat beberapa ayat yang disebut di dalam Old Testament yang menyebut tentang kewajipan mencari makanan yang kosher kepada penganutnya, seperti berikut yang bemaksud:
“Janganlah makan apa-apa yang diharamkan oleh Tuhan.”
Ayat ini menunjukkan bahawa bangsa Yahudi sangat menekankan pengambilan makanan yang dibenarkan dalam agama mereka.
Makanan kosher mempunyai tiga kategori:
- Daging (fleishig): Mamalia ataupun burung serta bahagian mereka seperti tulang.
- Produk tenusu (milchig): Susu, keju, mentega dan yogurt
- Pareve: Semua makanan selain daging dan produk tenusu seperti ikan, telur dan makanan berasaskan tumbuhan.
Perintah dan peraturan makanan Kosher adalah berdasarkan Kitab Perjanjian Lama (Old Testament). Perbahasan dalam makanan kosher yang disebutkan dalam Undang-undang Makanan Yahudi (Jewish Dietary Law) dikenali sebagai Kashrut.
Peraturan Kashrut berasal daripada tujuh prinsip yang telah diringkaskan.
1. Haiwan yang dilarang tidak boleh dimakan sama sekali. Tegahan ini termasuk daging, organ, telur dan susu haiwan yang dilarang.
2. Haiwan mesti disembelih mengikut undang-undang Yahudi.
3. Darah mesti disalirkan dari daging atau dimasak sebelum dimakan.
4. Terdapat bahagian haiwan yang dibenarkan tidak boleh dimakan seperti lemak dan gelatin.
5. Daging tidak boleh dicampur dengan produk tenusu. Ikan, telur, buah-buahan, sayuran dan bijirin boleh dimakan dengan daging atau tenusu. (Menurut beberapa pandangan, ikan tidak boleh dimakan dengan daging).
6. Peralatan yang bercampur dengan daging tidak boleh digunakan dengan tenusu, dan sebaliknya. Alat yang bersentuhan dengan makanan yang tidak kosher tidak boleh digunakan dengan makanan kosher. Ini hanya berlaku di mana percampuran berlaku semasa makanan panas.
7. Produk dari anggur yang dibuat oleh orang bukan Yahudi tidak boleh dimakan.
(“Undang-undang Pemakanan”, Ensiklopedia Judaica, jilid 6, 26-45)
Perbahasan ini adalah berkaitan dengan persoalan yang melibatkan haiwan dalam pemakanan orang Yahudi. Tiga tumpuan perbahasan tersebut adalah binatang yang dibenarkan untuk dimakan, larangan memakan darah haiwan dan larangan memakan daging yang bercampur dengan susu dan sebaliknya. Artikel ini akan menjelaskan bagaimana proses sesuatu daging haiwan layak digelar sebagai Kosher.
Orang Yahudi juga melakukan penyembelihan terhadap haiwan sama seperti yang dianjurkan oleh Islam tetapi cara pelaksanaannya adalah sedikit berbeza mengikut undang-undang halakha (hukum syara’ orang yahudi).
Penyembelihan dalam istilah Yahudi adalah sechita dan cara perlaksanaannya adalah sangat ketat dan rumit berbanding Islam. Ijma’ ulama’ berkenaan memakan daging haiwan yang disembelih oleh ahli kitab adalah harus berdasarkan firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 5 yang bermaksud:
“Dan makanan (sembelihan) orang yang diberikan kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka)”
Secara umumnya, haiwan kosher dibahagikan kepada beberapa kategori:
- Haiwan mamalia yang dianggap kosher adalah haiwan yang mempunyai kuku terbelah seperti lembu, kambing dan rusa. Babi merupakan haiwan yang diharamkan sama sekali dalam agama Yahudi. Selain itu, arnab dan unta juga tidak dibenarkan.
- Bagi kategori burung yang dianggap kosher adalah ayam, itik, angsa dan burung puyuh. Burung pemangsa seperti helang, burung gagak dan burung hantu tidak dibenarkan.
- Untuk kategori ikan adalah yang mempunyai sisik dan sirip sahaja. Segala jenis krustasia dan kerang adalah diharamkan.
- Segala jenis haiwan reptilia, amfibia dan serangga adalah diharamkan kecuali beberapa jenis belalang. Haiwan yang diburu dan bangkai juga diharamkan.
Walaupun haiwan tersebut adalah kosher namun daging haiwan tersebut mesti mematuhi beberapa prosedur sebelum boleh dipanggil daging kosher.
- Haiwan tersebut mesti disembelih oleh seorang shochet (penyembelih) yang dilatih untuk mengendalikan daging kosher.
- Daging mesti direndam dan dialirkan darah sebelum dimasak
- Segala peralatan menyembelih, membersih, dan membungkus mestilah kosher.
Maksud kosher disini adalah peralatan tersebut tidak boleh dicampur dengan makanan yang tidak kosher seperti susu dan daging yang tidak kosher. Jika peralatan tersebut pernah dicampurkan ia perlu dilupuskan atau disucikan oleh rabbai dengan membasuh alatan tersebut dengan sabun, kemudian alat tersebut mestilah dibiarkan selama 24 jam.
Seterusnya, peralatan tersebut mestilah direndam di dalam air yang mendidih pada suhu 100 celcius dengan pemantauan dan pengawasan pegawai Kosher.. Peralatan yang dikhaskan untuk mengendalikan daging kosher sahaja yang boleh digunakan. Jika tidak daging tersebut tidak boleh dimakan.
Walaupun begitu, haiwan kosher tidak akan dianggap sebagai kosher jika tidak disediakan mengikut prosedur halakha (syara’) Yahudi. Daging kosher yang dicampur dengan makanan bukan kosher dianggap haram oleh Yahudi seperti mencampurkan daging kambing dan daging babi.
Bagi produk tenusu seperti susu, mentega, yogurt dan keju mesti dihasilkan daripada haiwan kosher. Selain daripada haiwan kosher dianggap tidak boleh dimakan. Agama Yahudi tidak membenarkan percampuran diantara daging dan produk tenusu. Sekiranya dicampur, daging kosher tersebut akan dianggap sebagai Therif (haram).
Dalam pengendalian daging kosher, agama Yahudi sangat menekankan kelayakan seorang sochet (Penyembelih) tidak seperti agama Islam. Seorang shochet perlu mempunyai beberapa kriteria sebelum boleh mengendalikan haiwan kosher.
Seorang sochet (penyembelih) mestilah merupakan seorang lelaki berbangsa Yahudi alim yang bertauliah serta dilantik oleh komuniti rabbai dan dilatih secara khusus dalam melakukan penyembelihan. Pisau yang digunakan perlulah tajam, sempurna dan lurus serta lebih besar daripada leher haiwan yang disembelih.
Pisau yang tidak sempurna dianggap tidak kosher. Selain itu, shochet juga perlu melafazkan lafaz pemujaan dan pujian kepada Tuhan sebelum menyembelih. Para rabbai di Amerika menyatakan, para shechita dikehendaki menyebut Bismillah Allah Akibah (Dengan Nama Allah Yang Maha Besar). Selain itu, menurut David J Rose, seorang pengarah eksekutif di National Council of Shechita di United Kingdom berkata, lafaz yang perlu diucapkan oleh shechita adalah:
“Blessed art Thou, God our Lord, who has sanctified us through his commandments, and blessed us with the instructions on the proper performance of Shechita”.
(Maha Suci Tuhan, Engkau Tuhan Kami, Engkau Yang Telah Mensucikan Kami Dengan Perintah Melakukan Sebaik-baik Sembelihan).
Mereka hanya perlu melafazkan pada permulaan proses shechita sahaja tidak pada setiap binatang seperti yang digariskan oleh Islam.
Seterusnya, haiwan yang disembelih mestilah hidup dan dalam keadaan sedar, Dalam melakukan penyembelihan seorang shechita perlu sedaya upaya mengelak melakukan lima perkara.
- Teragak-agak ketika menggunakan pisau untuk menyembelih
- Tekanan yang berlebihan kepada pisau semasa menyembelih
- Membenamkan pisau diantara saluran trakea dan esofagus ataupun bawah kulit
- Melakukan hirisan diluar kawasan yang ditetapkan
- Melukakan atau mengoyak saluran trakea dan esofagus yang boleh membawa kepada kecacatan kepada pisau.
Haiwan yang tidak disembelih dengan prosedur yang betul akan dianggap sebagai Therif (haram).
Setelah selesai penyembelihan, seorang shechita perlu memeriksa organ dalaman haiwan tersebut dan memastikan ianya tidak rosak kerana haiwan dengan organ-organ dalaman yang rosak dan mempunyai penyakit serta cacat dianggap sebagai Therif.
Proses ini dinamakan sebagai bedika. Jika diteliti, kaedah perlaksanaan shechita adalah seakan-akan sama dengan penyembelihan kecuali syarat dan prosesnya lebih rumit dan ketat berbanding Islam. Agama Yahudi juga tidak membenarkan teknik ‘stunning’ kerana mereka menganggap proses tersebut adalah zalim kerana menyeksa haiwan tersebut.
Setelah itu daging tersebut akan menjalani proses pemeriksaan pengesahan cop ‘Glatt Kosher’ sebelum ke upacara Nikkur. Sama seperti pentauliahan sijil halal oleh JAKIM yang perlu melalui prosedur yang ketat. Dalam agama Yahudi, terdapat sebuah komuniti yang dianggotai oleh para rabbai Yahudi yang akan mengeluarkan sijil kosher kepada mana-mana daging haiwan yang disembelih. Prosedur yang dilakukan lebih ketat dan rumit demi untuk mendapat status daging kosher.
Daging kosher pada tahap tertinggi dikenali sebagai Glatt Kosher atau Menhadrin yang perlu melalui upacara khusus yang bernama Nikkur. Glatt Kosher ini selalunya dimakan oleh orang Yahudi yang sangat kuat pegangannya seperti para rabbai.
Haiwan kosher yang disembelih akan diperiksa secara khusus di bahagian paru-paru yang perlu dilakukan dengan menyingkirkan urat-urat tertentu, saluran darah dan lemak yang terdapat pada haiwan tersebut. Bahagian belakang haiwan dianggap Therif kerana mempunyai urat yang sukar untuk dihapuskan. Bagi orang awam Yahudi mereka boleh memakan daging Kosher biasa.
Seterusnya, daging tersebut mesti suci daripada sisa darah yang mengalir dengan melalui proses perendaman dan pengasinan selepas 72 jam disembelih. Daging akan direndam selama 5 jam dalam air yang dingin kemudian daging akan melalui proses penggaraman selama satu jam di semua permukaan sebelum dibilas dengan air sebanyak tiga kali untuk menghilangkan darah daripada daging tersebut.
Daging tersebut tidak boleh disimpan dan dicampurkan dengan susu dan organ yang diharamkan. Jika tempat tersebut pernah digunakan untuk menyimpan daging bukan kosher, mereka akan melakukan proses pembakaran dan pembersihan melalui proses penghangatan agar tempat tersebut suci dan bersih. Kemudian daging tersebut akan diberikan sijil kosher dan boleh dijual di pasaran.
Walaupun produk tenusu merupakan makanan kosher bagi bangsa Yahudi, namun sekiranya daging kosher tersebut bercampur dengan produk tenusu. Daging tersebut akan dianggap sebagai Therif berdasarkan larangan dalam kitab Taurat yang mengharamkan percampuran antara daging dan tenusu. Seorang Yahudi yang ingin minum susu selepas memakan daging perlu menunggu selama 30 minit. Bagi Yahudi yang lebih ketat pengamalannya akan menunggu selama enam jam sebelum ingin memakan apa-apa produk tenusu.
Dapat disimpulkan disini, sekiranya daging tersebut kosher, namun jika peralatan, tempat simpanan pernah dicampurkan dengan produk tenusu ataupun daging bukan kosher ianya akan menjadi Therif. Bagitu juga dengan makanan pareve yang berasaskan selain daging dan produk tenusu. Sekiranya dicampurkan maka ianya juga akan menjadi therif. Oleh itu, penganut Yahudi akan mempunyai dua peralatan untuk kegunaan memasak. Satu untuk mengendalikan daging kosher. Satu lagi untuk memasak produk tenusu atau pareve.
Berdasarkan penerangan diatas kita dapat meneliti bahawa proses penyembelihan daging dan perintah pemakanan dalam agama Yahudi dan Islam adalah lebih kurang sama. Namun begitu, hukum halakha Yahudi adalah lebih ketat berbanding hukum syara’ Islam. Sebagai contoh, Islam membenarkan untuk memakan kerang dan haiwan krustasia seperti udang dan ketam.
Selain itu, umat Islam juga boleh memakan kesemua bahagian haiwan yang telah disembelih mengikut hukum syara’. Islam juga tidak menetapkan aspek jantina penyembelih asalkan mereka mumayyiz tidak kira lelaki atau perempuan yang menyembelih mengikut hukum syara’.
Sebenarnya, undang-undang pemakanan dalam Yahudi yang sangat ketat adalah berpunca daripada diri mereka sendiri berdasarkan firman Allah dalam surah al-An’aam ayat 146.
وَعَلَى الَّذِينَ هَادُوا حَرَّمْنَا كُلَّ ذِي ظُفُرٍ ۖ وَمِنَ الْبَقَرِ وَالْغَنَمِ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ شُحُومَهُمَا إِلَّا مَا حَمَلَتْ ظُهُورُهُمَا أَوِ الْحَوَايَا أَوْ مَا اخْتَلَطَ بِعَظْمٍ ۚ ذَٰلِكَ جَزَيْنَاهُمْ بِبَغْيِهِمْ ۖ وَإِنَّا لَصَادِقُونَ
Terjemahannya: “Dan telah Kami haramkan atas orang-orang Yahudi setiap haiwan yang mempunyai satu kuku (unta dan kuda). Dan dari lembu dan kambing. Kami haramkan lemak dari kedua binatang itu, kecuali yang terletak di punggung keduanya atau yang di perut dan usus atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kedurhakaan mereka; dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar.”
Ini adalah untuk memberi pengajaran dan mendidik mereka atas keingkaran mereka terhadap perintah Allah yang mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah. Berlainan pula dengan Islam dimana syariat yang diperintahkan dalam ibadah adalah lebih mudah berbanding syariat nabi-nabi terdahulu.
Oleh itu, kita seharusnya bersyukur kerana kita dapat mengamalkan agama dengan lebih mudah berbanding umat nabi terdahulu berkat diutusnya penutup para Nabi dan Rasul iaitu penghulu kita Nabi Muhammad S.A.W.
Oleh itu, tidaklah menjadi satu perkara yang pelik ketika peristiwa Baginda Nabi memakan daging yang dimasak oleh ahli kitab yang telah diracun tanpa pengetahuan Baginda kerana ia adalah harus dan dibenarkan dalam Islam kerana cara penyediaan daging mereka sama sahaja dengan Islam malahan lebih ketat lagi.
Namun begitu, pada zaman sekarang sebaiknya kita menjauhkan diri kita daripada terjebak dengan perkara syubhat kerana terdapat sebahagian rabbai Yahudi yang membenarkan penggunaan arak dan unsur babi seperti gelatin. Selain itu, para rabbai terkemudian telah mengubah teks asal agama mereka dengan menghalalkan arak yang jelas dinyatakan haram dalam Perjanjian Lama (Old Testament).
RUJUKAN:
Kasmon, Muhamad Nordin (2011) Konsep kosher dalam agama Yahudi : analisis menurut perspektif pemikiran hukum Islam / Muhamad Nordin bin Kasmon. Masters thesis, Universiti Malaya.
Kosher Slaughter: An Introduction. Rabbi Gersion Appel. https://www.myjewishlearning.com/article/kosher-slaughtering-an-introduction/
Kosher Animals. MJL. https://www.myjewishlearning.com/article/kosher-animals/
Kosher Food: Everything You Need to Know. Ansley Hill. (2019). https://www.healthline.com/nutrition/what-is-kosher#restrictions
What Makes Meat Kosher (or Not). Rabbi Louis Jacobs. https://www.myjewishlearning.com/article/kosher-meat/
Kashrut: Jewish Dietary Laws. https://www2.kenyon.edu/Depts/Religion/Projects/Reln91/Blood/Judaism/kashrut/kashrut.htm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih