Masyarakat Rom purba sememangnya masyhur dengan pelbagai perkara – keindahan seni bina, rangkaian jalan perhubungan dan penubuhan undang-undang Rom yang digunakan di seluruh empayarnya. Namun, mereka juga meraih kepopulariti menerusi sifat gemar berperang.
Apapun, sifat itu jugalah yang menjadi tunjang kepada tertubuhnya Empayar Rom. Sifat yang cenderung ganas seperti ini tidak hanya dimanifestasikan di dalam polisi imperialis Rom, tetapi juga di dalam sebuah sukan yang sangat terkenal – pertarungan gladiator.
Diandaikan bahawa konsep sukan gladiator ini berakar dari kaum Etruscan, iaitu kaum yang mendahului kependudukan Rom. Dalam budaya masyarakat Etruscan, sukan gladiator ini dijadikan sebagai sebahagian daripada upacara pengebumian bagi menghormati si mati. Hal ini bermaksud bahawa sukan gladiator pada asalnya mengandungi signifikasi yang suci (berkait hal kepercayaan). Walau bagaimanapun, seiring peredaran zaman, sukan ini berubah bentuk menjadi sebuah hiburan. Pertarungan gladiator Rom yang paling awal dikatakan berlangsung pada tahun 264SM.
Para petarung gladiator kebiasaannya terdiri dari kalangan tawanan perang, hamba sahaya atau pelaku jenayah yang dijatuhi hukuman mati. Penggunaan tawanan musuh-musuh Rom yang tewas di dalam sukan ini digambarkan menerusi beberapa jenis gladiator termasuklah Thraex (atau Thracian), Hoplomachus dan Samnite.
Oleh kerana itu, pertarungan-pertarungan gladiator ini boleh juga dilihat sebagai satu cara masyarakat Rom melakonkan semula peperangan yang telah mereka lalui semasa menundukkan musuh-musuh mereka. Walau bagaimanapun, tidak semua petarung gladiator ini memasuki arena berkenaan secara paksa.
Walaupun menjalani kehidupan yang sukar dan berbahaya, para petarung gladiator dianggap sebagai bintang (superstar) di zaman mereka. Kelebihan-kelebihan yang boleh diraih di dalam gelanggang gladiator seperti kemasyhuran, kekayaan dan kemegahan sudah cukup untuk mendorong dan meyakinkan sebahagian orang agar terlibat dalam sukan ganas berkenaan. (Namun, bukti yang menunjukkan wujudnya petarung gladiator sukarela seperti ini sangat kecil).
Terdapat juga rekod yang mencatatkan bahawa beberapa orang maharaja Rom turut menyertai sukan ini. Antara yang paling masyhur adalah Maharaja Commodus. Walau bagaimanapun, penyertaan maharaja di dalam sukan ini tidak disenangi oleh sebahagian masyarakat kerana sukan gladiator dianggap secara umum sebagai satu arena yang hanya layak bagi kelas masyarakat bawahan.
Kajian-kajian yang menjalankan penganalisaan terhadap gigi milik petarung-petarung gladiator yang ditemui di Driffield Terrace, York, UK juga cenderung mengsiyaratkan bahawa kebanyakan petarung gladiator datang daripada latarbelakang suram. Kajian menunjukkan bahawa ramai di antara mereka yang kekurangan khasiat semasa kanak-kanak dan datang daripada rumah-rumah yang uzur lagi using.
Kemudian, tulang-belulang mereka yang dianalisa pula menunjukkan bahawa mereka ini kemudiannya diberi makan secukupnya dan didorong menyertai sukan gladiator pada tempoh terkemudian dalam hidupnya – mungkin agar mereka menjadi lebih kuat dan berpenampilan sebagai seorang petarung yang gah di arena gladiator.
Walaupun sukan ini dianggap hanya sesuai bagi masyarakat kelas bawahan sahaja, pada hakikatnya para petarung gladiator berpotensi meraih naungan atau ganjaran daripada golongan elit, termasuklah maharaja itu sendiri. Menurut Suetonius, Maharaja Nero pernah menganugerahkan kepada seorang petarung gladiator yang bernama Spiculus beberapa buah rumah dan estet yang nilainya sama seperti panglima yang pulang membawa rampasan perang.
Walaupun status kesahihan dakwaan tersebut agak kabur, apa yang cuba Suetonius sampaikan dalam catatannya itu adalah untuk menekankan sifat berbelanja besar maharaja Rom – di mana Nero sanggup melimpahi seorang individu berkelas bawahan dengan hadiah-hadiah sebegitu mahal.
Pada ketika kisah yang melibatkan Spiculus ini boleh dianggap agak ekstrem (andai kata kisahnya itu memang sahih), para petarung gladiator sememangnya merupakan suatu aset berharga bagi para ‘pemilik’ mereka. Lebih banyak seseorang petarung gladiator itu meraih kemenangan, semakin tinggi nilai harganya. Kepopulariti beberapa orang petarung gladiator juara dapat dibuktikan menerusi beberapa buah graffiti pada dinding-dinding Rom dan kota-kota lain yang turut melangsungkan sukan berkenaan.
Sebahagian graffiti itu turut mencatatkan jumlah kemenangan yang diraih oleh seseorang petarung gladiator: Petronius Octavius sebanyak 35 kali, Severus sebanyak 55 kali dan Nascia sebanyak 60 kali. Ada juga graffiti yang mengisyaratkan bahawa para petarung gladiator ini meraih kedudukan tersendiri dalam kalangan wanita: Crescen misalnya meraih kedudukan istimewa dalam hati ramai gadis sementara nama Caladus dari Thracia pula membuatkan para gadis mengeluh.
Menjelang abad ke-4M, kepopulariti sukan gladiator mula mengalami keruduman memandangkan Empayar Rom mula menganut dan menjadikan Kristian sebagai agama rasmi. Walau bagaimanapun, sukan tersebut hanya diharamkan secara menyeluruh oleh Maharaja Honorius pada tahun 404M berikutan kematian St. Telemachus.
Menurut sejarahwan yang bernama Theoderet, Telemachus merupakan seorang rahib yang datang ke Ro dari Asia Kecil. Ketika berlangsungnya pertarungan gladiator di kota berkenaan, Telemachus melompat memasuki gelanggang arena untuk menghentikan dua orang petarung dari terus berlawan.
Tindakan Telemachus ini tidak disenangi oleh para penonton yang lantas melemparkan batu kepada rahib itu sehingga mati.
Walau bagaimanapun, salah satu bentuk sukan gladiator, iaitu venationes (bertarung melawan haiwan buas) sempat berterusan selama beberapa kurun lagi.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN OLEH:
Wu Mingren. (25 Mei 2018). The Gladiators of Rome: Blood Sport in the Ancient Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/gladiators-rome-blood-sport-ancient-empire-002574
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih