Petang semalam selepas solat Jumaat saya ke perpustakaan UIAM untuk mendapatkan sedikit bahan rujukan untuk kajian terbaru saya mengenai Koloni Bugis di negeri Pulau Pinang. Ketika saya sedang asyik menelaah jurnal yang ditulis oleh Gerald Osborne berkenaan pengepungan Kedah, juga buku yang ditulis oleh Nordin Hussin berkenaan perdagangan Selat Melaka saya disapa oleh Alaeddin, sahabat sepengajian saya yang berasal dari Turki.
Dua hari lalu kami terserempak di perpustakaan tapi tidak sempat berbual panjang, hari ini kami sempat berbual sejenak sebelum dia meminta bantuan saya untuk kajian tesis kedoktorannya. Dia meminta saya untuk menterjemahkan beberapa patah perkataan pada surat-surat lama Kerajaan Turki Uthmaniah yang dia sendiripun tidak tahu maksudnya.
“I believe it might be in jawi”, kata Alaeddin,
Kata-kata ini amat mengujakan saya yang dengan rela hati bersetuju untuk membantu dia. Mula-mula sekali dia menunjukkan kepada saya satu cap mohor yang terletak di pangkal salinan digital sepucuk surat lama yang dikirim oleh Sultan Jambi kepada Sultan Abdul Majid Khan yang bersemayam di Qastantiniah (Istanbul). Tarikhnya yang tertulis adalah 1274 Hijrah bersamaan 1857 Masihi. Surat asal didalam Bahasa Arab diterjemahkan ke dalam Bahasa Turki Uthmaniah.
Saya meneliti cap mohor dengan dakwat merah itu lalu membaca tulisannya yang bercampur Bahasa Arab dan Melayu-Jawi sebagai “al-Wathiqubillah … Chap Sultan Taha Saifuddin bin Sultan Fakhruddin”. Maka memang sah ini surat daripada Jambi. Terdapat satu kalimah yang kabur selepas gelaran baginda dan saya membacanya sebagai “اﻷﺟﻠﻲ” ruminya “al-Ajalla” atau “al-Ajilla”, saya menerangkan kepada Alaeddin bahawa inilah yang mungkin tertulis dan gelaran tersebut banyak dipakai di Johor-Riau dan sekitarnya kerana saya teringat bentuk yang sama ditulis bagi gelaran Sultan Abdul Jalil Johor Lama selain alternatif yang menulisnya sebagai ” ‘Ali Jalla”, pada saya bentuk yang pertama itu lebih tepat.
Kemudian Alaeddin menunjukkan salinan penuh surat tersebut dan dia fokuskan kepada satu baris yang tertulis “Tumbuzi Sultanar”. Katanya ini mesti merujuk kepada sebuah kerajaan yang terletak di Sumatera atau dalam rekod Uthmaniah digelar sebagai ‘Ashi Jazirah (Pulau Aceh) atau Sumatra Jazirah. Setelah berbincang sejenak dan membuat sedikit rujuk silang maka kami menyimpulkan bahawa ia merujuk kepada Kerajaan Melayu Tambusai.
Mengapa Tambusai relevan dalam pembacaan ini? Konteks daripada surat tersebut menjelaskan bahawa pada pertengahan abad ke-19 tersebut Sultan Jambi melalui wakilnya di Hijaz telah meminta bantuan Duli Padshah di Qastantiniah untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian sempadan yang berlaku antara Sultan Jambi dan Sultan Tumbuzi itu.
Tambusai dalam pada itu terletak di hulu Sungai Rokan (Provinsi Riau) berdekatan dengan wilayah kerajaan Melayu Jambi. Namun usaha bagi mendapatkan bantuan ini tidak berjaya kerana campurtangan Belanda yang menuntut kedaulatan ke atas Jambi dan kawasan sekitarnya. Desakan terhadap Uthmaniah agar tidak campur tangan dibuat melalui wakil Belanda yang berkedudukan di Qastantiniah dan juga di Jiddah.
Pengalaman membantu Alaeddin pada hari tersebut sangat membuka mata saya akan peri pentingnya untuk kita memiliki ilmu Bahasa Melayu Klasik dan tulisan Jawi kerana ia menjadi kunci untuk mengakses khazanah Melayu lama yang agung, khazanah yang mencakupi segala bidang kehidupan, dalam politik dan perdagangan yang kita perlu sedari dikenali diseluruh dunia.”
Surat-surat Melayu lama misalnya menjadi wadah mu’amalat yang berlaku diantara raja-raja Melayu dengan raja-raja besar di negeri Atas Angin hatta di negeri Barat Jauh. Surat-surat ini menjadi saksi hidup bahawa bangsa dan budaya Melayu itu tinggi nilainya dan terpandang hatta di istana penghadapan raja-raja besar di Istanbul, London, Amsterdam dan menurut surat-surat Aceh hatta ke Benua Amerika.
Tambahan pula, bahasa dan penulisan kita pada hari ini tidak akan sepertinya tanpa bentuknya yang terdahulu dan dalam pelbagai penelitian saya, terdapat pelbagai isu berkaitan Bahasa Melayu moden dan penggunaannya yang tidak dapat diselesaikan tanpa pengetahuan mengenai bentuk asalnya yang dirujuk melalui naskhah-naskhah Melayu dari abad ke-15 hingga abad ke-20 Masihi.
Dalam konteks sejarah perhubungan negeri-negeri Melayu dengan Uthmaniah maka ribuan manuskrip yang tersimpan di arkib-arkib kerajaan Republik Turki hari ini menanti masa untuk diterjemahkan dan selagimana ia diperam maka selagi itulah gambaran hakiki Alam Melayu itu tidak dapat difahami sepenuhnya dan hasil daripada kelompongan ini mewujudkan stigma, fobia dan salah faham yang tidak sepatutnya disandarkan kepada bangsa Melayu.
Menjadi kepelikan bagi saya apabila wujud segerombolan manusia di rantau dan negara kita ini yang menggelarkan bahasa dan penulisan Melayu sebagai tidak berguna atau “useless” dalam Bahasa Inggeris kasar mereka. Saya pelik kerana bahasa ini sejarahnya memakan masa ribuan tahun, berjaya mengatur sistem sosiopolitik dan ekonomi yang kompleks di rantau ini yang sentiasa merupakan jalur terpenting perdagangan dunia yang direbutkan antara kuasa-kuasa kolonial dan imperial, sehingga kini dipertuturkan oleh ratusan juta umat manusia bukan di negara dan oleh penutur ibundanya sahaja akibat faktor imigrasi dan emigrasi, dan termasuk didalam 20 bahasa utama dunia, maka apakah yang tidak signifikannya?
Pada saya penyakit ini bertitik tolak daripada kejahilan gerombolan tersebut terhadap sejarah bangsa dan budaya Melayu itu sendiri dan mereka tidak mampu mengenalnya disebabkan ‘zero knowledge’ atau lemahnya tahap penguasaan dan pendedahan terhadap bahasa dan penulisan yang menjadi alat wahana untuk mengetahuinya. Justeru mempelajari Bahasa Melayu dan tulisan Melayu yang dipanggil Jawi itu penting bagi mereka dan setiap kita untuk mengetahui hakikat realiti identiti negeri dan rantau yang mereka duduki. Kejahilan terhadap bahasa Melayu tuntasnya akan melahirkan bangsa yang jahil terhadap bangsa Melayu maka bagaimana mereka mampu bersikap adil apabila berhadapan dengan bangsa Melayu?
Persoalan paling penting adalah bagaimanakah mereka mampu bersikap adil terhadap identiti Melayu yang menjadi teras tunjang negara tanah air yang mereka duduki di dalamnya dan yang mereka akui ia sebagai kediaman mereka? Atau kewujudan mereka disini hanya sekadar kesinambungan kewujudan beridentitikan penjajah zaman kolonial zaman tok wi? Mereka perlu memikirkan dengan mendalam akan enigma yang melanda fikrah ini.
“Allahuakbar! Allahuakbar!”,
Azan Asar berkumandang dari masjid UIAM yang indah, rupanya laksana paduan Masjidil Aqsa dan Masjid Aya Sophia dua masjid yang menjadi lambang keagungan kaum muslimin dimana sahaja mereka berada. Keduanya merupakan lambang kemegahan ketamadunan Islam yang hendak dibangkitkan semula di bumi bertuah Tanah Melayu ini.
Alaeddin mengucapkan ribuan terima kasih kepada saya kerana sudi membantunya. Kata saya “anytime”, bila-bila masa sahaja saya senang dan lebih dari gembira untuk membantu usaha merungkai segala misteri khazanah persuratan Melayu yang luput dan dilupai oleh zaman. Dia menunjukkan kepada saya banyak lagi surat-surat dan keratan akhbar yang merujuk kepada negeri-negeri Melayu sebilangannya ditulis tangan atau dicetak dalam Bahasa Turki Uthmaniah, ada didalam Bahasa Melayu Betawi, ada yang didalam bahasa Belanda dan juga Perancis menyentuh pelbagai isu.
Semoga dengan ilmu, kejahilan terhadap bangsa yang disalahfahami ini akan dapat dibanteras, dan semakin ramai ilmuan persuratan Melayu yang muncul untuk mengangkat martabat budaya dan bangsa Melayu.
Sebelum saya meninggalkan perpustakaan, Murat, yakni sahabat kepada Alaeddin, apabila mengetahui saya berasal dari Kedah mengatakan bahawa saya memiliki wajah stereotaip rakyat negeri Kedah. Dia memaksudkan bentuk rangka pipi saya dan jambang tebal yang saya miliki, rupa tipikal sebahagian rakyat di utara semenanjung.
“I have Arab blood”, kata saya separuh bergurau, separuh serius, kerana bukan semua orang Utara berwajah begini, ada yang memiliki ciri Sinaitik sedangkan saya lebih berciri campuran Semitik dan Malayik.
“Oh I see, or maybe Turkish blood”, katanya kembali membuatkan saya termenung sekejap memproses apa yang dimaksudkannya.
Melihat saya semacam termanggu, Murat menyebut bahawa ada tersebut didalam “Old Hikayet” negeri Kedah bahawa orang Melayu dinegeri tersebut berasal dari Turki, yakni di dalam Hikayat Merong Mahawangsa disebut bahawa negeri ini dinamakan Kedah Zamin Turan, dimana “Turan” itu membawa maksud bangsa Turki.
Saya hanya meng-“ooh” kagum dengan fakta yang saya hampir terlupa. Alaeddin menambah juga, katanya hikayat itu menyebut bahawa Kedah memiliki kekerabatan dengan Sultan di negeri Rum, gelaran sama yang digunapakai dan dinisbahkan kepada sultan-sultan Turki Uthmaniah iaitu Sultan-i-Rum dan Kayser-i-Rum.
Saya terlopong ketawa dengan gembira melihat betapa mendalam pengetahuan sahabat-saudara saya dari Turki ini dalam mengetahui rekod berkenaan asal-usul sebahagian bangsa Melayu zaman purba dan betapa tajamnya pemerhatian mereka berkenaan sosiobudaya Melayu. Ini kelebihan yang Allah kurniakan kepada bangsa yang lunak sentiasa terbuka untuk berta’aruf dengan bangsa lain sehingga tidak ada masalah untuk mereka bersemenda dengan bangsa kita.
Islamlah yang mengajar kita sedemikian. Hal ini berbeza dengan bangsa yang bongkak dan bodoh sombong untuk mengenali jiran di dalam negara mereka sendiri, maka sudahnya kebodohan dan kejahilan mereka itu memunculkan pelbagai stigma bodoh yang memalukan. Walhasil muncullah isu memomokkan Arabisasi budaya Melayu dan kepercayaan bahawa tulisan Jawi itu adalah tulisan Arab.
Kalaulah mereka dapat meluangkan lebih masa untuk mendalami budaya Melayu daripada hidup tenggelam didalam identiti plastik kebaratan yang menjadi kemegahan mereka tentulah negara ini lebih aman.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih