Ramai diantara kita yang tahu secara asas akan kewujudan Zaman Emas Tamadun Islam. Tetapi adakah kita benar-benar tahu secara mendalam apakah yang berlaku ketika Zaman Emas itu?
Artikel ini akan berkongsi sedikit sebanyak akan perihal Zaman Emas tersebut supaya kita lebih mudah faham mengapa segelintir admin-admin Patriot agak jelik apabila adanya umat Islam hari ini yang menidakkan pencapaian sains, matematik, perdagangan, perubatan dan astronomi hanya kerana mereka beranggapan ianya datang dari ketamadunan Barat.
Walhal kebenarannya, sains, matematik, perubatan dan pelbagai bidang lain yang diguna-pakai hari ini adalah hasil kajian cendekiawan-cendekiawan Zaman Emas Tamadun Islam.
Zaman Emas Tamadun Islam boleh dikatakan naik, berkembang dan jatuh diantara 632M sehingga 1796M, yang kemudiannya menjadi pemangkin kepada sebuah lagi kebangkitan tamadun, iaitu Zaman Renaissance di Eropah. Di Zaman Emas Islam ini, cendekiawan-cendekiawan bertungkus-lumus membina dan memperbaharui ilmu-ilmu cendekiawan daripada tamadun sebelumnya seperti Brahmagupta, Aristotle, Euclid, Ptolemy dan Hippocrates.
Ia lantas mewujudkan ledakan ilmu dengan penemuan-penemuan baru di dalam bidang sains dan matematik, geomatri, kejuruteraan dan senibina, perubatan dan pendidikan, penjelajahan dan astronomi.
Kebanyakan penemuan dan ciptaan Zaman Emas Islam masih wujud dan mempengaruhi kehidupan seharian kita sehingga ke hari ini. Dari chess kepada kamera, fountain pen dan juga jam mekanikal, ciptaan-ciptaan ini adalah antara beribu-ribu ciptaan yang besar mempengaruhi kehidupan kita.
PUSAT PENDIDIKAN
Antara sumbangan Zaman Emas Islam adalah penyebaran ilmu melalui pusat-pusat pendidikannya. Di pusat-pusat pendidikan inilah pelbagai bidang ilmu dikaji, dikembangkan dan diimplemen ke dalam kehidupan seharian melalui ciptaan dan inovasi.
Antara pusat pendidikan yang tidak asing kepada kita adalah Bayt al-Hikmah yang bertempat di Baghdad. Di sini berhimpunnya cendekiawan dari dunia Islam, Nasrani dan Yahudi, melakukan eksplorasi dan penterjemahan ilmu, yang langsung merancakkan perbincangan saintifik serta merintis penemuan-penemuan penting.
Di sinilah ahli matematik mencipta teknik perpuluhan dan penggunaan ‘0’ (sifar), menjumpai geomatri di dalam kajian alam yang kemudian besar mempengaruhi senibina; ahli kimia pula menjalankan kajian terhadap bahan-bahan kimia.
Selain dari Bayt al-Hikmah, pusat-pusat pendidikan lain bercambah di seluruh Dunia Islam, yang diantaranya kekal wujud sehingga ke hari ini seperti Universiti Al-Azhar di Mesir, Universiti Al-Mustansiriya dan Al-Nizamiyya di Iraq dan Universiti Ez-Zitouna di Tunisia.
Tak lupa juga kepada universiti tertua dunia iaitu Universiti Al-Qawariyin di Morocco yang dibina oleh seorang hartawan wanita yang bernama Fatima al-Fihri.
PERDAGANGAN DAN EKONOMI
Sejajar dengan perkembangan ilmu dan ciptaan, perdagangan dan ekonomi pasti menurut di belakang.
Al-Masudi, seorang ahli geografi, penjelajah dan sejarawan merekodkan berlakunya ledakan dalam penghasilan makanan setelah ilmu tentang tanaman, penjagaan dan pengeluarannya tersebar luas dan jauh. Dari kaedah cantuman (atau tut) kepada kitaran jenis tanaman, ilmu ini besar mempengaruhi pengeluaran dan pasaran makanan seluruh dunia.
Menjelang abad ke-16, seorang jurutera Turki bernama Taqi al-Din ibnu Ma’rouf mencipta pam air yang kemudiannya merancakkan lagi sektor pertanian dan penternakan.
Selain makanan, pelbagai produk lain hasil ciptaan dan penemuan cendekiawan-cendekiawan tadi turut diperdagangkan. Dari Afrika, Asia dan Eropah, Zaman Emas Islam telah besar mempengaruhi perdagangan dan ekonomi dunia.
PERUBATAN DAN HOSPITAL
Di dalam bidang perubatan dan hospital, kebanyakan praktis yang diamalkan dunia perubatan hari ini adalah hasil dari Zaman Emas Islam.
Ia termasuk ilmu pembedahan, penjagaan di hospital, penggunaan vaksin, serta cara pengambilan ubat-ubatan seperti pil, pastil, cecair dan serbuk.
Cendekiawan seperti Hunayn ibn Ishaq, antara cendekiawan yang terawal mengkaji dan melukis diagram mata yang kemudiannya ditambah-baik oleh Ibn al-Haytham, mengkajinya dan menulis dari aspek matematik dan fiziologi optik.
Al-Zahrawi pula banyak mencipta alat-alat untuk pembedahan yang mana ia masih diguna-pakai sehingga ke hari ini.
Ibn-Sina, seorang doktor dan ahli falsafah yang tidak asing pada kita pula mencipta cara merawat tulang patah yang masih menjadi rujukan sehingga ke hari ini.
SISTEM DAN TEKNOLOGI PERBANDARAN
Siapa tidak kenal bandar Alhambra di Granada, Andalusia. Pernah dipanggil sebagai bandar terindah dan termaju di zamannya. Zaman Emas Islam tidak pernah lekang dengan bandar-bandar maju, bersistem dan berteknologi yang indah.
Sistem dan teknologi perbandaran ketika Zaman Emas Islam dikenali dengan keindahan dan keagungan senibina, sistem perbandaran yang berpusat di mana masjid, pusat pendidikan dan pasar berada di tengah-tengah, dikelilingi kawasan penempatan.
Bandar-bandar Zaman Emas Islam juga dikenali dengan teknologi perparitan, pengurusan kumbahan dan sampah, jalan yang berturap, dan kadang-kala, jalan yang berlampu.
ILMU ALAM DAN PEMETAAN
Zaman Emas Islam tidak pernah surut dengan ahli geografi, ahli pelayaran dan penjelajah yang juga cendekiawan yang besar menyumbang kepada pencartaan peta dunia.
Mereka mengukur keluasan lilitan bumi dan mengkaji bagaimana gunung-ganang terbentuk. Selain penjelajah seperti Ibn Battuta dan Laksamana Cheng Ho, nama yang tidak asing di dalam bidang geografi dan pemetaan adalah Al-Idrisi.
ILMU ASTRONOMI
Zaman Emas Islam juga dipenuhi dengan ahli astronomi, ahli falsafah dan pencipta alatan astronomi. Merriam al-Ijliyah antaranya mencipta astrolabe yang digunakan untuk mengukur altitud objek-objek samawi serta mengira latitude untuk pelayaran.
Taqi al-Din kemudiannya menambah-baik peralatan untuk mengukur objek-objek samawi ini dengan penggunaan quadrants dan sextants.
Balai cerap pertama dibina di Zaman Emas Islam adalah Balai Cerap Maragha di Iran. Di sinilah ahli astronomi berkumpul, mengkaji dan memeta objek-objek samawi yang kemudiannya besar mempengaruhi perkembangan ilmu matematik.
PUSAT PENDIDIKAN, PERDAGANGAN DAN EKONOMI, PERUBATAN DAN HOSPITAL, SISTEM DAN TEKNOLOGI PERBANDARAN, ILMU ALAM DAN PEMETAAN DAN ILMU ASTRONOMI.
6 perkara ini adalah antara legasi tinggalan Zaman Emas Islam yang ianya dapat kita lihat dan rasa sehingga ke hari ini. Penemuan-penemuan dan ciptaan-ciptaannya sangat hebat, ia menjadi pemangkin kepada sistem, teknologi dan ilmu yang kita lihat dan guna pada hari ini.
Persoalannya adalah, dimanakah kita umat Islam hari ini?
Adakah kita mencontohi cendekiawan-cendekiawan ini yang meletakkan Islam begitu tinggi ketamadunannya? Jika belum, wajarlah kita mulakan mulai saat ini.
Untuk bahagian berikutnya, kita akan masuk kepada penemuan-penemuan dan ciptaan-ciptaan yang lebih terperinci lagi.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih