Menurut mitologi Yunani dan Mesir Purba, burung Phoenix merupakan seekor burung mistik yang besar dan lazimnya berwarna merah darah keunguan, dengan ekor panjang dan pelepah berwarna merah hati dan emas. Ia mempunyai bentuk seakan burung heron, dengan paruh yang lurus dan panjang, kaki yang tirus serta dua bulu pelepah panjang yang dialurkan dari atas kepalanya. Ia juga digambarkan sebagai burung yang mampu mengawal api serta hidup semula daripada debu dan bara mayatnya sendiri.

Burung Phoenix juga dipercayai memiliki semangat api (spirit of fire), kemampuan kebangkitan semula selepas mati (rebirth) dan mampu hidup selama-lamanya (immortality).

Etimologi

Perkataan phoenix datang daripada perkataan Inggeris, phenix (sebelum tahun 1150, Middle English), yang berakar dari perkataan fēnix (sekitar tahun 750, Old English).

Perkataan fēnix ini dipinjam daripada perkataan Medieval Latin, phenix, yang pula mempunyai akar daripada perkataan phoenīx (Latin Klasik). Perkataan ini diterjemah daripada perkataan Yunani iaitu φοῖνιξ phoinīx.

Ketika Zaman Rom dan Yunani purba, nama burung ini dikaitkan dengan sebuah tamadun Phoenicia, yang terkenal dengan pembuatan dye berwarna merah keunguan. Warna dye itu kemudiannya dibandingkan dengan warna burung Phoenix, merah darah keungguan. Penggunaan dye tersebut pula acapkali hanya mampu digunakan oleh golongan bangsawan dan diraja, maka secara tak langsung burung Phoenix juga digelar sebagai “the royal bird”.

Mitos Dan Sejarah Burung Phoenix

Menurut kepercayaan tamadun purba Yunani terdahulu, burung Phoenix (dikenali juga dengan nama bennu) merupakan seekor burung yang mendiami kawasan hutan di Mesir Purba sebagai habitat asalnya. Ia mendiami kawasan yang mempunyai sumber air. Setiap kali waktu subuh, burung ini akan bermandi-manda di sumber air tersebut sambil menyanyikan alunan merdu sehinggakan ia mampu menangkap perhatian Tuhan Matahari Mesir Purba, Ra ketika dalam perjalanannya. Ra merupakan tuhan yang digambarkan dengan imej berwajah burung helang atau falcon, dengan imej matahari dilingkari ular diatas kepalanya. Imej ini bersesuaian dan sering dikaitkan dengan burung Phoenix itu sendiri.

Menurut kisah, burung Phoenix mampu hidup selama 500 tahun sehayat, dan apabila sudah tiba ajalnya, ia akan mengutip beberapa batang ranting kering dan membentuk sebuah altar tempat ia bakal duduk bersemadi. Seusai siap, burung Phoenix ini akan duduk diatas altar tersebut dan tenang menunggu ajalnya. Setibanya pancaran matahari pertama (ufuk subuh) timbul, pancaran itu akan mula membakar reranting kering altar, mengakibatkan ianya terbakar memanggang jasad burung Phoenix tersebut. Namun begitu, burung ini tidak sekalipun berganjak dari tempatnya, sehingga ia dibakar terus menjadi debuan. Sejurus selepas jasadnya bertukar menjadi debuan, muncul seekor cacing daripada debu jasad tersebut. Cacing itu kemudiannya memperoleh nutrisi daripada debu berkenaan dan membentuk burung Phoenix semula. Burung itu kemudiannya membawa saki baki debuannya ke Kuil Tuhan Matahari (Heliopolis) untuk persemadian, dan akhirnya ia pulang semula ke habitatnya, meneruskan kitaran 500 tahun hidupnya sekali lagi.

Phoenix Dan Dunia Moden

Sehingga kini, imej burung Phoenix diterapkan dalam pelbagai kefahaman, hasil seni, lambang dan simbol sesebuah masyarakat.  Burung Phoenix digambarkan sebagai suatu kebangkitan dalam kegagalan, mampu menempuhi segala cabaran, kemenangan keatas kematian dan kehidupan selama-lamanya. Sebagai contoh, sebuah ukiran batu Phoenix dihasilkan di Fenghuang, China. Atlanta, San Francisco dan Arizona juga menggunakan imej burung Phoenix sebagai simbol bendera. Selain itu, filem-filem luar negara juga menggunakan watak haiwan mitos burung Phoenix dalam penceritaannya, sebagai contoh filem Harry Potter.

Selain itu, burung Phoenix juga disimbolikkan sebagai kebangkitan Jesus Christ (Nabi Isa A.S.) ketika era awal Kristianisasi. Manakala dalam agama Yahudi, burung Phoenix dikisahkan sebagai satu-satunya haiwan yang tidak terpedaya dengan hasutan Eve untuk memakan buah yang terlarang. Ketika Eve jatuh ke Bumi, dia terpedaya dengan hasutan ular Nachash untuk memakan buah yang terlarang di Taman Eden. Akan tetapi selepas terperdaya, Eve mula merasa cemburu dengan haiwan lain, dan akhirnya mencabar haiwan-haiwan tersebut untuk memakan buah yang sama. Hanya burung Phoenix sahaja yang tidak terperdaya, maka ia diberi ganjaran untuk hidup selama-lamanya.

Dalam budaya ketimuran pula, mitos seumpama seperti burung Phoenix pula dikenali sebagai burung api bernama Garuda, tunggangan (chariot) kepada Tuhan Hindu, Vishnu. Di China pula, burung Phoenix dikenali sebagai Feng-huang yang melambangkan kesempurnaan, penyatuan Yin dan Yang, juga keamanan. Akan tetapi Feng-huang dipercayai tidak melalui fasa kitaran hidup-mati seperti Phoenix, akan tetapi ia bersifat kekal selamanya.

Sains Disebalik Mitos Phoenix

Walaubagaimanapun, burung Phoenix masih kekal sebagai mitos dan kepercayaan masyarakat purba disebabkan oleh ketiadaan bukti dari segi rangka, penampakan dan kesan kewujudannya. Perlu diingatkan bahawa kebanyakan teori sains yang dijelaskan dibawah merupakan sekadar teori fiksyen semata-mata, dan besar kemungkinan terdapat kesilapan didalamnya. Akan tetapi, tak salah untuk kita sama-sama selami mitos ini melalui kacamata sains secara teoratikal untuk kenalpasti, seandainya burung ini sememangnya wujud, mampukah ia wujud dengan ciri-ciri yang digambarkan?

Sebelum kita mulakan pembedahan sesi sains fiksyen The Patriots ini, mari kita rungkai beberapa fakta penting sebagai asas kajian.

Seperti yang kita tahu, melalui penceritaan ini, burung Phoenix;

i.) mampu menghasilkan api dan mengawalnya,
ii) hidup dan terbang di kawasan panas,
iii) mampu menyelaputi dirinya dengan api tanpa mencederakan dirinya, kalis api,
iv) hidup 500 tahun lamanya.
v) mati hidup semula daripada debuan jasadnya.

Mengawal Dan Menghasilkan Api

Menurut beberapa fiksyen layar perak dan permainan konsol, Phoenix digambarkan sebagai burung yang mampu menghasilkan dan mengawal api. Akan tetapi, ia tidak mengeluarkan api dari mulutnya, namun melalui libasan kepaknya.

Dalam artikel naga yang lepas, kita telah membincangkan sedikit sebanyak bagaimana api dihasilkan melalui tiga perkara dalam fire tetrahedron, iaitu sumber bahan pengoksida (oksigen), haba (percikan) dan bahan bakar (gas hidrogen). Naga secara teorinya mampu mengeluarkan api melalui mulutnya, dengan penggunaan percikan batuan, gas hidrogen dan kandungan oksigen sedia ada didalam udara persekitaran. Namun lain pula halnya dengan bagaimana burung Phoenix menciptakan api, iaitu melalui libasan kepaknya.

Untuk mencipta api daripada kepak, kita memerlukan tiga perkara penting dalam prinsip fire tetrahedron:

1. Haba
2. Bahan bakar
3. Agen pengoksidaan. Ini tak perlu dijelaskan pun, kerana kepekatan gas oksigen didalam udara persekitaran kita adalah sebanyak 21%, maka pembakaran sudah tentu boleh dihasilkan.

Haba

Mari kita kaji tentang haba bagi seekor Phoenix. Disini saya mempunyai dua jenis teori.

Yang pertama, berkaitan Gas Law. Menurut prinsip Bernoulli berkaitan tekanan udara, menceritakan bahawa pergerakan udara (fluid) yang laju pada sesuatu sayap akan menyebabkan tekanan udara dibawah sayapnya menjadi tinggi. Ini merupakan konsep mengapa sayap membantu dalam penerbangan (lifting). Tekanan yang tinggi pada sesuatu kawasan akan menyebabkan peningkatan suhu di kawasan berkenaan. Ini sesuai dengan Gas Law yang dicipta oleh Gay-Lussac yang mengatakan bahawa suhu meningkat setaraf dengan peningkatan tekanan sesuatu gas.

Pendek kata, setiap kali sayap burung Phoenix dikibas, tekanan dibawah sayapnya menjadi tinggi, maka suhu juga akan meningkat. Suhu yang semakin meningkat ini boleh menjadi suatu sumber haba untuk memulakan api, selagi mana sayapnya dikibas.

Yang kedua, penggunaan mineral pyrite sebagai sumber percikan api. Menurut mitos, burung Phoenix mempunyai sayap berwarna merah dengan pelepah berwarna keemasan. Dan ketika burung Phoenix sedang terbang diudara, sayapnya akan mengeluarkan percikan haba seakan api.

Menurut teori saya, bulu pelepah burung Phoenix yang berwarna merah keemasan itu sebenarnya adalah terdiri daripada mineral-mineral halus pyrite. Pyrite (atau fool’s gold) adalah suatu mineral yang berwarna emas keemasan yang boleh ditemui di beberapa kawasan gurun padang pasir, dan boleh digunakan sebagai batu percikan (flint) untuk menghasilkan api. Ia dikenali sebagai fool’s gold oleh kerana warnanya yang seakan seperti emas namun realitinya tidak.

Ciri yang dimiliki mineral pyrite ini, menguatkan lagi hujah saya terhadap sayap burung Phoenix. Pyrite boleh ditemui di kawasan gurun padang pasir, dimana kebetulan merupakan tempat asal burung Phoenix, iaitu di Mesir Purba. Manakala bulu pelepah burung Phoenix sepatutnya berwarna merah, akan tetapi dipenuhi mineral pyrite sehingga ternampak seakan-akan merah keemasan. Seandainya benar setiap satu bulu pelepah burung Phoenix disadur atau disaluti mineral-mineral pyrite, maka setiap kibasan sayapnya sudah tentu akan menyebabkan mineral pyrite bergesel antara satu sama lain, lalu menghasilkan percikan api.

Bahan Bakar

Selesai sudah kita bincang tentang haba. Sekarang kita masuk bab bahan bakar.

Menurut kajian ornithology (kajian burung), setiap avian (burung) yang mempunyai kebolehan untuk terbang diudara mempunyai tulang temulang yang kosong didalamnya, atau dikenali sebagai pneumatic bone. Pneumatic bone adalah suatu ciri yang  dimiliki oleh burung, iaitu tulang yang kosong (hollow) didalamnya dan dipenuhi poket-poket udara, tidak padat seperti tulang mamalia. Tulang-tulang sebegini dicipta atas dua tujuan utama.

Poket-poket udara didalam tulang temulang ini sebenarnya disambung secara langsung dengan peparu seekor burung. Ia bertujuan untuk menyimpan bekalan oksigen tambahan bagi memudahkan burung terbang pada jarak yang jauh secara berterusan. Oksigen diperlukan oleh badan untuk membentuk tenaga. Bekalan oksigen ini membantu dalam meregulasikan pernafasan burung dan penggunaan tenaga ketika melalui fasa terbang yang memenatkan.  Ketiadaan tulang-tulang yang padat dalam tulang burung juga mengurangkan berat dan bebanan yang dipikul burung, dan membantu ia untuk terbang dengan lebih lama.

Maka, burung Phoenix juga sudah tentu mempunyai tulang yang sebegini. Akan tetapi, ia tidaklah bersambung terus pada peparunya, akan tetapi bersambung pada perutnya. Mengapa perut?

Secara umumnya, perut sesuatu haiwan mempunyai tahap gas methane yang tinggi dan signifikan. Lazimnya bagi manusia, gas ini dikeluarkan daripada tubuh badan melalui kentut (flatulence). Gas ini bersifat mudah terbakar jika didedahkan dengan percikan api. Seandainya tulang-temulang sayap burung Phoenix ini disambungkan pada perutnya, maka sudah tentu tulangnya dipenuhi gas methane. Saya menteorikan bahawa sayap burung Phoenix ini mempunyai rongga-rongga kecil yang bersambung kepada poket-poket udara dalam tulangnya. Rongga-rongga ini pula ditutup kemas dengan pergerakan otot dan kedudukan bulu pelepah pada sayapnya. Maka, setiap kali sayapnya dikibas, otot dan bulu pelepahnya berubah kedudukan, membenarkan pengeluaran gas methane daripada kepaknya. Gas ini kemudiannya bertemu percikan api hasil geseran mineral pyrite pada sayapnya tadi, membentuk suatu tujahan api yang dahsyat. Rongga-rongga ini secara tidak langsung membenarkan burung Phoenix mengawal apinya sendiri.

Hidup Dan Terbang Di Habitat Panas

Seperti yang telah dibincangkan tadi, Phoenix hidup di kawasan hutan suatu ketika dahulu. Ya, Mesir Purba merupakan sebuah savannah yang kaya dengan sumber tumbuhan hasil daripada hujan monsun yang berlaku kira-kira 9,000 tahun dahulu. Ia kemudiannya menjadi gurun setelah ketiadaan hujan monsun tersebut.

Seandainya burung Phoenix masih hidup sehingga kini, mampukah ia bertahan di habitatnya dengan keadaan cuaca yang dahsyat di kawasan gurun Mesir? Menurut informasi Muzium Gurun Arizona-Sonora, burung seperti Phoenix mampu hidup di kawasan gurun dengan beberapa cara. Yang pertama, sesetengah burung sememangnya sudah mempunyai paras suhu badan yang tinggi, maka ia masih boleh menyesuaikan diri dengan keadaan panas sekitarnya. Sebagai contoh, burung puyuh Gambel mempunyai paras suhu badan sekitar 42°C, maka ia masih boleh hidup di persekitaran dibawah suhu 42°C. Yang kedua, kaki burung Phoenix yang tirus membenarkan ia berada jauh dari permukaan gurun yang panas. Salur darah pada kakinya yang bersisik juga boleh dikembangkan, dan memudahkan proses pengeluaran haba dari tubuh badan melalui pengaliran darah.

Manakala di kawasan gurun, burung hering mengekalkan kuantiti air dalam badannya dengan cara mudah, iaitu kencing pada sekitar kawasan kakinya. Proses penyejatan air daripada kesan kencing diatas tanah tadi akan membawa titisan air kearah kaki dan badannya, dan lantas mengurangkan haba pada badan. Mungkin burung Phoenix juga boleh lakukan perkara yang sama, mungkin.

Kalis Api

Jika burung Phoenix mampu mengawal dan menghasilkan api, maka tidakkah ia merbahaya bagi dirinya sendiri? Tidakkah pelepahnya nanti habis dibaham apinya sendiri?

Setakat ini, saya masih tidak menjumpai sebarang material yang boleh diteorikan sebagai bulu pelepah yang bercirikan kalis api. Akan tetapi, terdapat dua teori yang bagi saya masih karut dan agak mustahil, akan tetapi mempunyai kebarangkalian yang tinggi bagi menerangkan sifat kalis api burung Phoenix.

Teori yang pertama, menurut kajian saintis University McGill di Canada, mereka mendapati bahawa terdapat sekumpulan burung helang Cooper (Accipiter cooperii) di Vancouver yang mempunyai kadar agen kalis api yang tinggi didalam badannya. Agen ini dikenali sebagai polybrominated diphenyl ether, atau PBDE, suatu material yang digunakan pada masa dahulu sebagai agen kalis api dalam penciptaan perabot dan perkakasan domestik dan automotif.

Menurut mereka, burung Cooper ini merupakan pemangsa bagi burung jalak, yang tinggal di sekitar kawasan pembuangan sampah di Vancouver. Atas faktor ini, burung helang Cooper terdedah dengan bahan PBDE melalui pemakanan, hasilnya menyebabkan PBDE terkumpul dibahagian hati burung tersebut. Walaupun ia tidak memberi kesan kesihatan kepada burung ini, namun ia mungkin memberi kesan dari segi tingkahlaku dan metabolisma burung Cooper dalam jangka masa panjang. Akan tetapi, ini tidaklah bermaksud burung ini kalis api. Sekadar menerangkan kewujudan agen PBDE ini didalam spesies avian (burung).

PBDE, yang dicirikan sebagai agen kalis api ini sebenarnya boleh dihasilkan secara semulajadi oleh beberapa bakteria marin, menurut kajian Universiti California. Maka, jika teori ini dapat diletakkan pada burung Phoenix, ia dapat menerangkan punca mengapa burung Phoenix mempunyai tubuh kalis api. Sama ada ia mempunyai diet yang tinggi kadar PBDE, atau ia mampu mensintesis secara semulajadi agen kalis api PBDE ini.

Teori yang kedua pula, burung Phoenix mempunyai lapisan graphene oxide (atau graphene) yang nipis pada setiap bulu pelepah dan kulitnya. Graphene oxide merupakan antara bahan kalis api yang paling berkesan setakat ini. Ia diperolehi daripada mineral graphite yang telah dioksidakan. Kajian lanjut berkenaan graphene oxide masih lagi dijalankan. Graphene oxide bersifat lutsinar dan nipis. Jika kita teorikan bahawa setiap bulu pelepah burung Phoenix dilapisi graphene oxide, maka ianya sangat sesuai sebagai agen kalis api tanpa warna.

Walaupun kedua-dua teori ini agak karut dan mustahil, akan tetapi tak salah kita bentuk teori pada subjek yang sememangnya merupakan mitos dengan sains fiksyen.

Jangka Hayat 500 Tahun

Ini bukanlah suatu yang mustahil. Banyak haiwan yang mampu hidup dengan jangka hayat yang panjang, sebagai contoh kura-kura gergasi Galapagos yang mencecah umur 100 tahun (mencecah 170 tahun dalam konservasi), manakala ikan jerung Greenland pula mampu hidup mencecah 200 tahun. Malah, pada tahun 2016, sekumpulan saintik menemui rangka seekor ikan jerung Greenland yang berusia kira-kira 400 tahun.

Akan tetapi, rekod umur paling tua bagi haiwan (verterbra dan invertebra) dipegang oleh seekor kepah bernama Ming yang berusia kira-kira 507 tahun, diberi nama sempena terbentuknya dinasti Ming ketika kepah ini dilahirkan. Ia mati akibat dari kesilapan saintik menariknya kedalam bot untuk dikaji, menyebabkan kematiannya.

Jika dikaji semula, banyak haiwan dari zaman purba sememangnya mampu hidup beratus tahun lamanya. Ada yang mengaitkan ini dengan kesan ketepuan oksigen yang tinggi pada masa dahulu kala, ada pula yang mengaitkan dengan kemampuan biologikal haiwan tersebut. Sebagai contoh, Immortal Jellyfish yang secara biologikalnya mampu hidup selama-lamanya akibat dari kemampuan ia kembali ke fasa pramatang jika ia cedera atau mengalami tekanan. Apa pun, kemungkinan untuk burung Phoenix hidup sehingga 500 tahun sekali hayat tidaklah sesuatu yang janggal dalam dunia haiwan.

Kebolehan Bangkit Dari Abu

Dalam bidang sains, terdapat suatu kajian yang boleh kita kaitkan dengan burung Phoenix, iaitu palingenesis. Proses palingenesis merupakan suatu proses membentuk sesuatu yang telah musnah menjadi sesuatu yang baharu mengikut bentuk dan ciri-ciri ia sebelumnya. Perkataan palin yang bermaksud “asal” (origin) atau “semula” (again) dan genesis “kelahiran” (birth) membentuk palingenesis, iaitu proses kelahiran semula kepada bentuk asal buat sesuatu perkara.

Konsep palingenesis kerapkali digunapakai dalam pelbagai cabang ilmu, seperti politik dimana ia digambarkan sebagai kembalinya penduduk Yahudi (Judah) kedalam Babylon selepas diusir, atau pembentukan semula negara Yunani ketika Revolusi Yunani berlaku. Ia juga digunapakai dalam ilmu sains seperti pembentukan magma daripada batuan metamorfik, dalam bidang geologi. Bahkan, agama Kristian dan Hindu masing-masing mempercayai konsep palingenesis dimana Kristian mempercayai bahawa Jesus (Nabi Isa A.S.) bakal dibangkitkan daripada kematian, dan penganut Hindu mempercayai konsep ‘reincarnation’.

Pengamalan palingenesis sebenarnya merupakan ilmu spiritual yang melibatkan magis dan kuasa luar dari kemampuan manusia yang bermula dari zaman ilmu alkimia. Bidang alkimia (alchemy) mempercayai bahawa proses palingenesis boleh dilakukan untuk menghidupkan sesuatu makhluk yang sudah mati (haiwan, manusia atau tumbuhan) kembali ke bentuk asalnya, daripada jasad penuh (mayat, tulang temulang, debu mayat) mahupun sebahagian dari jasad (organ, darah, tisu). Selagimana syaratnya, makhluk itu merupakan makhluk yang telah hidup (mempunyai nyawa).

Menurut seorang cendekiawan Benedictine Perancis, Dom Calmet, (1672-1757) melalui tulisan Treaty on the Apparitions of Spirits, beliau menceritakan bagaimana tumbuhan boleh dihidupkan semula melalui proses palingenesis.

“Mereka (para saintis) mengambil sekuntum bunga, dibakarkan ia hingga menjadi debu, dan daripada debu itu diambil pula ekstrak bunga melalui proses calcination (pemanasan udara untuk mentransformasi sesuatu bahan). Ekstrak garam (debu) bunga itu diletakkan didalam balang kaca, dan apabila dicampur bahan tertentu dan dipanaskan, ia membentuk suatu material berwarna kebiruan pudar. Daripada debuan ini, dikawal dengan haba rendah, membentuk sebatang pokok kecil dengan dedaun dan bunga, menyerupai bentuk bunga yang asalnya dibakar. Sebaik haba dimatikan, tumbuhan ini mengeluap, pecah dan tersebar kedasar balang kaca. Setiap kali dipanaskan, tumbuhan Phoenix ini bangkit dari debunya, seperti mana haba memberinya nyawa, hilangnya haba menentukan kematiannya.”

Gambar ini merupakan ilustrasi artis terhadap Paracelcus yang sedang cuba membentuk tumbuhan melalui ilmu palingenesis.

Seperti yang digambarkan Dom Calmet, teori membangkitkan sesuatu daripada debu jasad kepada bentuk asal, dengan penggunaan haba yang konsisten, jelas dapat dimuatkan dalam teori bagaimana burung Phoenix mampu dihidupkan semula.

Dengan pengawalan api dan haba yang sedia ada merupakan kebolehan burung Phoenix, ditambah pula dengan konsep palingenesis ini, membenarkan teori kita tentang bagaimana burung Phoenix mampu mati hidup semula.

Penutup

Walaupun semua yang dibincangkan diatas sekadar teori malah jangkaan yang agak melampau, akan tetapi ianya adalah suatu perkara yang menarik untuk kita bentukkan teori kehidupan pada sesuatu haiwan yang hidup dalam dunia mitos. Adakah burung Phoenix itu benar sekadar mitos, atau ianya sebenar-benarnya wujud, jawapan untuk persoalan ini tidaklah kita ketahui.

#AC #SNJOKER


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

"Mengapa sistem huruf moden perlu disusun bermula dari A hingga Z walhal tiada satu pun syarat yang mewajibkan sedemikian?" Seorang jururawat lelaki yang gemar melihat hidup dari sisi dan perspektif tidak lazim dan janggal. Kadangkala sehingga mencabar kefahaman terhadap diri sendiri.

Leave A Reply