Mesir merupakan sebuah negara yang kaya dengan nilai sejarahnya dari tamadun Mesir Purba hinggalah sejarah perjuangan para anbiya yang pernah berada di situ seperti Nabi Yusuf, Nabi Harun dan Nabi Musa a.s.

Dan antara monumen yang menjadi saksi kepada lipatan sejarah Mesir ialah piramid dengan Piramid Agung Giza merupakan sebahagian daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba yang terus bertahan sehingga hari ini. Tetapi bagaimana ia dibina dan mengapa ia menjadi kegilaan geng teori konspirasi termasuk geng teori angkasawan purba (ancient astronauts)?

Cukai dan pekerja

Sebelum kita melihat bagaimana ia dibina, kita perlu tahu bagaimana tamadun Mesir Purba membiayai projek berskala mega ini. Semasa era Kerajaan Lama (Old Kingdom) yang memerintah selama 500 tahun dari 2686 hingga 2181 SM, ekonomi Mesir Purba ketika itu masih lagi berorientasikan pertanian dan bergantung kepada Sungai Nil.

Kawasan tanah di sepanjang tebingnya amat subur untuk dijadikan sebagai kawasan pertanian dengan sungai menjadi pilihan mengangkut komoditi ke seluruh negara. Kebanyakan tanah ini dikawal oleh estet-estet dengan pemilik-pemiliknya sama ada pegawai-pegawai istana, anggota kerabat diraja atau kuil Mesir Purba.

Estet-estet ini saling berkait antara satu sama lain dan merupakan sebahagian daripada rangkaian pengedaran yang melaporkan terus kepada Firaun (pemerintah tamadun Mesir Purba) dan bergantung kepada pusat pentadbiran kerajaan itu.

Umumnya, estet-estet dan bandar-bandar Mesir Purba ketika itu merupakan unit asas organisasi sosial dan ekonomi. Kerajaan ketika itu tidak mengenakan cukai kepada individu tetapi kepada estet-estet yang ada. Perkara tersebut tidak dibuat kerana mengenakan cukai terhadap individu boleh membebankan kerajaan dalam merealisasikan usaha itu ke seluruh negara.

Justeru, tanggungjawab membayar cukai diletakkan di bahu ketua estet untuk membawa hasil pendapatan masuk ke kantung kewangan kerajaan dan memastikan sentiasa ada lebihan sebagai bayaran cukai. Jika mereka gagal berbuat demikian, maka bersedialah berhadapan dengan hukuman yang dikenakan Firaun ke atas mereka.

Untuk mengira berapa banyak pendapatan dan cukai yang harus dibayar kepada pihak kerajaan, kerajaan Mesir Purba mengadakan bancian secara berkala. Walaupun individu tidak dikenakan cukai, barang-barang yang boleh dicukaikan seperti haiwan ternakan dan produk pertanian dikenakan cukai.

Kerajaan juga menerima cukai dalam bentuk lain seperti hasil kraf tangan dan fabrik yang bermutu. Semua hasil ini akan disimpan di stor-stor sebelum ia diagihkan sama ada ke estet-estet atau projek-projek yang diusahakan ketika itu termasuk pembinaan piramid.

Penerimaan hasil sebegini menjadikan ketua-ketua estet kaya-raya tetapi itu tidak bererti jika mereka gagal menunaikan tanggungjawab estet dan terhadap pihak kerajaan. Antara peranan estet semasa era Mesir Purba ialah memastikan estet sentiasa berjalan lancar dan kebajikan pekerja-pekerja yang dikerah untuk projek pembinaan sentiasa terjaga termasuk diberi makanan mencukupi. Buktinya di Giza, kajian arkeologi mendapati pekerja-pekerja yang terlibat dengan projek pembinaan Piramid Agung Giza diberi makanan yang bersifat mewah seperti daging, ikan dan bir.

Reka bentuk dan pembinaan

Sekarang, mari kita beralih kepada bagaimana piramid dibina. Seperti mana-mana jurutera dan pembina dalam sejarah, pembina piramid juga berdepan pelbagai cabaran dalam merealisasikan pembinaan piramid.

Pada awalnya, ia berbentuk segi empat tepat (mastaba) yang boleh dilihat pada makam-makam Firaun lebih 5,000 tahun lalu berdasarkan pengamatan ahli arkeologi Sir Flinders Petrie. Tetapi semasa era pemerintahan Firaun Djoser (memerintah sekitar 2630 SM), sudah wujud kemajuan dari segi teknik pembinaan piramid.

Makam baginda di Saqqara yang direka oleh Imhotep pada mulanya berbentuk mastaba biasa sebelum ia dibina menjadi piramid bertangga enam lapis dengan terowong-terowong dan ruang bawah tanah. Piramid ini menjadi pilihan pemakaman Firaun lain selepas baginda tetapi banyak yang tidak siap berikutan tempoh pemerintahan mereka yang singkat.

Teknik pembinaan piramid sekali lagi mencapai kemajuan semasa era Firaun Sneferu (memerintah sekitar 2575 SM) di mana era tersebut menyaksikan pembinaan tiga buah piramid. Namun, piramid yang dibina bukanlah piramid bertangga tetapi model pertama piramid permukaan licin sebagai acuan kepada pembinaan piramid di Giza.

Tetapi disebabkan kesilapan arkitek baginda, salah satu daripada piramid di Dahshur itu dikenali sebagai piramid bengkok berikutan sudutnya yang diubah separuh jalan. Ramai pakar arkeologi menganggap ia satu kesilapan pembinaan. Kesilapan itu kemudiannya dibetulkan melalui pembinaan piramid kedua di lokasi sama yang dikenali sebagai Piramid Merah kerana mempunyai sudut yang tetap sekaligus menjadikannya sebagai piramid tulen yang pertama. Rekaan ini kemudiannya digunakan oleh putera Sneferu, Khufu untuk membina Piramid Agung di Giza.

Selalunya, tugas pembinaan projek mega terutama piramid diserahkan kepada seorang pegawai tinggi kerajaan untuk memantau proses pembinaan. Buktinya pada tahun 2010, satu dokumen papirus yang dijumpai di Wadi al-Jarf mendedahkan kekanda tiri Khufu, Ankhaf dilantik sebagai wazir dan ketua projek pembinaan diraja pada tahun ke-27 pemerintahan baginda. Tetapi penyelidik dan sejarawan berpandangan peranan tersebut digalas oleh Hemiunu yang bertanggungjawab memantau pembinaan piramid semasa tahun-tahun awal pemerintahan Khufu.

Usaha perancangan pembinaan bukan sekadar membabitkan proses pembinaan tetapi juga dari segi pemerolehan sumber bahan binaan dan bagaimana ia diangkut. Selain itu bagi memudahkan urusan pekerja dan pegawai yang memantau, sebuah bandar juga dibina di mana ia terdiri daripada jeti, kuil-kuil, berek tentera dan kawasan tanah perkuburan. Ini berdasarkan penemuan arkeologi membabitkan kuil-kuil dan kawasan perkuburan dipercayai kubur pekerja-pekerja pembinaan piramid berhampiran kawasan piramid.

Tambah menakjubkan, orang Mesir Purba dilihat mampu mengatur kedudukan bangunan mereka ke arah utara sebenar, satu perkara yang membantu proses pembinaan piramid. Ini berdasarkan pengamatan jurutera Glen Dash yang mendapati piramid Khufu telah diatur ke arah utara sebenar dalam lingkungan 1/10 darjah. Ramai masih menggaru kepala bagaimana ia boleh dilakukan tetapi Dash membuat teori orang Mesir Purba menggunakan bintang lilit kutub seperti Polaris sebagai panduan dan garisan-garisan tali sebagai penanda untuk mendapatkan arah utara.

Kebanyakan batu yang dibawa untuk proses pembinaan piramid diambil dari kuari-kuari berbentuk ladam kuda yang terletak di selatan kawasan piramid. Untuk mengangkutnya sahaja memerlukan ia diletakkan di atas peluncur yang boleh ditolak atau ditarik oleh sekumpulan pekerja. Bagi membolehkan ia ditarik atau ditolak dengan mudah, pasir di bahagian hadapan peluncur akan disiram dengan air.

Berdasarkan kajian sepasukan ahli fizik dari Universiti Amsterdam pada tahun 2014, ia bertujuan mengurangkan geseran dan melancarkan lagi pergerakan peluncur. Menurut Profesor Daniel Bohn, ketua pasukan penyelidikan kajian itu, membasahkan pasir di hadapan peluncur turut mengurangkan bilangan pekerja diperlukan untuk menarik atau menolak batu sampai ke tapak projek. Ini ditambah dengan pelbagai lukisan Mesir Purba di kuil-kuil yang menunjukkan pekerja membasahkan pasir di hadapan peluncur.

Kebanyakan pengkaji Mesir Purba bersetuju selepas batu-batu ini sampai di tapak projek, satu sistem tanjakan digunakan untuk membawa batu-batu naik ke atas. Namun, ini menimbulkan tanda tanya dalam kalangan mereka berkenaan reka bentuk tanjakan yang digunakan untuk mengangkut batu-batu seberat beberapa tan ke atas. Tidak banyak bukti tanjakan ini terselamat tetapi sudah ada pelbagai reka bentuk tanjakan yang dicadangkan sebagai reka bentuk tanjakan yang digunakan semasa pembinaan piramid.

Tetapi pada tahun 2018, pasukan arkeologi dari Universiti Liverpool dan Institut Arkeologi Oriental Perancis menemui sisa sistem tanjakan dari sebuah kuari alabaster di Hatnub. Sistem tanjakan ini dikatakan sudah wujud semasa era pemerintahan Khufu. Menurut pengarah misi bersama Yannis Gourdon, sistem tanjakan ini diapit oleh dua tangga dengan banyak lubang tiang. Semasa batu ditarik keluar, ia akan ditarik di atas peluncur dengan pekerja-pekerja menariknya dengan tali pada tiang-tiang kayu dari cerun yang mempunyai kecuraman 20% atau lebih.

Namun menurut Profesor Kara Cooney dari Universiti California, Los Angeles, penemuan tersebut masih belum boleh dijadikan sebagai bukti sistem ini merupakan sistem sama digunakan untuk pembinaan piramid di Giza. Ini kerana tidak seperti batu-batu lain, batu alabaster bersifat lembut dan ringan sementara batu-batu yang digunakan untuk piramid seberat beberapa tan dan sukar untuk dipotong.

Menurut beliau, pengkaji Mesir Purba masih menggaru kepala mekanisme yang digunakan untuk memotong batu keras seperti granit dan bagaimana batu-batu ini diangkat dan disusun pada piramid. Kebanyakan pakar membuat teori tanjakan yang digunakan sama ada tanjakan lurus, tanjakan yang dilengkungkan sepanjang dinding atau tanjakan yang dibina dalam piramid itu sendiri.

Yang pasti, tiga piramid di Giza ini terus menarik perhatian pengunjung sehingga hari ini. Piramid pertama ialah Piramid Khufu yang berukuran 147 meter tinggi dan setiap sisi berukuran 230 meter, menjadikan ia piramid terbesar di dunia. Bersebelahan piramid ini ialah tiga piramid kecil dengan salah satunya menempatkan makam bondanya, Ratu Hetespheres.

Piramid di tengah ialah Piramid Khafre yang dibina khas untuk putera Khufu, Firaun Khafre dengan satu patung terkenal dibina bersebelahannya. Patung manusia berbadan singa itu ialah Sphinx dan merupakan patung terbesar dunia purba dengan tinggi 66 kaki dan lebar 240 kaki.

Pada tahun 1500 SM, Sphinx menjadi sembahan penduduk tempatan kerana menyangka ia merupakan jelmaan Dewa Horus. Piramid terakhir ialah piramid putera Khafre, Firaun Menkaure dengan ketinggian 218 kaki dan pelopor kepada piramid-piramid yang lebih kecil selepas itu.

Pembina piramid agung terakhir ialah Firaun Pepy II yang memerintah dari 2278 hingga 2184 SM. Semasa era pemerintahan baginda selama 94 tahun, kekayaan Kerajaan Lama semakin berkurangan, prestij Firaun semakin merosot dan kuasa pembesar istana semakin bertambah. Piramid terakhir yang dibina di Saqqara itu mempunyai ketinggian 172 kaki dan dilengkapkan dalam tempoh 30 tahun pertama pemerintahan baginda.

Selepas Pepy II mangkat pada tahun 2184 SM, ia menandakan berakhirnya Kerajaan Lama dan permulaan tempoh kekacauan yang dikenali sebagai Tempoh Pertengahan Pertama (First Intermediate Period). Firaun-firaun lain kembali membina piramid sekitar abad ke-12 SM semasa fasa Kerajaan Tengah tetapi tidaklah sebesar skala era Kerajaan Lama.

“Makhluk asing pembina piramid? Mengarut!”

Piramid bukan saja menarik minat pengkaji sejarah tetapi juga golongan teori konspirasi. Golongan teori konspirasi terutama peminat teori angkasawan purba sentiasa menegaskan bahawa piramid dibina oleh makhluk asing dan bukannya orang Mesir Purba, satu teori yang menimbulkan kemarahan penduduk Mesir dan pengkaji Mesir Purba.

Sesetengah cendekiawan berpandangan dakwaan sebegini timbul berikutan sisi perkauman yang terlalu menebal kerana enggan menerima hakikat ada sesetengah tamadun yang lebih maju berbanding orang Eropah dan menganggap ia boleh dibina dengan peralatan ringkas sebagai mustahil.

Ini mendorong sesetengah mereka untuk ‘merosakkan’ sesetengah Tapak Warisan Dunia atas nama membuktikan teori mereka itu benar. Keadaan ini mengancam integriti struktur Tapak Warisan Dunia dan menyusahkan pihak kerajaan kerana perlu mengeluarkan sejumlah besar wang untuk memuliharanya.

Contohnya pada tahun 2008, kerajaan pimpinan Hosni Mubarak terpaksa mengeluarkan belanja berjumlah $45 juta untuk memelihara dan memulihara piramid di Giza. Projek ini kemudiannya tertangguh akibat revolusi rakyat pada tahun 2011 sebelum disambung kembali pada tahun 2016 semasa pemerintahan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Berikut beberapa teori konspirasi tentang piramid khas untuk tatapan anda:

1. Medium Edgar Cayce mendakwa piramid sebenarnya dibina oleh pelarian-pelarian yang terselamat dari kemusnahan Atlantis sekitar 10,500 SM, lapan milenia sebelum pembinaan Piramid Khufu. Menurut Cayce, ia dibina pada tahun 10,400 SM dan segala rekod yang menyatakan ia dibina pada tahun 2000 SM dan selepasnya dianggap satu pembohongan.

Dia juga mendakwa pelarian-pelarian ini turut membina sebuah dewan rekod bersebelahan piramid (dipercayai di bawah Sphinx) yang mengandungi pelbagai rahsia tentang Atlantis dan meramalkan ia akan didedahkan dalam 20 tahun terakhir abad ke-20. Malangnya, ramalan Cayce sampai hari ini masih tidak kesampaian.

2. Bagi yang suka menonton Ancient Aliens, pasti sudah masak dengan panel seperti Erich von Daniken, Giorgio Tsoukalos dan David Childress. Ada saja teori yang tidak masuk akal berkenaan teori angkasawan purba mereka.

Dalam bukunya Chariots of the Gods, Daniken menceritakan pada satu masa dahulu, bumi dilawati oleh makhluk asing di mana mereka disembah seperti dewa-dewi, bertanggungjawab membina monumen-monumen termasuk piramid dan agama atau mitos sesebuah bangsa dikatakan memori kepada lawatan mereka ini.

Dalam kes piramid, dia mendakwa piramid sebenarnya mengambil masa 664 tahun untuk disiapkan tetapi tidak menyatakan bukti bagaimana dia boleh mengetahui tempoh tersebut. Walaupun dakwaan tersebut ditolak ramai pihak termasuk komuniti saintifik, dakwaan ini masih bertahan sehingga hari ini.

3. Pada tahun 60-an dan 70-an, wujud satu kegilaan yang mendakwa piramid mempunyai kuasa luar biasa termasuk mengekalkan kesegaran susu dan mengembalikan ketajaman pisau cukur. Dua eksperimen ini dilakukan oleh seorang jurutera Czech bernama Karel Dribal dan sebaik diketahui, menjadi obsesi ramai orang ketika itu. Dua eksperimen ini kemudiannya diuji dalam rancangan Mythbusters dan selepas eksperimen, kesemua hos membuat kesimpulan kuasa piramid yang heboh diperkatakan sebagai palsu.

RUJUKAN:

1. Winkler, Andreas. (2018). The economy of Ancient Egypt laid the groundwork for building the pyramids. Quartz. https://qz.com/africa/1478773/the-economy-of-ancient-egypt-led-to-building-the-pyramids/

2. Little, Becky. (2018). How Did Egyptians Build the Pyramids? Ancient Ramp Find Deepens Mystery. History. https://www.history.com/news/ancient-egypt-pyramid-ramp-discovery

3. History. Egyptian Pyramids. https://www.history.com/topics/ancient-history/the-egyptian-pyramids

4. Benoit, Julien. (2017). Outlandish theories that aliens built the pyramids are rooted in racism. Quartz. https://qz.com/africa/1080076/racism-is-behind-outlandish-theories-about-africas-ancient-architecture/

5. Jackson, Kevin. (2011). A Short History of Pyramidology. BBC. http://www.bbc.co.uk/history/ancient/egyptians/pyramidology_01.shtml


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.