Anda menghela nafas lalu menghembuskannya, dan sekarang anda telah menjadi peka akan tindakan tersebut. Tahniah, anda telah berjaya melakukan beberapa reaksi kimia! Ya, semudah menarik satu nafas sahaja anda telah berjaya membentuk ikatan antara oksigen dari udara dan protein hemoglobin dalam darah anda, dan tidak termasuk beberapa reaksi biokimia yang lain (Hoppe-Seyler,1866).
Ilmu kimia boleh didefinisikan sebagai cabang ilmu yang melibatkan struktur, kelakuan, komposisi dan sifat tindak balas yang berlaku antara atom, ion, unsur, atau sebatian serta hukum-hukum yang menerangkan fenomena proses yang terlibat dengan subjek subjek yang dinyatakan di atas (Noresah Baharom, 2005). Perkataan kimia itu sendiri berasal dari ilmu protokimia, alkimia. Perkataan alkimia dipinjam dari perkataan Yunani, χημία atau χημεία (Rashed, 1996) yang bermaksud “dicantumkan bersama” (Weekley, 1967). Perkataan χημία pula berasal daripada perkataan chemie atau kimi, nama purba mesir dalam bahasa mesir (Simpson & Weiner, 1989). Hal ini mungkin merujuk kepada kepakaran mesir dalam ilmu kimia.
Semua bahan yang wujud di alam ini ialah bahan kimia. Maka bahan kimia merangkumi ubat-ubatan, logam, kertas, termasuk air yang kita minum. Bahan kimia ialah unsur, campuran atau sebatian daripada unsur asas kimia. Bahan kimia juga boleh dikatakan terdiri daripada jirim, iaitu bahan yang memenuhi ruang dan mempunyai jisim. Fakta penting yang perlu diketahui mengenai jirim ialah ia terdiri dari zarah yang halus dan diskrit. Halus di sini bermaksud ia sangat kecil, mempunyai lebar beberapa pikometer. Zarah ini mungkin adalah atom, molekul atau ion.
Unsur-unsur kimia yang wujud boleh dirujuk pada jadual berkala, satu jadual yang mengklasifikasikan unsur mengikut sifat kimia secara berkala. Kalau ada rezeki kita akan bincang jadual tersebut dengan lebih panjang.
Adalah penting untuk kita faham bahawa semua bahan berpotensi untuk melalui proses kimia. Proses kimia terjadi bila berlakunya pemutusan dan pembentukan ikatan kimia antara dua bahan kimia. Sebab mengapa saya memilih tajuk “Nyalakan Pelita Pada Ilmu Kimia” untuk artikel ini metafora kepada sejarah terawal eksploitasi reaksi kimia oleh manusia.
Walaupun ilmu kimia terawal yang boleh dikesan melalui sejarah bertulis ialah pada zaman mesir purba (3000 tahun sebelum masihi); iaitu berkenaan teori Ogdoad (Griffiths, 1955) dan penghasilan senjata logam (Keller & Neil, 1980), tak dapat dinafikan pembakaran (api) ialah proses kimia terawal yang digunakan manusia, terutamanya dalam proses memasak. Berna et al. (2012) mendapati bahawa manusia telah mula menggunakan api seawal 1 juta tahun lepas.
Proses pembakaran ialah proses oksidasi pantas yang menghasilkan cahaya, haba, asap, dan pelbagai hasil tindak balas kimia seperti karbon dioksida dan air. Pembakaran juga menjadi satu proses yang penting untuk mencairkan logam, teknologi yang digunakan seawal pada zaman gangsa di Belovode, Serbia (Radivojević et al., 2010).
Bagi mereka yang percaya kepada fahaman kreasionisme dan islam, (Quran 2:31) menyatakan Allah telah mengajarkan nabi Adam a.s nama makhluk, dan pendapat ulama seperti Ibn Abbas r.a seperti yang dinyatakan dalam Qisasul Anbiya’ (Ibn Kathir & Rashad, 2003) berpendapat bahawa Allah mengajarkan nabi Adam a.s nama dan fungsi setiap makhluk yang telah diciptakan (Fīrūzābādī, Ibn Abbas & Guezzou, 2007). Oleh itu pada pendapat saya, tidak mustahil Allah telah mengajar nabi Adam a.s cara menggunakan api, maka aplikasi ilmu kimia telah berlaku sejak zaman nabi Adam a.s.
Ilmu kimia saintifik sebenarnya baru berumur sekitar 400 tahun, di mana sebelum itu ilmu seakan ilmu kimia wujud sebagai alkimia. Alkimia ialah cabang tradisi protokimia dan falsafah yang merangkumi pendekatan mistik dalam kajian alam dan matlamatnya. Alkimia popular dengan matlamat untuk menukarkan arang/plumbum kepada emas, dan mencari ubat untuk hidup selama-lamanya. Walaupun alkimia ialah ilmu protosains, terdapat beberapa penemuan yang bernilai dijumpai oleh ahli alkimia. Ahli alkimia yang terkenal antaranya adalah Jabir Ibn Hayyan (721 – 815 masihi) yang menemukan pelbagai jenis asid (Holmyard, 1962) dan Saint Albertus Magnus (1200 – 15 November, 1280 masihi) yang dikatakan telah menemui arsenik dan perak nitrat (Szabadváry, 2014). Malah, Isaac Newton juga seorang ahli alkimia. Saya tamatkan sejarah berkenaan kimia di sini sebab kalau nak cerita penuh berkenaan sejarah ilmu kimia memang panjang, kita kena cover 400 tahun perkembangannya.
Kimia saintifik bermula pada abad ke-17, dan hingga sekarang, telah banyak penemuan dibuat oleh ahli kimia seluruh dunia. Kini, kebanyakan asas ilmu kimia telah terbina kukuh. Kesannya, kita mempunyai ilmu aplikasi bahan yang sangat maju dan penghasilan ubat-ubatan yang terbukti berkesan, malah mempunyai pemahaman yang mendalam tentang pelbagai bidang lain seperti biologi hasil pengetahuan dalam bidang kimia.
Walaupun kajian terbaru dalam bidang kimia memerlukan kelengkapan makmal yang lengkap dan canggih, oleh kerana sifat kajiannya yang spesifik, saya percaya yang kita masih boleh mendalami ilmu kimia praktikal secara amali. Saya telah menjadi “chemistry enthusiast” (saya lebih gemar gelaran enthusiast dari amatur, kerana amatur membawa stigma “one who knows just a little” dan benda ni boleh bawa masalah dalam hobi peminat kimia) selama 7 tahun, dan saya tahu banyak bahan kimia lazim yang boleh didapati dari produk kegunaan harian. Rakyat Malaysia masih boleh mendapatkan alatan dan bahan kimia gred tinggi jika tahu cara dan sumbernya. Sejujurnya peraturan Malaysia masih bertoleransi dengan pemilikan alatan makmal dan bahan kimia. Saya percaya eksplorasi kimia pada peringkat amali lebih memberi kesan dan pengajaran pada diri.
Salah satu sebab kenapa saya agak hampa bila tengok produk di pasaran adalah mereka menyatakan bahawa produk mereka “bebas bahan kimia”, sedangkan apa yang patut dinyatakan adalah “bebas bahan kimia berbahaya”. Setiap hari kita mengambil dihidrogen monoksida dalam kuantiti yang banyak. Tidak meletakkan perkataan “berbahaya” dalam frasa tersebut merubah segala-galanya. Apa maksud mereka, “bebas bahan kimia”? Adakah mereka telah menghasilkan satu bahan bukan kimia? Yang tak diperbuat daripada unsur-unsur kimia? Pada saya kenyataan produk macam ni sangat memesongkan fahaman tentang ilmu kimia. Dan memburukkan lagi keadaan, tabiat ni memberi stigma hitam pada istilah “kimia”. Saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia akan risau dan takut bila dengar perkataan “kimia”. Maka memahami ilmu kimia pada saya adalah satu fokus penting untuk membina masyarakat yang utuh inteleknya.
Sejujurnya, sebab kenapa saya minat kimia ialah sebab saya minat magis. Bukan magis persembahan tetapi jenis magis yang membenarkan kita buat apa sahaja yang dihajati, hasilkan sesuatu dari tiada, dominasi atas ex nihilo nihil fit dalam konteks material. Semestinya kebolehan seperti itu bukan dalam batas manusia, tetapi walaupun kita tak boleh hasilkan bongkahan emas daripada udara, namun kita boleh hasilkan tekstil daripada minyak, kertas daripada pokok, logam daripada bijih dan, bernafas, hasil kewujudan kimia.
Ingat, di mana adanya jirim dan benda, di situ ada kimia!
Rujukan:
- Hoppe-Seyler, F. (1866). Über die oxydation in lebendem blute. In Medicinisch-chemische Untersuchungen (1st ed., pp. 130-140). Berlin: Verlag von A. Hirschwald. ❀
- Noresah Baharom. (2005). Kamus Dewan (4th ed.). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka. ❀
- Rashed, R. (1996). Encyclopedia of the history of Arabic science (1st ed., pp. 853-885). London: Routledge.
- Weekley, E. (1967). An Etymological Dictionary of Modern English (1st ed.). New York: Dover Publications.
- Simpson, J., & Weiner, E. (1989). alchemy. In The oxford english dictionary Volume 1 (2nd ed.). Oxford: Oxford University Press.
- Griffiths, J. (1955). The Orders of Gods in Greece and Egypt (According to Herodotus). The Journal of Hellenic Studies, 75, 21-23. ❀
- Keller, W., & Neil, W. (1980). The Bible as history (1st ed.). New York: Bantan Books. ❀
- Berna, F., Goldberg, P., Horwitz, L., Brink, J., Holt, S., Bamford, M., & Chazan, M. (2012). Microstratigraphic evidence of in situ fire in the Acheulean strata of Wonderwerk Cave, Northern Cape province, South Africa. ❀
- Radivojević, M., Rehren, T., Pernicka, E., Šljivar, D., Brauns, M., & Borić, D. (2010). On the origins of extractive metallurgy: new evidence from Europe. Journal of Archaeological Science, 37(11), 2775-2787. ❀
- Ibn Kathir, & Rashad, A. (2003). Stories of the Prophets (2nd ed., p. 21). Riyadh: Darussalam.
- Fīrūzābādī, M., Guezzou, M., & Ibn Abbas, A. (2007). Tanwīr al-Miqbās min Tafsīr Ibn ‘Abbās (1st ed., p. 7). Amman, Jordan.: Royal Aal al-Bayt Institute for Islamic Thought. ❀
- Holmyard, E. (1962). Makers of chemistry (1st ed., p. 60). Oxford: Clarendon Press.
- Szabadváry, F. (2014). History of analytical chemistry (1st ed., p. 17). [Burlington, VT]: Elsevier.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
1 Comment
admin YA, admin baru kah? pertama kali baca dan suka dengan tulisannya.
cara nak tegur (di komen) juga berhemah.
#keepitup (Y)