Tidak seperti siri-siri televisyen tipikal, siri-siri yang disiarkan di laman sesawang penyiaran seperti Netflix, Amazon dan Hulu bukan saja bersifat original dan melangkaui imaginasi penonton berikutan kelonggaran kod penyiarannya tidak seperti kod penyiaran stesen televisyen di luar sana. Ini membolehkan mereka menghasilkan siri-siri hebat seperti House of Cards, The Crown, Bosch, The Man in the High Castle dan Stranger Things. Sebut pasal Stranger Things, ada banyak elemen sains menarik di sebalik premis sains fiksyennya.
Bagi yang kurang arif dengan siri ini, ia mengisahkan sebuah bandar fiksyen bernama Hawkins, Indiana berlatarkan dekad 80-an. Di sini, sebuah makmal yang menjalankan penyelidikan untuk Jabatan Tenaga Amerika Syarikat menjalankan pelbagai eksperimen saintifik termasuk eksperimen paranormal yang bersifat rahsia.
Salah satu daripada eksperimen ini kemudiannya bertanggungjawab membuka portal kepada dunia alternatif yang diberi gelaran The Upside Down. Dan sejak itulah, ia mula memberi kesan buruk kepada Hawkins dari kes kehilangan misteri hingga kemunculan raksasa dari dunia berkenaan.
Banyak premis sains menarik yang muncul dari siri berkenaan. Dan tidak sah jika kita tidak mulakan dengan The Upside Down terlebih dahulu. Seperti mana-mana dunia alternatif yang muncul dalam premis sains fiksyen, ia nampak sama saja memandangkan ia merupakan dimensi cermin dunia kita. Tetapi melihat kepada rupanya yang asing, maka kita perlu melihat semula definisi dunia alternatif dalam konteks yang lebih luas. Menurut Profesor Marcelo Gleiser, ini satu kemungkinan yang tidak boleh ditolak.
Beliau berkata, “Kita tidak tahu sama ada ia merupakan makhluk asing atau dari bumi tetapi ia kelihatan asing dan agresif. Satu kemungkinan ialah makhluk-makhluk ini muncul dari portal lubang cacing dari satu titik bahagian galaksi. Jika kita melihat dunia alternatif dari sudut berbeza termasuk dari segi hidupan dunia itu, maka hidupan yang bersifat rumit dan pelik juga boleh wujud di sesetengah tempat di galaksi.”
Jika anda menonton musim pertama dan kedua Stranger Things, pasti ada meloncat atau lari seperti Stephen Chow jika melihat kelibat demogorgon (musim pertama) dan demodog/anjing syaitan (musim kedua). Hakikatnya, raksasa fiksyen siri yang dicipta Duffers bersaudara ini sebenarnya berdasarkan hidupan laut yang hidup di kawasan laut dalam. Hidupan-hidupan yang menetap di situ berevolusi bagi membolehkan mereka hidup dalam persekitaran yang amat mencabar dalam lautan seperti tekanan kuat, kekurangan makanan atau oksigen, terlalu sejuk dan tiada sinaran cahaya matahari.
Antara hidupan laut yang boleh ditemui di situ seperti sotong pontianak, ikan angler dan ketam labah-labah gergasi. Sementara mikrob-mikrob meletakkan diri mereka di kolam-kolam air panas dan lubang-lubang di dasar laut di mana ia menukar kimia kepada tenaga yang diperlukan hidupan-hidupan ini untuk terus hidup dalam persekitaran laut dalam yang mencabar.
Menurut ahli mikrobiologi Stefan Sievert dari Institut Oseanografi Woods Hole, jumlah karbon yang dilepaskan mikrob-mikrob ini menjadi sumber makanan harian untuk organisma hidup lain di dasar laut terutama tempat di mana kurangnya karbon.
Sesiapa saja yang melihat Hawkins dipenuhi dengan lendir sudah pasti akan merasa geli. Tetapi itu tidak sehebat kulat Dictyostelium discoideum. Kulat ini wujud sebagai satu sel individu yang boleh memakan bakteria dalam tanah. Tetapi apabila mereka sukar mendapatkan makanan, maka sel-sel ini akan bergabung membentuk organisma multisel. Ia akan membentuk satu bentuk baru dan mengeluarkan sejenis kimia untuk menarik sel-sel lain yang dipanggil CAMP.
Ini berdasarkan satu laporan kajian di Universiti Tokyo pada Mac lepas. Menurut pakar biofizik Satoshi Sawai, ramai menyangka kita perlu pergi ke angkasa lepas terutamanya Marikh untuk melihat makhluk asing. Tetapi menerusi kajian ini, mereka melihat masih banyak cabang kehidupan yang masih belum diteroka di bumi.
Namun, kajian ini bukan satu-satunya kajian yang wujud tentang lendiran kulat. Pada tahun 2017, sekumpulan saintis menjalankan eksperimen dengan meletakkan kulat lendir dalam satu pagar sesat dengan meletakkan makanan pada penamat. Pagar sesat itu pula disinari dengan cahaya lampu. Tujuan eksperimen ialah untuk melihat pergerakan kulat ini untuk mencapai makanan yang disediakan di akhir pagar sesat.
Hasilnya seperti kulat dalam The Upside Down, ia berjaya sampai ke makanan tanpa terkena cahaya lampu dan berkomunikasi melalui kimia yang dilepaskan. Bagaimanapun, ia tidaklah unik kepada kulat sahaja kerana ia juga terjadi pada tumbuhan. Satu kajian pada tahun lepas mendedahkan tumbuhan berkomunikasi antara satu sama lain dengan mengeluarkan kimia melalui akar mereka dalam tanah untuk situasi seperti kemarau dan kawasan terlalu sesak.
Musim ketiga Stranger Things menampilkan antagonis musim itu iaitu Mindflayer, sejenis entiti yang juga pemerintah The Upside Down. Entiti ini memerintah Upside Down dan mengawal sesiapa saja termasuk demogorgon dan demodog. Anjing-anjing syaitan ini bukan saja berperanan sebagai pelindung Mindflayer tetapi juga sebagai pemusnah sesiapa saja yang dianggap ancaman kepada entiti itu termasuk Jim Hopper (David Harbour) dan saintis yang bersenjatakan penyembur api. Apa yang dilakukan anjing-anjing ini sebenarnya biasa dilakukan oleh semut-semut yang menyusun badan mereka untuk membina rakit bagi melindungi permaisuri semut semasa banjir.
Untuk mencapai matlamatnya menguasai dunia, Mindflayer memulakan langkah dengan mengawal minda hos pertamanya, Will Byers (Noah Schnapp). Tetapi ini juga menimbulkan persoalan menarik, bolehkah minda boleh dikawal dan bagaimana pemikiran boleh diterjemah dalam bentuk tindakan? Persoalan ini membawa kepada satu eksperimen yang dijalankan di Universiti Carnegie Mellon.
Eksperimen itu ialah mengajar tikus bermain permainan video dengan setiap pergerakan neuron tikus itu didengari untuk melihat bagaimana ia boleh melakukan tugas yang disediakan. Ini membenarkan penyelidik-penyelidik memahami bagaimana neuron berfungsi, pembahagian kerja dan pengiraan neuron dalam otak yang membawa kepada tindakan dan tingkah laku.
Di makmal sama, mereka juga turut menghasilkan bentuk kawalan minda dalam makmal. Berbeza dengan apa yang dilakukan Mindflayer, penyelidik di Carnegie Mellon mengawal minda dengan merekod neuron dan pemikiran dalam kepala, membaca, menyahkod dan mengekodkan ia dalam bentuk tindakan. Antara contoh yang diaplikasikan ialah pengawalan lengan robotik melalui sebuah komputer dan elektrod.
Menurut Eric Yttri, apabila elektrod-elektrod dipasang pada lengan orang lain, lengan individu itu akan digerakkan walaupun tuan badan cuba mengawal keinginan tangannya. Dan ketika ini, satu aspek yang hendak diperbaiki dalam membaca isyarat neuron ialah memahami maklum balas deria manusia. Menurut Yttri, tanpa maklum balas sebegini, sebarang usaha mengawal minda subjek tidak dapat dibuat dengan efektif.
SUMBER
Strickland, Ashley. (2019). The weird Upside Down science behind ‘Stranger Things’. CNN. https://edition.cnn.com/2019/07/04/world/stranger-things-science-scn-trnd/index.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih