Dalam meneliti zaman gelap yang menyapa benua Eropah, adalah tidak lengkap untuk tidak berbicara tentang sebuah fasa yang terkenal dengan jolokan sebagai Black Death. Fasa yang telah merencatkan segala perkembangan tamadun di benua eropah, meragut pelbagai nyawa. Sejarawan mempunyai pelbagai cara dan seni mengungkapkan tentang peristiwa ini.
Antara gambaran yang paling menarik tentang Black Death ini ialah wabak ini disamakan dengan rasukan syaitan yang telah meragut nyawa-nyawa manusia bukan sahaja di Eropah, bahkan di Asia dan Timur Tengah! Untuk rekod, wabak Black Death ini telah memakan nyawa sebanyak 75-200 juta manusia di seluruh dunia! 25 juta daripadanya ialah penduduk Eropah, yang membawa maksud bahawa kira-kira 2/3 daripada penduduk eropah ketika itu menjadi mangsa!
Tetapi apa sebenarnya wabak Black Death ini? Kenapa… dan bagaimana wabak ini mampu memakan nyawa sehingga sebanyak itu? Tugas saya untuk menglipurlarakan kisah tentang wabak Black Death, dalam bahasa awam dan ringkas untuk kita mengambil iktibar dan pengajaran daripadanya.
Untuk rekod sejarah, wabak Black Death ini menyapa benua Eropah ketika kurun ke-14 Masihi. Kenapa wabak ini dipanggil sebagai Black Death adalah kerana kulit mangsa yang luka yang dijangkiti wabak ini akan bertukar kehitam-hitaman! Dipercayai bahawa penyakit ini mula tersebar pada sekitar 1347 Masihi hingga 1350 Masihi.
Tetapi bagaimana wabak Black Death ini boleh menyapa Eropah? Sejarawan telah membahagikan teori-teori yang boleh dikaitkan dengan penyebaran wabak ini di Eropah. Berikut ialah teori-teori yang terkenal dan dibahaskan dalam bidang sejarah.
I. Wabak Black Death ini bermula dari Asia Tengah. Terdapat spesikulasi yang mengatakan bahawa wabak datang dari Utara India dan China. Ianya kononnya datang dari pedagang beserta tentera Monggol yang menggunakan laluan sutera darat dan seterusnya datang ke Pelabuhan Sicily lalu dari sini, wabak ini terus tersebar ke seluruh Eropah.
II. Black Death tersebar di Eropah pada musim sejuk pada 1347 Masihi dan 1348 Masihi. Kononnya kapal-kapal dari arah Timur ini dikerumi oleh tikus-tikus yang terlalu banyak. Dan tikus itu pula membawa hama dan kutu-kutu yang kemudian melompat dari manusia ke manusia sekaligus menyebarkan wabak ini. Lagi-lagi tarikh yang dicadangkan berlaku peristiwa ini ialah musim sejuk telah mengakftifkan lagi pembiakan kutu-kutu dan hama ini.
III. Pergy Saari dan Aaron Saari mengatakan bahawa Delhi, sebuah kota di Utara India adalah tempat bermulanya wabak Black Death ini, lalu merebak ke wilayah lain di Selatan Asia pada tahun 1346 Masihi, sebelum terus merebak ke bandar seperti Kaffa dan Istanbul pada tahun 1347 Masihi. Penyakit ini kemudian merebak ke Eropah berpunca dari pengunaan senjata biologi dalam perang oleh orang Tatar yang tidak mahu pengaruh barat mula sampai ke wilayah Monggol.
Untuk menghalang pengaruh barat dari orang Itali, orang Tatar telah menghumbankan mayat-mayat yang terlebih dahulu dijangkiti oleh wabak Black Death di beberapa wilayah awal seperti Delhi di Kaffa, berdekatan dengan kawasan perniagaan orang Itali. Kaffa hari ini adalah terletak berhampiran dengan Crimea.
Atas sebab inilah orang-orang Itali yang berada di Kaffa telah berundur pulang ke negara mereka, lalu membawa penyakit Black Death ke negara mereka. Akibatnya, dari situ, wabak ini tersebar ke serata eropah.
Baik, rasanya kita sudah memahami akan cara bagaimana benua Eropah disapa dek wabak Black Death ini? Maka kata saya, kita hadami pula perbahasan yang membincangkan tentang bagaimana penyakit ini boleh tersebar dalam wilayah Eropah itu sendiri.
Kajian sains yang dibuat telah menemui bahawa bakteria jenis Yersinia Pestis bertanggungjawab dalam penyebaran penyakit ini. Tikus menjadi ejen utama penyebaran penyakit selain 30 spesis lain dikenalpasti sebagai ejen penyebarannya. Wabak ini terdapat dalam beberapa peringkat iaitu septicemic dan bubonic plague bagi peringkat pertama manakala bagi peringkat kedua pula ialah peneomonic plague.
Anda perlu tahu bahawa, untuk dijangkiti wabak, anda sama ada perlu digigit atau terkena najis vektor (agen penyebaran) yakni kutu, “oriental rat flea” spesies Xenopsylla cheopis, selepas menghisap darah tikus yang mempunyai bakteria di dalam badannya.
Bagi peringkat bubonic plague, simptom yang biasanya kelihatan pada mangsanya ialah mangsa akan sakit kepala, lenguh-lenguh badan, muntah-muntah dan demam. Simptom ini biasanya kelihatan pada hari pertama sehingga ke tujuh manakala kadar kematian dicatatkan dalam angka 30-75 peratus.
Mangsa yang terselamat daripada fasa pertama mula akan menyebarkan kepada manusia lain melalui percikan atau semburan titisan udara dari paru-paru atau mulut. Sebagai contoh, mangsa akan terbatuk dan bersin, lalu kesan water dropetlet tersebut terkena dengan mangsa lain, maka anda berpeluang untuk dijangkiti.
Bakteria ini akan masuk melalui trakea dan menyerang paru-paru dan kerongkong mangsa. Kadar kematian untuk peringkat kedua ini yang dikenali sebagai paneomonic plague ini lebih dasyat apabila mencecah sehingga 90-95 peratus!
Jadi, kita sudah memahami bagaimana wabak ini bergerak. Tentu dalam fikiran kita sekarang, tiada rawatankah pada waktu itu sehingga mengakibatkan kematian sebanyak 25 juta orang di benua eropah manakala mencecah 75 juta di seluruh dunia. Mana pergi doktor-doktor serta tabib pada zaman itu? Baik inilah bahagian paling menarik yang saya nak ulas dalam artikel ini.
Tikus Hitam seperti mana yang dibicarakan dalam awal artikel tadi dikatakan sebagai ejen penyebaran utama wabak Black Death. Jadi, ketika itu di Eropah, tikus-tikus hitam ini digantikan dengan tikus coklat. Dalam kitaran alam semula jadi, tikus coklat ini memang nemesis utama tikus hitam, bahkan tikus coklat ini lebih agresif apabila tidak membenarkan hama daripada membiak melaluinya. Jadi populasi tikus hitam dihapuskan dengan pembiakan tikus coklat ini.
Namun, ada perkara menarik yang saya mahu bincangkan bila membicarakan tentang kaedah pengubatan. Maka ketika itu, lahirnya kepercayaan karut seperti bau busuk dari mayat yang dijangkiti oleh Black Death sebenarnya mampu membuatkan manusia lain turut terkena wabak ini. Jadi, masyarakat ketika itu akan membakar segala barang-barang yang mampu menyebarkan bau wangi seperti bunga-bungaan, kapur barus, daun limau, pokok pain banyak lagi.
Selain itu, penjualan minyak wangi ketika itu sangatlah laku kerana kepercayaan karut ini. Minyak wangi biasanya akan diletakkan di sarung tangan yang dipercayai mampu melindungi wajah mereka daripada dimasuki wabak ini. Mereka akan dilihat berjalan sambil meletakkan tapak tangan itu dimulut mereka,
Bahkan lebih dasyat daripada itu, di Milan dicatatkan sebuah dinding dibina untuk memisahkan antara penduduk yang tidak terjangkiti dengan penduduk yang dijangkii dek wabak ini. Tetapi ada asasnya juga dengan langkah ini sebab kalau hari ini, kita boleh samakan langkah ini dengan proses kuarantin yang berlaku kalau sebuah wabak epidemik dan pandemik melanda sebuah kawasan.
Tidak ketinggalan terpengaruh dek kepercayaan karut yang berlaku ketika itu ialah Pope Clement IV yang mengambil langkah duduk sambil dikelilingi oleh api yang besar dengan harapan bahawa kuman yang tersebar dikelilingnya akan mati dek haba api. Akhirnya, Pope Clement IV ini sendiri menjadi mangsa kematian wabak Black Death!
Dari segi politik, wabak ini telah mengakibatkan keruntuhan struktur politik ketika itu di benua Eropah apabila 25 juta nyawa hilang begitu sahaja. Jumlah yang hampir sama dengan populasi rakyat Malaysia hari ini! Kehilangan nyawa yang banyak ini mengakibat kestabilan politik yang dimiliki oleh Eropah ketika itu hilang! Pemerintah seperti King Henry turut mati.
Kesempatan Empayar Turki Uthmaiyah yang sedang dalam mood perluasan kuasanya pun mengambil kesempatan dengan menakluk dan menawan beberapa kawasan di eropah tanpa tentangan sengit kerana mereka sedang menumpukan bagaimana untuk melawan wabak ini.
Dari sudut ekonomi pula lebih dasyat. Kerajaan-kerajaan telah kehilangan banyak sumber pendapatan. Sebagai contoh, dalam kes yang melibatkan penghutang-penghutang yang berhutang dengan kerajaan, kebanyakan daripada penghutang ini mati akibat wabak virus ini. Yang lebih dasyat mereka tidak mati seorang, tetapi turut mengheret sekali anak bini sanak saudara, atuk nenek, ibu dan ayah, sepupu dan cucu sekali sehinggakan apabila wabak ini selesai, kerajaan tidak dapat menjumpai sesiapa untuk membayar hutang mereka.
Selain itu, dapat juga dilihat industri pertanian dan perlandangan di Eropah terjejas teruk. Binatang ternakan seperti lembu, kambing, kerbau dan sebagainya turut dijangkiti sehingga kematian binatang ini mengakibatkan krisis makanan yang sangat teruk di Eropah. Ketika ini, kadar pengangguran sangatlah tinggi. Jenayah berada di mana-mana. Para petani dan pekerja lain memohon gaji yang sangat tinggi untuk membuat kerja. Senang cerita, krisis ekonomi yang tak tergambar dek akal kita sedang melanda Eropah ketika itu.
Yang paling terkesan ialah golongan gereja. Sebelum wabak ini, rakyat Eropah sangat mempercayai akan golongan gereja. Namun selepas wabak, banyak rakyat yang menyalahkan gereja dengan alasan bahawa gereja telah melanggar perintah Tuhan dengan menunggang agama demi kepentingan sendiri sehingga mengakibatkan kepercayaan pada golongan gereja semakin merosot. Ini juga menyumbang kepada idealogi baru yang bersifat sekularisme yang kemudiannya akan menyumbang kepada gelombang Renaissance di Eropah.
RUJUKAN:
Kamaruddin, Mohammad Kamal . (2009). Sejarah Eropah. Pearson.
Dunham, Will. (2008). Black Death ‘Discriminated’ between victims. ABC Science. http://www.abc.net.au/science/articles/2008/01/29/2149185.htm
BBC News. (2001). De-coding the Black Death. http://news.bbc.co.uk/2/hi/health/1576875.stm
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih