“Terdapat Empat Ekor Anjing Temujin. Mereka ini memiliki dahi yang diperbuat daripada tembaga; rahang mereka ibarat bilah gunting; lidah mereka umpama jarum yang mencucuk; kepala mereka bak besi; dan cambuk mereka tajam bagaikan pedang. Pada hari-hari pertempuran, mereka meminum darah musuh. Saksikanlah, anjing-anjing ini kini telah dilepaskan dan mulut mereka tergiur kegirangan. Empat ekor anjing ini adalah Jebe dan Kublai, Jelme dan Subotai.” – The Secret History of the Mongols
Sebagai orang kanan kepada Genghis Khan, Subutai (Subotai) merupakan seorang strategis dan panglima yang gagah berani. Beliau merupakan individu sandaran dalam kalangan pemimpin masyhur Mongol dalam menggalas tugas membantu Khan memperluaskan empayar mereka. Subutai menyertai barisan kepemimpinan Mongol pada usia yang muda. Namun, kemahiran luar biasa yang dimilikinya membuatkan beliau dengan pantas menjadi salah seorang ‘anjing perang’ Genghis Khan.
Subutai juga dikenali dengan gelaran ‘Bagatur’ (yang bermaksud ‘Si Gagah’). Beliau sempat berkhidmat untuk dua orang pemimpin Mongol yang masyhur, iaitu Genghis Khan dan anak merangkap pewarisnya, Ogedei Khan. Subutai merupakan salah seorang panglima Empayar Mongol yang paling gagah. Beliau pernah dihantar bagi mengepalai sejumlah kempen ketenteraan di Asia dan Eropah.
SUBUTAI MENDAKI TINGKAT KEDUDUKAN DI USIA YANG MUDA
Dipercayai bahawa Subutai dilahirkan pada suatu waktu di antara tahun 1160an – 1170an. Kebanyakan sumber menyebutkan tahun 1176M sebagai tahun kelahirannya. Panglima ini berasal dari sebuah puak yang dikenali sebagai Uriangkhai; puak yang tidak dianggap sebagai sebahagian dari Mongol. Ahli-ahli puak ini adalah penghuni hutan. Tidak seperti orang Mongol, mereka kurang mahir menunggang kuda. Sebaliknya, puak Uriangkhai ini memiliki kepakaran dalam pertukangan besi dan perdagangan bulu-buluan.
Dicatatkan bahawa Subutai merupakan anak kepada seorang tukang besi, dengan satu sumber menamakan bapanya sebagai Qaban. Sebagai seorang tukang besi, bapa Subutai menawarkan khidmatnya kepada Mongol – beliau melentur objek-objek besi yang rosak seperti senjata dan bekas memasak. Berkemungkinan menerusi hubungan yang sebeginilah Subutai mula terdedah dengan Mongol.
Ketika usianya meningkat remaja. Subutai keluar menyertai pasukan tentera Genghis Khan. Menurut suatu sumber, usianya pada masa itu baru sahaja 14 tahun. Memandangkan umurnya yang masih terlalu muda untuk terlibat secara langsung di medan tempur, beliau dikatakan telah diberikan tugas sebagai pengawal pintu bagi Khan. Menerusi jawatan inilah Subutai mula mempelajari tentang seni perang Mongol.
Sebagai seorang penghuni hutan, Subutai tidak memiliki sebarang kemahiran menunggang kuda. Beliau mula mempelajari kemahiran tersebut melalui tunjuk ajar pegawai Mongol yang akrab dengannya. Beliau turut diajar menggunakan busur panah dan kemudian, menggabungkan kedua-dua kemahiran tersebut. Kombinasi antara penunggangan kuda dan kemahiran memanah inilah yang menjadi tanda pengenalan ataupun identiti pasukan tentera Mongol.
Subutai terus mendaki tangga kedudukan dalam barisan ketenteraan Mongol sebelum kemudiannya menjadi sebahagian daripada kelompok terdekat Genghis Khan. Keadaan ini sering diambil sebagai bukti bahawa pemimpin Mongol mengamalkan konsep meritokrasi. Makanya, warga bukan-Mongol seperti Subutai pun boleh meraih tempat yang unggul dalam pasukan tentera.
Sebagai seorang komander, nama Subutai mungkin paling dikenang menerusi kejayaannya dalam kempen-kempen ketenteraan di Barat. Dalam ekspedisi-ekspedisi tersebut, Subutai mengepalai pasukan tentera Mongol bagi memerangi sejumlah musuh, antaranya termasuklah Rus, Poles dan Hungary.
PANGLIMA DAN STRATEGIS SERBA BOLEH
Dalam pertempuran-pertempuran tersebut, Subutai memperagakan kemahirannya sebagai seorang panglima dan strategis yang serba boleh. Pertempuran Mohi yang dianggap sebagai kemenangan paling cemerlang bagi Subutai mungkin boleh diambil sebagai contoh bagi membuktikan hal tersebut. Pertempuran ini berlangsung pada bulan April 1241M.
Ia melibatkan kekuatan Mongol yang dipimpin oleh Batu Khan dan Subutai menentang pasukan tentera Hungary di bawah kepemimpinan Raja Bela IV.
Dalam pertempuran tersebut, pihak Mongol mengalami kasualti yang lebih ramai berbanding biasa berikutan bedilan panah yang dahsyat daripada unit pemanah-silang Hungary yang diletakkan di seberang Sungai Sajo.
Demi menghindarkan angka kasualti dari terus meningkat, Subutai mengambil keputusan untuk menyerang unit pemanah-silang itu dengan menggunakan pelontar-pelontar batu, iaitu sejenis senjata artileri yang kebiasaannya digunakan dalam pengepungan.
Pada masa yang sama, sebuah jambatan sementara dibina jauh dari medan perang. Hal ini bertujuan agar tentera-tentera Mongol dapat melancarkan serangan mengejut ke atas pasukan Hungary.
Di bawah kepemimpinan Subutai, pasukan tentera Mongol berjaya menundukkan banyak kawasan di Eropah timur dan tengah. Menjelang akhir tahun 1241M, Subutai memasang rancangan untuk menyerang Empayar Rom Suci. Namun pada sekitar masa-masa itu juga, Ogedei mangkat.
Makanya, kekuatan Mongol terpaksa berangkat pulang untuk melangsungkan acara pelantikan Khan Agung yang baru.
Atas sebab inilah saki-baki wilayah Eropah yang lain dapat terselamat daripada amukan Mongol. Para sejarahwan mengandaikan kalau Ogedei tidak mangkat, sudah tentu tidak ada tentera Eropah yang mampu menangani gempuran Mongol.
KEMATIAN SI ANJING PERANG
Guyuk, putera kepada Ogedei dinamakan sebagai Khan Agung yang baru. Pada tahun 1246M, Subutai digalaskan dengan tanggungjawab memerangi Song-China. Beliau pada ketika itu telah pun berusia 70 tahun, umur yang agak lanjut bagi seorang komander di zaman itu.
Kempen ketenteraan ini berlanjutan sehingga tahun 1247M, di mana Subutai kemudiannya kembali ke Mongolia dan meninggal dunia pada tahun berikutnya, 1248M. Selain masyhur dengan gelaran ‘Bagatur’, Subutai juga dikenali sebagai salah seorang dari empat ekor ‘anjing perang’ Genghis Khan, di mana baki yang tiga lagi itu adalah Jelme (abang sulungnya), Jebe dan Kublai.
DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:
- DHWTY. (24 Jun 2017). Subutai: The Forgotten Force Behind the Fearsome Mongol Military. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/subutai-forgotten-force-behind-fearsome-mongol-military-008298
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih