Kerajaan Nabatea merupakan sebuah entiti politik yang berkuasa di wilayah Jordan moden pada rentang waktu antara abad ke-4SM hingga tahun 106M. Pada zaman ini, Kerajaan Nabatea sangat masyhur dengan sisa runtuhan ibu kotanya, Petra.
Walaupun jelas sekali terdapat sebuah komuniti kaya yang menikmati kemewahan di kawasan sekeliling Petra sejak tahun 312SM (disahihkan menerusi ekspedisi-ekspedisi yang dilancarkan oleh Greek ke atas komuniti terbabit), namun para sejarahwan sering meletakkan tarikh permulaan bagi Kerajaan Nabatea pada tahun 168SM.
Tahun tersebut merupakan tahun pemerintahan raja pertama mereka yang dikenali sejarah. Kerajaan ini juga dianggarkan berakhir pada tahun 106M, iaitu tahun di mana Nabatea ditakluk oleh Empayar Rom di bawah pemerintahan Trajan (98-117M).
Kaum Nabatea berasal daripada sebuah komuniti Arab-nomad dari Gurun Negev. Kekayaan mereka dimulakan menerusi aktiviti perdagangan di Jalan Setanggi (Incense Routes) yang melebar dari Qataban (Yaman moden) hingga ke Saba (sebuah hub perdagangan yang dominan), dan merentang hingga ke Gaza yang terletak di Laut Mediterranean.
Oleh kerana mereka sering bermusafir dengan melalui jalan ini, maka mereka agak sebati dengan kawasan berkenaan. Hal itu juga menyumbang kepada peningkatan kemahiran mencari dan menyimpan sumber air kaum Nabatea. Kelebihan tersebut membenarkan mereka mengangkut barangan (dagang) dengan lebih cepat dan efisien berbanding kaum-kaum lain.
Tapak kota mereka yang bernama Petra, diukir daripada batu-batuan gunung dan ia sukar diakses. Relik ini mungkin dibina setelah mereka meraih kekayaan yang cukup hasil daripada aktiviti perdagangan yang dijalankan. Faktor yang membuatkan mereka mengambil keputusan untuk membina kota di kawasan tersebut masih lagi misteri dalam kalangan sejarahwan. Mana tidaknya? Tempat itu langsung tidak ada sumber air semula jadi dan lokasinya pula jauh dengan kemudahan-kemudahan lain.
Namun jika dipandang dari suatu sudut, pemilihan lokasi tersebut kelihatan agak munasabah juga. Hal ini kerana kedudukan kota Petra membenarkan mereka mengawal Laluan Setanggi sekaligus mengenakan cukai ke atas kafilah-kafilah dagang yang lalu-lalang. Sudah tentu perkara sebegitu mampu menambahkan lagi kekayaan mereka. Di samping itu, kedudukan kota itu juga sukar diakses justeru menyumbang kepada faktor keselamatan pula.
Berikutan penaklukan yang dilakukan oleh Rom pada tahun 106M, Petra dan kota-kota Nabatea yang lain seperti Hegra kehilangan kuasa ke atas Laluan Setanggi dan malah, ke atas wilayah tersebut secara umum. Kebangkitan kota Syria dari Palmyra sebagai pusat perdagangan pula secara efektif mengalihkan perhatian para pedagang dari kota-kota Nabatea. Makanya, Nabatea pun mengalami kejatuhan dalam soal kekayaan dan prestij.
Kemusnahan yang ditimpakan oleh Maharaja Aurelian ke atas Palmyra sekitar tahun 272M sudah terlalu lambat untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi Nabatea, dan menjelang Serangan Arab pada abad ke-7M, Kerajaan Nabatea telah pun dilupakan kewujudannya.
PERDAGANGAN AWAL DI LALUAN SETANGGI
Istilah ‘Laluan Setanggi’ merujuk kepada sejumlah laluan yang diambil oleh para pedagang pada abad ke-6 atau ke-7SM hingga abad ke-2M, meliputi kawasan antara selatan Arab hingga ke pelabuhan Gaza. Kadar kerancakan perdagangan di sepanjang laluan ini dilihat berada di puncak pada sekitar abad ke-3SM, iaitu tempoh masa di mana kaum Nabatea meraih kuasa ke atas kebanyakan kota-kota penting di sepanjang laluan tersebut. Laluan Setanggi tidaklah merujuk kepada satu jalan tunggal di antara Arab dan Gaza. Sebaliknya, ia merupakan sebuah haluan umum yang dilalui oleh para pedagang di antara dua titik temu tersebut.
Menurut Pliny the Elder (23-79M), laluan-laluan tersebut meliputi jarak sejauh 1200 batu (1931km) dan mengambil masa selama 65 hari untuk menghabiskan satu perjalanan, jika diambil kira masa berhenti di kota pada setiap malam.
Lokasi-lokasi perhentian yang ada bukan hanya berfungsi sebagai tempat berehat, tetapi ia juga memainkan peranan yang penting dalam perdagangan – sesuai dengan komoditi utama sesebuah lokasi (kota) perhentian itu. Kota Mamshit misalnya, masyhur dengan komoditi berupa kuda-kuda Arab yang diniagakan pada harga yang tinggi.
Para pedagang kemudiannya akan bergerak dari sebuah kota ke sebuah kota lain sambil meniagakan barang dagangan mereka di setiap lokasi (kota) perhentian sebelum tiba di destinasi terakhir – pelabuhan Gaza. Apabila sesebuah kota tertentu mula mengenakan cukai yang tinggi kepada pedagang, maka perdagangan secara alaminya akan condong dan beralih-arah kepada kota lain yang dianggap lebih mesra-pedagang.
Namun, kota-kota yang dikuasai oleh kaum Nabatea menjelang abad ke-3SM menjadi sebahagian daripada kota perdagangan penting yang berada di sepanjang Laluan Setanggi – kota perdagangan yang wajib dikunjungi oleh para pedagang.
Antara kota-kota perdagangan tersebut termasuklah apa yang kemudiannya dikenali sebagai Haluza, Mamshit, Avdat dan Shicta. Kesemua kota perdagangan ini menawarkan pelbagai barang dagangan dan tempat penginapan yang selesa buat para pedagang. Kubu-kubu Nabatea turut didirikan di sepanjang Laluan Setanggi bagi menjamin keselamatan para pedagang.
Namun, sudah tentu perlindungan tersebut mempunyai harga – iaitu dengan membayar cukai. Walaupun kaum Nabatea sudah pun mengecapi kekayaan menjelang abad ke-3SM sebagai kaum pedagang yang berjaya, penguasaan mereka ke atas Laluan Setanggi sebagai sebuah kerajaan meneguhkan lagi status tersebut.
KEKAYAAN, KEBUDAYAAN, HAK-HAK WANITA
Diperkirakan bahawa mereka mampu meraih kejayaan sebegitu kerana mereka terlebih dahulu menguasai sumber air di sepanjang Laluan Setanggi. Ketika mana puak-puak Arab yang lain perlu bertukar-tukar barang untuk mendapatkan bekalan air, kaum Nabatean bertindak lebih bijak dengan menggali dan membuat tempat penyimpanan air. Kemudian, tempat penyimpanan tersebut ditutup dan ditinggalkan dengan tanda yang hanya diketahui oleh mereka.
Menerusi polisi ini, mereka mampu bermusafir dengan jauh lebih mudah dan efisien berbanding pedagang-pedagang lain. Mereka juga mampu menyelesaikan masalah air yang dihadapi oleh kota Petra menerusi penguasaan kemahiran teknologi. Kaum Nabatea melaksanakan sebuah sistem pengangkutan dan penyimpanan air yang amat terperinci, sistem yang tak dapat ditandingi di zamannya dan tiada saingan di daerah berkenaan.
Kawasan tersebut pada hakikatnya merupakan kawasan banjir kilat. Menerusi pembinaan empangan, tangki dan saluran air yang penuh teliti, kaum Nabatea mampu mencipta oasis-buatan di wilayah gersang. Hal ini bukan sekadar berhasil memelihara kelangsungan hidup mereka, malah ia turut mengangkat status mereka sebagai kerajaan paling berkuasa di kawasan tersebut.
Tarikh atau masa sebenar pembinaan kota-kota Nabatea seperti Petra dan Herga tidak dapat diketahui, namun binaan tersebut diandaikan sudah pun berdiri kukuh menjelang hujung abad ke-4SM – iaitu masa di mana kaum Nabatea yang kaya-raya ini menarik perhatian panglima (dan bakal raja) Greek, Antigonus I (memerintah 306-301SM) untuk menyerang kerajaan itu.
Pada tahun 312SM, Antigonus berpura-pura mengadakan hubungan yang baik dengan Nabatea. Beliau kemudiannya menghantar puteranya, Demetrius untuk mengepalai sebuah serangan mengejut ke atas Petra.
Namun, helah tersebut tidak berhasil memperdayakan Nabatea yang bersiap-sedia bagi menghadapi Demetrius. Serangan daripada Greek itu menemui kegagalan dan Demetrius terpaksa mengadakan perjanjian damai dengan Nabatea sebelum pulang menghadap bapanya. Anak-beranak itu kemudiannya digiring keluar dari wilayah tersebut dalam sebuah lagi pertembungan.
Kekayaan melimpah-ruah yang dimiliki Kerajaan Nabatea terus meningkat dan menjadi bahan legenda di zamannya sendiri. Beberapa abad kemudian, keulungan kerajaan ini masih disebut-sebut oleh para sejarahwan seperti Strabo (meninggal dunia pada 23M) dan Diodorus Siculus (abad 1SM).
Secara menyeluruh, dua orang penulis ini serta penulis-penulis lain menggambarkan Kerajaan Nabatea dengan naratif yang positif. Diodorus menulis perihal kekayaan Nabatea dan kebudayaan mereka dalam Jilid XIX bagi karyanya yang berjudul Histories:
“Demi kepentingan mereka-mereka yang tidak mengetahui, saya anggap perlu untuk menyatakan sedikit perincian tentan kebudayaan masyarakat Arab satu ini. Mereka percaya bahawa dengan mematuhi adat-adat tersebut, mereka akan dapat memelihara kebebasan mereka. Mereka hidup secara terbuka, menghidup udara yang segar – teguh mempercayai bahawa padang pasir yang tiada sungai mahupun sumber air itu merupakan kampung halaman mereka, kampung yang tidak memungkinkan mana-mana pasukan tentera mendapatkan sumber air.
Sudah menjadi kebiasaan mereka untuk tidak bergiat dalam aktiviti bercucuk tanam, memetik tuaian dari pokok-pokok buah, menggunakaan arak ataupun membina sebarang binaan rumah – dan jika ada sesiapa yang dijumpai melanggar adat ini, kematian baginya.
Mereka mematuhi adat-adat tersebut kerana mereka percaya bahawa orang yang memiliki perkara-perkara itu (yang disebutkan di atas) dengan mudah akan tunduk pada tuntutan ‘kuasa’ barangan tersebut – tuntutan yang perlu jika mahu mengekalkan penggunaannya. Sebahagian daripada mereka menternak unta sambil yang lain pula menggembala biri-biri di gurun.
Ketikamana kebanyakan kabilah Arab menjadikan gurun sebagai tempat penternakan (yang juga diamalkan oleh Nabatea), kaum Nabatea jauh melangkaui kabilah-kabilah yang lain dalam soal kekayaan walaupun jumlah populasi mereka tidak melebihi sepuluh ribu orang.
Hal ini kerana ramai dalam kalangan mereka sudah terbiasa mendagangkan barangan seperti kemenyan, morhabshi, dan rempah-rempah berharga yang lain, yang didapati dari Arabia Eudaemon (Yaman).
Kaum Nabatea ini begitu akrab dengan kebebasan – bila sahaja ada sebuah ketumbukan tentera musuh datang mendekat, mereka akan berlindung di gurun dan menggunakannya sebagai kubu, memandangkan kawasan sebegitu tidak mempunyai sumber air dan tidak pula dapat direntasi oleh orang lain kecuali mereka. Hal ini kerana mereka telah pun menyiapkan tempat penyimpanan bawah tanah.
Memandangkan rupa bumi di sebahagian tempat terdiri daripada tanah liat sambil tempat yang lain pula berbatuan lembut, maka mereka memanfaatkan keadaan tersebut dengan melakukan penggalian. Mulut lubang yang digali bersaiz sangat kecil, namun saiznya terus melebar seiring kedalamannya. Setelah meraih hasil akhir, lubang ini memiliki saiz yang amat besar; di mana setiap sisi mempunyai kepanjangan satu plethrum (101 kaki atau 30 meter).
Setelah mengisi lubang ini dengan bekalan air yang diperoleh dari hujan, mereka pun menutup dan menimbusnya sehingga rata dengan permukaan tanah. Sebelum meninggalkan tempat penyimpanan tersebut, mereka terlebih dahulu meletakkan tanda yang hanya dapat diketahui oleh kaum mereka sahaja.
Mereka memberi minum kepada ternakan mereka selang setiap hari agar jika mereka melalui tempat yang tidak memiliki sumber air, mereka sudah terbiasa dengan keadaan itu. Haiwan ini turut dimanfaatkan sebagai makanan dan minuman (susu). Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan yang dapat dijumpai – ia turut menjadi bekalan makanan kepada kaum Nabatea ini. Antara tumbuhan tersebut termasuklah lada dan madu asli dari pokok yang mereka campurkan dengan air untuk diminum.”
AGAMA MASYARAKAT NABATEA
Tidak banyak maklumat yang diketahui perihal aktiviti keagamaan masyarakat Nabatea melainkan bahawa mereka mengamalkan politeisme dan menyembah matahari dalam upacara-upacara yang diadakan di puncak kuil. Mereka turut memuliakan tuhan-tuhan mereka dalam upacara-upcara peribadi di rumah.
Terdapat kelas paderi yang terbuka kepada golongan lelaki dan perempuan. Namun, bagaimana pemilihan atau persiapan seseorang untuk bergelar paderi tidak pula diketahui. Persis keadaan di Mesir, kelihatannya para paderi lelaki dan wanita di Nabatea ini lebih cenderung kepada para dewa berbanding manusia. Malahan, tidak kelihatan juga sebarang institusi keagamaan melainkan menerusi upacara keraian.
Dewa-dewa bagi kaum Nabatea tidak pernah digambarkan dalam bentuk patung berskala-penuh. Namun, ia ada diukir pada pintu-pintu gerbang, dinding kuil, bahagian syiling kuil, permakaman, dan barangan seramik. Tiga dewata yang paling penting bagi kaum Nabatea pada tahun-tahun awal mereka adalah:
- Al-Qaumm: Dewa perang, pelindung manusia, dewa waktu malam dan pelindung roh.
- Al-Kutby: Dewa pengetahuan, penulisan dan ramalan.
- Al-Uzza: Dewi ibu tertinggi, dikaitkan dengan kuasa dewata dan alam.
Dewata-dewata di zaman terkemudian pula adalah Manawat (dewi takdir dan kesuburan), Allat (dewi pembaharuan, kelangsungan zuriat dan kesuburan), dan Dushara (juga dikenali sebagai Dushares, dewi gunung-ganag dan waktu siang serta dikaitkan dengan matahari).
Di antara kesemua dewata ini, Dushara merupakan dewata yang paling lama kekal diingati dan dipuja di puncak-puncak kuil Nabatea. Dushara masih hadir dalam matawang syiling mereka walaupun selepas tempoh penaklukan Nabatea yang dilakukan oleh Rom.
RAJA-RAJA NABATEA DAN KONFLIK YANG DIHADAPI
Masyarakat Nabatea bersifat celik huruf dan agak maju dalam penulisan Bahasa Arab, walaupun mereka tidak banyak menulis rekod tentang sejarah mereka sendiri. Pengetahuan berkenaan kebudayaan, adat-istiadat, serta hayat raja-raja mereka hanya tercantum dalam tulisan Greek dan Rom selain diisyaratkan menerusi reka bentuk binaan, kesenian, dan inskripsi ringkas yang ditinggalkan oleh Nabatea.
Seiring dengan berkembangnya kerajaan mereka, masyarakat Nabatea menjalinkan hubungan dan berkonflik dengan wilayah-wilayah jiran. Makanya, nama raja-raja mereka turut disebutkan oleh para penulis dari kuasa-kuasa tersebut.
Terdapat seorang raja awal yang mungkin bernama Rekem atau Raqmu. Bersempena namanyalah kota yang kini dikenali sebagai Petra meraih nama. Petra (berasal dari Bahasa Greek yang bermaksud ‘batu’) adalah nama Greek bagi ibu kota Raqmu. Tarikh hayat dan pemerintahan raja ini masih lagi misteri, seperti misterinya tarikh ukiran ajaib di Petra Raja pertama yang tercantum secara jelas dalam catatan sejarah adalah Aretas I (168SM) dan pemerintahannya dijadikan sebagai tanda permulaan Kerajaan Nabatea.
Nama Aretas I tercatat di dalam sebuah inskripsi Nabatea yang bertarikh 168SM dan beliau juga ada disebutkan di dalam Kitab II Maccabees (5-8) yang turut mengesahkan kewujudan pemerintahannya pada waktu-waktu itu.
Beliau bertanggungjawab memperluaskan wilayah Kerajaan Nabatea dan dikenali sebagai “Pemerintah Tirani Arab” oleh musuh-musuhnya. Beliau membantu Maccabees dari Judea semasa Judea memerangi Seleucid Greek (168/167-160SM) dan memberi kebenaran kepada Judas Maccabees untuk melalui wilayahnya ketika melakukan serangan.
Pemerintah Nabatea yang seterusnya – disebutkan bahawa beliau mewarisi Aretas I namun keadaan sepertinya lebih cenderung bahawa beliau merupakan pemerintah yang lebih terkemudian – dikenali sebagai Aretas II (juga Erotimus, 120/119-96SM). Aretas II terlibat dalam konflik dengan Dinasti Hasmonean. Raja Hasmonean yang bernama Alexander Janneus (103-76SM) menghancurkan Gaza dan menguasai kota-kota perhentian di Laluan Setanggi sekaligus menjejaskan ekonomi Nabatea.
Pewaris Aretas II yang bernama Obodas I (96-85SM) pula berperanan menewaskan Janneus dalam sebuah pertempuran dan berjaya merebut semula Gaza. Beliau kemudiannya menewaskan Seleucid-Greek yang ketika itu berada di bawah kepemimpinan Antiochus XII Dionysius (87-84SM) – si raja itu terbunuh dan bala tenteranya habis musnah.
Selepas meraih kemenangan ini, rakyatnya sendiri malah berpaling ketaatan daripadanya sebagaimana yang tercatat dalam sebuah memorial di kuburnya yang berlokasi di kota Avdat. Kedudukannya diwarisi oleh saudaranya, Rabbel I (85SM) yang terkorban dalam sebuah pertempuran. Takhta kemudiannya diserahkan kepada seorang lagi saudaranya yang mengambil gelaran Aretas III (85-60SM).
Aretas III berperanan memperluaskan wilayah Nabatea dan mendaki masa puncaknya. Beliau menguasai laluan-laluan perdagangan dari Syria merentas Tanah Arab hingga ke pesisiran selatan. Pada tahun 64SM, seorang panglima Rom yang bernama Pompey datang menyerang dan menakluk Syria bagi pihak Rom.
Beliau turut menghantar panglimanya yang bernama Scaurus untuk merebut Petra. Scaurus tidaklah meraih kejayaan sebesar Demetrius pada kurun-kurun sebelumnya. Namun, bala tentera Rom ini jauh lebih kuat berbanding kekuatan Greek yang menggempur Nabatea pada masa dahulu. Akibatnya, Nabatea terpaksa membayar ufti kepada Rom demi mengekalkan kemerdekaannya.
Takhta Aretas III diwarisi oleh Obodas II (60-59SM) yang mangkat tidak lama selepas memegang kuasa dan kedudukannya diserahkan kepada Malichus I (59-30SM) yang terpaksa tunduk kepada Herod Agung sebagai raja bawahan.
Beliau digantikan oleh Obodas III (30-9SM) yang berjaya mempertahankan Kerajaan Nabatea dari kekuatan Rom dengan menghantar ketua menterinya, Syllaeus untuk “memandu arah” pasukan tentera Rom yang dipimpin oleh Gallus menuju ke kota-kota Nabatea. Syllaeus berpura-pura bersifat tulus dalam berkawan dengan Rom sebelum memperdayakan mereka. Belaiu kemudiannya dihukum bunuh di Rom atas dakwaan berlaku khianat.
Obodas III digantikan oleh Aretas IV (9SM-40M) yang dianggap sebagai raja Nabatea yang paling hebat. Inskripsi-inskripsi Nabatea menyebut namanya sebagai “Aretas, Raja Nabatea, kekasih rakyat jelatanya” dan beliau dipandang sangat tinggi. Isterinya, Chuldu (juga dikenali sebagai Huldu, Huldo) turut memerintah bersamanya dan mungkin secara sendirian selepas kemangkatan Aretas IV.
Beliau berjaya menyatukan kekuatan Nabatea walaupun perlu berhadapan dengan kekuatan Rom. Malahan, beliau turut meraih perakuan daripada Augustus Caesar sebagai seorang raja yang berautonomi (memerintah secara sendiri). Hak wanita, kesenian, kebudayaan, perundangan dan ekonomi Nabatea mencapai tahap tertinggi semasa zaman pemerintahannya.
Kedudukan Aretas IV ini diwarisi oleh puteranya, Malichus II (40-70M). Semasa pemerintahannya, kebanyakan wilayah Nabatea hilang ke tangan Rom. Beliau mencuba, walaupun gagal, untuk meraih pandangan hormat daripada Rom dengan menghantar pasukan tentera Nabatea bagi membantu Rom menundukkan Pemberontakan Yahudi 66-70M.
Aretas IV kemudiannya mangkat, ataupun terbunuh dan takhtanya diwarisi oleh Rabbel II Soter (70-106M) yang dikenali sebagai raja penyelamat rakyat walaupun beliau kehilangan lebih banyak wilayah kekuasaan kepada Rom. Prestij Nabatea juga jatuh merudum semasa pemerintahannya.
Kedudukan beliau diwarisi oleh saudara perempuannya, Gamilath. Namun, Kerajaan Nabatea pada waktu itu sudah pun tiba di penghujungnya memandangkan pengaruh kekuasaan Rom semakin membesar. Kerajaan Nabatea pun ditundukkan dan diserap sebagai wilayah taklukan Rom pada tahun 106M.
KESIMPULAN
Kota-kota Nabatea mengalami kejatuhan semasa berada di bawah pemerintahan Rom dan sebuah kejadian gempa bumi yang berlaku pada tahun 363M pula meranapkan kebanyakan kota tersebut. Wilayah ini kemudiannya diperintah oleh Empayar Rom Timur (Byzantine) yang menubuhkan sejumlah gereja di kota-kota tersebut sekaligus menghidupkan semula sektor komersial sebelum berlaku lagi sebuah gempa bumi pada tahun 551M – mengakibatkan kemusnahan lanjut. Menjelang Serangan Arab pada abad ke-7M, kota-kota Nabatea ini telah pun lama ranap dan Nabatea pula dilupakan.
Hanya pada abad ke-19M, semasa para pengembara Eropah mula melawat kawasan tersebut, barulah kota-kota seperti Petra ditemui semula. Kebudayaan Nabatea yang unik makin menarik minat dunia terhadap kota Petra.
Tumpuan kepada Nabatea semakin berkembang pada abad ke-20M dengan sejumlah sejarahwan dan ahli arkeologi melawat wilayah berkenaan dan melakukan kerja-kerja ekskavasi di tapak-tapak purba itu. Petra kemudiannya diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1985M dan dinamakan sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Dunia pada tahun 2007.
Kemahiran masyarakat Nabatea dalam pertukangan batu jelas terbukti menerusi struktur-struktur Petra – kemahiran yang dianggap tiada tandingannya di zaman purba. Kebijaksanaan mereka dalam memanfaatkan setiap inci peluang yang ada turut membenarkan mereka menjadi kerajaan yang paling kaya di wilayah itu.
Walaupun ketamadunan ini telah dilupakan selama berabad-abad, pada hari ini ia diperakui sebagai sebuah kebudayaan yang maju yang tidak hanya berkemampuan untuk menghadapi cuaca yang panas dan gersang, namun untuk turut mengecap kegemilangan di tanah tandus seperti itu.
RUJUKAN:
- Ancient Hegra by Laila Nehme
- Nabatean Pantheon
- The Water Supply and Distribution System of the Nabatean City of Petra by Charles R. Ortloff
- Unearthing the History of Mada’in Saleh
- Women in the Nabatean Society by Mahdi Alzoubi, et. al.
- Diodorus Siculus. Diodorus Siculus Histories. (Harvard University Press, 1935).
- Hornblower, S. and Spawforth, A. The Oxford Companion to Classical Civilization. (Oxford University Press, 2014).
- Lankester Harding, G. The Antiquities Of Jordan. (Andesite Press, 2017).
- Mumford, L. The City in History: Its Origins, Its Transformations, and its Prospects. (Mariner Books, 1968).
- Procopius. Procopius’ Histories. (Harvard University Press, 1928).
- Strabo. Strabo’s Geography. (Harvard University Press, 1929).
- Strassler, R. B. The Landmark Herodotus. (Anchor Books, 2009).
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih