Selepas Melaka menjadi tapak kepada Kesultanan Melayu Melaka antara akhir abad ke-14 atau abad ke-15 Masihi, ia bukan saja menjadi pelabuhan entrepot tumpuan dunia dari China di timur hinggalah India dan Semenanjung Tanah Arab di sebelah barat. Malah, ia menjadi pusat perkembangan ilmu dan dakwah terutama selepas pemerintah-pemerintah Melaka menerima seruan dakwah dari pedagang Arab, India dan Parsi. Maka tidak hairanlah, para ulama memainkan peranan bukan saja sebagai pendidik tetapi juga sebagai penasihat utama sultan dalam soal agama.
Perihal ulama dalam Kesultanan Melayu Melaka
Berdasarkan analisis Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, pengasas Kesultanan Melayu Melaka iaitu Parameswara diislamkan oleh Maulana Ibrahim Asmoro atau puteranya Maulana Ishak. Ini berdasarkan wujud anekdot baginda memeluk Islam antara tahun 1376 hingga 1378 di Palembang oleh Maulana Ibrahim, putera kepada Sayyid Hussein Jamadil Kubra atau antara 1378 hinggalah 1404 di Melaka.
Menurut beliau, jika Parameswara memeluk Islam antara tahun 1392 hingga 1404 di Melaka, dai’ yang bertanggungjawab mengislamkan baginda ialah Maulana Ishak, putera kepada Maulana Ibrahim. Dan jika kita pertimbangkan usia baginda yang sudah lanjut (berkemungkinan pada usia 80 tahun), Parameswara tidak sempat mengislamkan ahli kerabat dirajanya.
Peristiwa kerabat diraja Melaka memeluk Islam secara beramai-ramai berkemungkinan berlaku semasa era Raja Kecil Besar. Menurut kitab Sulatus Salatin, baginda diislamkan oleh seorang pedagang Arab bernama Sayyid Abdul Aziz. Beliau juga bertanggungjawab memberi nama baru baginda, Sultan Muhammad Shah dan menjadi guru peribadinya selama lapan tahun. Semasa di Melaka juga, Sayyid Abdul Aziz turut bertanggungjawab membuka sekolah pondok pertama di Melaka di satu kawasan bernama Upih (kini Tengkera) di mana di situ juga berdirinya Masjid Tengkera, antara masjid paling tua di Melaka.
Berdasarkan beberapa riwayat, beberapa orang Walisongo pernah menuntut ilmu di sekolah pondok di Melaka. Dalam Babad Tanah Jawi misalnya, Sunan Giri dan putera gurunya Sunan Bonang belayar dari Ampel menuju ke Makkah bagi melaksanakan rukun kelima Islam iaitu fardu haji. Setibanya di Melaka, mereka bertemu dan berguru dengan Sheikh Wali Lanang selama beberapa lama.
Selepas tamat pengajian, kedua-duanya berhasrat meneruskan perjalanan ke Makkah tetapi beliau menasihatkan dua pelajarnya itu kembali semula ke tanah air mereka untuk berdakwah. Sunan Kalijaga dan Sheikh Sutabris juga pernah berguru dengan para ulama di Pulau Upih.
Putera Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Yusuf dan cucunya Sayyid Menawar pernah dilantik sebagai Kadi Besar Melaka. Malah, kedua-duanya juga diberi penghormatan sebagai pembimbing dan penasihat hampir semua Sultan Melaka ketika itu.
Mereka pernah berkhidmat di bawah Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah dan Sultan Mahmud Shah. Selain mereka, Maulana Sadar Jahan, Maulana Abu Bakar, Maulana Jalaluddin, Syarif Muhammad Kabungsuwan, Karim al-Makhdum dan Sultanul Arifin Syeikh Ismail juga antara nama alim ulama yang membimbing sultan, para pembesar dan umat Islam Melaka. Malah, golongan bangsawan dan anak-anak raja dititahkan untuk mengaji agama pada alim-ulama Melaka.
Dalam buku Sultan-Sultan Soleh karangan Ustaz Hasanuddin Yusof, wujud satu kisah membabitkan putera Sultan Mansur Shah yang bernama Raja Hussein (kemudiannya dikenali sebagai Sultan Alauddin Riayat Syah (1477-1488)). Antara guru agama baginda ialah seorang ulama dari negara China. Pada mulanya, beliau enggan menerima Raja Hussein sebagai anak muridnya memandangkan statusnya sebagai putera raja. Namun akhirnya, ulama ini terpaksa mengalah apabila melihat kesungguhan baginda yang merayu-rayu mahu mempelajari ilmu tasawuf.
Peranan Pulau Besar
Kesultanan Melayu Melaka merupakan pusat tarbiyah ruhiyyah yang sangat penting pada zaman kegemilangan Islam di Nusantara. Salah satu pusat pengajian terkemuka ketika itu ialah di Pulau Besar. Pelbagai sumber lisan, penulisan dan warisan menyebut tentang kedatangan alim-ulama dari Semenanjung Tanah Arab, khususnya Sultan al-‘Ariffin Syeikh Ismail dari zuriat Sultan al-Awliya’ Syeikh Abdul Qadir al Jailani dan rombongannya pada akhir abad ke-15 Masihi. Dengan keizinan Sultan Mahmud Shah, Sheikh Ismail telah memilih Pulau Besar untuk kegiatan dakwah dan tarbiyah ruhiyyah jemaahnya.
Pulau Besar juga turut menyaksikan kelibat seorang penghuninya yang tersohor iaitu Sheikh Sayyid Thanauddin bin Ahmad Shah Jalal, iaitu adik-beradik kepada seorang mubaligh besar bertaraf penaung kepada ramai alim-ulama Nusantara seperti para Wali Songo, iaitu Sayyid Hussein Jamadil Kubro. Nama gelarannya ialah Tuan Guru Adi Putra dan ini berkemungkinan guru kepada Laksamana Hang Tuah dan saudara-saudaranya.
Hang Tuah bukan sahaja mempelajari ilmu persilatan daripada Syed Thanauddin, tetapi juga ilmu Kebatinan & Perubatan. Selepas tamat pengajian, beliau mempelajari ilmu kepahlawanan, ilmu firasat & ilmu kebatinan daripada saudara Syed Thanauddin di Tanah Jawa, yang digelar sebagai Sang Persata Nala. Dan semasa Hang Tuah bersembunyi di Ulu Melaka dengan bantuan Bendahara Paduka Raja Tun Perak untuk mengelak dihukum bunuh angkara fitnah pembesar yang mencemburui kedudukannya, beliau juga berkesempatan berguru dengan Sheikh Mansur dalam soal agama.
Selepas kedatangan Syeikh Ismail di Pulau Besar, tidak berapa lama selepas itu, datang pula golongan ulama dan mubaligh dari Semenanjung Tanah Arab. Dan semasa ia menjadi tumpuan ramai, jumlah keseluruhan mereka di situ seramai 43 orang dan dikenali sebagai Ahli Pulau Besar. Di tangan jemaah ini, maka terbinalah pusat ilmu, dakwah dan tarbiyah ruhiyyah yang agak besar dan pesat di Pulau Besar.
Dengan bersemaraknya kegiatan tasawuf dan tarekat, maka tidak hairanlah Sheikh Ismail sendiri diangkat sebagai imam dan mursyid. Manakala, gurunya Sheikh Muhammad Yusuf as-Siddiq memainkan peranan sebagai penasihat dan sumber rujukan para dai’ dan pelajar ketika itu. Sesetengah berpandangan bapa mertua dan penasihat Sheikh Ismail ialah Maulana Ishak, orang sama berkemungkinan bertanggungjawab mengislamkan Parameswara.
Selain berperanan sebagai pusat ilmu, dakwah dan tarbiyah ruhiyyah, Pulau Besar juga dikenali sebagai pusat latihan ketenteraan bagi hulubalang Melaka dan tentera Islam dari pelbagai wilayah di Nusantara. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Portugal pada tahun 1511, ia pernah memainkan peranan sebagai markas jihad para pejuang Islam untuk merebut kembali Melaka. Bukan sedikit yang syahid dalam perjuangan berkenaan dan dikebumikan di Pulau Besar.
Antara yang syahid dan dikebumikan di Pulau Besar ialah Pati Unus yang merupakan pemerintah Kesultanan Demak yang kedua. Selain baginda, seorang ulama Acheh yang tersohor iaitu Sheikh Syamsuddin Pasai turut dimakamkan di situ. Sheikh Syamsuddin yang pernah memengang jawatan kadi semasa pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam mengikut ekspedisi ketenteraan Acheh ke atas Portugal di Melaka dengan kekuatan 20,000 tentera dan 236 buah kapal perang. Perang antara kedua-dua belah pihak berlangsung sengit selama lapan bulan sehinggalah beliau gugur syahid di medan pertempuran. Makamnya masih ada sehingga hari ini di Kampung Ketek, Melaka.
Definisi Melayu Dalam Ikatan Budaya
Kedatangan Islam telah memulakan proses perubahan yang besar kepada falsafah, struktur, adat, budaya, sosio-politik, jati diri, mentaliti, pandangan alam dan kejiwaan masyarakat Melayu dengan memalingkan daripada kehidupan sebelumnya yang menganuti kepercayaan animisme serta Hindu-Buddha, yakni yang berpegang kepada soal mistik, semangat, dewa-dewi serta lain-lain kepercayaan syirik dan khurafat, kepada suatu kepercayaan baru yang berpaksikan konsep Tauhid, yakni Allah sebagai Pencipta alam dan makhluk, yang Maha Esa, segala-galanya bersumber daripada-Nya.
Malah, pelbagai ajaran dan amalan baru yang berteraskan unsur-unsur Tauhid, Syariat dan Tasawuf/Ihsan telah diperkenalkan bukan sahaja berhasil mengembangkan dan memperkayakan perbendaharan Bahasa Melayu Klasik/Jawi. Malah, ia diterjemah dalam rupa bentuk sistem dan struktur-struktur masyarakat yang menjadikan kebanyakan adat budaya Melayu bersendikan Kitabullah.
Selain itu, sesetengah daripada apa yang dibawa oleh golongan ulama sufi ini adalah pengajaran-pengajaran yang dibawa hasil daripada pengalaman baik buruk dunia Islam di Timur Tengah dan Eropah agar menjadi iktibar dan tauladan kepada perkembangan Fiqh Siasah dalam Kesultanan Melayu Melaka yang baru sahaja lahir sebagai salah satu dari mata rantai kerajaan-kerajaan Islam sedunia.
Selain itu, sesetengah daripada apa yang dibawa oleh golongan ulama sufi ini adalah pengajaran-pengajaran yang dibawa hasil daripada pengalaman baik buruk dunia Islam di Timur Tengah dan Eropah agar menjadi iktibar dan tauladan kepada perkembangan Fiqh Siasah dalam Kesultanan Melayu Melaka yang baru sahaja lahir sebagai salah satu dari mata rantai kerajaan-kerajaan Islam sedunia.
Kefahaman Islam yang diajarkan dalam Kesultanan Melayu Melaka bersandarkan kepada fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah. Ini berikutan pengislaman Parameswara di tangan ulama sufi Pasai dan hubungan kekeluargaan diraja Melaka dengan Pasai yang diketahui mengambil ajaran Fiqh Mazhab Syafie dan menjadi pusat rujukan keagamaan bagi Melaka. Pengislaman Raja Kecil Besar di tangan Sayyid Abdul Aziz yang dihantar oleh Syarif Mekah (penyokong fahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah) juga merujuk kepada fahaman agama yang dibawa golongan ahlussunnah dalam Kesultanan Melaka.
Malah, alim-ulama di Melaka juga mengajar kitab Tauhid & Tasawuf. Selain daripada kitab Duri’l-Mazlum, dua lagi kitab agama ‘tinggi’ telah diajar dan dibahaskan di Istana Melaka iaitu kitab al Luma fi’l Tasawwuf karya Abú Nasr ‘Abdallah b. ‘Ali al-Sarráj al-Tusi dan kitab al-Insan al-Kamil fi Makrifat al-Awakhir wa al-Awa’il oleh Syeikh Abdul Karim al Jili yang turut disebut sebagai kitab Tasawuf Falsafah. Kitab Fusus al-Hikamkarya Muhyiddin Ibnu Arabi turut diajar di Istana Melaka.
Sebagai tambahan kepada bukti iktikad Ahlus Sunnah menjadi tunjang Kesultanan Melayu Melaka, ada satu anekdot menarik dari Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut beliau, wujud kemungkinan kitab aqidah aliran Imam Abu Mansur al-Maturidi yang bertajuk Al-Aqāid An-Nasafiyyah karangan Imām Abu Hafs Umar bin Muhammad An-Nasafi yang merupakan manuskrip Melayu terawal dijumpai setakat ini (abad ke-16) dan dipercayai telah diterjemah pada zaman Melaka.
Ia memberikan suatu kesimpulan bahawa aqidah umat Islam di Melaka adalah daripada aliran Imam al-Maturidi. Selain itu, satu sumber mencatatkan bahawa kitab himpunan salawat Dalailul Khairat karangan Sheikh Muhammad bin Sulaiman al-Jazuli (meninggal dunia pada tahun 872 Hijrah) juga telah dijumpai pada jasad para syuhada yang berperang melawan Portugal di Melaka dalam tahun 1511 sekaligus merujuk kepada pengamalan kitab yang masyhur ini.
Perundangan Melaka juga digubal mengikut undang-undang syariat dan undang-undang adat. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, baginda memperkenalkan Hukum Kanun Melaka yang mengandungi 44 Fasal yang meliputi pelbagai persoalan seperti adat berpakaian raja, bahasa segala raja-raja, perkara yang dilarang orang biasa semasa pengebumian, kesalahan yang boleh dijatuhkan hukum bunuh, orang yang mengamuk, membunuh hamba raja, orang yang mengganggu isteri orang, menyembunyikan dan melarikan hamba, hukum tuduh-menuduh yang tidak bersaksi, hukum pertunangan, undang-undang tanah dan denda yang dikenakan ke atas anak raja.
Pengaruh Islam juga amat jelas dalam Hukum Kanun Melaka seperti hukum mengenai wali, saksi, talak, zina, minum arak, merogol dan berhutang .Misalnya si pencuri, jika sabit kesalahannya akan dipotong tangan dan sesiapa yang melakukan zina akan dihukum sebat 100 kali atau dihukum rejam dengan batu sampai mati (HKM Fasal 7:2 dan 12:2). Salah satu ciri khas Hukum Kanun Melaka ialah kewujudan istilah ‘malu’ atau ‘aib’ dalam kanun berkenaan. Ternyata hukuman moral sebegini adalah sangat efektif. Orang Melayu takut merasa malu di hadapan orang lain. Jelas dalam era Kesultanan Melaka, Islam telah mempengaruhi setiap aspek kehidupan termasuk sistem pentadbiran, perkahwinan, pengkebumian, pemilik hartanah dan warisan.
RUJUKAN:
Tun Haji Othman, Tun Suzana. Pertubuhan Kesedaran Melayu & Islam (KEMUDI). Alim-Ulama Dalam Kesultanan Melayu Melaka. http://www.khazanahbendaharaserimaharaja.com/uploads/9/7/5/8/9758343/ulama_di_melaka.pdf
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih