Pada abad ke-15 Masihi, Zaman Penemuan bermula di dunia Eropah. Empayar-empayar maritim seperti Sepanyol dan Portugal mendahului kuasa-kuasa Eropah dalam melancarkan ekspedisi merentas lautan dunia. Penemuan-semula Dunia Baru, pengembaraan di perairan Afrika Barat, dan penemuan laluan laut ke Timur menghasilkan kekayaan yang besar buat dua buah kuasa maritim tersebut.

Akibat didorong oleh rasa hauskan pengembaraan dan laparkan emas, maka sebaik sahaja mereka mendengar legenda-legenda tempatan perihal Cibola, iaitu tujuh buah kota emas, langsung sahaja para pengembara tersebut digamit untuk melancarkan ekspedisi mencari khazanah tersembunyi itu.

Legenda Cibola si Tujuh Buah Kota Emas mungkin berasal-usul dari sebuah legenda berkenaan nasib hidup Don Rodrigo apabila beliau kehilangan kerajaannya, Sepanyol di tangan Muslim pada abad ke-8 Masihi. Dikisahkan bahawa beliau membawa tujuh orang paderi berserta sejumlah orang awam dan berlayar ke sebuah pulau bernama Antilia. Di pulau tersebut, setiap seorang paderi membina sebuah kota sambil kapal-kapal dan segala peralatan navigasi dibakar untuk menghindarkan orang awam dari kembali semula ke Sepanyol.

Peta Amerika Utara yang diterbitkan oleh Henry Chatelain untuk edisi Atlas Historique-nya pada tahun 1720. Peta ini turut memasukkan Quivra yang terletak di barat Mississppi, dan Cibola pula di New Mexico. Quivra dan Cibola ini merupakan salah satu dari Tujuh Buah Kota Emas yang dicari oleh para pengembara Sepanyol di Amerika Utara

Legenda tersebut kemudiannya dihidupkan semula pada 1530-an apabila empat individu yang terselamat dari nasib malang yang menimpa ekspedisi kelolaan Narváez berjaya kembali ke New Spain. Ekspedisi yang bermula pada tahun 1527 itu bermatlamat untuk mengkolonikan wilayah Florida. Pada tahun berikutnya, iaitu 1528M, kru kapal mereka terdampar di pantai Texas dalam cubaan untuk berlayar dari Mexico ke Florida. Mereka yang terselamat kemudiannya ditangkap oleh orang-orang asli.

Setelah berada dalam tahanan selama empat tahun, mereka berjaya melarikan diri dan empat tahun berikutnya pula diluangkan dengan merayau tanpa hala tuju di kawasan selatan Amerika Syarikat moden.
Semasa mereka bertemu dengan tentera-tentera Sepanyol di Sinaloa yang terletak di Mexico moden, jumlah yang berbaki hanya tinggal empat orang dari keseluruhan 600 orang pada asalnya.

Sepanjang berkelana selama bertahun-tahun itu, mereka bertemu dengan sejumlah puak orang asli dan salah satu legenda yang sering didengari oleh mereka adalah berkenaan tujuh buah kota yang dipenuhi dengan emas, dipercayai terletak di Gurun Sonoran.

Menurut legenda, tujuh buah kota emas itu boleh ditemui di Gurun Sonoran, Arizona

Lantas pada tahun 1539M, Perwakilan New Spain yang bernama Antonio de Mendoza bertindak menghantar salah seorang kru yang terselamat, iaitu seorang hamba warga Afrika Utara yang bernama Esteban de Dorantes bersama seorang paderi Franciscan yang bernama Marcos de Niza dalam sebuah ekspedisi yang bertujuan mencari Tujuh Buah Kota Emas itu.

Dalam ekspedisi tersebut, Esteban dilaporkan telah dibunuh oleh puak Zunis yang mereka temui sementara Marcos pula berjaya kembali ke Mexico City. Marcos melaporkan bahawa beliau sempat melihat salah sebuah kota Cibola dari jauh. Namun, beliau tidak berani memasuki kota itu kerana khuatir akan menerima nasib yang sama seperti Esteban.

Lukisan oleh Frederic Remington yang menggambarkan kemaraan Francisco Vázquez de Coronado bersama pasukan tenteranya dalam usaha mencari Cibola

Antonio de Mendoza yang mempercayai laporan Marcos itu pun berhasrat untuk melancarkan sebuah ekspedisi berskala besar pada tahun berikutnya. Kali ini, ekspedisi tersebut dipimpin oleh seorang conquistador bernama Francisco Vázquez  de Coronado.

Pada bulan Februari 1540, Coronado pun berangkat bersama 350 orang tentera Sepanyol dan kira-kira 900-1300 orang asli dari utara yang merupakan sekutu mereka dalam sebuah misi pencarian Tujuh Buah Kota Emas.

Ekspedisi yang berlanjutan selama dua tahun ini menemui kegagalan mutlak. Bukannya kota besar yang bertembokkan emas yang mereka temui. Sebaliknya, Coronado dan pasukannya hanya menemukan kampung-kampung orang asli yang bertembokkan tanah liat. Akibatnya, ramai dari kalangan mereka termasuk Coronado sendiri jatuh bankrap setelah pulang ke Mexico City dengan membawa tangan kosong.

Conquistador Francisco Vázquez de Coronado melancarkan sebuah misi mencari Tujuh Buah Kota Emas

Bagi mengurangkan rasa kecewa di atas kegagalan tersebut, mereka tidak berangkat pulang sebelum terlebih dahulu menguasai wilayah-wilayah yang kini dikenali sebagai Arizona, New Mexico, Texas dan Kansas bagi pihak Sepanyol sekaligus menghindarkan kuasa Eropah lain dari mengkolonikan wilayah barat daya Amerika.

Peta yang menunjukkan perjalanan Ekspedisi Coronado yang diketuai oleh Francisco Vázquez de Coronado dari tahun 1540 hingga 1542M

Walau bagaimanapun, Coronado pulang menghadap pihak pentadbir dengan perasaan yang amat marah kerana tidak menemukan khazanah seperti yang dijanjikan. Sejak itu, Coronado tidak lagi memimpin sebarang ekspedisi dan meninggal dunia dalam keadaan penuh rasa malu akibat kegagalannya itu.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

DHWTY. (25 Januari 2015). The Search for Cibola, the Seven Cities of Gold. Ancient Origins.https://www.ancient-origins.net/myths-legends-americas/search-cibola-seven-cities-gold-002603


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.