Bila kita berada dalam situasi yang kurang menyenangkan seperti kesesakan lalu lintas atau bersesak-sesak dalam pengangkutan awam, adatlah jika ada yang merungut dan merasa tidak selesa. Ia merupakan ekspresi emosi kita terhadap sesuatu isu. Tetapi di Jepun, jika anda gunakan pengangkutan awam dan terpaksa bersesak-sesak, anda tidak akan mendengar satu suara pun yang merungut. Ini sebenarnya sebahagian daripada sifat gaman atau ketabahan yang dimiliki rakyat Jepun.
Secara ringkas, gaman merujuk kepada idea individu seharusnya menunjukkan kesabaran dan ketabahan bila berhadapan situasi sukar atau tidak dijangka sekaligus mengekalkan hubungan sosial yang harmoni. Konsep idea ini menekankan soal kawalan diri iaitu mengawal perasaan dari terjebak dengan konflik. Ia sesuatu yang dijangkakan oleh semua dan dianggap satu tanda kematangan. Profesor David Slater dari Universiti Sophia, Tokyo melihat gaman sebagai satu set strategi untuk menangani peristiwa-peristiwa yang berlaku di luar kawalan manusia.
Untuk mengetahui permulaan gaman, kita harus melihat sikap rakyat Jepun itu sendiri. Menurut Profesor Noriko Odagiri dari Tokyo International University, rakyat negara Matahari Terbit itu amat menghargai sikap tidak bercakap terlalu banyak dan memendam semua sentimen negatif terhadap orang lain.
Sikap ini sudah dipupuk sejak dari kecil lagi di mana kanak-kanak mempelajarinya daripada ibu bapa mereka. Gaman juga menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara berkenaan terutama di peringkat sekolah rendah. Menurut Odagiri, golongan wanita selalu diajar agar sentiasa mengamalkan gaman dalam kehidupan mereka.
Gaman sebenarnya diambil dari ajaran Buddha berkenaan memperbaiki diri sendiri sebelum perlahan-lahan diubah kepada mekanisme individu untuk tabah mengharungi keahlian sesebuah kelompok sosial. Ia mula diperincikan apabila Jepun mengalami kemakmuran ekonomi pasca-Perang Dunia Kedua yang menyaksikan kerja membina semula negara lebih penting di mana pekerja terpaksa bekerja untuk waktu bekerja yang lama. Tempoh sebegini menyaksikan ibu bapa terpaksa mengorbankan masa dengan keluarga bagi memastikan keperluan keluarga terjaga.
Sesetengah melihat gaman membentuk salah satu ciri unggul keperibadian rakyat Jepun tetapi ia mempunyai pro dan kontranya. Menurut Nobuo Komiya, seorang penganalisis jenayah di Universiti Rissho, Jepun, pemantauan diri sendiri dan jangkaan orang ramai yang dikaitkan dengan gaman merupakan penyumbang utama kepada kadar jenayah rendah di Jepun.
Menurut beliau, apabila orang ramai saling menjaga antara satu sama lain dan mengelak konflik, semua orang dilihat berhati-hati dengan tingkah laku mereka. Namun menurut Komiya, gaman bukan sahaja memberi faedah terhadap dinamik kumpulan tetapi individu. Gaman sebegini amat membantu jika mereka tidak dipecat atau meraih pelbagai faedah dari hubungan sosial yang dijalin.
Tetapi gaman juga turut menyumbang kepada masalah lain seperti tekanan dan penutupan perlakuan jenayah. Odagiri menambah, “Terlalu banyak gaman memberi tekanan negatif kepada kesihatan mental kita. Adakalanya bila terlalu banyak sentimen negatif dipendam oleh seseorang, ia boleh bertukar menjadi penyakit psikosomatik seperti ulser peptik, asma dan migrain.”
Di Jepun, masalah kesihatan mental jarang dibincangkan dan jika ada yang cuba mendapatkan bantuan, maka individu tersebut dianggap orang yang gagal. Ini kerana mereka dijangkakan boleh mengurus diri sendiri termasuk soal emosi. Tetapi kadangkala, pengurusan sebegini tidak berkesan dan ia boleh membawa kepada keganasan domestik atau tempat kerja. Bila ini berlaku di tempat kerja, ia bukan saja menjejaskan moral pekerja tetapi juga menjejaskan produktiviti sesebuah syarikat itu sendiri.
Gaman juga mengakibatkan rumahtangga warga Jepun berantakan lebih-lebih lagi bagi wanita. Odagiri menambah, “Masyarakat kami mengharapkan wanita bersikap rendah diri dan mendiamkan diri. Jadi, adakalanya wanita cuba untuk tidak menunjukkan sentimen negatif mereka dan mengetengahkan sikap gaman.”
Tetapi bila mereka hendak bercerai, ia difikirkan berulang kali terutama bagi surirumah. Ini kerana mereka sudah tidak mempunyai kebebasan kewangan kerana mengetepikan karier mereka demi membina sebuah keluarga. Situasi sebegini bukan saja mengakibatkan pasangan mengalami tekanan mental yang teruk tetapi juga mencetuskan suasana tidak harmoni dalam sesebuah keluarga.
Namun, gaman yang menjadi kebanggaan rakyat Jepun ini perlahan-lahan ditolak apatah lagi membabitkan soal jenayah. Menurut Komiya, peningkatan aduan kes gangguan seksual dan buli berkait rapat dengan kejatuhan keutamaan struktur sosial yang menekankan kumpulan berbanding individu.
Beliau berkata, “Orang Jepun menganggap gaman sebagai satu nilai kebangsaan tetapi itu hanyalah alasan untuk terus kekal dalam kumpulan.” Hari ini, mana-mana individu yang bersuara tentang sesebuah isu tidak perlu merasa takut dipinggirkan masyarakat kerana tahu mereka tidak bersendirian.
Anda tidak perlu pergi jauh. Pada Disember 2018, Maho Yamaguchi atau Mahohon dari kumpulan NGT48 mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa serangan dua orang lelaki yang menceroboh rumahnya sebelum melarikan diri. Kedua-dua suspek berjaya ditahan pihak berkuasa tetapi dilepaskan tanpa sebarang tindakan. Tetapi pada Januari lepas, Yamaguchi memohon maaf secara terbuka berikutan pendedahannya itu dikatakan menimbulkan masalah kepada pihak pengurusan.
Namun, sikap pengurusan NGT48 yang tidak melakukan apa-apa termasuk menyokong beliau dan memaksanya memohon maaf menimbulkan kemarahan orang ramai. Ramai warga Jepun yang berang meluahkan ketidakpuasan hati mereka di laman media sosial dengan menggunakan tanda pagar #KeadilanuntukMahohon dan beberapa artis berprofil tinggi turut menyatakan sokongan terhadap Yamaguchi.
Sejak tahun lepas, terima kasih kepada pergerakan #MeToo versi Jepun yang membawa kepada suara lantang golongan Hawa yang mahukan keadilan selepas bertahun-tahun dinafikan menerusi alasan gaman. Walaupun wujud tekanan daripada masyarakat untuk terus mengamalkan sikap ini untuk mengelak malu dan kehormatan mereka tercalar, itu tidak menghalang wanita-wanita ini daripada bersuara. Salah seorang daripada mereka ialah wartawan Shiori Ito yang mendedahkan dirinya pernah dirogol oleh wartawan televisyen terkenal dan kenalan Perdana Menteri Shinzo Abe, Noriyuki Yamaguchi.
Apabila kes itu dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa, kes membabitkan Yamaguchi digugurkan dan wartawan tersebut menganggap ia hubungan seksual bersifat suka sama suka. Walaupun gagal membawa kepada sabitan jenayah, Ito berhasrat untuk menyaman wartawan tersebut berjumlah 11 juta yen (RM 422,689.12) dan berharap prosiding saman itu juga membuka ruang kepada pendedahan pelbagai elemen jenayah dalam kes berkenaan. Pengalaman Ito turut diceritakan dalam bukunya yang bertajuk Black Box yang diterbitkan pada Oktober 2017.
Selain mendedahkan kelompangan sosial yang tercetus akibat penyalahgunaan gaman ini, gaman juga dilihat semakin tidak relevan dalam sistem ekonomi Jepun hari ini. Dahulu, lelaki perlu bekerja untuk waktu kerja yang panjang untuk mendapatkan kenaikan pangkat sementara wanita pula diletakkan pada jawatan yang tidak membawa kenaikan pangkat sebagai persediaan untuk mereka keluar dan membina keluarga. Tetapi hari ini, sistem pekerjaan seumur hidup dilihat semakin tidak relevan di mana generasi muda memilih pekerjaan sementara atau kontrak yang menyaksikan gaman tidak menyumbang apa-apa.
Menurut Slater, konsep gaman dilihat tidak boleh beradaptasi dengan sistem pekerjaan kontrak ini. Ini kerana selalunya melalui gaman, pekerja akan berdiam diri atau tidak melakukan perkara negatif yang boleh menjejaskan kedudukannya dalam syarikat. Tetapi nilai yang seharusnya membawa kepada hubungan sosial yang teratur dan berpanjangan ini dilihat tidak masuk akal dengan konsep hari ini kerana pekerja sebegini boleh ditamatkan kontrak oleh pihak pengurusan mengikut kesesuaian mereka sekaligus mematikan sebarang peluang membentuk hubungan sosial. Dan bagi generasi muda, gaman dianggap satu nilai lapuk yang tidak membuka sebarang ruang kepada perbezaan dan kreativiti, nilai-nilai tambah yang boleh menaikkan lagi sesebuah syarikat dan ekonomi negara amnya.
Gaman dalam soal sabar dan tabah menghadapi musibah yang tidak dijangka seperti dipaparkan imej warga Jepun tertib beratur menunggu bantuan atau menunggu giliran menggunakan pengangkutan awam seharusnya menjadi ikutan. Tetapi gaman yang menjurus kepada jangkaan yang tidak realistik, tekanan mental yang teruk dan lebih buruk sebagai alasan membenarkan ketidakadilan berleluasa, maka gaman sebegini sebenarnya menjadi duri dalam daging kepada Jepun bukan saja dalam soal ekonomi tetapi juga dari segi keharmonian sosial masyarakatnya.
RUJUKAN:
1. Mishima, Azusa. (2019). Journalist Shiori Ito gets help with fight for damages over alleged rape. The Asahi Shimbun. http://www.asahi.com/ajw/articles/AJ201904120054.html
2. Tai, Crystal. (2019). Japanese pop idol’s apology for being assaulted at home sparks outrage. The Star. https://www.thestar.com.my/news/regional/2019/01/12/ngt48-pop-idol-maho-yamaguchis-apology-for-home-assault-sparks-outrage-at-japanese-victimblaming/
3. Littler, Julian. (2019). The art of perseverance: How gaman defined Japan. BBC. http://www.bbc.com/capital/story/20190319-the-art-of-perseverance-how-gaman-defined-japan
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih