Tarian Hudoq merupakan sebahagian daripada warisan tradisi etnik Dayak Mahakam Ulu yang menetap di Kalimantan Timur. Festival Hudoq Pekayang disambut secara meriah dan merupakan satu upacara sambutan yang wajib diadakan setiap tahun.
Namun berbeza dengan pesta Kaamatan dan Gawai Dayak yang lazim disambut sebagai tanda kesyukuran berakhirnya musim menuai padi. Sambutan ataupun Festival Hudoq Pekayang ini diadakan sebaik sahaja kerja-kerja penanaman padi selesai, dengan harapan tanaman padi pada tahun itu akan mengeluarkan hasil yang melimpah-ruah dan dijauhkan daripada sebarang kejadian yang akan menjejaskan hasil pertanian mereka seperti serangan makhluk perosak, penyakit tanaman dan sebagainya.
Tarian hudoq kebiasaannya akan memakan masa selama 1 bahkan sehingga ke 5 jam untuk disempurnakan. Watak-watak yang dilakonkan dalam persembahan Hudoq ini lazim ditonjolkan mewakili sisi 13 makhluk perosak seperti tikus dan gagak.
Juga watak manusia yang akan mengusir watak-watak makhluk perosak ini daripada menganggu tanaman padi mereka di akhir persembahan. “Pakaian” berumbai yang dikenakan para penari lazimnya diperbuat daripada kulit pokok pisang, daun pisang atau daun kelapa dan sebagainya. Selain itu para penari juga akan mengenakan hiasan bulu burung pada kepala.
Menurut Ari Wibowo, Pengelola Komuniti WWF Kutai Barat, Kalimantan Timur yang turut bernaung di bawah projek Heart of Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan. Hudoq adalah manifestasi kepada semangat ataupun dewa yang dikenali sebagai Hunyang Tenangan. Festival Hudoq Pekayang juga turut “meraikan” peranan roh nenek moyang dalam kehidupan seharian masyarakat Dayak Mahakam Ulu.
Hunyang Tenangan merupakan semangat padi yang telah diutuskan oleh Ine Ayak, Sang Penguasa Apo Lagaan iaitu kayangan ataupun syurga bagi masyarakat Dayak Mahakam Ulu.
Kesudian semangat ini untuk hadir ke bumi dianggap sebagai jawapan yang ditunggu-tunggu daripada doa para petani yang sedang menjalankan “ritual” menugal, iaitu satu “upacara” memaklumkan roh para nenek moyang dan dewa-dewa masyarakat Dayak selain Hunyang Tenangan bahawa mereka sedang bersiap-siap untuk menanam padi, jagung, tebu atau apa sahaja bentuk tanaman di sawah bendang dan tanah masing-masing.
Bagi memohon restu daripada para dewa ataupun semangat serta roh para leluhur, ritual menugal sahaja tidak mencukupi. Sebaliknya ia mesti disertakan dengan tarian Hudoq yang telah diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Masyarakat Dayak Mahakam Ulu yang mendiami kampung Long Lunuk, Long Pahangai dan kampung-kampung sekitarnya yang termasuk ke dalam projek “Heart of Borneo” di Wilayah Kalimantan Timur akan bersama-sama berkumpul bagi menyambut festival Hudoq Pekayang ini.
Sebanyak 11 buah kampung akan terlibat sepanjang festival berlangsung. Hudoq bermaksud topeng sementara pekayang bermaksud saling kunjung-mengunjungi. Setiap kampung akan dipilih secara bergilir-gilir sebagai tuan rumah setiap tahun.
Setiap kediaman penduduk yang masih berpegang kepada kepercayaan lama ini kebiasaannya akan memiliki hudoq bagi meraikan kunjungan kumpulan yang mengadakan ritual hudoq pekayang.
Pada sisi yang lain mengikut mitos penduduk setempat, hudoq pada asalnya adalah semangat yang telah diciptakan selain manusia yang dikenali sebagai “Tok Jeliwan Tok Hudoq. Jeliwan bermaksud ular tedung sementara Tok membawa maksud semangat.
Disebabkan rupa mereka yang berbeza atau jauh lebih mulia dan tidak ingin mengejutkan penduduk di bumi, makanya penari yang memakai hudoq ini akan bertindak sebagai perantara di antara kayangan dan bumi apabila para dewa atau semangat ini turun berjumpa penduduk sepanjang upacara berlangsung.
Masyarakat Dayak yang mendiami Mahakam Ulu meyakini bahawa semangat-semangat yang mendatangi mereka berasal dari air, bawah tanah, awan dan sebagainya dan akan membawa “restu” dalam bentuk yang berbeza sama ada itu berupa tanaman padi yang subur, haiwan buruan yang mudah diperolehi dan sebagainya.
Sambutan bagi tahun 2018 jatuh pada tanggal 14 dan 16 Oktober. Dianggarkan seramai 400 peserta tarian hudoq menyertai festival Hudoq Pekayang pada tahun berkenaan. Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang festival berlangsung bagi menambahkan kemeriahan suasana.
PENUTUP
Kesenian topeng adalah sebahagian daripada seni yang membentuk identiti sebahagian etnik di nusantara bahkan dunia. Orang Asli Mah Meri, Orang Ulu Sarawak, Iban dan sebagainya antara contoh kelompok masyarakat yang masih mengamalkan tradisi topeng ini untuk tujuan ritual keagamaan di Malaysia.
Kesenian topeng ini bukan sahaja memaparkan mutu kehalusan kraftangan yang menjadi kebanggaan etnik berkenaan, sebaliknya ia juga turut memuatkan bentuk falsafah kehidupan awal masyarakat nusantara yang sangat akrab dan menjunjung tinggi elemen-elemen alam di sekeliling mereka.
Festival sebegini menurut saya sangat baik sebagai salah satu cara menarik kedatangan pelancong di samping memperkenalkan identiti masyarakat pribumi Borneo yang pelbagai kepada masyarakat luar.
RUJUKAN:
1.https://www.wwf.or.id/?68763%2FHudoq-the-ancestral-dance-from-Mahakam-Ulu
(Hudoq, the ancestral dance from Mahakam Ulu, Ari Wibowo, WWF Indonesia, 2018)
2.https://budaya-indonesia.org/Tari-Hudoq-Suku-Dayak-Bahau(Tari Hudoq Suku Dayak Bahau, Sahli Al-Banjari, Budaya Indonesia, 2018)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih