Isu hak asasi manusia di Jepun merupakan satu perjuangan yang bukan mudah kerana perlu berusaha meruntuhkan stereotaip berkenaan sesebuah isu dan keberanian untuk bersuara. Tatkala kita di Malaysia sedang meraikan sambutan Aidilfitri, Jepun pula menyaksikan kebangkitan fenomena yang diinspirasikan daripada pergerakan #MeToo iaitu pergerakan #KuToo. Pergerakan yang dimaksudkan saya ialah pembebasan dari kod pakaian lapuk dengan menggunakan simbol kasut tumit tinggi.

Kempen ini diinspirasikan daripada dua perkataan Jepun iaitu kutsu (kasut) dan kutsuu (kesakitan) yang melihat kod pakaian sedia ada bukan saja lapuk tetapi juga seksis terhadap kaum Hawa. Dan orang yang bertanggungjawab memulakan kempen ini ialah seorang penulis dan pelakon bernama Yumi Ishikawa. Rasa tidak puas hati ini tercetus pada Januari 2019 semasa dia melakukan kerja sambilan di sebuah rumah pengebumian. Dengan kesibukan menguruskan pelanggan dari pagi hingga ke petang, maka tidak hairanlah pada akhir syifnya Ishikawa mendapati kakinya mengalami lebam-lebam dan luka kecil.

Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa perkara ini berlaku. Di rumah pengebumian tersebut, syarikat sudah menetapkan bahawa kasut tumit tinggi berwarna hitam dengan berukuran antara 5 hingga 7 cm sebagai sebahagian daripada kod pakaian mereka. Bila Ishikawa melihat rakan-rakan sekerja lelaki boleh bekerja dengan memakai kasut hitam tapak rata biasa, dia merasa amat cemburu dan kecewa dengan situasi yang melandanya. Dia meluahkan perasaannya tentang isu ini di Twitter. Tanpa disangka-sangka, luahan biasa berkenaan ketidakadilan kod pakaian ini menerima 67,000 like dan diulang twit sebanyak 30,000 kali. Merasa bersemangat dengan maklum balas pengguna lain, Ishikawa kemudiannya mencipta fenomena tanda pagar #KuToo.

Semasa berucap dalam satu program, Ishikawa berkata, “Orang merasakan perkara ini tidak seharusnya dibesar-besarkan tetapi pergerakan ini bermula dengan rungutan saya. Jika anda rasakan sesuatu perkara itu sebagai tidak betul, maka anda tidak seharusnya merasa malu untuk bercakap berkenaan soal itu.”

Rungutan-rungutan ini menjadi trend di platform laman media sosial sehingga cukup untuk menggerakkan satu petisyen dalam talian yang mempersoalkan kod pakaian dengan fokus utama ke atas wanita dan kasut tumit tinggi. Petisyen itu berjaya mengutip 20,000 tandatangan dan kemudiannya diserahkan kepada Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan (KKBK) pada 3 Jun lalu. Tarikh tersebut dipilih kerana pada hari itu juga merupakan permulaan proses perekrutan graduan-graduan baru ke syarikat-syarikat besar di mana kebanyakan pemohon wanita dilihat memakai kasut tumit tinggi.

Perkara ini kemudiannya dibangkitkan di Diet untuk perhatian menteri berkenaan, Takumi Nemoto. Tetapi penyokong pergerakan #KuToo merasa hampa dengan kenyataan Nemoto yang berbunyi, “Ianya diterima secara meluas oleh masyarakat bahawa memakai kasut tumit tinggi itu perlu dan munasabah di tempat kerja.” Kenyataan ini merupakan jawapan kepada soalan yang diajukan anggota Diet dari Parti Demokratik Jepun (DPJ), Kanako Otsuji.

Otsuji menyifatkan perbuatan syarikat-syarikat memaksa pekerja wanita mereka memakai kasut tumit tinggi sebagai ketinggalan zaman. Respon Nemoto itu mendorong anggota DPJ itu menekankan apakah kod pakaian sama yang diaplikasikan kepada wanita itu bersifat gangguan seksual. Menteri KKBK itu kemudian menjawab, “Itu merupakan satu bentuk penyalahgunaan kuasa sekiranya pekerja yang mengalami kesakitan di kaki dipaksa memakai kasut tumit tinggi.” Sementara timbalan menterinya iaitu Emiko Takagai dalam sesi sama menegaskan beliau tidak percaya wanita harus dipaksa memakai kasut tumit tinggi semasa bekerja.

Walaupun respon yang diberikan kementerian bercampur-campur, itu tidak menghalang lebih ramai orang termasuk kaum Adam menyatakan sokongan terhadap pergerakan #KuToo. Buktinya, satu program yang diadakan beberapa hari lepas dengan menggunakan slogan ‘Apakah mencari kerja dengan kasut sniker boleh diterima?’. Program ini mencabar kaum Adam untuk mencuba memakai kasut tumit tinggi dan merasai sendiri ketidakselesaan yang dialami sesetengah kaum Hawa bila memakainya. Salah seorang yang mencuba ialah seorang pembuat kasut bernama Jun Ito, 34. Dia berkata, “Saya pun akan merasa marah jika disuruh memakainya. Pakai kasut tumit tinggi membuatkan saya rasa tidak stabil dan kaki saya berpeluh-peluh.”

Pergerakan mengubah kod pakaian ini bukan hanya berlaku di Jepun sahaja tetapi di seluruh dunia. Pada tahun 2015, satu insiden membabitkan seorang penyambut tetamu bernama Nicola Thorp mencetuskan kemarahan orang ramai apabila firmanya Pricewaterhouse Coopers menghantar dia pulang tanpa membayar sebarang gaji kerana tidak mengenakan kasut tumit tinggi antara 5 hingga 10 cm. Tidak puas hati dengan layanan buruk yang diterimanya, dia menghasilkan satu petisyen dalam talian dan berjaya mengumpul 150,000 tandatangan yang akhirnya membawa kepada usul perdebatan di Parlimen.

Walaupun Parlimen Britain menyimpulkan undang-undang buruh sedia ada sudah cukup untuk membanteras diskriminasi jantina di tempat kerja, satu garis panduan yang ditambahbaik dikeluarkan pada Mei tahun lepas bertajuk ‘Kod pakaian dan diskriminasi jantina – apa yang anda perlu tahu’. Buku panduan tersebut menjelaskan bagaimana undang-undang itu boleh diaplikasikan di tempat kerja termasuk membabitkan kod pakaian pekerja.

Pada tahun 2016 pula, Festival Filem Cannes pula diselubungi dengan kekecohan. Festival tahun tersebut menyaksikan selebriti wanita seperti Julia Roberts dan Kirsten Durst yang menghadiri acara karpet merah memilih untuk hadir dengan berkaki ayam atau memakai kasut sniker. Ia merupakan sebahagian daripada bantahan mereka terhadap kod pakaian festival itu selepas beberapa insiden yang menyaksikan beberapa orang wanita dihalang dari memasuki sesi tayangan filem hanya kerana tak pakai kasut tumit tinggi pada tahun sebelumnya. Sementara British Columbia, Kanada dan Filipina pula memilih untuk menguatkuasakan sekatan mengelakkan wanita dipaksa memakai kasut tumit tinggi di tempat kerja.

Di Jepun, undang-undang berkenaan diskriminasi jantina sudah dikuatkuasakan dalam sesetengah fasa pekerjaan seperti perekrutan, kenaikan pangkat, latihan pekerjaan dan pembaharuan kontrak. Tetapi menurut Shino Naito, timbalan penyelidik kanan untuk Institut Latihan dan Polisi Buruh Jepun, undang-undang sama ini juga tidak merujuk kepada kod pakaian pekerja.

Tambahnya, “Masyarakat Jepun ialah masyarakat yang amat berhati-hati dalam menyuarakan pandangan. Tetapi apabila seorang sudah bersuara, maka orang lain akan menyusul.” Namun jika ada yang beranggapan gerakan ini mahu menghapuskan kasut tumit tinggi, Ishikawa ada jawapan terhadap soalan nakal itu. Menurutnya, wanita yang suka memakai kasut tumit tinggi juga mempunyai hak untuk melakukan apa yang disukainya dan ini terpakai juga kepada lelaki yang gemar memakai kasut tumit tinggi.

Kesan akibat memakai kasut tumit tinggi:

1. Sendi-sendi kaki akan mengalami kerosakan dan boleh mengakibatkan beberapa bentuk artiritis.

2. Jika dipakai untuk jangka masa panjang, ia boleh mengakibatkan kerosakan kepada sendi lutut yang boleh meningkatkan risiko osteoartiritis.

3. Individu yang mengalami masalah bawah bahagian belakang boleh mengalami kecederaan vertebra jika memakai kasut tumit tinggi.

4. Orang yang bekerja dan memakai kasut tumit tinggi berpotensi mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti bunion (bengkakan pada sendi pertama ibu jari kaki yang tersesar ke satu sisi), buku lali terseliuh dan masalah sakit belakang.

RUJUKAN:

1. BBC. (2019). Thousands back Japan high heels campaign. https://www.bbc.com/news/world-asia-48504490

2. BBC. (2019). Japan’s labour minister says high heels at work are ‘necessary’. https://www.bbc.com/news/world-asia-48534453

3. Bates, Claire dan Parkinson, Justin. (2016). Is it legal to force women to wear high heels at work?. BBC. https://www.bbc.com/news/magazine-36265545

4. Kyodo News. (2019). Labor minister opposes banning female dress codes with high heels. https://english.kyodonews.net/news/2019/06/f9a4e96e5ca8-labor-minister-opposes-banning-female-dress-codes-with-high-heels.html

5. Michizuki, Toma. (2019). Men force feet into high heels as Japan’s #KuToo movement seeks to build on media attention. The Japan Times. https://www.japantimes.co.jp/news/2019/06/10/national/social-issues/men-force-feet-high-heels-japans-kutoo-movement-seeks-build-media-attention/#.XP6SKtJuZkh


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.