KETUPAT merupakan antara juadah istimewa bagi masyarakat Melayu di Nusantara dan kebiasaannya dihidangkan sewaktu perayaan istimewa misalnya ketika sambutan Hari Raya.  Dan mungkin ramai yang tertanya-tanya apakah pula perkaitan ketupat dengan darah kerana ia seharusnya melambangkan keceriaan dan kegembiraan setelah sebulan menjalani ibadah puasa. 

Kita sudah biasa dengan cerita-ceriti pertikaian kaum di bumi Kalimantan contohnya Perang Sampit yang melibatkan etnik Madura dengan Dayak yang berlaku pada abad ke 20.  Dalam pada itu mungkin ramai yang tidak mengetahui selain daripada pertikaian antara Madura dan Dayak, di Kalimantan juga pernah terjadi satu tragedi berdarah yang melibatkan Madura dan Melayu Sambas.  Ianya berlaku pada tahun 1999 atau untuk lebih mengkhusus pada tanggal 19 Januari 1999 bersamaan dengan 1 Syawal 1419 Hijriah di Kampung Parit Setia, Kecamatan Jawai, Kabupaten Sambas. 

1 Syawal yang sepatutnya diraikan dengan gembira oleh orang Islam dengan tidak semena-mena menjadi sambutan hariraya aidilfitri paling tragis bagi masyarakat Melayu Sambas sehingga ianya akan dikenang sampai bila-bila kerana melibatkan gugurnya tiga orang anak Kampung Parit Setia akibat diradak dengan “cluit” yakni senjata orang Madura.  Difahamkan kejadian itu berlaku betul-betul usai sahaja masyarakat Melayu Sambas menjalankan solat sunat aidilfitri di masjid yang berdekatan. 

Jika kita menggodek sejarah lama pertikaian antara orang Madura dengan Melayu Sambas bukanlah hanya terjadi pada tahun 1999 sahaja malah ianya boleh dijejaki sehingga ke tahun 1933 iaitu ketika Kerajaan Sukadana atau Ketapang masih lagi utuh berdiri di bumi Kalimantan. 

Pada ketika itu dikatakan seorang nakhoda telah membawa 25 orang “hamba” dari Madura dan mereka dijual kepada saudagar Melayu Sambas yang mana menyaksikan mereka dijadikan buruh untuk membuka hutan untuk dijadikan kebun dan ladang. 

Dek kerana tidak tertahan dengan kerja yang berat ditambahlagi tidak dibayar upah seperti yang dijanjikan maka mereka bangun menentang saudagar Melayu Sambas tersebut sehingga memaksa ada campurtangan daripada pihak istana untuk mendamaikannya. 

Mungkin ia hanya satu sejarah lama dan kes-kes terpencil namun sejarah tetap sejarah sehinggalah ia seumpama api di dalam sekam yang lama-lama boleh besar apinya dan menyebabkan kemusnahan yang total.  Cuma apa yang terjadi pada tahun 1999 itu puncanya bukanlah sama sekali mengenai upah atau hamba yang melarikan diri sebaliknya melibatkan hal peribadi antara beberapa orang Madura yang mendiami Kampung Parit Setia dengan penduduk tempatan perkampungan tersebut. 

Dikatakan asal bermulanya berlaku pada bulan Ramadhan iaitu beberapa hari sebelum sambutan Syawal dirayakan.  Ada beberapa orang Madura telah memasuki rumah seorang Melayu Sambas dikawasan tersebut dengan niat untuk mencuri.  Apabila orang kampung mendengar jeritan tuan rumah yang dimasuki pencuri maka pertolongan diberikan lantas pencuri-pencuri itu segera ditangkap.  Maka terjadilah episod tuduh menuduh antara mereka sehingga ada yang hilang sabar dan mula “datang tangan” ke atas pemuda-pemuda Madura tersebut sehingga cedera. 

Bermula dari hari itulah masyarakat Madura yang mendiami Kampung Parit Setia sudah mula bermasam muka dengan masyarakat Melayu Sambas.  Rasa amarah yang dipendam lama-lama sudah tidak tertahan lebih-lebih lagi mereka berpendapat bukanlah niat pemuda-pemuda Madura itu untuk mencuri sebaliknya tersalah rumah kerana mereka di dalam keadaan mabuk selepas meminum arak.  Alasan mereka langsung tidak dapat diterima oleh masyarakat kampung dan berita Madura menjadi pencuri terus-terusan menjadi topik perbualan sehingga ke perkampungan yang berdekatan. 

Akhirnya ada dikalangan masyarakat Madura yang mendiami Kampung Parit Setia telah mengambil tindakan berani mati dengan mengamuk di perkampungan tersebut ketika masyarakat Melayu Sambas sedang sibuk bermaaf-maafan kerana ianya adalah 1 Syawal. 

Tidak tertahan diprovokasi ada Melayu Sambas sudah hilang sabar kerana kelihatannya Madura berani memijak kepala mereka lantas berlakulah perkelahian antara mereka.  Akibat daripada perkelahian yang tidak mampu diselesaikan malah semakin parah akhirnya ada beberapa orang lelaki Madura telah mengeluarkan “cluit”, senjata peribadi mereka sehingga menyebabkan tiga orang pemuda Melayu Sambas menemui ajal kerana kecederaan teruk. 

Berita malang yang menimpa masyarakat Melayu Sambas di Kampung Parit Setia akhirnya tersebar ke kampung-kampung yang lain malah sehingga melangkaui daerah-daerah yang lain.  Masyarakat Melayu Sambas bangkit menuntut keadilkan kerana darah harus dibayar dengan darah bagi mereka.  Masyarakat Madura yang mendiami bumi Sambas harus diajar kerana walau bagaimanapun mereka sudah lama bermastautin tetap di Sambas mereka tetap orang asing. 

Berlaku banyak rusuhan daripada Januari 1999 sehinggalah pada awal tahun 2000 yang mana ia melibatkan angkatan bersenjata turut campurtangan bagi meredakan keadaan genting.  Banyak harta benda yang musnah samada dibakar dengan sengaja dan sebagainya.  Perintah berkurung turut dikuatkuasakan namun perasaan benci semakin meluap-luap. 

Bahkan diceritakan Melayu Sambas turut menerima bantuan daripada dayak-dayak di Sambas untuk sama-sama menghadapi amukan Madura pada ketika itu.  Dek kerana itulah jika Perang Sampit banyak menceritakan hal-hal supernatural perang Dayak maka begitulah juga tragedi ketupat berdarah kerana ianya juga melibatkan senjata serta magis masyarakat Dayak itu sendiri. 

Tragedi ketupat berdarah selama ianya berlangsung telah mengorbankan kemusnahan yang besar iaitu 3,833 rumah terbakar dan rosak teruk, 12 buah kereta dan sembilan motosikal dibakar, lapan buah masjid dibakar dan dua buah sekolah rosak teruk. 

Angka korban pula yang melibatkan masyarakat Melayu Sambas, Dayak dan Madura juga besar iaitu 1,189 orang mati terbunuh, 168 cedera teruk dan 34 orang cedera ringan.  Manakala 29,823 orang masyarakat Madura yang mendiami bumi Sambas pula diusir keluar dari bumi Sambas samada mereka terlibat atau tidak tanpa mengira lelaki, perempuan, tua atau muda asalkan mereka adalah masyarakat Madura. 

Bagi mengenang tiga pemuda Melayu Sambas yang terbunuh ketika mempertahankan perkampungan mereka iaitu Kampung Parit Setia telah didirikan satu tugu yang dinamakan Tugu Ketupat Berdarah. 

Replika tiga tangan yang mengangkat satu ketupat berdarah itu melambangkan tiga pemuda yang terbunuh ketika 1 Syawal 1419H atau bersamaan dengan 19 Januari 1999.  Tugu itu kekal sehingga ke hari ini bagi tatapan generasi mendatang tentang tragedi perkauman yang melibatkan Madura dan Melayu Sambas.

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

RUJUKAN:

Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.