Sky Castle merupakan sebuah drama Korea yang ditayangkan pada November 2018 sehingga Februari 2019. Pengarah dan pelakon Sky Castle telah berjaya meraih beberapa nominasi dan juga anugerah dalam “55th Baeksang Arts Award” di samping mengungguli ‘ranking’ drama kabel televisyen di Korea.

Apa istimewanya drama ini sehingga mampu menandingi populariti drama Goblin? Jika dibandingkan dari aspek rupa mahupun populariti pelakon-pelakon, ternyata Goblin yang dilakonkan oleh Gong-Yoo dan Lee Dong Wook lebih dikenali dan mempunyai peminat yang lebih ramai.

Sedangkan Sky Castle dilakonkan oleh pelakon-pelakon yang berpengalaman mahupun yang masih meniti nama dalam rangkaian televisyen Korea. Genre yang dibawakan kedua-dua drama juga nyata berbeza di mana Goblin mengetengahkan elemen fantasi dan cinta manakala Sky Castle lebih ‘real’ sekali gus lebih ‘dekat’ dengan diri dan pengalaman hidup para penonton.

Menariknya, seiring dengan jalan cerita dan mesej yang cuba disampaikan menerusi drama yang sedikit sebanyak ‘mengkritik’ sistem pendidikan dan pembelajaran yang dilalui oleh para remaja di Korea khususnya, tajuk drama ’Sky Castle’ itu sendiri merupakan satu akronim. SKY merujuk kepada 3 universiti paling berprestij di Korea Selatan iaitu Seoul National University, Korea University dan Yonsei University. Di dalam drama ini juga, watak-watak utama tinggal di kejiranan mewah yang dinamakan Sky Castle.

Drama ini berkisar tentang 5 keluarga yang tinggal di kejiranan Sky Castle yang juga merupakan kediaman eksklusif bagi pakar perubatan ataupun doktor. Ibu bapa yang merupakan doktor menginginkan anak-anak mereka untuk meneruskan ‘legasi’ dalam bidang perubatan demi menjaga nama dan air muka keluarga masing-masing.

Pelbagai cara dan alternatif dilakukan bagi menentukan tempat anak masing-masing dalam universiti terkemuka iaitu Seoul National University sekali gus meningkatkan peluang anak-anak untuk menjadi pakar perubatan mahupun doktor. Namun begitu, obsesi yang keterlaluan dalam mengejar nama ternyata membawa padah apabila kesihatan emosi dan mental anak-anak terabai dan tergugat, sehingga mengakibatkan kejatuhan institusi kekeluargaan masing-masing.

  • Kejayaan Hidup

Sky Castle sedikit sebanyak membawa penonton mempersoalkan erti sebuah kejayaan dalam hidup. Bagaimana kita mendefinisikan sebuah kejayaan? Adakah dengan mempunyai simpanan wang jutaan ringgit di dalam bank? Adakah kemampuan membeli kereta idaman merupakan satu bentuk kejayaan dalam hidup? Atau adakah kejayaan diukur pada pangkat; orang yang berjaya adalah mereka yang berpangkat tinggi?

Menerusi drama ini, penonton diperkenalkan kepada watak ibu bapa yang mengukur kejayaan dari aspek akademik dan pekerjaan semata-mata. Bagi ibu bapa ini, mereka yang berjaya mendapat tempat di Seoul National University merupakan bakal doktor dan seterusnya mereka yang berjaya menjadi doktor merupakan mereka yang berjaya dalam hidup.

Asalkan anak-anak meneruskan legasi ibu bapa sebagai doktor, mereka dikira berjaya. Bahkan, salah seorang bapa daripada 5 keluarga tersebut, satu-satunya bapa yang bukan merupakan doktor perubatan, seringkali dilihat  memaksa anaknya menjadi Presiden, hanya untuk merealisasikan impiannya sendiri yang tidak tercapai.

Kejayaan hidup merupakan sesuatu yang subjektif. Ia tidak mempunyai definisi yang spesifik kerana liku hidup setiap individu itu berbeza, begitu juga dengan cita-cita dan impian masing-masing. Kejayaan kita tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga, rakan-rakan mahupun masyarakat kerana tiada siapa yang berhak ke atas kebahagiaan hidup kita melainkan diri kita sendiri.

  • Akademik dan Moral.

Sky Castle mengetengahkan watak Han Ye Seo yang merupakan seorang pelajar yang rajin dan bijak namun tamak dalam merangkul anugerah akademik. Ye Seo yang sering mendapat tempat pertama dalam bidang akademik bagaimanapun kurang disenangi rakan-rakannya kerana sikapnya yang biadap bukan sahaja terhadap rakan sebaya tetapi juga terhadap golongan yang lebih tua.

Karakter Ye Seo yang biadap dan sering merendah-rendahkan orang lain terbit daripada cara didikan ibunya sendiri yang menginginkan anaknya sentiasa menang dan mendapat tempat pertama walau dengan cara apa sekalipun. Didikan seperti ini membuatkan Ye Seo membesar dengan pemikiran bahawa tiada apa yang lebih penting daripada mendapat tempat pertama dan dia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai apa yang diingini iaitu menjadi seorang doktor seperti bapanya sendiri.          

Berbeza dengan watak Hwang Woo Joo yang bijak namun tidak terlalu mementingkan tempat dalam bidang akademik. Woo Joo merupakan anak kepada satu-satunya keluarga yang berfungsi dengan baik di antara 5 keluarga utama dalam drama Sky Castle ini. Ibu bapa Woo Joo membesarkan anak lelaki mereka dengan baik dan berdiplomasi, tanpa memaksa apa-apa ideologi ke atasnya.

Walaupun bapa Woo Joo juga merupakan seorang doktor, dia sama sekali tidak meletakkan harapan agar anaknya juga menjadi seorang doktor. Cukup hanya melihat Woo Joo bahagia dengan keputusan dan impian sendiri. Justeru, Woo Joo membesar sebagai seorang remaja yang bukan sahaja bijak tetapi juga baik hati, empatik dan bebas daripada penderaan emosi dan mental.

Sky Castle mewujudkan persoalan tentang ‘attribute’ yang penting di dalam diri seseorang; di antara kebijaksanaan dan akhlak. Anak-anak yang mempunyai karakter berkualiti semestinya dibesarkan dengan mementingkan dan menyeimbangkan kedua-duanya.

  • Kasih Sayang

‘Just because people love differently, does not mean that they love less.’

Setiap orang mempamerkan rasa kasih sayang dengan cara yang berbeza.

Menerusi drama Sky Castle, jika kita berada di tempat anak-anak, pasti kita merasakan bahawa cara ibu bapa memaksa anak mereka menjadi doktor merupakan cara yang salah. Namun begitu, dari perspektif ibu bapa itu sendiri, mereka percaya bahawa apa yang mereka lakukan adalah yang terbaik demi masa hadapan anak-anak mereka.

Sebagai contoh, Seo Jin iaitu ibu Ye Seo yang sanggup melakukan apa sahaja supaya anak-anaknya mempunyai masa hadapan yang baik, tidak seperti dirinya yang membesar dalam keluarga yang miskin di samping sering diperlekehkan oleh ibu mertuanya sendiri.

Bapa kepada pasangan kembar Seo Joon dan Ki Joon juga memaksa anak mereka mencapai status sosial yang paling tinggi iaitu berada di posisi paling atas dalam piramid hierarki sosial, agar mereka tidak jadi seperti dirinya yang bukan sahaja bertungkus-lumus bermula daripada bawah tetapi juga tidak mampu mencapai tahap paling tinggi yang diidamkan.

Bagi penonton, cara ibu bapa yang terlalu memaksa dan tidak memahami kehendak dan keperluan emosi dan mental anak-anak merupakan suatu kesilapan dalam membesarkan anak-anak dengan baik. Namun begitu, niat mereka sebagai ibu bapa adalah baik walaupun cara yang diketengahkan adalah salah, mementingkan diri sendiri sekali gus mendera mental dan emosi anak-anak.

Ramai yang berfikiran bahawa kasih sayang bermaksud menjaga dengan rapi dan penuh hati-hati serta pantang larang. Di samping itu, kasih sayang juga bermaksud melepaskan dan di dalam konteks hubungan ibu bapa dan anak seperti yang ditonjolkan menerusi Sky Castle, kasih sayang adalah melihat anak-anak membesar dengan baik dan gembira demi mencapai impian masing-masing, walaupun impian mereka tidak selari dengan impian ibu bapa.

Konklusinya, drama ini sememangnya layak mendapat tempat di hati penonton, kerana ia penuh dengan mesej dan penting terutamanya bagi penonton yang rata-rata berasal dari Asia, di mana kebahagiaan dan impian anak-anak kebanyakannya perlu selari dengan impian dan kebahagiaan ibu bapa dek kerana ‘Asian parenting method’ dan sikap inferior dalam kalangan masyarakat di antara satu sama lain. Sky Castle juga sesuai ditonton oleh seluruh lapisan masyarakat, terutamanya mereka yang terlalu mementingkan status sosial dan kejayaan di mata masyarakat sehingga hilang pertimbangan tentang perkara-perkara yang jauh lebih penting dalam misi mencapai kebahagiaan.

Seperti kata Ki Joon, ‘Dunia ini berbentuk sfera, mengapa ia perlu menjadi piramid.’

Bacaan lanjut:

  1. https://en.wikipedia.org/wiki/Sky_Castle
  2. https://www.youtube.com/watch?v=P6coIgyV9e0

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aku menulis kerana kalian membaca. And for that we compliment each other. Selamat membaca dan semoga terus setia; untuk aku yang bertemankan pena dan kalian yang gigih mendalami kata-kata.

Comments are closed.