Saya ada sebuah kisah yang ingin diceritakan di sini. Ia sebuah kisah yang diceritakan kepada saya oleh rakan sekerja, sewaktu beliau berada di China, mengikuti rombongan tabligh ke sana. Aktiviti tersebut merupakan sesuatu yang beliau sering lakukan (mengikut rombongan tabligh) sebagai salah satu cara bagi beliau untuk berbakti kepada agama.
Apa yang menarik perhatian saya adalah kisahnya ketika beliau sedang menetap di sebuah masjid di China. Ketika itu seliparnya rosak, dan beliau sangat terdesak memerlukan pengganti, jika tidak beliau sukar hendak ke mana-mana. Masalahnya beliau tidak tahu dan tidak mahir tentang selok belok di China, jadi membeli selipar yang baru sangatlah sukar untuk dilakukannya seorang diri.
Jadi beliau meminta pertolongan orang setempat, orang masjid yang selalu membantu rombongan tabligh di sana. Beliau inginkan bantuan ke pasar ataupun bazar terdekat bagi mencari selipar ganti. Simpati dengan nasib rakan sekerja saya itu, orang setempat itu bersetuju untuk membantu.
Sangka rakan saya orang setempat ini akan membawanya ke pasar, menjadi peneman dan juga membantu dalam komunikasi.Tapi orang setempat itu tidak pula membawanya ke pasar, sebaliknya hanya membawa rakan sekerja saya ini menelusuri ruang maya.
Ya, dengan berbekalkan telefon bimbit sahaja, selipar yang dipesan dihantar ke depan pintu masjid usai sahaja mereka menunaikan solat asar. Rakan saya itu terkejut melihat kecekapan dan kecanggihan sistem pembelian atas talian di China. Selipar pun boleh dibeli menggunakan telefon pintar.
Jika rakan sekerja saya itu kagum pada kecanggihan teknologi di China, saya pula nampak kisah ini sebagai satu petanda. Yang garis pemisah di antara dunia maya dan dunia sebenar sudah semakin menghilang. Yang internet kini merupakan sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan seharian manusia.
Cuba anda fikirkan, segala aktiviti seharian anda kini sudahpun dibantu dan diperkemaskan lagi oleh internet. Kalau hendak memesan makanan, tidak lagi perlu beratur dan menunggu makanan dimasak, hanya perlu menggunakan applikasi pilihan (seperti Food Panda, ataupun GrabFood) dan makanan tersebut akan dihantar ke pintu rumah.
Kalau hendak kemana-mana, tak perlu lagi pening kepala, hanya buka sahaja applikasi Grab dan ada pemandu yang akan menghantar anda ke mana sahaja destinasi yang anda inginkan. Kalau hendak menempah bilik hotel, tak perlu gusar lagi, hanya perlu membuka Trivago untuk membandingkan harga yang terbaik dari beratus laman sesawang yang ada (dah macam iklan pula bunyinya).
Kalau hendak membayar bil, membayar hutang pinjaman, tidak perlu lagi beratur panjang. Anda hanya perlu membuka dan menggunakan aplikasi pilihan yang ada, lantas memudahkan urusan sehaian anda. Kesemua ini membuktikan yang internet kini sudah sebati dalam kehidupan kita, sehinggakan benda asas seperti makan, tempat tinggal, dan pengangkutan juga sudah boleh bergantung harap pada internet.
Siapa sangka projek eksperimen ini yang pada mulanya hanya digabungkan dengan 4 buah komputer, kini menghubungkan lebih dari 3.2 billion pengguna[1] di seluruh dunia. Setiap saat[2], ada lebih daripada 6,000 kicauan tweet berterbangan, lebih daripada 40,000 pertanyaan di Google berlaku dan lebih daripada 2 juta e-mel di hantar ke seluruh dunia.
Kesemua data ini menunjukkan betapa besarnya saiz internet. Betapa besarnya pengaruh ia dalam kehidupan kita. Dan betapa susahnya hidup kit ajika tiada internet.
Kini amatlah mustahil untuk menggambarkan hidup kita tanpa internet. Yelah, setengah jam je Facebook mengalami masalah kita sudah mula mengomel. Kalau pergi rumah kawan, takda WiFi, kita sudah mula mengata.
Kesemua ini memberikan kita satu gambaran bahawa internet kini merupakan pelengkap kepada hidup kita. Tapi sebelum kita menunjukkan kekaguman kita pada medium telekomunikasi unggul ini, perlulah kita lihat segala masalah yang pernah ditimbulkannya.
Ingatkah lagi anda tentang Arab Spring yang berlaku pada tahun 2010? [3] Walaupun belum ada kepastian, tapi kebanyakan orang beranggapan yang ia bermula di platform media sosial yang popular, Facebook. Kisahnya bermula di Tunisia pada Disember 2010, apabila seorang penjual buah bernama Mohamed Bouazizi[4] membakar dirinya sendiri akibat gerainya dirampas oleh pihak berkuasa.
Jika peristiwa ini berlaku pada tahun 1998, ataupun mungkin tahun 2001, mungkin tiada apa-apa yang akan berlaku. Tapi peristiwa ini berlaku pada tahun 2010, tahun di mana internet ketika itu adalah media yang dimiliki oleh orang ramai.
Kisah penjual buah ini disebarkan sendiri oleh Ali Bouazizi, sepupu beliau melalui ruang maya terutama sekali melalui platform media sosial pada ketika itu, Facebook. Melalui Facebook kisah Mohamed Bouazizi tersebar meluas sehingga dikongsikan beribu-ribu orang.
Dan ia mencetuskan protes di seluruh Tunisia. Beribu-ribu video protes dan kekejaman polis dimuat naik dan ia sekaligus menyemarakkan lagi protes di negara itu sehingga mengakibatkan Presiden-nya, Ben Ali melarikan diri keluar negara.
Perkara yang sama juga turut berlaku di beberapa negara Timur Tengah lain, contohnya Mesir. Di mana apabila video kekejaman polis[5] di muat naik sehingga mencetuskan rusuhan dan kejatuhan Presiden Hosni Mubarak. Kesemua ini disebabkan oleh platform media sosial.
Internet juga kini menjadi sebagai satu alat dan senjata propaganda, sama ada dari kerajaan, pengganas, golongan ekstermis dan ramai lagi. Ini diperkuatkan lagi jika kita melihat dengan lebih teliti tragedi keganasan terhadap orang Islam yang berlaku di Christchurch. Di mana pengganas tersebut bukan sahaja mengumumkan rancangannya di ruang maya, malah turut menyiarkan secara lansung kekejaman yang dia lakukan kepada penonton di internet.[6]
Tapi kita juga perlulah berlaku adil, disebalik sisi buruknya internet juga mempunyai sisi baiknya yang tersendiri. Pada tahun 2016, seorang warga emas berumur 89 tahun yang menyara dirinya sendiri dengan menjual aiskrim meruntun hati seorang pengguna internet.
Pengguna internet tersebut yang kasihan melihat orang tua itu yang masih gigih menjual aiskrim selepas kematian anak tunggalnya memulakan satu kempen pembiayaan bagi membantu warga emas tersebut. Sangkanya dapat $ 3000 pun cukuplah, asalkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban. Tapi terkejut beliau apabila mendapati yang beliau dapat mengumpul sehingga $300,000 (bersamaan lebih dari 1 juta ringgit) dan sekaligus memastikan warga emas itu dapat terus bersara dan berehat dalam kesenangan.[7]
Internet juga boleh diibaratkan sebagai satu platform kerjasama global. Di mana usaha-usaha kemanusiaan boleh dikoordinasikan pada skala yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Ingat lagi kah anda, apabila gereja Notre Dame di Paris terbakar, kempen pembiayaan yang dilancarkan di ruang maya berjaya mengumpul lebih dari $ 900 juta dalam masa beberapa hari sahaja[8].
Kalaulah peristiwa kebakaran Notre Dame berlaku 10 tahun dahulu, pasti anda tidak akan dapat melihat jumlah yang sama dapat dikumpulkan, kerana capaian maklumat yang terhad dan tidak menjangkaui sempadan.
Kesemua ini sudah tentulah menimbulkan perdebatan dan persoalan tentang kesan dan impak teknologi internet kepada kita semua. Dilema yang terhasil daripada membincangkan kesan baik dan buruk daripada internet. Dan akhirnya membawa internet ke satu titik peralihan.
Mengapa saya berkata begitu? Jika kita melihat pada isu yang terkini, kebanyakan pemilik platform internet yang popular seperti Facebook dan juga YouTube sudah mula bersuara inginkan tindakan dari kerajaan untuk mengawalselia platform milik mereka.[9][10]Sentimen ini juga disokong oleh beberapa pengkritik dan pengamal media.[11]
Ini berikutan usaha mereka sendiri yang gagal dalam mengawal kandungan yang dinaikkan dalam platform yang mereka sediakan justeru menjadikan platform itu penuh dengan kandungan yang negatif dan merbahaya buat tatapan umum.[12]
Facebook yang sudah beberapa kali menjadi mangsa keadaan apabila mereka dipersalahkan dalam pelbagai skandal seperti Cambridge Analytica dan juga Russia memburukkan nama platform itu yang kini sering dikatikan dengan penjualan data pengguna.[13] YouTube pula terpaksa berhempas pulas mengawal selia kandungan video yang dinaikkan di platform video itu, yang kadangkala menjadi tempat di mana video-video yang tidak sihat (keganasan, pedofilia, teori konspirasi) bersarang.[14]
Ramai pakar mula berpendapat yang kita bakal melihat masa depan di mana internet bakal dikawal selia dan dipantau secara ketat oleh kerajaan. Cuma bagaimana ia dikawal selia itu tanpa menggangu prinsip kebebasan bersuara masih lagi didebatkan dengan hebat dalam kalangan pemain industri dan pengamal undang-undang. [15] Tidak menghairankan apabila sesetengah negara seperti China sudahpun mengamalkan konsep tersebut.[16]
Walaupun kita ada sudah sedikit sebanyak gambaran tentang rupa bentuk internet yang dikawal selia, ia tidak memberikan kita jawapan yang jelas, sebaliknya lebih banyak persoalan dan juga kerisauan pula timbul. Pada awalnya tadi kita sudahpun bersetuju bahawa internet kini sudahpun menjadi sebati dengan kehidupan seharian kita.
Cuba anda fikirkan apakah impak dan kesan buruknya jika internet mula dikawal selia oleh kerajaan. Tidakkah itu bermakna yang segala aspek kehidupan kita nanti akan turut dikawal selia oleh kerajaan? Ia tak terlalu melampau untuk difikirkan, apabila China sekali lagi memberi kita petunjuk awal tentang bentuk kawal selia yang sudah ataupun akan mereka jalankan.
Lihatlah sendiri bagaimana China memasang CCTV dan juga kamera atas talian bagi mengawal selia penduduknya (terutama golongan minoriti) dan mengawal kadar jenayah.[17] Disamping itu China juga tidak ketinggalan dalam menggunakan kapasiti internet sehingga ke maksima apabila mereka menggunakan teknologi pengecaman wajah bagi mengenalpasti penjenayah dalam kalangan rakyatnya sendiri.[18] Persis seperti yang digambarkan dalam novel 1984 karya George Orwell, China sudah menghampiri visi kerajaan totalitarian.
Ini sekaligus memberikan kita, satu gambaran yang gelap tentang masa depan internet. Yang walaupun ia memudahkan aktiviti seharian kita, meningkatkan kualiti kehidupan kita, ianya juga mempunyai sisi gelap yang sukar untuk kita jangkakan. Kesimpulannya, soal mengawal selia internet ini merupakan sesuatu yang kita hampiri dengan penuh teliti dan berhati-hati.
Persoalan yang timbul di sini adalah bagaimana. Bagaimana kita hendak selesaikan masalah kesan buruk yang datang daripada internet, dan pada masa yang sama tidak mewujudkan keadaan sepertimana yang kini dan akan berlaku di China? Bagaiman kita hendak mencari imbangan di antara kawal selia dan hak kebebasan bersuara?
Saya rasa jawapannya ada dalam lipatan sejarah. George Santayana, seorang penulis tersohor pernah berkata, “Mereka yang tidak mempelari sejarah, sudah tentu akan mengulangi kesilapan yang lalu”. [19] Dan saya kira untuk memahami dan mendalami masalah yang kita kini hadapi perlulah kita singkap masa yang lalu, menelusuri lembaran sejarah.
Kerana apabila kita memahami masa yang lalu, ia akan membantu kita dalam mencorakkan masa hadapan kita.
RUJUKAN:
Bardaro, A. (2019, April 15). The future of free speech: The panic button and social media regulation. Retrieved from Medium: https://medium.com/adventures-in-consumer-technology/regulating-social-media-a-policy-proposal-a2a25627c210
Clairmont, N. (2013, July 31). “Those Who Do Not Learn History Are Doomed To Repeat It.”. Retrieved from Big Think: https://bigthink.com/the-proverbial-skeptic/those-who-do-not-learn-history-doomed-to-repeat-it-really
Cohen, N. (2019, 4 23). Like Guns, Social Media is A Weapon That Should be Regulated. Retrieved from Wired: https://www.wired.com/story/like-guns-social-media-is-weapon-should-be-regulated/
Connor, J. (2016, September 14). The Internet Donated Over $300K to This 89-Year-Old Ice Cream Vendor. Retrieved from First We Feast: https://firstwefeast.com/eat/2016/09/internet-donated-300k-to-ice-cream-vendor
Economy, E. C. (2018, Jun 28). The great firewall of China: Xi Jinping’s internet shutdown. Retrieved from The Guardian: https://www.theguardian.com/news/2018/jun/29/the-great-firewall-of-china-xi-jinpings-internet-shutdown
International Telecommunication Unions. (2015, May -). ICT Facts and Figures. Retrieved from International Telecommunication Unions: https://www.itu.int/en/ITU-D/Statistics/Documents/facts/ICTFactsFigures2015.pdf
J.Rosen, R. (2011, September 3). So, Was Facebook Responsible for the Arab Spring After All? Retrieved from The Atlantic: https://www.theatlantic.com/technology/archive/2011/09/so-was-facebook-responsible-for-the-arab-spring-after-all/244314/
Jenkins, A. (2018, April 6). We’re Keeping Track of All of Facebook’s Scandals So You Don’t Have To. Retrieved from Fortune: http://fortune.com/2018/04/06/facebook-scandals-mark-zuckerberg/
Jenni Marsh, T. M. (2019, March 16). How the Christchurch terrorist attack was made for social media. Retrieved from CNN: https://edition.cnn.com/2019/03/15/tech/christchurch-internet-radicalization-intl/index.html
Jiaquan, Z. (2018, August 4). Drones, facial recognition and a social credit system: 10 ways China watches its citizens. Retrieved from South China Morning Post: https://www.scmp.com/news/china/society/article/2157883/drones-facial-recognition-and-social-credit-system-10-ways-china
Kuo, L. (2019, Feb 18). Chinese surveillance company tracking 2.5m Xinjiang residents. Retrieved from The Guardian: https://www.theguardian.com/world/2019/feb/18/chinese-surveillance-company-tracking-25m-xinjiang-residents
Lageman, T. (2016, January 3). Mohamed Bouazizi: Was the Arab Spring worth dying for? Retrieved from Al-Jazeera: https://www.aljazeera.com/news/2015/12/mohamed-bouazizi-arab-spring-worth-dying-151228093743375.html
Luke Baker, P. D. (2019, April 18). As Notre-Dame money rolls in, some eyebrows raised over rush of funds. Retrieved from Reuters: https://www.reuters.com/article/us-france-notredame-donations/as-notre-dame-money-rolls-in-some-eyebrows-raised-over-rush-of-funds-idUSKCN1RT28Q
Pappas, S. (2016, March 18). How Big Is the Internet, Really? Retrieved from Live Science: https://www.livescience.com/54094-how-big-is-the-internet.html
Poletti, T. (2019, April 24). Opinion: Mark Zuckerberg is begging for governments to regulate Facebook. Retrieved from Market Watch: https://www.marketwatch.com/story/mark-zuckerberg-is-begging-for-governments-to-regulate-facebook-2019-04-24
Shedden, D. (2014, Oktober 29). Today in Media History: The Internet began with a crash on October 29, 1969. Retrieved from Poynter.org: https://www.poynter.org/reporting-editing/2014/today-in-media-history-the-internet-began-with-a-crash-on-october-29-1969/
Standage, T. (2013). Writing on the Wall: Social Media, The First 2000 Years. Great Britain: Bloomsbury Publishing Plc.
Wakabayashi, D. (2019, April 17). The Most Measured Person in Tech Is Running the Most Chaotic Place on the Internet. Retrieved from The New York Times: https://www.nytimes.com/2019/04/17/business/youtube-ceo-susan-wojcicki.html?rref=collection%2Ftimestopic%2FYouTube&action=click&contentCollection=business®ion=stream&module=stream_unit&version=latest&contentPlacement=7&pgtype=collection
NOTA KAKI:
[1] (International Telecommunication Unions, 2015)
[2] (Pappas, 2016)
[3] (J.Rosen, 2011)
[4] (Lageman, 2016)
[5] (J.Rosen, 2011)
[6] (Jenni Marsh, 2019)
[7] (Connor, 2016)
[8] (Luke Baker, 2019)
[9] (Poletti, 2019)
[10] (Wakabayashi, 2019)
[11] (Cohen, 2019)
[12] (Wakabayashi, 2019)
[13] (Jenkins, 2018)
[14] (Wakabayashi, 2019)
[15] (Bardaro, 2019)
[16] (Economy, 2018)
[17] (Kuo, 2019)
[18] (Jiaquan, 2018)
[19] (Clairmont, 2013)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih