Selalunya bila sebut pasal samurai, kita tahu ini antara legasi kepahlawanan negara Jepun hari ini. Permainan senjata terutama pedang katana yang menjadi senjata pilihan mereka di medan pertempuran dan peranan mereka menyokong kempen figura seperti Oda Nobunaga dan Ieyasu Tokugawa menjadikan mereka legenda. Tetapi tidak ramai tahu satu ketika dalam sejarah Jepun, ada satu pahlawan samurai berketurunan Afrika yang menjadi sebahagian daripada jentera perang Nobunaga. Orang yang saya maksudkan ialah Yasuke yang turut menjadi inspirasi kepada watak anime Afro Samurai.
Tidak diketahui asal-usul lelaki ini sekaligus mengakibatkan sejarawan berspekulasi asal-usul Yasuke. Ada yang berpandangan beliau berasal dari Mozambique berdasarkan teori Fujita Midori. Midori berpandangan sedemikian kerana orang Afrika pertama yang tiba di Jepun pada tahun 1546 ialah orang Mozambique yang berkhidmat sebagai krew atau hamba kepada peneroka Portugis Jorge Alvarez. Ada pula yang berpandangan Yasuke sebenarnya berdarah Yao melalui namanya Yao yang ditambah dengan perkataan suke yang dianggap sinonim dengan nama orang lelaki (Yao-suke).
Sementara Thomas Lockley dari Universiti Nihon pula berpandangan beliau sebenarnya berdarah Habsyah dengan nama asalnya ialah Yisake/Isaque (Bahasa Portugis untuk nama Isaac). Yasufe juga merupakan nama keluarga yang biasa didengar di negara itu. Ada juga yang berpandangan Yasuke sebenarnya berdarah orang Dinka dari Sudan Selatan. Teori ini dicadangkan kerana melihat ciri fizikal beliau yang lebih tinggi dan lebih gelap berbanding orang Ethiopia dan Eritrea. Dan jika ini benar, Yasuke berkemungkinan telah menjadi hamba sejak dari kecil lagi. Ini kerana bagi orang Dinka, mereka perlu melukis corak pada muka mereka tetapi melihat kepada rekod sejarahnya semasa di Jepun, perkara itu tidak berlaku kepada Yasuke.
Yang pasti, nama Yasuke mula muncul pada tahun 1579 apabila beliau tiba di Jepun sebagai khadam mubaligh Jesuit berdarah Itali Alessandro Valignano yang ketika itu memainkan peranan sebagai pemeriksa misi Jesuit di Hindia Timur. Beliau menemani Valignano semasa tiba di ibu negara Matahari Terbit itu pada Mac 1581 dan penampilannya menarik perhatian penduduk tempatan yang berkunjung ke gereja Jesuit yang diuruskan kumpulan mubaligh ketika itu. Dan sudah tentu, penampilan unik Yasuke menjadi buah mulut orang ramai dan menarik perhatian Nobunaga.
Semasa diperkenalkan di istana, beliau memerintahkan Yasuke dibogelkan dari paras pinggang bagi menguji sama ada warna kulitnya itu memang asli atau sengaja diwarnakan dengan warna hitam. Selepas berpuas hati bahawa penampilan fizikal Yasuke memang asli, Nobunaga memerintahkan mereka diberi sejumlah besar wang emas sebagai hadiah. Peristiwa ini direkodkan bukan saja dalam surat dan laporan mubaligh Luis Frois tetapi juga dalam riwayat Shincho Koki yang berkisar tentang riwayat hidup Nobunaga. Pada 14 Mei, Yasuke mengikut kumpulan mubaligh Jesuit ke wilayah Echizen yang menyaksikan mereka bertemu dengan ramai tokoh seperti Hashiba Hidekatsu dan Shibata Katsuie sebelum pulang pada 30 Mei. Tidak diketahui bagaimana beliau menjadi sebahagian daripada pasukan Nobunaga tetapi tidak mustahil daimyo yang menjadi penggerak usaha penyatuan Jepun itu membeli atau memaksa Valignano menyerahkan Yasuke kepadanya.
Yasuke menjadi antara penasihat yang dipercayai Nobunaga kerana fasih bertutur dalam Bahasa Jepun dan Portugis (berkemungkinan diajar oleh Valignano) sehingga diangkat martabatnya sebagai samurai, satu gelaran yang hanya boleh diwarisi oleh keluarga kelas kepahlawanan itu. Beliau diberi sebuah kediaman, sebilah pedang upacara katana yang pendek dan diberi tugas sebagai pengangkat senjata. Salah satu pertempuran yang menyaksikan kelibat Yasuke ialah Pertempuran Tenmokuzan, kempen terakhir Nobunaga dan sekutunya Ieyasu Tokugawa ke atas puak Takeda. Selepas pertempuran berakhir, mereka memeriksa wilayah-wilayah yang pernah menjadi hak milik puak Takeda dan di sinilah, Tokugawa melihat Yasuke buat kali pertama. Menurut orang kanan Tokugawa Matsudaira Ietada, beliau mempunyai ketinggian 188 cm dan mempunyai kulit berwarna hitam seperti arang.
Tetapi langit tidak selalu cerah untuk Yasuke. Pada tahun 1582, Nobunaga dikhianati oleh angkatan Akechi Mitsuhide semasa berada di sebuah kuil di Kyoto. Ini memaksa beliau membunuh diri dengan kaedah seppuku. Selepas ketiadaan Nobunaga, Yasuke menyertai angkatan perang putera Nobunaga, Oda Nobutada yang cuba mengembalikan kekuatan puak Oda di Istana Nijo. Tetapi angkatan perang Nobutada juga berjaya ditewaskan dengan putera sulung tokoh penggerak penyatuan Jepun itu juga membunuh diri dengan kaedah seppuku. Tidak seperti tuannya, Yasuke tidak melakukan perkara sama selepas ditawan. Dan ini sudah cukup untuk mendorong Mitsuhide membebaskan Yasuke kerana merasakan dirinya seekor haiwan liar dan bukan juga berdarah Jepun. Selepas dibebaskan, Yasuke dikatakan kembali menyertai kumpulan mubaligh Jesuit di Kyoto dan namanya tidak lagi disebut dalam lembaran sejarah.
Sebelum Yasuke, wujud seorang lagi figura berdarah Afrika yang mendapat penghormatan sebagai samurai. Orang yang dimaksudkan ialah Sakanouye No Tamuramaro yang hidup semasa tempoh Heian (794 – 1185 Masihi) iaitu dari 758 hingga 811 Masihi sebagai pengawal istana Maharaja Kammu yang memerintah antara 781 hingga 806 Masihi. Beliau dikatakan mengetuai angkatan perang maharaja yang dihantar memerangi puak Ainu dan dikatakan mempunyai kulit berwarna hitam. Tetapi itu tidak mengesahkan sama ada sudah wujud orang Afrika di Jepun sebelum abad ke-16. Namun yang pasti, sejarah perhubungan Jepun dengan bahagian lain dunia mungkin lebih kompleks berbanding apa yang kita sangkakan.
Sebut pasal Yasuke, mungkin ketika ini namanya tidak memasuki budaya arus perdana popular. Tetapi tidak mustahil ia menjadi inspirasi artis dan penulis manga Takashi Okuzaki yang memperkenalkan watak Afro Samurai yang disuarakan oleh pelakon legenda Samuel L. Jackson yang diterbitkan studio Gonzo pada tahun 2007. Dan kini, giliran Hollywood mengadaptasi kisah ini ke layar perak melalui studio Metro-Goldwyn-Mayer (MGM). Filem biografi ini akan menampilkan protagonis Black Panther Chadwick Boseman sebagai Yasuke dengan lakon layar disediakan pencipta bersama Narcos Doug Miro.
SUMBER
1. Strom, Caleb. (2017). The Amazing Story of Yasuke: The Forgotten African Samurai. Ancient-Origins.net. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/amazing-story-yasuke-forgotten-african-samurai-007554
2. Bartsch, Eric. (2019). Black Panther’s Chadwick Boseman Cast as Lead in Samurai Film Yasuke. CBR.com. https://www.cbr.com/chadwick-boseman-samurai-film-yasuke/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih