Pada hari Ahad yang lalu, sehari sebelum puasa, seorang kawan mengajak aku untuk melepak di Kampung Baru, menikmati hari terakhir untuk makan siang di khalayak ramai tanpa perasaan bersalah.
Kami lepak di sebuah restoran Acheh dan duduk sambil melihat beberapa orang Acheh sedang duduk santai bermain dam haji.
“Kau nampak tak semua keindahan ini akan bakal hilang dibunuh kehodohan dari ketamakan?” tanya kawan aku, sambil menghirup jus alpukat.
Topik yang dibincangkan pada petang itu betapa bencinya kami kepada Menteri Wilayah Persekutuan, tentang kegilaannya nak “memajukan Kampung Baru”.
Sibuk bercakap tentang harga hartanah sekian ringgit setiap satu inci persegi, sibuk bercakap tentang pelaburan yang kononnya datang untuk memperkayakan kita semua, tetapi ada hasad dengki untuk memisahkan komuniti yang dah tinggal di sini selama hampir ratusan tahun.
Atas nama pembangunan.
Dia melihat Kampung Baru dengan penuh sayu.
“Lima atau sepuluh tahun lagi, semua ini akan lenyap dan digantikan dengan kehodohan konkrit dan kaca hasil kesombongan kaum pemodal yang langsung tak ada nilai estetika seni,” kata kawan aku lagi.
Aku diam. Hisap rokok sambil mendengar lagu Nissa Sabyan yang mendayu-dayu.
Kira-kira lima belas tahun yang lalu, aku menyertai demo pertama dalam hidup aku. Aku membantah cadangan untuk meruntuhkan Stadium Merdeka untuk digantikan dengan bangunan pencakar langit serta kompleks membeli-belah.
Aku membantah kerana aku tidak mahu anak aku bertanya, “Malaysia merdeka tahun 1957, di Stadium Merdeka. Kat mana Stadium Merdeka tu, abah?” dan aku menjawab “Stadium Bukit Jalil.”
Kehodohan ini makin banyak kelihatan bukan sahaja di ibu kota Malaysia, tetapi seluruh dunia. Ini adalah agenda globalis dan pakar pemikir neo-liberal yang mahu menghapuskan kedaulatan negara-negara dengan mewujudkan entiti supranegara seperti PBB, Statut Rom, Kesatuan Eropah dan negara yang tunduk dengan arahan Bank Dunia.
Pakar arkitek seperti Le Corbusier, Oscar Niemeyer, Norman Foster dan Zaha Hadid telah mencorakkan dunia arkisektur selepas Perang Dunia Kedua, dengan desain pasca moden yang digelar internationalism, untuk kononnya “masyarakat yang adil, egalitarian dan progresif.”
“Kau cuba lihat kehodohan KLCC. Kononnya berseni tapi pada aku menyakitkan mata dengan bangunan besi dan kaca yang langsung takde sangkut paut dengan sejarah peribumi negara. Sejak bila geometri Islam adalah kesenian Melayu?” ngomel kawan aku sambil memandang kepada bangunan itu.
“Kita fikir prestij, kita sanggup bina jambatan skybridge atas udara. Nampak canggih bila nampak terapung antara dua bangunan. Tapi jambatan kat kampung masih daif,” kata aku paraphrase ayat dialog dalam novel aku Rokok Nan Sebatang.
“Orang-orang yang duduk kat Kementerian Wilayah Persekutuan masih menganggap novel kau novel sampah, bro,” kata dia sambil menghirup air alpukat sampai habis.
Dia bangkit dari kerusi dan keluarkan dompetnya, sebelum membayar ke kaunter.
“Sebab ni aku suka lepak Kampung Baru. Tempat terakhir Kuala Lumpur yang masih dara daripada kelucahan pasca moden ni.”
“Dan tak lama lagi Menteri Wilayah Persekutuan pun akan melacurkan si anak dara ini dengan pemaju tanah yang nak membayar berbillion-billion.”
Masuk kereta, lagu dari penyanyi folk, Azmyl Yunor – Anak Dara pun berkumandang. Feeling menikmati Syaaban terakhir, melabuhkan tirainya sebelum Ramadhan menyinsing.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih