SEKIRANYA anda melakukan kunjungan ke Bandar Sandakan adalah tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke Rumah Agam Agnes Keith yang terletak di Jalan Istana, Sandakan, Sabah.  Rumah ini pernah menjadi kediaman Agnes Newton Keith, penulis buku tersohor dari Amerika Syarikat bersama suami beliau, Harry Keith dan anaknya, George Keith. Rumah ini satu masa dahulu pernah terbiar dan hampir musnah sebelum Jabatan Muzium Negara Sabah mengambil inisiatif memulihara rumah ini pada tahun 2001. Satu proses pemuliharaan yang masih lagi mengekalkan struktur asal agar ianya tidak jauh berbeza berbanding yang dahulu.

Sekiranya anda meneliti senarai individu yang pernah mendiami rumah berkenaan, terdapat lebih daripada 26 orang yang pernah menetap di situ, namun anehnya, mengapa nama Agnes Keith yang diangkat sebagai penghormatan dalam menamakan rumah berkenaan? Ada cerita mengenainya yang mungkin anda tidak mengetahui.

Agnes Newton Keith dilahirkan pada 6 Julai 1901 di Illinois, Amerika Syarikat. Beliau cenderung menulis cerita-cerita fiksyen sejak di usia remaja lagi dan ada antara hasil karya beliau dimuatkan dalam beberapa majalah dan akhbar terkenal pada masa itu termasuk Reader’s Digest.  Minat beliau pada bidang penulisan menuntunnya menjadi wartawan di ‘The San Francisco Examiner’ pada tahun 1924 sebaik sahaja beliau menamatkan pengajian dari University of California, Berkeley.

Pada tahun 1934, Agnes Keith mengahwini Harry Keith, Pegawai British yang bertugas sebagai Pegawai Konservasi Hutan di Sandakan. Asalnya mereka mendiami rumah bujang yang disediakan untuk Harry namun kemudian mereka memilih untuk berpindah ke sebuah rumah agam di atas bukit yang jauh lebih selesa.

Penghuni sebelum mereka adalah M M Clark, Agnes Keith dan suaminya merupakan penghuni kedua di rumah berkenaan. Di rumah inilah Agnes Keith menghasilkan buku berjudul ‘Land Below The Wind’ pada tahun 1939 yang menceritakan serba sedikit mengenai kehidupan masyarakat tempatan yang kaya dengan rencah adat resam serta keindahan semulajadi yang terdapat di Sabah. Buku ini pernah mengalahkan 600 buah buku yang lain dan berjaya memenangi Anugerah Buku Bukan Fiksyen terbaik yang dianjurkan ‘Atlantic Monthly’.

Agnes Keith turut diangkat sebagai duta kepada Borneo Utara apabila menjadi inspirasi kepada gelaran ‘Bumi Di Bawah Bayu’ yang masih disandang negeri Sabah sehingga ke hari ini. Apabila perang dunia kedua meletus, Agnes Keith dan keluarganya pulang ke Amerika Syarikat. Apabila perang berakhir, mereka kembali ke Borneo Utara pada tahun 1946 namun malangnya rumah yang mereka diami musnah teruk sepanjang perang berlangsung.

Rumah agam berkenaan dibina kembali untuk didiami keluarga Keith dan mendapat nama sebagai ‘Newlands’. Sekembalinya Keith sekeluarga ke rumah berkenaan, beliau menghasilkan sebuah buku berjudul ‘Three Came Home’ pada tahun 1946 dan ‘White Man Returns pada tahun 1951. Pada tahun 1952, Agnes Keith sekeluarga kembali ke Amerika Syarikat buat selama-lamanya namun jasa dan sumbangan beliau tetap menjadi ingatan dan dikenang masyarakat Sabah.  Dek kerana itulah pihak Jabatan Muzium Negara Sabah mengangkat nama beliau dan memberikan penghormatan rumah agam berkenaan diberikan nama bersempena dengan nama Agnes Keith.

Sepanjang mendiami rumah agam diatas bukit, Agnes Keith dipetik sebagai senantiasa berada dalam keadaan gembira. Adalah menjadi satu idaman bagi beliau untuk mendiami rumah berkenaan dan sangat bahagia sepanjang menjadi penghuninya. Namun tak lupa, Agnes Keith turut meninggalkan sebuah catatan seram sebagai perkongsian sepanjang menjadi penghuni di rumah berkenaan.

“Saya tidak percaya pada hantu. Tetapi setiap hari saya melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di hujung jalan dan menoleh ke belakang.” Begitu antara catatan bertulis yang ditinggalkan Agnes Keith sebelum pulang ke Amerika Syarikat.

Bukan hanya Agnes Keith, kejadian aneh dan misteri turut dialami beberapa orang penghuni yang pernah mendiami rumah berkenaan selepas itu. Rosemary, isteri kepada G L Carson yang menetap di rumah berkenaan selama 12 tahun bermula dari tahun 1955 sehingga tahun 1967 turut mempunyai perkongsian misteri saat ditinggalkan seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu.

Menurutnya, dia terbangun ketika waktu Subuh, mendengar pintu bilik di hujung rumah tertutup dan terbuka beberapa kali. Tidak lama setelah itu beliau mendengar tapak kaki berjalan menuju ke arah biliknya. Apabila membuka mata, dia melihat lembaga seorang wanita berdiri di hujung katilnya, beliau tidak tahu apa yang berlaku setelah itu kerana pengsan akibat ketakutan.

Lain pula halnya dengan pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles menghuni rumah berkenaan bermula tahun 1967 sehingga tahun 1968. Pada satu hari ketika melakukan tugas beliau tak semena-mena beliau terserempak dengan lembaga seorang wanita yang sedang berdiri di atas tangga.

Sejauh mana kebenaran cerita-cerita mereka ini? Wallahualam. Apapun banyak lagi cerita-cerita seram yang diabadikan dalam bentuk himpunan-himpunan makalah yang turut disediakan kepada para pengunjung yang mengunjungi rumah agam Agnes Keith. Bukan sahaja himpunan cerita seram malah para pengunjung akan diperlihatkan pada beberapa foto milik ahli keluarga Agnes Keith beserta beberapa keterangan serta barang-barang antik yang menjadi sebahagian perhiasan di rumah berkenaan.

-SAM-

#saiasayangsabah

RUJUKAN:

  • History of Sandakan. https://www.malaysia-traveller.com/agnes-keith-house.html
  • Harian Metro, Kisah Misteri Penuh Sejarah, Rumah Agam Agnes Keith. https://www.hmetro.com.my/…/232…/kisah-misteri-penuh-sejarah

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar orang biasa yang mencintai sejarah dan seni budaya negara. Terutama sekali yang berkaitan dengan Negeri Di Bawah Bayu. Merupakan graduan lepasan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Kolej Poly-Tech Mara. Peluang menulis bersama TP dilihat sebagai antara salah satu platform terbaik berkongsi maklumat dan bertukar-tukar pandangan dengan lebih ramai orang-orang hebat di luar sana

Comments are closed.