Nakano Takeko (April 1847 – Oktober 1868M) merupakan seorang pahlawan wanita (onna bugeisha) yang dilahirkan di Edo (kini Tokyo) dan merupakan anak perempuan kepada Nakano Heinai, seorang pegawai di wilayah Aizu. Membesar dalam sebuah keluarga berkelas samurai, Takeko mula menjalani latihan seni bela diri sambil diberikan pendidikan kesusasteraan seawal usia 6 tahun. Sudah tentu beliau pernah mendengar dan mengidolakan tokoh seperti Tomoe Gozen, seorang onna bugeisha yang masyhur dalam Perang Genpei (abad ke-12).

Setelah usianya menginjak sedikit remaja, Takeko kemudian dilatih oleh Akaoka Daisuke dan menjadi anak angkat kepada gurunya itu. Walaupun maklumat berkenaan hal ini terekod dalam sejarah, namun lokasi, tahun bermula serta tempoh latihan Takeko bersama Daisuke tidak dapat dipastikan dengan jelas.

Sekurang-kurangnya, terdapat 3 maklumat berkenaan perkara tersebut yang mana 2 daripadanya saling bercanggahan sekaligus mewujudkan garis masa yang berbeza-beza. Pertama, disebutkan bahawa tempoh kehidupan Takeko bersama bapa saudara merangkap gurunya itu berlangsung selama 5 tahun. Kemudian, diandaikan bahawa Takeko pulang dari latihan dan kembali ke pangkuan keluarga di Aizu pada tahun 1868, tahun di mana beliau terkorban. Sambil maklumat ketiga pula mengatakan bahawa Takeko kembali ke Aizu semasa berusia 16 tahun (1863M).

Walau bagaimanapun halnya, selain cemerlang dalam pelajaran akademik, Takeko juga dengan pantas menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam seni bela diri terutama penggunaan senjata naginata sekaligus beliau diberikan kepercayaan oleh Daisuke untuk membimbing latihan. Dari seorang yang dibimbing, kini beliau membimbing rakan-rakannya yang lain. Setelah 5 tahun berada di bawah tunjuk ajar Daisuke, Nakano pun pulang ke Aizu pada tahun 1863 atau 1868M.

Tepat pada tahun 1868, meletus Perang Boshin (1868-1869M) yang melibatkan kekuatan Shogun Tokugawa dan pasukan tentera imperialis (pihak yang menyokong agar tampuk pemerintahan kembali kepada Maharaja). Dalam perang yang turut dikenali sebagai Revolusi Jepun itu, keluarga Takeko menumpahkan kesetiaan terhadap shogun dan Aizu turut menjadi salah satu benteng pertahanan Tokugawa. Hal ini mendorong kepada berlakunya Pertempuran Aizu yang melibatkan sebuah pengepungan panjang ke atas Istana Wakamatsu.

Dalam pengepungan dan pertempuran tersebut, tercetus satu babak heroik  yang sempat terekod dalam sejarah dan masih dikenang sehingga ke hari ini – dipersembahkan oleh wirawati-wirawati Jepun.

Oleh kerana onna bugeisha tidak dibenarkan menyertai barisan hadapan dan hanya diberikan peranan menjaga kubu benteng, maka Takeko pun mengambil keputusan sendiri – atas dasar kesetiaan terhadap Tokugawa dan keberaniannya sebagai petempur mahir. Takeko membentuk dan memimpin sebuah unit tentera tidak rasmi yang terdiri dari seramai 20 orang wanita yang masing-masing bersenjatakan naginata. Turut membarisi unit yang dikenali sebagai Joshitai itu adalah ibu dan adik Takeko sendiri, iaitu Nakano Koko dan Nakano Yuko.

Pasukan Joshitai ini secara sendirian melancarkan sebuah serangan yang bermaksud untuk menggempur pasukan imperialis dan memecahkan pengepungan mereka. Dalam serangan tersebut, Takeko sempat membunuh seramai 5 orang pahlawan musuh sebelum dadanya sendiri ditembusi peluru yang dilepaskan dari jarak jauh. Walaupun pasukan tentera imperialis memiliki kekurangan dari segi jumlah bilangan, kelengkapan senjata yang lebih canggih dan moden membenarkan mereka untuk meraih kemenangan dalam pengepungan ke atas Istana Wakamatsu, Pertempuran Aizu dan bahkan Perang Boshin itu sendiri sekaligus menamatkan keshogunan Tokugawa dan era kewujudan samurai.

Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir dalam kecamuk pertempuran yang masih berlangsung, Takeko sempat berpesan kepada adiknya, Yuko supaya memenggal kepalanya dan membawanya lari jauh supaya tidak diambil oleh pasukan imperialis. Bagi Takeko, biar terkorban di medan perang, tapi jangan sampai kepala dijulang oleh musuh yang menang. Lantas, Yuko pun memenuhi wasiat tersebut dan membawa kepala kakaknya ke Kuil Hokai yang kini terletak di Aizubange Fukushima. Yuko kemudian mengebumikannya berhampiran sebatang pokok. Berdekatan dengan pusara Takeko turut dibinakan sebuah tugu peringatan bagi mengenang keperwiraannya yang gugur di usia yang begitu muda – 21 tahun. Di usia sedemikian muda, Takeko berjaya menempa namanya dalam rekod sejarah. Sedangkan dalam usia yang sama, penulis hanya mampu merekodkan semula sejarahnya dalam bahasa ibunda.

Takeko… Jika hayatnya diragut dalam Perang Boshin yang memenangkan musuhnya, imperialis, sekaligus memulakan era Meiji yakni titik mula kemodenan dan kemajuan Jepun, maka namanya terus hidup dan harum berkat perang sama yang mendendangkan keperwiraannya sekaligus menjadikannya sebagai simbol kebanggaan apabila istilah onna bugeisha atau samurai wanita disebutkan.

Malah sehingga ke hari ini, dalam Festival Tahunan Musim Luruh di Aizu, sekumpulan wanita lazimnya akan menyertai perarakan dengan memakai hakama dan kain lilit putih di kepala bagi memperingati perjuangan Nakano Takeko dan wirawati-wirawati Joshitai pimpinannya.

RUJUKAN

A History Blog. (Februari. 2013). Nakano Takeko, 1847-1868: Last of the Samurai. Warrior Women.

Alchetron. (Jun 2018). Nakano Takeko.

Brutal Barb. (Mei 2018). Warrior Women: Nakano Takeko, the Last Female Samurai Warrior.

Kallie Szczepanski. (Februari 2019). A Long History of Japanese Women Warriors. ThoughtCo.

Izuari Idris. (Mei 2017). Kisah Nakano Takeko – Samurai Wanita Terakhir Jepun 1868. Iluminasi.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.