Masalah di Ibukota Rom telah memaksa Vespasian dan tenteranya menghentikan seketika kempen mereka di Jerusalem. Namun begitu, keadaan Bangsa Yahudi yang berlindung di Baitul Maqdis bertambah buruk. Perang saudara antara puak pelampau semakin memuncak.

Tambahan pula, Eleazar anak Simon, salah seorang pemimpin puak pelampau meninggalkan kumpulan tersebut dan diikuti oleh beberapa pemimpin Yahudi yang ternama serta mempunyai pengikut dalam kalangan pelampau.

Keadaan ini mewujudkan satu lagi kumpulan, menjadikan perang saudara dalam Baitul Maqdis bertambah kepada tiga puak. John dari Gischala yang telah berjaya menawan Haikal Agung sebelum ini dan berhadapan dengan peperangan dengan Simon Bar Giora, kini berhadapan pula dengan golongan ketiga yang diketuai oleh Eleazar. Eleazar pula menguasai Bahagian Dalam Haikal dan meletakkan senjatanya di atas pagar haikal.

Rumah Ibadat yang selama ini suci telah dicemari dengan pelbagai senjata dan peperangan. Penaklukan dan penempatan senjata oleh Eleazar ini memberikan banyak kelebihan kepadanya dalam peperangan tersebut. John dari Gischala menguasai bahagian Utara Baitul Maqdis iaitu di Haikal Agung, manakala Simon Bar Giora menguasai bahagian Selatannya, iaitu Kota Atas (Upper City).

Masing-masing ada agenda tersendiri, di mana John dari Gischala mahu kemerdekaan daripada penjajahan Rom dan mencacah duit perak dengan tulisan “Kemerdekaan Zion” manakala Simon Bar Giora pula mengetuai Gerakan Penyelamat (Messianic Movement), duit kuprumnya dicacah dengan perkataan “Penebusan Zion”.

Gambar 1: Kota Baitul Maqdis, pembahagian kota dan tembok-temboknya

Eleazar yang menguasai Haikal Agung bertindak menyerang John dari Gischala. John pula menjarah makanan dan harta benda penduduk setempat untuk digunakan bagi menyerang Simon. Simon pula mempunyai bekalan yang cukup dan menyerang kumpulan John. Apabila John diserang dari kedua-dua arah, John mengarahkan kumpulannya untuk menghadapi serangan dengan panah-panah mereka ke arah kumpulan Simon, manakala John sendiri menyerang kumpulan Eleazar dengan mesin perangnya.

Apabila John berjaya mengatasi serangan dari arah Haikal Agung, mereka menyerang dengan sepenuh tenaga ke arah Simon. John bertindak membakar stok simpanan makanan kumpulan Simon dan sebagai balasan, Simon pula bertindak membakar stok makanan kumpulan John. Bekalan makanan yang sepatutnya membolehkan mereka bertahan bertahun-tahun pengepungan Rom telah musnah dalam perang saudara tersebut. Penduduk di Baitul Maqdis mengalami kebuluran yang teruk.

Rajah 2: Kawasan kawalan pemberontak di Baitul Maqdis

Setelah Vespasian ditabalkan menjadi Maharaja Rom, Titus diberikan kepercayaan penuh oleh bapanya untuk menghapuskan pemberontakan Yahudi di Palestin. Titus bukanlah Jeneral yang sangat berpengalaman dalam perang, namun beliau dibantu oleh Tiberius Julius Alexander, bekas Gabenor Judaea pada Tahun 46 hingga 48 M.

Tiberius Julius Alexander tahu selok-belok di Palestin dan sangat mahir dengan perangai orang-orang Yahudi. Strategi Vespasian sebelum ini yang membenarkan orang Yahudi kembali ke Baitul Maqdis, tetapi tidak membenarkan mereka meninggalkan kota suci itu ternyata berkesan apabila masing-masing bertelagah sesama sendiri untuk bersaing berebut kuasa, makanan dan tempat kediaman. Keadaan kucar-kacir dalam Baitul Maqdis yang ditimbulkan oleh tiga pecahan parti yahudi tersebut memberikan kelebihan kepada Titus. Namun begitu, tembok Kota Baitul Maqdis terlalu ampuh untuk dimusnahkan.

Kempen Titus ke Palestin bermula selepas musim sejuk berakhir, dalam Tahun 70 M. Beliau mengumpulkan tenteranya di Alexandria sebanyak 4 legion tentera atau lebih kurang 20,760 tentera dan berarak ke Caesarea Maritima sepanjang pantai dari Mesir ke Palestin.

Mereka dibantu oleh 23 kohort (1 kohort bersamaan dengan 1/10 legion) tentera tambahan dari Syria atau 15,000 tentera, 3000 tentera berkuda dan lebih kurang 20,000 tentera tambahan daripada penduduk tempatan yang diberikan oleh pemerintah bawahan Rom. Jumlah tentera yang berarak ke Caesarea adalah seramai lebih kurang 60,000 tentera.

Dari Caesarea, tentera Rom dipecahkan kepada 3 kumpulan. Legion XII dan XV melalui laluan utama di Samaria dengan diketuai oleh Titus sendiri. Legion V ‘Macedonia’ melalui Emmaus dan Legion X ‘Fretensis’ melalui Jericho. Tentera Rom dapat berarak dengan lebih cepat kerana bentuk muka bumi untuk sampai ke Baitul Maqdis adalah bergunung-ganang dan berbukit-bukau. Lebih mudah dipisahkan kepada tiga ketumbukan dan laluan tersebut mengepung Baitul Maqdis dalam tiga arah yang bertentangan.

Penerangan berkaitan dengan pertahanan Kota Baitul Maqdis

Kota Baitul Maqdis merupakan sebuah kota yang sangat hebat pertahanannya.  Ia dibina dengan tiga lapisan tembok kubu kota yang sukar untuk ditembusi. Di samping itu,  terdapat lembah yang memisahkan antara kota tersebut dengan kawasan sekitarnya. Lembah ini menjadi pertahanan semulajadi di Baitul Maqdis. Lembah Kidron terletak di Timur Baitulmaqdis, manakala Lembah Gihon di baratnya. Lembah Hinnom terletak di selatan Baitul Maqdis menjadikan kota tersebut sangat sukar dicapai. Baitul maqdis juga dikelilingi oleh kawasan tanah tinggi yang menyukarkan lagi kota ini diserang.

Contohnya, Gunung Zaitun (Mount of Olives) terletak di sebelah timur Lembah Kidron dan Gunung Moria di sebelah  Di samping itu, terdapat tembok-tembok kota yang kukuh meliputi seluruh kota tersebut. Tiga lapisan tembok di Baitul Maqdis dibina oleh tiga generasi raja yang berlainan. Lapisan tembok paling dalam dikatakan dibina sejak Nabi Sulaiman menjadi raja, namun dimusnahkan semasa penaklukan Nebuchadnezzar dari Babylon.

Tembok itu dibina semula oleh Nabi Ezra dan Nehemiah selepas mereka pulang dari dijadikan tawanan di Babylon. Lapisan kedua pula dibina oleh Raja Herod Yang Agung dan lapisan ketiga dibina oleh Raja Herod Agrippa, sebelum baginda menghentikan pembinaan atas bantahan Rom dan tuduhan bahawa Agrippa mahu memberontak. Namun begitu, tembok ketiga tersebut disiapkan pembinaannya oleh pelampau semasa pemberontakan Yahudi bermula (Tahun 66M). Kota ini dibina di atas dua buah bukit yang bertentangan antara satu sama lain.

Rajah 3: Topografi Kota Baitul Maqdis dan Kawasan Sekitarnya

Puncak bukit di timur dibina Haikal Agung dan Kubu Antonia, kawasan tertinggi di puncak timur. Puncak  bukit sebelah barat pula merupakan kawasan penempatan elit yang dinamakan Kota Atasan (Upper City), yang dibina sejak zaman dinasti Hasmonean lagi. Di lembah antara Kota Atasan dan Haikal Agung, terletaknya Kota Bawahan (Lower City) yang didiami oleh orang kebanyakan dan majoriti penduduk di Baitul Maqdis mendiami kota tersebut.

Kedua-dua Kota Atasan dan Kota Bawahan dipagari dengan Tembok Kota Pertama. Oleh sebab penempatan yang semakin ramai, kawasan petempatan dilanjutkan merentasi utara tembok pertama. Kota ini dinamakan Kota Kedua (Second City) dan tembok kota kedua yang dibina oleh Raja Herod yang Agung dibina mengelilingi kota kedua ini dari Kubu Antonia sehingga ke pintu pagar Gennath, berhampiran dengan istana Hasmonean. Penduduk di Baitul Maqdis yang semakin ramai menyebabkan kawasan petempatan bertambah ke utara Kota Kedua dan dinamakan sebagai Kota Baharu (New City).

Raja Herod Agrippa memulakan pembinaan tembok ketiga untuk melindungi kota tersebut, namun pembinaannya terhenti apabila Raja Claudius (Raja Rom) mengarahkan pembinaan tersebut dihentikan kerana bimbang Raja Herod Agrippa ingin memberontak terhadap Rom. Projek Tembok Ketiga tidak disiapkan pada zaman Raja Herod Agrippa I, namun disambung pembinaannya semasa pemberontakan Yahudi bermula dan berjaya disiapkan sebelum Vespasian mengepung kota tersebut dengan pembinaan menara-menara peninjau di sepanjang tembok tersebut. Keadaan ini menjadikan pertahanan Kota Baitul Maqdis sangat kukuh dan sukar ditembusi.

Keadaan di Baitul Maqdis Semasa Pengepungan Titus

Keadaan di dalam Baitul Maqdis sangat menyedihkan. Orang-orang Yahudi berperang antara satu sama lain dan saling memusnahkan makanan simpanan pihak lawan. Natijahnya, penduduk di Baitul Maqdis diancam kebuluran. Di samping itu, Vespasian sebelum ini membenarkan orang Yahudi kembali ke Baitul Maqdis untuk menyambut perayaan Pass Over, namun tidak membenarkan mereka meninggalkan kota tersebut. diberitakan bahawa lebih kurang 600,000 orang Yahudi berada di kota tersebut semasa perang ini meletus.

Tentera-tentera Yahudi pula terdiri daripada pemberontak-pemberontak yang tidak mahir. Golongan pelampau menyokong John dari Gischala dan mereka menjadikan Haikal Agung sebagai pusat pertahanan mereka, setelah John dari Gischala berjaya membunuh Eleazar anak Simon. Golongan Sicarii pula menyokong Simon Bar Giora dan mereka berpusat di Kota Atasan.

Tentera-tentera Yahudi yang berkampung dalam Kota Baitumaqdis hanya lebih kurang 24,000 orang sahaja. Walaupun tidak profesional, namun mereka berjaya merampas banyak persenjataan Rom semasa mereka menakluk kota-kota pertahanan di sekitar Palestin, sebelum kota-kota tersebut ditawan semula oleh Vespasian dan Titus.

Tentera Simon Bar Gioras adalah seramai lebih kurang 10,000 orang dan 6,000 tentera perikatan Bangsa Edom dengan 8 orang komander. Tentera ini menguasai kawasan di bahagian dalam Tembok Kota Pertama (Kota Atasan dan Kota Bawahan). John dari Gischala pula mempunyai 6,000 tentera dan Eleazar (sebelum mereka berperang sesama sendiri) pula mempunyai 2,400 orang tentera.

Tentera ini pula menguasai kawasan di sekitar Haikal Agung dan Lembah di Selatan Haikal Agung. Bekalan air di Baitul Maqdis bukanlah suatu masalah besar kerana mereka mempunyai simpanan air yang banyak di Kolan Bethesda, Kolam Israel dan Kolam Siloam. Namun begitu, bekalan makanan telah habis dimusnahkan antara satu sama lain.

Pertempuran antara Tentera Titus dan Tentera Yahudi di Baitul Maqdis.

Rajah 4: Pengepungan Tentera Rom ke atas Baitul Maqdis

Titus menyedari tenteranya kepenatan dalam perjalanan yang panjang untuk sampai ke Kota Baitul Maqdis. Beliau mengarahkan tentera mereka berkubu di luar Kota Baitul Maqdis. Legion XII dan XV telah membina perkhemahan di atas Gunung Scopus. Pada keesokan harinya, Titus bersama 600 tentera berkuda telah bergerak ke Pintu Kota di Utara kota (Tembok Ketiga) dan melalui laluan yang sukar.

Dengan tiba-tiba, orang Yahudi keluar dari pintu kota dan menyerang kumpulan peninjau tersebut menyebabkan mereka terpaksa berundur. Titus ketinggalan dalam serangan gerila itu, namun keperwiraannya terserlah apabila Titus berjaya meloloskan diri dan berundur bersama tentera berkudanya itu. Titus yang terkejut dengan serangan kilat itu mengarahkan tenteranya Legion X ‘Fretensis’ untuk berkhemah di atas Gunung Zaitun, kawasan yang lebih dekat dengan kota tersebut.

Semasa pembinaan perkhemahan tersebut, Tentera Yahudi beramai-ramai keluar dari Pintu Kota Selatan dan Timur menyeberangi Lembah Kidron  serta menyerang tentera Legion X ‘Fretensis’. Tentera Rom tersebut tidak sempat menyiapkan kawasan perkhemahan mereka dan dalam kelam-kabut diserang, tentera Rom menegalami kekalahan dalam pertempuran tersebut. Titus dan tentera berkudanya menyerang dari sisi dan memberi kelebihan kepada Rom, sebelum gelombang kedua tentera Yahudi menyerang.

Pertempuran menjadi sengit dan tentera Rom yang lari ke atas Gunung Zaitun kembali menyusun barisan dan menyerang ketumbukan Yahudi tadi. Hasilnya, tentera Yahudi mengalami kekalahan dan kembali ke Kota. Legion X ‘Fretensis’ berjaya membina kubu perkhemahan mereka di situ. Membayangkan keampuhan tentera Yahudi dalam pertahanan tersebut, Titus mengarahkan tenteranya menghapuskan apa-apa rintangan seperti tumbuh-tumbuhan, batu-batuan dan kawasan tidak rata di sekeliling Kota Baitul Maqdis bagi memudahkan serangan seterusnya dilakukan.

Titus juga menyedari kesukaran untuk menyerang Kota Baitul Maqdis dari arah Timur. Beliau mula merancang serangan dari arah Barat, melalui Tembok Kota Ketiga. Beliau mengarahkan Legion V ‘Macedonia’ untuk berkubu kira-kira 400m di Barat Pintu Kota Barat dan Legion XII dan XV berkubu berhadapan dengan Menara Psephinus di Utara kota. Tentera Rom mula menggunakan jentera perang seperti artileri dan menghentam tembok ketiga dari arah Barat.

Mereka mula membina perempuh dan berjaya menyiapkannya dalam masa yang singkat, dengan bantuan artileri yang mencampakkan batu-batu besar ke Kota Baitul Maqdis. Setelah siap, perempuh tersebut diarak ke tembok ketiga. Tentera Yahudi cuba untuk menghapuskan perempuh tersebut dan memusatkan serangan ke arah perempuh. Mereka keluar dari pintu kota dan bertempur dengan ketiga-tiga legion Rom tersebut. Titus pula mengetuai tentera berkuda untuk memukul mundur tentera Yahudi dari memusnahkan perempuh.

Dalam masa yang sama, tentera Rom berjaya menyiapkan beberapa buah Menara Serbuan dan berarak ke arah tembok ketiga. Setelah 15 hari serbuan diadakan, perempuh berjaya menembusi tembok kota. Tentera Yahudi terpaksa berundur ke Tembok Kota Kedua. Tentera Rom menyerbu masuk ke Kota Baharu dan membuat kubu Rom dalam Kota Baharu dengan memusnahkan banyak struktur-struktur petempatan yahudi di Kota Baharu.

Perempuh dibawa ke Tembok kedua pula dan serangan ditumpukan ke Menara Pagar Utama (Central Tower Gate) di Tembok Kedua. Dalam masa 4 hari, Tentera Rom berjaya menembusi Pagar Utama Tembok Kedua. Menerusi runtuhan kecil tersebut, tentera Rom menyerbu masuk ke Kota Kedua, namun tiada tentangan yang mereka hadapi sehinggalah tentera Rom masuk ke tengah-tengah kota. Dengan tidak semena-mena, tentera Yahudi keluar dengan mesin-mesin perang (anak panah yang ditembak dengan banyak) dan serangan gerila dilakukan kepada tentera Rom.

Ramai tentera Rom yang mati dalam serangan kilat tersebut. Tentera yang mahu berundur juga tidak berjaya berundur dengan mudah kerana runtuhan tembok yang sangat kecil menyukarkan mobilisasi tentera keluar. Tentera yang berundur ke kubu mereka juga diserang dengan anak panah, slingshot dan sebagainya sehinggakan tentera Rom perlukan pemanah untuk melindungi mereka dalam pengunduran.

Tentera Yahudi menyerbu ke arah kem Rom, tetapi mereka tidak berjaya menewaskan tentera Rom yang berkubu di dalam Kota Baharu. Pertempuran berlaku sehingga malam hari, namun tentera Yahudi terpaksa berundur kerana keampuhan tentera Rom dalam pertempuran tersebut.

Tentera Rom meneruskan rempuhan tembok kedua dengan perempuh. Selepas empat hari, Tembok Kedua berjaya dibolosi. Titus mengarahkan sebahagian besar bahagian Utara tembok kedua dimusnahkan dan menara-menara tinjau di kawasan tersebut dikuasai oleh tentera Rom. Tentera Yahudi terpaksa berundur ke Tembok Pertama. Tentera Yahudi memusatkan pertahanan dengan panah-panah mereka dari Tembok Pertama. Ketika ini, Simon Bar Gioras mempertahankan Tembok Pertama di sebelah Barat, iaitu dari Kota Atasan dan kompleks istana (Hasmonean dan Herodian). John dari Gischala pula bertahan dari dalam Haikal Agung bersama dengan kumpulan pelampau, di sebelah Timur Tembok Pertama.

Tentera Rom maju memasuki Kota Kedua. Titus mengarahkan Legion X ‘Fretensis’ dan XV merempuh tembok pertama di sebelah barat, di mana tembok pertama bertemu dengan tembok kedua. Dari sebelah Timur, Titus mengarahkan Legion V ‘Macedonia’ dan XII merempuh Bahagian Timur Tembok Pertama iaitu di Kawasan Kubu Antonia. Tentera Yahudi dari atas Tembok Pertama menggunakan 300 ke 400 mesin perang untuk mempertahankan tembok pertama daripada dicerobohi oleh Tentera Rom.

Pada 29 Mei 70, tentera Rom berjaya menyiapkan jentera perang mereka di kedua-dua bahagian Tembok Pertama, setelah 17 hari menghadapi serang balas dari atas tembok pertama. Menara serbuan dan perempuh serta beberapa kohort tentera bersiap sedia untuk menyerbu tembok pertama. Tentera Yahudi yang berkubu di Haikal Agung menggali terowong di bawah Kubu Antonia dan menyeberangi kubu tersebut, sebelum meletupkan bahan letupan di bawah menara serbuan dan perempuh, menyebabkan jentera-jentera perang tersebut rosak. Api yang dinyalakan dari dalam terowong itu menyala semula selepas tersentuh dengan bahan bakar yang diletakkan di kawasan tersebut dan membakar semua jentera perang yang berada berhampiran dengan kubu Antonia.

Dari arah Barat pula, Simon Bar Gioras dan tenteranya menyusup keluar pada waktu malam dan membakar jentera-jentera perang tersebut. Menyedari jentera perang mereka terbakar, tentera Rom cuba menyelamatkan jentera perang mereka, namun pertempuran yang berlaku di antara tentera Rom dan tentera Yahudi di bawah pimpinan Simon Bar Gioras berlarutan sehingga semua jentera perang di bahagian barat musnah terbakar.

Tentera Rom mengalami kekalahan moral dan berundur ke kubu mereka di Kota Baharu. Tentera Yahudi tidak melepaskan peuang yang terhidang dengan cuba membunuh seberapa banyak tentera Rom yang sedang berundur, sebelum serangbalas dilakukan oleh Titus dan tentera berkudanya sehingga memaksa tentera Yahudi kembali ke Tembok Pertama.

Keesokan paginya, semua jentera perang Rom musnah dalam keadaan ini merendahkan lagi moral tentera Rom. Titus seorang pemimpin yang berkarisma dalam perang ini. Beliau cuba meningkatkan semula moral tenteranya dengan mengarahkan tentera tersebut membina tembok sepanjang 8 kilometer mengelilingi tembok pertama kota Baitul Maqdis.

Hal ini dilakukan bagi mengepung orang Yahudi dalam menghadapi musim panas yang sedang tiba. Titus membuat pertandingan membina tembok tersebut dalam kalangan Legion dan Kohort tenteranya. Kumpulan yang siap dahulu akan mendapat bahagian harta perang yang paling banyak dan mendapat kepujian dari pihak Rom. Ajaibnya, keseluruhan tembok tersebut berjaya disiapkan dalam masa 3 hari sahaja. Keadaan ini berjaya mengembalikan moral tentera Rom, manakala Yahudi menjadi takut dengan pencapaian tentera Rom ini.

Dengan pembinaan tembok ini, tiada Yahudi yang boleh keluar masuk melalui jalan-jalan tikus dari Jerusalem keluar untuk mendapatkan bekalan. Sesiapa sahaja orang Yahudi yang cuba menyusup keluar akan dibunuh dengan cara disalib oleh tentera Rom. Beribu-ribu Yahudi disalib kerana cuba keluar dari kota Baitul Maqdis.

Lain pula ceritanya dengan keadaan dalam Kota Baitul Maqdis. Penduduknya mengalami kebuluran yang sangat teruk sehinggakan mereka terpaksa makan haiwan peliharaan kesayangan mereka dan merebus jerami untuk makan. Penduduk di Baitul Maqdis juga berkemungkinan terpaksa bunuh dan makan kanak-kanak untuk meneruskan hidup dalam kota tersebut.

Setelah 10 minggu serangan dilancarkan, Titus mengarahkan kesemua tenteranya memusatkan serangan di Tembok Kubu Antonia. Kesemua tentera Rom berarak ke kubu Antonia dengan dua perempuh, namun tidak berjaya menghampiri Tembok Kubu Antonia pada hari pertama. Nasib tentera Rom sangat baik apabila terowong yang dibina oleh orang Yahudi pada serangan pertama runtuh menyebabkan tembok kubu Antonia runtuh.

Tentera Yahudi terpaksa membina tembok dalaman Kubu Antonia bagi mengekang kemaraan tentera Rom. Titus memberikan ucapan yang bersemangat terhadap tenteranya, walaupun mereka sedar perang semakin menghampiri ke kemuncaknya dan keadaan bertambah bahaya.

Terkesan dengan ucapan tersebut, Sabinus dari Syria, salah seorang tentera Kohort dalam tentera tambahan dengan sukarela mengetuai serbuan pertama ke dalam Kubu Antonia bersama 11 orang tentera. Serbuan mereka tidak berjaya mengalahkan tentera pemberontak apabila Sabinus dan tiga tentera lain dibunuh, manakala lapan tentera yang lain berjaya melarikan diri ke kem mereka.

Dua hari kemudian, pada awal pagi, beberapa kumpulan tentera Rom (lebih kurang 12 dozen tentera) mengambil inisiatif sendiri dengan menyusup masuk ke dalam runtuhan Kubu Antonia dan membunyikan trumpet Rom dari dalam kubu. Keadaan ini menimbulkan panik kepada tentera Yahudi dan mereka lari ke arah Haikal Agung kerana menyangkakan semua tentera Rom telah masuk ke dalam Kubu Antonia. Menyedari mereka tertipu, tentera Yahudi bergegas ke arah kubu Antonia untuk menyerang tentera yang menyusup masuk.

Namun begitu, Titus sendiri mengetuai tentera Rom untuk masuk ke arah bunyi trumpet yang ditiup oleh tentera Rom dan terjadilah pertempuran yang sangat dahsyat di dalam kubu Antonia. Antara Perajurit Rom yang terhebat ialah Julian dari Bythinia, namun beliau terkorban dalam peperangan itu. Pertempuran yang berlarutan selama 10 jam itu menyaksikan kemenangan di pihak Rom dan tentera Yahudi lari ke Haikal Agung. Tentera Rom berjaya menguasai Kubu Antonia dan Tentera pemberontak berundur dan mempertahankan Haikal Agung dari dicerobohi oleh Tentera Rom, dengan menutup pintu Kubu Antonia yang bersambungan dengan Haikal Agung.

Titus mengarahkan Kubu Antonio dimusnahkan dan dalam seminggu, kubu Antonia berjaya dimusnahkan. Titus mengutuskan Josephus ke Haikal Agung untuk menggesa pihak tentera pemberontak untuk menyerah diri. Upacara korban yang dilakukan setiap hari telah diberhentikan di Haikal Agung kerana ketiadaan haiwan ternakan. Titus mengarahkan Josephus untuk menyampaikan pesanan bahawa jika John dari Gischala tidak menyerah kalah, kota dan haikal mungkin akan dimusnahkan.

Josephus berjumpa dengan John dan sekutunya dan beliau menggesa John menyerah kalah supaya Haikal Agung tidak dimusnahkan dan Josephus juga mengarahkan agar upacara korban dilakukan semula. John tidak gentar akan ancaman daripada pihak Rom, malahan beliau mengatakan bahawa Kota Baitul Maqdis adalah Kota Tuhan, tiada kuasa yang boleh melawan kuasa Tuhan. Josephus menempelak John dengan menyatakan bahawa Orang-orang Yahudi telah melakukan kekufuran dalam beribadah dalam Haikal Agung, masakan Tuhan mahu membantu mereka?

Beliau sempat mencela golongan pelampau yang mencemarkan kesucian Rumah Tuhan itu dan memberikan contoh kemusnahan Kota Baitul Maqdis semasa penaklukan Kerajaan Babilon terlebih dahulu. Mengikut ramalan nabi-nabi terdahulu, Kota Baitul Maqdis akan diambil dari tangan orang Yahudi jika mereka menumpahkan darah sesama bangsa mereka dan Josephus menggunakan hujah tersebut untuk memaksa John dari Gischala menyerah kalah. Josephus turut memberi jaminan bahawa Rom akan memaafkan mereka jika mereka menyerah kalah. John dari Gischala tetap berkeras dengan pendiriannya walaupun banyak pendita-pendita yang berpaling arah dan berlindung di pihak Rom.

Titus menjadi berang terhadap John dari Gischala dan beliau sendiri bertemu dengan ketua Puak Pemberontak tersebut. Titus mempersoalkan tindakan John dari Gischala yang menumpahkan darah Yahudi dan Orang Asing (Gentile) dalam Haikal Agung dan mencemarkan kesuciannya. Titus mengarahkan John menyerah kalah demi mempertahankan kesucian Haikal Agung dari terus dicemari darah pejuang, walaupun Titus tidak menyembah Tuhan orang Yahudi, namun Titus turut menghormati rumah suci tersebut.

Menyedari bahawa kumpulan John dari Gischala tidak berganjak dari tempatnya, Titus menyusun tenteranya untuk serangan baharu. Seramai 7,200 tentera terbaik dipilih dari 30 ketumbukan tentera untuk menyerang Haikal Agung. Titus melantik Cerealis sebagai komander. Cerealis memulakan serangan pada larut malam kerana menyangka pengawal tentera yahudi tidur di waktu itu. Sangkaan mereka meleset apabila semua pengawal tentera Yahudi berjaga dan pertempuran berlaku antara kedua-dua tentera. Tentera Rom yang lebih tersusun berjaya memenangi peperangan tersebut.

Namun begitu, kedua-dua pihak keliru untuk membezakan tentera musuh atau tentera sendiri dalam keadaan gelap gelita. Mereka tersilap membunuh tentera sendiri yang berundur. Tentera Yahudi menjadi berani apabila mereka ada keinginan untuk mempertahankan diri dan haikal mereka, namun tentera Rom juga sangat hebat dalam peperangan. Setelah pertempuran berlarutan sehingga ke pagi hari, tiada pihak yang mengaku kalah. Dalam pertempuran ini, kedua-dua pihak akhirnya berundur tanpa kalah.

Beberapa hari kemudian, tentera Rom mula membina empat buah benteng tanah dari bawah ke atas tembok pertama. Antaranya ialah benteng yang dibina di sudut barat daya tembok Haikal Agung, di utara Dewan Utama (di antara dua pintu Haikal), bertentangan dengan anjung barat dan anjung utara. Strategi Rom ini amat melelahkan tenteranya, tetapi kesungguhan Rom untuk memenangi perang ini menyebabkan mereka bersungguh membina benteng tersebut.

Dalam masa yang sama, tentera Yahudi berterusan mengganggu proses pembinaan benteng tersebut, tetapi mereka tidak berjaya menggagalkan usaha tentera Rom. Sementara itu, tentera pemberontak Yahudi ini keluar dari Timur dan Selatan pintu Kota Baitul Maqdis dan menyerang tentera Rom yang berkhemah di Gunung Zaitun. Namun, serangan mereka menemui kekalahan selepas pertempuran yang sangat dahsyat selama 11 jam. Tentera Yahudi kembali ke dalam kota semula.

Tentera pemberontak membakar pula anjung (portico) barat daya yang bersambungan dengan Kubu Antonia untuk memisahkan kubu yang dikuasai oleh Rom itu daripada Haikal. Dua hari kemudian, tentera Rom pula membakar anjung yang bersambungan itu, manakala tentera pemberontak pula memusnahkan bumbung anjung tersebut. Akhirnya, kubu Antonia benar-benar terputus daripada anjung yang mengelilingi bahagian barat dan utara haikal.

Tidak lama kemudian, datang seorang pejuang Yahudi yang bernama Jonathan keluar dari Haikal Agung dan mencabar tentera Rom untuk pertarungan satu lawan satu. Tentera Rom hanya mengetawakannya. Namun, Jonathan mengkeji orang Rom sebagai pengecut kerana tidak mahu menyahut cabarannya. Salah seorang tentera Rom yang bernama Pudens rasa tercabar dan lari ke arah Jonathan.

Namun, Pudens tersadung kakinya dan Jonathan menghampirinya seraya menghiris lehernya untuk menamatkan riwayat Pudens. Jonathan berdiri di hadapan mayat Pudens, mengambil perisai dan mengacukan pedangnya yang masih merah dengan darah musuhnya itu ke arah tentera Rom yang lain. Dengan jeritan dan penghinaan ke atas tentera Rom, salah seorang Centurion Rom menembak panah tepat ke Jonathan dan akhirnya dia rebah tidak bernyawa.

Pada 15 Ogos 70 (27 Panemus atau Tammuz), tentera Pemberontak berundur dari anjung barat. Keadaan ini menyebabkan tentera Rom melompat dari benteng ke atas anjung tersebut. Malang bagi tentera Rom, mereka terkena jerat Yahudi,. Anjung tersebut dipenuhi dengan bitumen dan bahan-bahan kering lain. Natijahnya, ramai tentera Rom yang mati terbakar di anjung barat.

Lain pula halnya di Kota Atasan dan Kota Bawahan. Semasa perang saudara antara pemberontak, banyak stok makanan yang telah musnah. Akibatnya, berlakulah kebuluran yang berpanjangan di bandar tersebut. Tentera Yahudi yang kelaparan bertindak seperti anjing gila menyelongkar rumah ke rumah untuk mencari makanan.

Antara kisah sedih yang berlaku berkisarkan kebuluran ini ialah kisah Mary anak Eleazar (bukan Eleazar pemberontak yang diceritakan sebelum ini). Apabila makanannya dihabiskan oleh tentera pemberontak, Mary bertindak menyembelih anaknya sendiri yang masih menyusu, masak dan makan separuh anaknya. Separuh lagi dipelawa kepada tentera pemberontak yang menggeledah rumahnya untuk mencari makanan. Kisah yang tersebar ini menyebabkan Titus berang dan menyalahkan Pemberontak Yahudi yang tidak mahu menerima terma-terma menyerah diri oleh Rom. Titus turut bersumpah untuk mengakhiri kegilaan tersebut.

Benteng yang dibina akhirnya siap dibina pada 27 Ogos 70. Titus mengarahkan rempuhan ke atas tembok barat yang bertentangan dengan Bahagian Kawasan Lapang (Court of Gentile) di utara Dewan Utama Haikal Agung. Tentera Rom turut menggunakan tangga-tangga untuk menguasai Anjung Barat. Namun, serangan mereka menemui jalan buntu dan ramai tentera Rom yang mati. Keadaan ini menyebabkan Titus kecewa. Legion Rom yang merempuh tembok utara berjaya memusnahkan lapisan luar sahaja.

Tembok yang mengelilingi Haikal Agung sangat tebal dan kukuh. Titus yang pada mulanya tidak mahu memusnahkan Haikal Agung di atas permintaan Josephus terpaksa mengambil langkah drastik. Serangan tanpa memusnahkan Haikal Agung hanya menyebabkan ramai tenteranya mati. Titus akhirnya mengarahkan tenteranya membakar pintu pagar tembok Haikal Agung. Kebakaran yang dicetuskan merebak ke bahagian anjung.

Sehari kemudian, Titus mengarahkan agar kebakaran dipadamkan supaya tentera Rom boleh memanjat tembok tersebut, namun kebakaran terus-terusan merebak sehingga membakar Dewan Utama Haikal Agung. Tentera Rom akhirnya berjaya menguasai Kawasan Lapang (Court of Gentile) tersebut. Di samping itu, dua pegawai utama Simon Bar Giora berpaling kepada Titus. Titus menganggap mereka adalah pegawai yang mengabaikan perjuangan dan menghukum bunuh kedua-dua pegawai utama tersebut.

Titus mengadakan Sidang Perang dengan keenam-enam komandernya, sama ada mahu merobohkan Haikal Agung atau menyelamatkannya dari dimusnahkan. Setelah berbincang, Titus memutuskan untuk menyelamatkan Haikal Agung daripada dimusnahkan untuk mengekalkan keindahan binaannya yang bercirikan Roman serta sebagai hadiah kepada Maharaja Rom, Vespasian.

Keesokan harinya, tentera pemberontak Yahudi menyerang tentera Rom di ‘Court of Gentile’ melalui pintu Timur, namun setelah beberapa jam bertempur, tentera Yahudi itu terpaksa berundur kembali ke dalam Dewan Utama Haikal Agung. Titus mengarahkan tenteranya berundur ke Kubu Antonia dan merancang untuk meneruskan serangan pada hari berikutnya. Semasa berundur, tentera pemberontak sekali lagi menyerang tentera Rom. Seorang tentera Rom, dengan tidak sengaja mengambil sebatang kayu yang menyala dan membalingnya tepat ke dalam pintu emas, di bahagian utara bangunan suci itu, menyebabkan bahagian dalam Haikal Agung dilijat api.

Setelah mendapat perkhabaran bahawa bahagian dalam Haikal Agung dimamah api, Titus bergegas menyuruh tenteranya memadam api tersebut. Namun, akibat pertempuran di kedua-dua pihak, tiada siapa pun yang mengendahkan arahan Titus. Titus sendiri masuk ke ruang dalam Haikal Agung dan melihat kawasan ibadat masih lagi belum terbakar dan boleh diselamatkan. Beliau memadamkan api yang mahu merebak ke dalam. Namun, semasa bergegas keluar, salah seorang tentera yang masuk bersamanya terlanggar puntung kayu yang menyala dan bahagian dalam rumah suci itu terus terbakar.

Josephus merasa sangat sedih melihatkan keadaan Haikal Agung yang kini dijilat api. Tentera Rom seterusnya menjarah semua harta yang ada dan membakar semua bangunan di dalam kompleks Haikal Agung tersebut. Sementara itu, seramai 6,000 Yahudi terutamanya wanita dan kanak-kanak masuk ke dalam Haikal Agung kerana terpedaya dengan dakyah “Nabi Palsu” untuk menerima pembebasan daripada dewa. Mereka yang masuk ke dalam Haikal Agung dengan memanjat anjung dibakar hidup-hidup. Terlalu banyak Nabi-nabi palsu yang membawa falasi terhadap Tuhan sehinggakan penduduk Baitul Maqdis ketika itu menjerit-jerit “Celakalah, Celakalah Baitul Maqdis (Dar-es-Salam).

Setelah Haikal Agung hangus dijilat api, tentera Rom membuat upacara korban dan bergembira di dalam kawasan lapang (court of gentile). Mereka berjaya menjarah terlalu banyak emas sehinggakan emas itu dijual murah di Syria. Pendita Agung yang menyimpan emas terlalu banyak itu dihukum bunuh oleh Titus. Pemberontak-pemberontak tetap tidak mahu menyerah kalah walaupun Titus memberi jaminan akan membiarkan mereka hidup jika mereka menyerah kalah.

Titus berang dengan keputusan ketua pemberontak tersebut dan mengarahkan seluruh Baitul Maqdis dibakar dan harta benda dijarah. Tentera-tentera pemberontak mengumpulkan semua kekayaan yang dijarah dan berundur ke Kota Atasan. Kota bawahan dibakar oleh tentera Rom sehingga ke Kolam Siloam. Josephus masih lagi berunding dengan tentera pemberontak. Sekurang-kurangnya, mereka menyerahkan satu simbol suci agama Yahudi. Pemberontak-pemberontak tidak mengendahkan Josephus dan menuduhnya sebagai pengkhianat, lalu melarikan diri ke dalam terowong-terowong.

Pada 7 September 70, Titus mengarahkan agar jentera perang dibina untuk menyerang Kota Atasan. Empat Legion tentera Rom membina jentera perang di bahagian barat kota (bertentangan dengan kompleks istana) manakala Tentera Tambahan Syria membina benteng di bahagian timur kota.

Sementara itu, Ketua Puak Edom menghantar utusan untuk menyerah kalah terhadap Rom, namun maklumat tersebut diketahui oleh Simon Bar Giora dan mereka dibunuh. Rakyat Kota Atasan akhirnya menyerah diri beramai-ramai. Titus melepaskan lebih 40,000 rakyat biasa, tetapi keluarga pemberontak termasuklah wanita dan kanak-kanak dijual di pasar hamba, dengan harga yang sangat murah kerana terlalu ramai Yahudi yang dijual.

Sementara itu, harta kekayaan Haikal Agung akhirnya diserahkan kepada Titus oleh Pendita Jesus bene Thebuthi dan bendahari Phineas. Harta kekayaan itu diangkut ke ibukota Rom dan dipamerkan di Kuil Keamanan di Itali. Josephus pula diberi kebenaran untuk membebaskan 50 orang rakan-rakannya, termasuklah mereka yang telah disalib. Josephus juga membebaskan 190 wanita dan kanak-kanak yang ditawan di dalam Haikal dan menerima kitab suci.

Pada 25 September 70, setelah 18 hari pembinaan, benteng-benteng tanah akhirnya siap. Tentera pemberontak menjadi panik dan melarikan diri atau menyerah diri. Mereka meninggalkan Menara Herod dan bersembunyi di dalam jurang yang terdapat di bawah Kolam Siloam dan melarikan diri menerusi terowong. Tentera Rom telahpun berjaya menguasai seluruh Baitul Maqdis. Titus mengarahkan agar kesemua kota dibakar dan dan harta-benda dijarah. Semua rakyat Jerusalem dijadikan tawanan dan nasib mereka ditentukan oleh Rom. Sesiapa yang di bawah umur 17 tahun dijual ke pasar hamba. Pemuda yang gagah dihantar untuk bekerja di kem-kem Rom dan sebahagiannya dihantar ke Colosseum untuk dijadikan Gladiator.

Seramai lebih sejuta orang Yahudi terbunuh dalam pertempuran tersebut. Simon Bar Giora yang menyorok dalam terowong ditawan, manakala John dari Gischala menyerah diri daripada kebuluran. Simon dihukum bunuh di ibukota Rom (sebagai trofi kemenangan) manakala John pula dipenjarakan seumur hidup.

Titus mengarahkan keseluruhan Tembok dan Haikal dimusnahkan kecuali menara yang paling tinggi dan sebahagian kecil sahaja tembok di bahagian barat (yang hari ini dijadikan tembok ratapan oleh bangsa Yahudi). Dalam pertempuran ini, kedegilan Yahudi akhirnya membawa kepada kebinasaan secara menyeluruh Kota Baitul Maqdis. Bala yang datang bukanlah dalam bentuk gempa bumi atau gunung berapi, tetapi peperangan yang maha dahsyat daripada tentera Rom yang sangat gagah dan gasar dalam pertempuran.

Rajah 5: Ringkasan serangan Titus ke atas Kota Baitul Maqdis

RUJUKAN:

Josephus, F. (Kemaskini 2001), The War of The Jews, Translated by William Whiston, Project Gutenberg, Utah, Project Gutenberg Literary Archive Foundation

Tacitus (Edisi Kemaskini 1978), The Histories, Collection of the Loeb Classical Library edition of Tacitus, 1931, Harvard University Press, US.

Ray, V.L. (2018) The Jewish Revolts, diambil daripada https://www.thattheworldmayknow.com/the-jewish-revolts, dilayari pada 1 Disember 2018.

Martin Goodman (2015), Documentary: Rome and Jerusalem at War (66 – 70 AD), dimuatnaik ke laman youtube: https://www.youtube.com/watch?v=GTxDcif-XT4 oleh Julianus Hammurabi

Webb, J.B. (1841), Naomi: or, The last days of Jerusalem, London, Harvey and Darton


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Comments are closed.