Selalunya bila dengar filem berdurasi tiga jam, durasi sebegini selalu dikaitkan dengan filem Hindustan. Bagi filem Hollywood pada masa ini, ianya sesuatu yang dianggap jarang di mana filem paling lama pun mengambil masa antara dua jam hingga dua jam 30 minit. Tetapi sekuel filem Avengers: Infinity War iaitu Avengers: Endgame dilihat akan kembali menggunakan durasi yang biasa ditemui dalam sesetengah filem berskala epik Hollywood dan mendapat pujian penonton serta pengkritik.
Jadi anda tertanya mengapa studio-studio perfileman tidak suka durasi filem yang terlalu lama? Jika durasi filem terlalu lama, sukar bagi mereka mendapatkan lebih banyak tayangan bagi sesebuah filem selain berpotensi menjejaskan kutipan tiket yang dianggap penentu sesebuah filem itu meraih kutipan pecah panggung atau sebaliknya. Tetapi pengarah Endgame iaitu Russo bersaudara (Joe dan Anthony Russo) menegaskan durasi filem mereka selama tiga jam menjelaskan banyak perkara. Pertama, keyakinan Marvel Studios dan Disney pada kualiti Endgame yang menampilkan teraju utama Robert Downey Jr, Chris Evans, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Mark Ruffalo dan Jeremy Renner.
Kedua, ia merupakan satu pencapaian hebat buat filem adiwira dari segi durasi. Ini kerana kebanyakan filem adiwira dari siri filem X-Men hinggalah Aquaman berdurasi antara dua jam hingga dua jam 30 minit. Filem adiwira yang diketahui mempunyai durasi paling lama ialah filem terakhir trilogi The Dark Knight iaitu The Dark Knight Rises (2012) dengan durasi dua jam 45 minit. Filem sebegini dilihat perlu mempunyai durasi sedemikian kerana ia berskala epik setaraf dengan beberapa filem seperti Gettysburg (1993) dan Doctor Zhivago (1965) serta menutup terus penceritaan watak sesebuah siri. Dalam kes Marvel Cinematic Universe (MCU), Endgame dilihat penamat tepat untuk menutup bab penceritaan awal MCU yang dimulakan oleh Iron Man (2008) yang kini dikenali sebagai The Infinity Saga.
Tetapi apakah ini permulaan kepada penghasilan filem-filem adiwira berdurasi panjang seperti Endgame dan The Dark Knight Rises? Melainkan bagi sesetengah filem, studio-studio dan pengusaha panggung masih fokus kepada memaksimumkan keuntungan harian termasuk jualan tiket dan jualan konsesi di premis mereka. Filem sebegini dilihat menggugat sebarang usaha menambah kutipan tiket dan keuntungan konsesi yang diraih. Di Bollywood, filem-filem berdurasi sebegini bukan satu perkara asing tetapi ia masih dianggap jarang walaupun pengusaha panggung menyediakan waktu rehat bagi memberi peluang penonton pergi ke tandas atau membeli makanan/minuman di premis konsesi mereka.
Namun, ini bukan bermakna Endgame merupakan filem adiwira terakhir yang menggunakan durasi ini. Perlu diingat selepas tamat fasa The Infinity Saga, sudah pasti Marvel dan Disney takkan berdiam diri dan mempersiapkan fasa baru MCU yang menonjolkan wira baru seperti Captain Marvel/Carol Danvers (Brie Larson) dan Spiderman (Tom Holland) sebagai tunjang utama mereka. Sementara DC pula yang sedang bangkit menerusi Aquaman dan Shazam! sudah pasti akan menjadikan versi Batman Matt Reeves sebagai tunjang utama mereka. Filem yang diarah pengarah dua filem siri Planet of the Apes itu dijangka menemui penonton pada tahun 2021 dan seperti Marvel, tidak mustahil Batman dan filem berskala Avengers ini akan berdurasi tiga jam.
Jika anda menjangkakan filem-filem berdurasi ini dapat mengutip kutipan pecah panggung seperti filem adiwira lain, anda salah. Melainkan jika filem itu sebahagian daripada trilogi seperti trilogi Lord of the Rings dan The Hobbit, peluang melihat filem sebegini berjaya dari segi kutipan tiket agak tipis. Tidak percaya? Lihat statistik kutipan tiket Blade Runner 2049. Blade Runner 2049 merupakan sekuel kepada filem Blade Runner (1982) dan diarahkan pengarah meningkat naik Denis Villeneuve. Filem yang menampilkan Ryan Gosling (First Man) dan Harrison Ford (siri filem Star Wars dan Indiana Jones) ini amat dinantikan para peminat.
Walaupun berjaya meraih pujian penonton dan pengkritik, filem dengan belanjawan $150-185 juta hanya berjaya mendapat kutipan sederhana sebanyak $259.2 juta. Antara punca mengapa filem ini gagal merealisasikan potensinya dari segi kutipan tiket ialah durasi filem yang panjang di bawah tiga jam. Kritikan sebegini turut timbul dalam The Dark Knight Rises oleh para pengkritik tetapi tidak digemari oleh peminat DC terutama Batman. Ini kerana bagi mereka, siri terakhir trilogi ini menutup terus kisah Batman versi Christian Bale dan secara tidak langsung, menaikkan lagi aura pengarah Christopher Nolan sebagai pembikin filem berkaliber Hollywood.
Mungkin atas sebab itu juga, mengapa Russo bersaudara dan ketua Marvel Studios Kevin Feige melihat durasi tiga jam Endgame berbaloi dengan penantian peminat. Ini kerana selain sebagai penutup kepada Infinity Saga yang dicetuskan semasa Infinity War, ia juga merupakan pentas terbaik bagi menceritakan hala tuju MCU seterusnya. Dan memandangkan ramai pemegang MCU asal seperti Downey Jr (Iron Man), Evans (Captain America) dan Ruffalo (The Hulk) sudah tamat kontrak atau semakin berumur, filem sebegini dilihat cara terbaik bagi mereka mengucapkan selamat tinggal kepada para peminat setia MCU. Justeru, filem tradisional yang berdurasi dua jam hingga dua jam 30 minit bukan saja tidak sesuai sebagai penutup babak awal MCU tetapi juga dianggap anti-klimaks terhadap perjuangan adiwira-adiwira ini.
Siapa sangka dari Iron Man (2008) hingga Black Panther (2018) dan Deadpool (2016), filem-filem sebegini meruntuhkan pelbagai jenis halangan yang membentuk persepsi negatif filem-filem adiwira. Selain berani menyentuh isu-isu yang dianggap sensitif dan panas, filem-filem sebegini turut diberi penghormatan sebagai pemenang pelbagai anugerah berprestij. Dan dengan memilih durasi tiga jam ini, MCU menyediakan batu asas kepada filem-filem berskala besar Hollywood untuk tidak lagi takut memilih durasi yang panjang.
50 Filem Hollywood Berkualiti dan Berdurasi Panjang.
50. Giant (1956) = tiga jam 17 minit.
49. Avengers: Infinity War (2018) = dua jam 36 minit.
48. Magnolia (1999) = tiga jam lapan minit.
47. Judgment at Nuremberg (1961) = dua jam 58 minit.
46. Boyhood (2014) = dua jam 45 minit.
45. The Right Stuff (1983) = tiga jam 13 minit.
44. The Great Escape (1963) = dua jam 53 minit.
43. Gettysburg (1993) = empat jam 31 minit.
42. The Pianist (2002) = dua jam 28 minit.
41. Watchmen (2009) = dua jam 43 minit
40. Doctor Zhivago (1965) = tiga jam 13 minit.
39. The Bridge on the River Kwai (1957) = dua jam 41 minit.
38. Boogie Nights (1997) = dua jam 35 minit
37. Once Upon a Time in America (1984) = dua jam 24 minit
36. There Will Be Blood (2007) = dua jam 38 minit
35. Heat (1995) = dua jam 51 minit
34. Lawrence of Arabia (1962) = tiga jam 36 minit
33. The Deer Hunter (1978) = tiga jam tiga minit
32. Terminator 2: Judgment Day (1991) = dua jam 33 minit
31. JFK (1991) = tiga jam sembilan minit
30. Ben Hur (2003) = tiga jam 42 minit.
29. The Wolf of Wall Street (2013) = dua jam 59 minit.
28. Pirates of the Caribbean: The Curse of the Black Pearl (2003) = dua jam 23 minit
27. The Avengers (2012) = dua jam 23 minit.
26. The Ten Commandments (1956) = tiga jam 39 minit.
25. Django Unchained (2012) = dua jam 45 minit.
24. Avatar (2009) = dua jam 42 minit
23. The Sound of Music (1965) = dua jam 54 minit
22. Casino (1995) = tiga jam dua minit
21. Scarface (1983) = dua jam 50 minit
20. Inception (2010) = dua jam 28 minit
19. The Lord of the Rings: The Two Towers (2002) = tiga jam
18. Apocalypse Now (1979) = dua jam 33 minit
17. The Lord of the Rings: The Fellowship of the Ring (2001) = tiga jam 48 minit
16. Gone with the Wind (1939) = tiga jam 42 minit
15. The Lord of the Rings: The Return of the King (2003) = tiga jam 21 minit
14. Titanic (1997) = tiga jam 14 minit
13. Braveheart (1995) = tiga jam dua minit
12. The Dark Knight (2008) = dua jam 32 minit
11. The Good, the Bad and the Ugly (1966) = tiga jam enam minit
10. The Departed (2006) = dua jam 32 minit
9. The Shawshank Redemption (1994) = dua jam 22 minit
8. Pulp Fiction (1994) = dua jam 34 minit
7. Schindler’s List (1993) = tiga jam 16 minit
6. The Green Mile (1999) = tiga jam sembilan minit
5. The Godfather Part II (1974) = tiga jam 20 minit
4. Goodfellas (1990) = dua jam 26 minit
3. The Godfather (1972) = dua jam 55 minit
2. Forrest Gump (1994) = dua jam 22 minit
1. Saving Private Ryan (1998) = dua jam 41 minit
SUMBER
1. Casano, Ann. Ranker.com. The Best Movies That Are Super Long. https://www.ranker.com/list/long-movies/anncasano
2. Stone, Sam. (2019). CBR.com. Will Avengers: Endgame Usher in the Era of the 3-Hour Superhero Movie? https://www.cbr.com/avengers-endgame-3-hour-superhero-movie/
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih