Isu ketepatan masa bukanlah sesuatu yang baru dalam kehidupan kita hari ini. Bagi orang kita, isu ini dipandang remeh sehingga menyusahkan ramai orang dalam banyak isu dari temujanji romantis hingga mesyuarat-mesyuarat penting. Tetapi di Jepun, ia amat ditekankan sehingga menjadi budaya dan norma masyarakat hari ini. Dan jika anda sukar menepati masa di sana, hukuman dan pelbagai bentuk penghinaan menanti para pelakunya di sana.
Tetapi bagaimana semua ini bermula? Tahukah anda sebelum bermulanya era Pemulihan Meiji (1868-1912), masa tidak dianggap satu keutamaan. Lihat anekdot pegawai tentera laut Belanda William Huysen van Kattendijke semasa melawat Jepun pada tahun 1850-an. Dalam diarinya beliau menulis, “Sikap suka menyia-yiakan masa orang Jepun amat mengejutkan.” Tidak seperti jadual keretapi hari ini yang menepati masa, pada era itu usah berharaplah nak dapatkan keretapi tiba tepat pada masanya. Ini kerana dalam sesetengah masa, keretapi wap lewat 20 minit untuk tiba di destinasi yang dinyatakan.
Namun, semua itu berubah selepas bermulanya era Pemulihan Meiji. Era ini menyaksikan pemansuhan sistem feudal dan perlaksanaan pelbagai bentuk reformasi dan perindustrian. Dan bagi merealisasikan semua rancangan ini, nilai menepati masa harus dijadikan sebagai norma dalam kalangan masyarakat ketika itu. Ini bagi membantu perubahan masyarakat dari masyarakat agraria kepada masyarakat moden. Untuk mencapai tujuan berkenaan, sekolah-sekolah, kilang-kilang dan keretapi dijadikan tempat untuk menguatkuasakan ketepatan masa dan mengetuai perubahan ini. Kilang-kilang mengamalkan sistem pengurusan kilang Taylorisme yang menekankan soal efisien dan produktiviti pekerja dengan mewujudkan barisan pemasangan dan tali sawat penyampai.
Pada masa inilah, jam merupakan barangan popular dan konsep 24 jam bukan sesuatu yang asing dalam kalangan rakyat. Dan menurut penyelidik Ichiro Oda, konsep ‘masa itu duit’ juga timbul. Pada tahun 1920-an, ketepatan masa menjadi sebahagian daripada propaganda kerajaan dan ia diserlahkan dalam pelbagai cara. Contohnya panduan menghasilkan gaya rambut wanita dalam tempoh lima minit (pembetulan biasa) dan 55 minit untuk gaya rambut bersifat formal. Sejak itu, ketepatan masa sentiasa dikaitkan dengan produktiviti sesebuah syarikat dan organisasi. Menurut Profesor Madya Makoto Watanabe dari Universiti Hokkaido Bunkyo, jika seseorang itu lewat, dia dianggap menggagalkan usaha syarikatnya dan sukar menyelesaikan tugas-tugas harian.
Mungkin ada yang mengganggap obsesi orang Jepun terhadap ketepatan masa sebegini rupa sebagai mengarut. Tetapi tiada siapa boleh menafikan impak lewat ke tempat kerja terhadap ekonomi sesebuah negara. Siapa sangka, pekerja-pekerja yang datang lewat ke Britain mengakibatkan ekonomi Britain kerugian 9 bilion paun sterling berdasarkan satu laporan Heathrow Express pada tahun 2017. Sementara di Amerika Syarikat pula, ia memberi impak besar kepada ekonomi negeri-negeri mereka. Di New York misalnya, pekerja-pekerja sebegini merugikan negeri New York sebanyak $700 juta setahun. Manakala di negeri California, pekerja-pekerja yang lewat mengakibatkan negeri itu kehilangan pendapatan lebih $1 bilion setiap tahun. Melihat impak ekonomi sebegitu rupa, tidak hairanlah mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan Dasar Pandang Ke Timur pada tahun 1980-an dengan harapan nilai sebegini dapat menggerakkan Malaysia lebih ke hadapan.
Tetapi dalam kita mengejar dan menjulang nilai ketepatan masa, kita tidak perasan ia kadangkala tidak boleh diterjemah dalam bentuk produktiviti pekerja. Ini didedahkan sendiri oleh Profesor Mieko Nakabayashi dari Universiti Waseda dan pernah berkhidmat sebagai ahli politik bagi Parti Demokratik Jepun. Pada tahun 1990, satu tragedi ngeri berlaku di wilayah Hyogo apabila seorang pelajar berusia 15 tahun mati tersepit pada pintu pagar sekolah selepas cuba menyusup masuk bagi mengelak lewat ke kelas. Berikutan tragedi itu, guru yang bertanggungjawab menekan butang pagar automatik itu dipecat dan ia mencetuskan perdebatan awam tentang obsesi ketepatan masa.
Bagi Yukio Kodata, menutup pintu pagar tepat pada masa bukan sesuatu yang asing ketika itu dan jika ada pelajar lewat, maka mereka perlu bersiap sedia berlari keliling sekolah untuk satu atau dua pusingan. Kodata, 33 tahun pernah belajar dan bekerja di Jepun turut mendedahkan jika wujud rekod lewat dalam transkrip pelajar, ia menjejaskan peluang mereka melanjutkan pelajaran ke universiti. Ketepatan masa juga tidak diterjemahkan dalam bentuk menambahbaik penggunaan masa yang baik di tempat kerja. Nakabayashi mendedahkan pada sesetengah masa, mesyuarat berlangsung terlalu lama, ramai tidak menyumbang idea atau tenaga untuk kepentingan syarikat dan wujud unsur pengulangan tugas yang menekan mental pekerja. Beliau juga mendedahkan pekerja-pekerja Jepun perlu bekerja lebih masa selama 80 jam tanpa gaji setiap bulan berdasarkan satu laporan 2016.
Kodata yang turut memegang kerakyatan Kanada melihat penekanan kepada ketepatan masa dan tiada had bagi kerja lebih masa akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan pekerja Jepun. Menurut beliau, mereka perlu mengikut apa yang dilakukan oleh orang sekeliling kerana jika tidak, orang berkenaan dianggap tiada maruah dan memalukan dirinya sendiri. Keadaan ini juga menyebabkan sesetengah ekspatriat tidak berminat jika ditawarkan bekerja di Jepun walaupun diberi gaji lumayan. Menurut Kodata, mereka tiada masalah berkunjung ke Jepun kerana minat dengan aspek hiburan dan makanan yang ditawarkan tetapi untuk bekerja, minta maaf banyak-banyak.
Di sini, kita dapat lihat betapa ketepatan masa itu amat penting kerana ia bukan saja menjadikan seseorang itu berdisiplin. Malah, ia juga menjadikan seseorang itu menghargai masa dan orang di sekelilingnya. Tetapi kalau terlalu obses pun, ia sama sekali tidak akan membantu dari soal produktiviti dan moral pekerja. Ini mengakibatkan ramai pekerja Jepun mati semasa bekerja dan fenomena ini dikenali sebagai karoshi. Ini didedahkan oleh satu statistik ngeri dari Januari 2010 hingga Mac 2015 di mana dalam tempoh tersebut, 368 kes bunuh diri diklasifikasikan sebagai karoshi. Dalam mengejar ketepatan masa terutama bekerja, biarlah bersifat sederhana dan tidak mengancam kesihatan diri sendiri dan orang lain. Jika itu dibiarkan berlaku, maka ketepatan masa yang dilaungkan hanyalah racun yang akhirnya membunuh produktiviti dan kreativiti aset negara bernama rakyat.
SUMBER
1. Tai, Crystal dan Ryall, Julian. (2019). South China Morning Post. Why is Japan so obsessed with being on time? https://www.scmp.com/week-asia/society/article/3001882/why-japan-so-obsessed-being-time
2. Sim, Walter. (2017). Straits Times. Death by overwork: Will Japan finally face up to karoshi? https://www.straitstimes.com/asia/east-asia/will-japan-finally-face-up-to-karoshi
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih