“Maka Kaisar memerintahkan pegawai pemerintahan untuk menyiasat para sarjana dan para sarjana tersebut saling memfitnah antara satu-sama lain, sehingga Kaisar sendiri menentukan nasib 460 orang sarjana itu. Kaisar memerintahkan untuk menguburkan hidup-hidup di ibukota Xianyang dan mengumumkannya agar seluruh dunia tahu, sebagai peringatan pada yang lain”. (Sima Qian: Kitab Sejarah Kisah Qinshihuang).

Pada tahun ke-34 pemerintahan Kaisar Qinshihuang, baginda mengadakan jamuan makan besar-besaran di istananya lalu menjemput para bangsawan dan ilmuwan untuk memeriahkan majlis besar tersebut. Ketikamana dalam pertemuan antara kaisar dan para ilmuwan beraliran Konfusianisme, terjadi sebuah perbualan dan perbincangan yang bakal memercikkan tragedi pembunuhan ke atas 460 orang sarjana. 

Di dalam pertemuan ini, para ilmuwan tersebut mengusulkan cadangan kepada baginda untuk membahagikan empayar China kepada beberapa daerah, lalu daerah-daerah tersebut diperintah secara feudal oleh raja-raja yang dilantik oleh Kaisar. Para ilmuwan tersebut menyatakan bukti bagaimana para raja terdahulu membahagikan wilayah kepada anak-anaknya (sebagai raja daerah) dan raja pusat sebagai pucuk pimpinan utama mereka.

Setelah mendengar segala penjelasan dari para ilmuwan ini, maka Perdana Menteri Li Si yang menganut fahaman Legalisme membantah usulan ini dengan menyatakan:

“…Kalian tidak menyelesaikan masalah masa sekarang dan ingin mencontohi masa yang telah berlalu, menolak apa yang sudah terjadi pada waktu ini dan ingin mengundang kekacauan dan bencana..”.

Dalam penjelasan panjang lebar ini juga, Perdana Menteri Li Si turut mengemukakan cadangan kepada Kaisar Qinshihuang untuk membakar segala manuskrip, buku atau catatan yang bukan berasal dari tanah Qin seperti karya dari fahaman Konfusianisme iaitu kitab Puisi (Shi Jing) dan kitab Sejarah (Shujinh) kerana karya-karya inilah yang mampu melahirkan bibit-bibit pemberontakan terhadap pemerintahan Kaisar.

Kaisar Qinshihuang yang termakan dalam dakyah Perdana Menteri Li Si akhirnya mengeluarkan titah untuk para rakyat di bawah jajahannya supaya menyerahkan segala buku yang tidak berasal dari tanah Qin dalam waktu tempoh selama 30 hari. Sekiranya dalam tempoh ini, rakyat ditemui mengguna-pakai atau menjual buku-buku tersebut akan dihukum bunuh atau dihantar ke perbatasan untuk menjadi buruh kasar tanpa gaji dalam projek pembinaan Tembok Besar China.

Buku-buku yang berjaya dikumpulkan ini pun dibakar. Kejadian ini merupakan salah satu punca kemusnahan beberapa karya utama aliran Konfusianisme dalam lipatan sejarah dan titik awal pertempuran diantara ilmuwan beraliran Konfusianisme dan pentadbiran yang beraliran Legalisme.

Peristiwa ini dikenalpasti berlaku pada tahun 213 SM.

Perbezaan besar diantara pertelingkahan diantara penganut beraliran Konfusianisme dan Legalisme adalah:

1. Legalisme: Hukum adalah kekuasaan tertinggi negara dibawah perintah Raja (Kaisar). Sistem imbalan dan hukuman dijalankan dengan sangat ketat dan sehingga kesalahan sekecil apapun pasti akan dihukum. Semua ini berlaku ke atas rakyat jelata sehinggakan ke keluarga diraja. Undang-undang dinasti Qin diperbaharui oleh Wei Yang (Shang Yang) yang merupakan pengikut beraliran Legalisme pada zaman pemerintahan Duke Xiao (381-338 SM). Aliran Legalisme menjadi aliran rasmi pentadbiran sehinggalah ke zaman pemerintahan Kaisar Qinshihuang.

2. Konfusianisme: Menciptakan dan mengamalkan undang-undang baharu yang belum diuji hanya akan merosakkan undang-undang yang sedia ada dan ianya pasti akan menimbulkan gangguan. Pengikut aliran ini percaya undang-undang diciptakan oleh para raja bijaksana zaman lampau iaitu Raja Yao, Raja Shun, Raja Tang dan Raja Wu. Aliran Konfusianisme dalam pentabdiran hanya bertahan dari zaman pemerintahan Duke Mu sehinggalah ke zaman pemerintahan Duke Xiao.

Puncak pertelingkahan diantara pihak ilmuwan dan pentadbiran berlaku pada tahun sesudahnya, iaitu tahun 212 SM, apabila dua orang ilmuwan kimia yang beraliran Konfusianisme iaitu Huo Seng dan Lu Sheng dengan berani menyatakan yang mereka mampu menciptakan sebuah ubat atau herba yang mampu memanjangkan umur Kaisar. Tetapi setelah diselidiki, rupa-rupanya ianya hanya palsu dan merupakan penipuan ke atas Kaisar. Kaisar Qinshihuang yang murka ke atas tindakan biadap kedua orang ilmuwan tersebut memerintahkan untuk menangkap seluruh ilmuwan yang beraliran Konfusianisme yang berada di ibukota.

Putera mahkota Fusu, anak sulung kepada Kaisar Qinshihuang yang merupakan salah seorang pengikut yang beraliran Konfusianisme menentang tindakan ayahandanya ini tetapi tentangannya tersebut merupakan suatu tindakan yang sia-sia. Putera Fusu dibuang ke perbatasan utara dan dijaga oleh jeneral Meng Tian untuk menghadapi dan mengawal perbatasan tersebut daripada serangan puak barbar Xiongnu.

Ibarat nila setitik, rosak susu sebelanga, kesemua para ilmuwan seramai 460 orang ini ditangkap lalu dikuburkan hidup-hidup tanpa ampun di ibukota Xianyang. Pemusnahan buku dan pembunuhan ke atas sarjana beraliran Konfusianisme merupakan salah satu politik untuk Kaisar Qinshihuang bertahan di atas takhtanya tanpa seteru dalaman. Dengan kemusnahkan kedua buah sumber kekuatan Konfusianisme, maka aliran Legalisme kekal menghiasi pentadbiran Dinasti Qin.

Daripada kisah ini, kita boleh melihat bagaimana berpengaruhnya suatu ideologi falsafah yang membangkitkan ketakutan di dalam diri manusia bahkan bagi seorang penguasa. Kekuatan sebuah pemikiran yang hanya menggunakan akal waras berpandukan nilai moral manusia mampu menentukan naik atau jatuhnya sesebuah tamadun.

RUJUKAN:

1. Qin: Kaisar Terakota oleh Micheal Wicaksono.

2. The Great Wall of China oleh Louise Chipley Slavicek hlm 23-24.

– TAMAT –


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

'Creative. Celibate. Crybaby.'

Comments are closed.