Pada tahun 220 juta dahulu, Bumi pada ketika itu tidak seperti Bumi sekarang ini di mana kitalah makhluk yang mendominasi seluruh pelusuk dunia. Sebelum manusia moden lahir, ada makhluk yang telah lama menakluk dunia darat dan laut sekaligus menjadi raja seluruh Bumi. Ya, makhluk itu semestinya dinosaur.

Bermula pada tahun itu jugalah, dinosaur lahir dan berevolusi, kemudian menjadi sebuah kumpulan haiwan yang berjaya beradaptasi di Bumi, seterusnya menjadi penakluk seperti yang pernah kita kenal. Dunia di mana dinosaur menjadi penghuni dominan Bumi dipanggil sebagai Zaman Dinosaur.

Zaman Dinosaur bermula dari Fasa Triassic Akhir. Pada fasa ini seluruh tanah Bumi bersatu menjadi sebuah benua gergasi bernama Pangaea. Ekosistem dan kawasan geologi benua terbesar itu berbeza dari benua sekarang yang mempunyai kepelbagaian ekosistem. Bahagian tengah Pangaea adalah gurun pasir manakala bahagian pinggir pantai benua hanya menjadi zon habitat untuk flora dan fauna. Jadi tidak hairanlah jika ada sebarang haiwan atau tumbuhan flora yang hidup di benua kini yang berbeza.

Selesai Fasa Triassic, muncul Fasa Jurassic di mana benua Pangaea mula untuk berpecah. Air laut mula memasuki kawasan lembah di tengah benua. Laut cetek semakin merebak di pinggir benua dan cuaca semakin lembap. Maka, lahir spesis baru dinosaur mengikut perubahan aktiviti kerak Bumi.

Masuk Fasa Cretaceous, Pangaea telah lengkap berpecah kepada beberapa buah benua seperti yang kita kena sekarang ini. Dinosaur pula berevolusi lagi dengan melahirkan spesis baru mengikut keadaan geografi yang berbeza. Maka, fasa inilah berakhirnya Zaman Dinosaur. Kepelbagaian flora dan fauna atau biodiversiti semakin bertambah di mana fasa inilah bermula kepada perkembangan haiwan dari kumpulan mamalia.

Untuk artikel ini, saya perkenalkan kepelbagaian spesis dinosaur yang wujud dalam ketiga-tiga fasa terawal ini, bermula dengan Fasa Triassic.

FASA TRIASSIC

Walaupun fasa ini adalah permulaaan Zaman Dinosaur, namun spesis dinosaur tidak pernah wujud sehingga ke penghujungnya. Walau bagaimanapun, fasa ini mampu menunjukkan bagaimana dinosaur berevolusi dari haiwan-haiwan purba atau moyang mereka mengikut habitat atau kawasan kediaman haiwan-haiwan ini.

Placodont

Placodont adalah kumpulan haiwan reptilia purba yang wujud di fasa pertengahan Triassic dan pupus di fasa peralihan ke Jurassic. Haiwan ini adalah sejenis haiwan berperisai yang berupaya untuk berenang. Diet haiwan ini adalah memakan haiwan cangkerang melalui bentuk rahang dan gigi yang dikhaskan untuk mengorek haiwan cangkerang dari batu dan memecahkan cangkerangnya. Kita boleh anggap haiwan ini sebagai ‘dugong purba’.

Contoh haiwan Placodont adalah spesis Cyamodus. Tubuh haiwan yang ditemui di Jerman ini rata dan lebar, hampir seperti kura-kura. Tubuhnya mempunyai cangkerang yang terbahagi kepada dua bahagian: bahagian atas meliputi tubuh hingga ke pinggang dan melebar di tiap sisi, dan bahagian bawah yang meliputi pinggang ke ekor. Tengkorak Cyamodus lebar dan berbentuk hati. Walaupun tengkoraknya kecil namun kekerasannya amat kuat. Haiwan ini banyak meluangkan masa di dasar laut yang cetek, menguburkan diri dan mencari kerang, tabiat yang sama dengan ikan pari terkini.

GAMBAR 1: Cyamodus
GAMBAR 2: Fosil Cyamodus yang terpelihara di muzium

Ichthyosaurs

Sejenis kumpulan haiwan reptilia laut dan gelaran untuk haiwan ini adalah ‘ikan cicak’. Haiwan ini spesisnya berkembang pada fasa Jurassic namun asal-usulnya berada di fasa Triassic. Kita boleh katakan haiwan ini seperti ikan dolphin purba, ada yang mempunyai rupa bentuk ikan betul dan ada spesis berupa ikan paus.

Cymbospondylus adalah spesis kuno termasuk dalam kumpulan ini. Ditemui di Nevada, USA dan Jerman. Haiwan bersaiz 6 meter ini jika dikaji mendalam bukanlah termasuk dalam kumpulan Ichthyosaurs. Malah spesis ini adalah spesis kebelakang kerana fisiologi tubuhnya yang tidak mempunyai sirip seperti Ichthyosaurs lain dan berekor panjang yang fleksibel seperti belut. Kedua-dua pasangan lengan yang berupa pendayung berfungsi sebagai penimbang ketika berenang. Kepalanya amat kecil namun ia amat sesuai dengan pemburuan ikan kecil dengan mempunyai muncung dan bergigi tajam.

GAMBAR 3: Cymbospondylus
GAMBAR 4: Perbandingan manusia dan Cymbospondylus mengikut saiz tubuh. Panjang haiwan ini adalah empat kali ganda saiz manusia normal.

Nothosaurs

Kalau haiwan Ichthyosaurs adalah ikan dolphin dan paus purba, haiwan Nothsaurs adalah singa laut dan anjing laut purba. Kumpulan haiwan ini adalah pemangsa ikan yang paling banyak populasinya di fasa Triassic. Haiwan ini mempunyai leher yang panjang namun kita boleh mengetahui perbezaannya melalui kehadiran pelbagai sirip.

Ceresiosaurus adalah haiwan perenang yang pantas dari kumpulan Nothosaurs walaupun mempunyai tubuh besar bersaiz 4 meter. Berdasarkan tubuh badannya yang mempunyai kulit ekor yang tebal dan sirip pendayung yang kuat, haiwan ini adalah perenang dasar laut dan memburu reptilian marin seperti penguin.

GAMBAR 5: Ceresiosaurus

Pterosaurs

Kumpulan ini adalah sejenis reptilia yang berevolusi dengan memiliki pasangan sayap. Pada Fasa Permian dan Triassic, ada beberapa haiwan reptilia yang berupaya meluncur dengan kulit yang mengembang. Kemudian haiwan ini berkembang menguasai langit di akhir Fasa Triassic.

Sharovipteryx adalah contoh Pterosaurs yang primitif yang terawal menggunakan kulit membrane sebagai sayap penerbangan. Kaki belakang teramat panjang dan mempunyai keupayaan melompat tinggi seperti belalang. Kulit membrane yang melekat di kaki belakangnya adalah sayap yang berupaya meluncur.

GAMBAR 6: Sharovipteryx

Pemakan Daging Terawal (Early Meat-Eater)

Adakah kumpulan haiwan ini nenek moyang dinosaur seperti T-Rex? Saintis belum memastikan lagi siapakah nenek moyang tersebut namun kita boleh memgetahui bahawa kumpulan haiwan inilah gambaran kepada nenek moyang dinosaur di Fasa Jurassic. Eoraptor adalah haiwan pemakan daging terawal yang pertama kali ditemui di Argentina, lebih tepat di Valley of the Moon yang bertubuh saiz musang. Haiwan ini adalah pemangsa reptilia kecil.

GAMBAR 7: Eoraptor

Pemakan Daging Lithe (Lithe Meat-Eater)

Berbeza dengan Pemakan Daging Terawal, kumpulan haiwan ini mempunyai kelebihan dari segi kelajuan. Haiwan ini mempunyai pasangan kaki belakang yang memanjang dan kuat sebagai mesin pecutan manakala gigi dan kuku menjadi senjata ampuh dalam menyerang mangsa. Tubuh mereka lebih ringan dan kecil, lengan yang fleksibel, dan tubuh memanjang berbanding Pemakan Daging Terawal.

Aliwalia iaitu antara spesis dari kumpulan ini yang ditemui di Afrika Selatan. Haiwan ini adalah dinosaur pemakan daging terawal sebelum spesisnya berkembang dan berevolusi pada fasa Mesozoic. Mereka biasanya memburu prosauropods iaitu dinosaur herbivor.

GAMBAR 8: Aliwalia

Coelophysids

Antara kumpulan pemakan daging, kumpulan inilah paling ramai populasinya di akhir Fasa Triassic. Berbanding haiwan pemakan daging kain, haiwan ini tubuhnya lebih kecil dari Pemakan Daging Lithe, hidup dalam kumpulan, pemangsa mementingkan kelajuan, dan memakan mangsa kecil.

Procompsognathus  adalah dinosaur pemakan daging terawal ditemui di Jerman. Haiwan ini aktif berburu namun mereka bukanlah pemangsa sebenar kerana bersaing dengan spesis dinosaur lain seperti Herrerasaurids.

GAMBAR 9: Procompsognathus

Primitive Sauropodomorphs

Kumpulan haiwan ini adalah dinosaur herbivore pertama dunia. Mereka mungkin berevolusi dari sejenis haiwan pemakan daging yang hanya bertubuh seperti arnab dan membesar sebagai haiwan herbivore. Kumpulan haiwan ini terbahagi kepada dua kelas: Prosauropods dan Sauropods.

Saturnalia, dinosaur herbivore pertama dunia. Haiwan ini bertubuh arnab, leher dan ekor yang panjang, berkepala kecil serta mempunyai gigi yang teramat kasar di seluruh rahang.

GAMBAR 10: Saturnalia

Prosauropods

Prosauropods adalah salah satu kelas dari kumpulan Sauropodomorphs, berkembang menjadi haiwan herbivore yang menguasai benua Pangaea. Dengan populasi haiwan ini memenuhi setiap kawasan di benua gergasi itu, tidak hairanlah fosilnya banyak ditemui di seluruh dunia seperti Eropah, Amerika Utara dan Selatan, Afrika, dan China. Fizikal mereka bertubuh gergasi, berkaki empat tidak seperti haiwan pemakan daging yang bergantung dengan pasangan kaki belakang, leher panjang dan kepala bersaiz kecil.

Antara spesis dari kumpulan ini adalah Euskelosaurus. Haiwan ini pertama kali ditemui di Afrika pada tahun 1866 dan dihantar ke London bagi mengkaji lebih lanjut. Ia adalah antara haiwan prosauropods terbesar melebihi saiz 9 meter.

GAMBAR 11: Euskelosaurus

Herbivorous Miscellany

Selain haiwan Prosauropods, kumpulan ini juga adalah haiwan herbivore kedua yang mendominasi Pangea di akhir Fasa Triassic. Kumpulan ini juga dikenali sebagai Ornithischians kerana bentuk tubuh terutamanya kaki berupa kaki burung. Pisanosaurus adalah salah satu spesis dari kumpulan ini dan haiwan ini disalah anggap sebagai haiwan yang telah berevolusi dari dinosaur yang bernama Lesothosaurus yang hidup di fasa Jurassic.

GAMBAR 12: Pisanosaurus

SUMBER:

1. Dixon, D. (2011). The Illustrated Encyclopedia of Dinosaurs. Wigston, Leicestershire: Anness Publishing Ltd.


2. Emiliani, Cesare. (1992). Planet Earth: Cosmology, Geology, & the Evolution of Life & the Environment. Cambridge University Press.

3. Sues, Hans-Dieter & Fraser, Nicholas C. Triassic Life on Land: The Great Transition New York: Columbia University Press, 2010. Series: Critical Moments and Perspectives in Earth History and Paleobiology.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.