AMALAN memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan di Borneo.  Jika di Sarawak, kaum Iban, Kayan serta banyak lagi kaum pribuminya merupakan antara yang terkenal dengan tradisi tersebut suatu waktu dahulu.  Satu tradisi yang mewarnai cerita perang perluasan wilayah mahupun atas nama tropi untuk menunjukkan kehebatan seorang lelaki di mata masyarakatnya. Hanya setelah kedatangan Brooke yang memerintah Sarawak ianya mampu dihentikan itupun hanya sekitar tahun 1920an ianya benar-benar terhapus sama sekali.

Itu merupakan cerita pemburu kepala di kalangan masyarakat di Sarawak dan mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di Sabah juga turut pernah mengamalkan tradisi tersebut.  Di Sabah ianya dikenali dengan pelbagai nama mengikut bahasa atau dialek masyarakatnya seperti Pengait atau Tonggorib bagi masyarakat Murut; Magarib bagi Lotud; Sagawi bagi Tobilung; Pandadau bagi Murut Nabai dan Maginggulu bagi Murut Delayan. 

Kehebatan cerita si pemburu kepala dikalangan masyarakat Sarawak sememangnya tidak boleh dinafikan kerana ianya mempunyai bukti-bukti yang jelas serta asas dokumen yang kukuh berdasarkan kejadian yang pernah berlaku lebih-lebih lagi sewaktu perang wilayah berlangsung satu ketika dahulu. Dan hal ini jauh berbeza dengan cerita tentang si pengait di Sabah kerana ianya masih lagi bersandarkan kepada cerita-cerita lisan yang disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain. 

Walaupun begitu, jika kita menggodek bukti nyata pula sehingga sekarang masih ada tengkorak-tengkorak manusia yang disimpan di rumah-rumah tradisi masyarakat yang mengamalkannya suatu waktu dahulu.  Masyarakat Murut sebagai contoh adalah antara kaum yang tersohor dengan amalan pengait atau tonggorib yang dikatakan telah diamalkan sekitar kurun ke-16 sehingga 18 masihi sebelum ianya lenyap sama sekali.  Tidaklah diketahui sebab musabab amalan pengait ini terhenti di Sabah jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di Sarawak mahupun Kalimantan. Ini kerana cukup jelas tradisi memburu kepala terhenti dek kerana peraturan atau undang-undang tegas dan keras oleh Dinasti Brooke mahupun Koloni Belanda bagi masyarakat di Kalimantan.

Jika di Sarawak mahupun Kalimantan, antara penyebab pemburuan kepala dilakukan mempunyai kaitan secara langsung dengan adat perkahwinan.  Yang mana dikatakan suatu waktu dahulu seorang lelaki itu tidak akan dapat berkahwin selagi tidak menunjukkan kejantanannya dengan membawa pulang satu kepala manusia.  Kepala manusia inilah nanti yang akan dijadikan berian atau hantaran kepada bakal isteri. 

Di Sabah pula menurut fakta kajian menyatakan bahawa antara penyebab selain daripada persamaan seperti di Sarawak dan Kalimantan adalah adanya satu kepercayaan bahawasanya tengkorak manusia boleh membawa kebaikan serta limpahan rezeki ke atas hasil tanaman mereka seperti padi.  Disebabkan itulah pemburuan kepala manusia itu perlu dan kebiasaannya mangsa-mangsa yang bercerai kepala daripada badan adalah terdiri daripada penduduk perkampungan lain yang kalah di dalam sengketa perang. 

Bagi masyarakat Murut dahulukala, tengkorak-tengkorak manusia akan diletakkan di atas Tangkob.  Tangkob ialah satu peti berbentuk silinder dan mempunyai ketinggian kira-kira tiga hingga empat kaki dan diperbuat daripada kulit kayu yang berfungsi sebagai tempat untuk menyimpan padi.  Bagi mengelak semangat padi yang disimpan itu diganggu oleh anasir-anasir yang tidak baik dan agar rezeki pemilik padi itu bertambah maka tengkorak manusia digantung dibahagian atas tangkob bersama-sama beberapa helai daun silad kering serta tulang belulang binatang.

Biarpun tradisi pengait tidak lagi diamalkan di Sabah namun ianya kekal sebagai satu ceritera kegagahan dan keberanian masyarakat di Borneo suatu waktu dahulu yang menyaksikan masyarakat dunia menggeruni Borneo sehingga mereka menggelar “Borneo, The Land of the Head Hunters”. 

-HB-

#Sabahbest

Rujukan:

  1. Pengait. http://www.sabah.edu.my/itls07013/agamadankepercayaan_pengait.html
  2. Berita Harian, Kisah Pengait Pemburu Kepala Perlu Dikaji Dan Dibukukan. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2018/10/485404/kisah-pengait-pemburu-kepala-perlu-dikaji-dibukukan


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Comments are closed.