Diplomasi melalui makanan? Diplomasi kulinari? Pastinya soalan-soalan tersebut sedang bermain di fikiran anda sekarang ini dalam mencari maksud sebenar di sebalik gastrodiplomacy ini. Artikel ini akan membawa kita semua untuk mengenali dan menyelami apakah yang dimaksudkan dengan gastrodiplomacy atau diplomasi kulinari ini dan bagaimana makanan mampu menjadi suatu perantara dalam membentuk hubungan diplomasi antara negara-negara di dunia.
Istilah gastrodiplomacy ini telah mula dipopularkan oleh ahli gastronomi, Paul S. Rockower, yang merupakan seorang Pengarah Komunikasi bagi American Voices, iaitu sebuah organisasi sukarela yang giat menganjurkan pelbagai program diplomasi budaya dalam kalangan negara-negara yang sedang membangun akibat daripada konflik. Istilah gastrodiplomacy ini secara asasnya boleh didefinisikan sebagai bagaimana sesebuah negara melakukan diplomasi budaya dengan mempromosikan makanan tempatan mereka, sebagai suatu strategi bagi mencapai diplomasi dan menjenamakan hidangan istimewa negara mereka di mata dunia. Dalam erti kata lain, gastrodiplomacy yang dimaksudkan ini adalah suatu cara dan tindakan yang dilakukan bagi memenangi hati dan fikiran semua melalui makanan.
Gastrodiplomacy juga turut dikenali sebagai diplomasi kulinari (culinary diplomacy), atau diplomasi melalui hidangan, iaitu penggunaan makanan dan hidangan sebagai instrumen bagi mewujudkan suatu kesinambungan budaya yang boleh membantu mencapai persefahaman, meningkatkan interaksi serta kerjasama yang positif. Ada juga pendapat lain yang menyatakan bahawa istilah gastrodiplomacy dan diplomasi kulinari ini harus dibezakan dengan diplomasi makanan (food diplomacy), yang mana diplomasi makanan ini ialah keadaan di mana bantuan makanan digunakan sebagai alat untuk memberi kesedaran umum mengenai kebuluran.
Sejarah diplomasi kulinari/ gastrodiplomacy
Makanan merupakan antara bahagian terpenting dalam kehidupan seharian manusia, di mana ia bukan sahaja berfungsi untuk kita meneruskan kehidupan, malah turut berperanan sebagai suatu simbol sejarah, tradisi dan budaya. Setiap individu bergantung kepada makanan untuk hidup, bagi menenangkan diri serta menjadi perantara komunikasi antara satu sama lain. Makanan jugalah yang membezakan sesebuah negara dengan negara yang lain, yang mana ia sekaligus membentuk suatu identiti kebangsaan bagi negara tersebut. Gabungan antara kuasa makanan dengan semangat kenegaraan inilah yang membawa kepada pembentukan suatu idea mengenai penggunaan makanan sebagai suatu alat dalam menghubungkan hubungan antarabangsa di samping mengukuhkan identiti sesebuah negara.
Dari segi sejarah, Costas Constantinou, di dalam bukunya yang bertajuk On the Way to Diplomacy, telah membincangkan mengenai hubungan antara makanan dan diplomasi yang berlaku dalam kerajaan purba Greece. Selain itu, ahli falsafah terkenal, Aristotle, dalam bukunya, Politics, telah menerangkan mengenai kepentingan sesuatu hidangan yang menjadi kebiasaan dalam sesebuah komuniti, bagi menunjukkan hubungan solidariti seperti mana yang terbentuk di dalam sebuah keluarga. Ini ditunjukkan melalui contoh majlis makan tengah hari (public luncheon) yang dianjurkan bagi meraikan lawatan yang dilakukan oleh wakil-wakil dari bandar musuh ke sesebuah negara.
Diplomasi kulinari dan gastrodiplomacy ini juga dikatakan berakar umbi daripada tradisi Perancis. Seorang diplomat berbangsa Perancis, François de Callières, melalui bukunya yang bertajuk On the Manner of Negotiating with Princes, bukan sahaja menerangkan mengenai kekuatan dan kepentingan diplomasi, malah turut mengaitkannya dengan hidangan makanan. Callières menyatakan bahawa setiap duta atau wakil sesebuah negara yang ditempatkan di negara jiran turut membawa bersama budaya mereka ke negara tersebut, termasuklah cara masakan dan makanan tradisi mereka. Oleh itu, menurut Callières, adalah wajar sekiranya jamuan dan meja yang disediakan buat duta-duta berkenaan dapat disediakan dengan rapi, kemas, memenuhi kehendak serta citarasa tradisi mereka.
Nasihat serta saranan yang dianjurkan oleh François de Callières di dalam penulisan bukunya ini kemudiannya telah digunakan sepenuhnya oleh Antonin Carême, yang telah menemui ‘titik pertemuan’ sempurna di antara diplomasi di Perancis dengan hidangan makanan. Pada bulan Mac 1814, Carême yang terkenal sebagai ‘raja masakan’ dan ‘tukang masak untuk raja’ telah diminta oleh Charles Maurice de Talleyrand-Périgord untuk menyediakan hidangan bagi meraikan ulangtahun di mana Napoleon turun daripada takhta kerajaan Perancis. Carême telah menyertai Talleyrand di Kongres Vienna dan telah menyediakan hidangan buat delegasi Perancis. Sewaktu Talleyrand membuat rundingan bersama delegasi yang lain, Carême pula telah menunjukkan bakatnya serta membuatkan semua terpaku dengan kehebatan hidangan yang disediakannya, termasuklah gâteau Nesselrode, sejenis pai yang dimasak khusus untuk memberi penghormatan buat perunding dari Russia serta Charlotte Russe, iaitu puding yang dibuat khas bagi mengenang Tsar Alexander I.
Kemuncak kepada acara ini ialah apabila Talleyrand menghidangkan Brie de Meaux, iaitu keju asli Perancis dari daerah Brie yang dibawa oleh Carême, di mana semua delegasi menikmatinya dan akhirnya membawa kepada kesepakatan dalam memulihkan status Perancis di Eropah pada waktu itu. Sejarah panjang Perancis dalam bidang gastronomi dan kulinari inilah yang membawa kepada UNESCO untuk menyenaraikan hidangan gastronomi Perancis sebagai salah satu hidangan dalam senarai Intangible Cultural Heritage of Humanity, pada tahun 2010.
Elemen dalam gastrodiplomacy
Apakah kunci penting atau elemen yang membentuk gastrodiplomacy ini? Seperti mana yang diterangkan oleh pakar gastronomi, makanan boleh berfungsi sebagai suatu kaedah yang tidak memberi ancaman kepada sesiapa dalam membentuk hubungan dengan masyarakat antarabangsa. Secara mudahnya, gastrodiplomacy ini menghubungkan sesuatu masyarakat dengan masyarakat antarabangsa yang lain dengan memperkenalkan hidangan baru, di mana ia secara tidak langsung turut memperkenalkan budaya sesebuah negara atau masyarakat tersebut.
Seperti mana bidang hiburan, elemen dalam gastrodiplomacy ini juga merupakan antara ‘kuasa lunak’ (soft power) yang menjadi suatu daya penarik kepada sesebuah negara. Melaluinya, masyarakat luar boleh mengenali dengan lebih dekat akan budaya, polisi, sistem politik serta hubungan sosial yang wujud dalam sesebuah negara. Ini jugalah yang disebutkan oleh Chef Mark Tafoya, yang juga merupakan seorang pengembara, di mana beliau menyatakan bahawa:
“Apabila kita mencuba sesuatu hidangan baru yang berasal dari negara atau daerah lain, kita akan merasai pengalaman seumpama pelancong asing yang melalui ke seluruh badan, dan seterusnya proses membiasakan diri dengan sesuatu yang asing ini akan membawa kepada pemahaman yang lebih baik mengenai citarasa dan nilai yang boleh kita kongsi bersama.”
Negara-negara yang mempunyai dasar/kempen gastrodiplomacy
Malaysia
Sejak tahun 2010 lagi, negara kita Malaysia telah memulakan satu projek yang dinamakan sebagai Malaysian Kitchen for the World , sebuah kempen gastrodiplomacy yang bertujuan utama bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai hidangan tradisi Malaysia serta memperkenalkan resepi bagi hidangan tersebut. Kempen ini telah dikelolakan oleh Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) dalam usaha untuk mempromosikan hidangan Malaysia ke tahap global, dengan azam bagi menembusi Amerika serta United Kingdom.
Selain daripada mempromosikan hidangan Malaysia serta menjenamakannya hingga ke tahap global, kempen ini juga sebenarnya turut membantu menguatkan hubungan antarabangsa di antara Malaysia dengan negara-negara asing di mana kempen ini diadakan. Ia secara tidak langsung sebenarnya telah membentuk suatu diplomasi budaya yang turut memperkenalkan budaya unik masyarakat Malaysia kepada masyarakat antarabangsa yang lain.
Melalui kempen Malaysian Kitchen for the World ini, para tukang masak serta chef terkenal di Malaysia telah dibawa ke pelbagai pameran serta acara kulinari di seluruh dunia, bagi menyediakan juadah Malaysia dan memperkenalkannya buat delegasi asing. Kempen ini juga turut membawa chef terkenal dunia ke Malaysia bagi membolehkan para tukang masak tempatan untuk turut belajar mengenai hidangan asing tersebut. Melalui laman sesawang yang khusus bagi kempen Malaysian Kitchen for the World ini, pelbagai jenis resepi bagi hidangan Malaysia telah diperkenalkan. Malah, ia turut memuatkan senarai lengkap di mana hidangan Malaysia ini boleh ditemui di seluruh dunia. Kempen ini juga turut membantu memberi sokongan kewangan bagi para pemilik restoran Malaysia di luar negara dan membantu mereka bagi mengembangkan lagi perniagaan restoran hidangan Malaysia tersebut.
Kempen gastrodiplomacy yang dianjurkan oleh Malaysia ini dikatakan begitu bijak kerana ia bukan sahaja memfokuskan kepada hidangan tradisi, malah turut menggabungkan elemen diplomasi budaya dalam mempromosikan serta memberi pemahaman kepada masyarakat antarabangsa mengenai negara Malaysia. Hasilnya, Malaysia telah berjaya menganjurkan sebuah pasar malam (night market) di Trafalgar Square, di tengah-tengah Kota London, yang mana melalui pasar malam ini pelbagai demonstrasi masakan serta promosi hidangan Malaysia dijalankan. Acara ini akhirnya telah menjadi acara tahunan yang membawa masyarakat London untuk merasai sendiri keenakan hidangan dari Malaysia.
Korea Selatan
Pada April 2009, bandar raya Seoul telah melancarkan kempen Korean Cuisine to the World, yang bermatlamat utama bagi meningkatkan keuntungan restoran Korea di luar negara sehingga empat kali ganda menjelang tahun 2017. Selain itu, dana sebanyak 40 juta dollar US juga diperuntukkan bagi mempromosikan kelas-kelas masakan Korea di peringkat antarabangsa dan sekaligus membantu para pelajar Korea dalam bidang kulinari bagi memperoleh biasiswa dan geran penyelidikan untuk menghadiri acara kulinari dunia serta melawat pusat pengajian kulinari di seluruh dunia.
Korea Selatan turut memanfaatkan kedai-kedai makanan kecil bagi program gastrodiplomacy, apabila memperkenalkan perjalanan sekumpulan pengembara yang dikenali sebagai Bibimbap Backpackers. Ia terdiri daripada sekumpulan backpackers berbangsa Korea yang melawat 23 buah bandar di 15 buah negara, bagi memperkenalkan semangkuk bibimbap kepada setiap orang asing yang mereka temui. Meskipun ini merupakan antara program rasmi yang dijalankan oleh kerajaan Korea Selatan dalam memperkenalkan gastrodiplomacy, namun komuniti Korea Selatan juga sebenarnya turut memulakan langkah gastrodiplomacy tidak rasmi mereka dalam meningkatkan kesedaran terhadap keistimewaan hidangan Korea.
Ini dapat dilihat melalui kendera saji (food truck) yang dinamakan Kogi taco truck, yang memperkenalkan hidangan fusion Korea-Mexico kepada masyarakat di Los Angeles. Hidangan yang dijual melalui Kogi taco ini telah mencetuskan fenomena kepada masyarakat Los Angeles, dengan senarai hidangan seperti bulgogi tacos dan kimchi quesadillas yang menjadi pilihan utama para pelanggan sehingga mereka sanggup berbaris panjang untuk mendapatkannya. Kewujudan kendera saji dengan sajian Korea ini telah menimbulkan suatu kegilaan terhadap makanan Korea dalam kalangan masyarakat US antara tahun 2011 hingga 2012.
Thailand
Thailand merupakan negara pertama yang telah menggunakan dapur serta rangkaian restoran mereka sebagai suatu kaedah dalam diplomasi budaya. Menyedari akan peningkatan populariti restoran Thai dalam pasaran dunia, pada tahun 2002, kerajaan Thailand telah melancarkan program Global Thai yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah restoran Thai daripada 5500 buah restoran kepada 8000 menjelang tahun 2003. Program Global Thai ini sebenarnya memberi kemudahan kepada restoran-restoran Thai di luar negara untuk mengimport sumber bahan mentah daripada Thailand, membantu mereka untuk mengupah chef dari Thailand dan seterusnya menaikkan ekonomi Thailand.
Rasional dan matlamat yang dipegang oleh kerajaan Thailand melalui program ini adalah bukan sahaja untuk memperkenalkan rasa asli makanan Thai yang pedas kepada jutaan manusia di luar, malah turut menggalakkan ramai orang untuk melawat Thailand, dan juga mengukuhkan hubungan dengan negara-negara luar yang lain. Kempen kedua yang dijalankan oleh Thailand ialah Thailand: Kitchen of the World, suatu kempen gastrodiplomacy yang dikendalikan oleh kerajaan Thailand dalam mendidik masyarakat tempatan dan luar negara mengenai sejarah masakan Thai serta amalan masa kini dalam hidangan Thai. Ia telah berjaya mendorong ramai chef dari Thailand untuk membuka lebih banyak restoran di luar negara bagi tujuan ini, dan kempen ini juga berjaya mencipta suatu jenama tersendiri terhadap restoran-restoran tersebut.
Program gastrodiplomacy Thailand ini sebenarnya telah berjaya mengembangkan kebudayaan Thailand melalui kulinari ke peringkat global. Malah, ada ahli gastronomi yang berpendapat bahawa kejayaan program gastrodiplomacy Thailand ini mampu membuatkan masyarakat luar mengenali pad thai dan tomyam sama seperti mereka mengenali hamburger di Amerika Syarikat. Program ini telah menjadi penanda aras serta model rujukan bagi negara-negara Asia yang lain dalam melancarkan kempen gastrodiplomacy mereka.
Kesimpulan
Gastrodiplomacy kini telah menjadi suatu kaedah dalam polisi hubungan luar bagi meningkatkan jenama sesebuah negara dan mengukuhkan identiti budaya mereka. Ia adalah suatu kaedah diplomasi budaya yang secara tidak langsung boleh membantu memperkenalkan sisi budaya sesebuah negara ke peringkat antarabangsa. Maka, berbanggalah dengan budaya serta sejarah yang kita miliki, daripada hidangan, pakaian dan seni yang kita warisi. Hidangan tradisi harus tetap dipelihara keasliannya, agar masyarakat asing turut sama dapat merasai keunikan citarasa hidangan kita.
Rujukan
Chapple-Sokol, S. (2013). Culinary diplomacy: Breaking bread to win hearts and minds. The Hague Journal of Diplomacy, 8(2), 161–183.
Fatin Mahirah, S. (2015). Gastrodiplomacy as a Soft Power Tool to Enhance Nation Brand. Journal of Media and Information Warfare, 7(June), 161–199.
Naili, N., Shahrim, A. K., Roselina, K., Hasanah, G., & Krauss, S. E. (2018). The Globalization of Malaysia National Cuisine: A Concept of ‘Gastrodiplomacy ’. Journal of Tourism, Hospitality and Culinary Arts, 10(1), 42–58.
Rockower, P. S. (2012). Recipes for gastrodiplomacy. Place Branding and Public Diplomacy, 8(3), 235–246.
Spence, C. (2016). Gastrodiplomacy: Assessing the role of food in decision-making. Flavour, 5(4), 1–16.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih