Pada bulan lepas, saya dihadiahkan buku ‘Ajari Aku ! : Wahai Ayah & Ibu’ dari dua penulisnya iaitu sahabat saya sendiri Sdr Muhammad Afif Bin Yahya (Abang Long) dan Sdr Amirul Hafidzi Bin Mohamad Zin (Abe). Paling mengkagumkan, kedua-dua anak muda ini telah memberi khidmat kepada ummah kepada membangunkan Sekolah Al Ghazali (SAK) di Bandar Saujana Putra.

Kecintaan kepada dunia dakwah dan pendidikan  telah membawa mereka kepada satu langkah mengasaskan sekolah yang bertujuan memberikan solusi dan alternatif kepada masyarakat bagi mendapat pendapat pendidikan yang komprehensif dan seimbang merangkumi aspek spiritual, emosional, intelektual dan fizikal.

Sekolah Al Ghazali di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor D.E

Kembali kepada buku mereka, saya sempat mencuri beberapa jam di malam hari kelmarin untuk menghabiskan bacaan buku tersebut. Saya sangat teruja sebenarnya membaca helaian demi helaian buku ini tambahan pula kata pengantar buku ini diberikan oleh Syaikh Sidi Rohimuddin An Nawawi Al Bantani, ulama’ tasauf yang berasal dari Banten, Indonesia.

Pendidikan merupakan senjata yang paling ampuh untuk mengubah dunia. Sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang tokoh keamanan dunia, Nelson Mandela:

“Education is the most powerful we can use to change the world”

Syaikh Sidi Rohimuddin menyebut dalam kata pengantar beliau,

“Membangunkan sebuah masjid, istana atau infrastruktur lain tidaklah begitu sukar namun pembangunan yang amat sukar dan sulit adalah untuk membangunkan keperibadian manusia.”

Apa yang menjadikan buku ini unik ialah buku pendidikan anak yang dihurai secara psikologi perkembangan yang lengkap dan sistematik disamping disuntik pengisian ruhiah. Oleh kerana itu, ideologi buku ini adalah islamik serta membentuk karakter jiwa yang lurus dan berakhlak mulia. Paling menarik, ia sangat simple, sistematik dan ringan. 

Sekiranya hari ini kita menyaksikan dunia yang penuh kerosakan, kasih sayang kian pudar, amanah diperkotak katikkan dan fitnah berleluasa, maka percayalah pendidikan yang benar akan mempu mengubah dunia ini ke arah lebih baik. Kehadiran buku ini adalah untuk meluruskan kembali bagaimana sepatutnya proses sebuah pendidikan.

Apa yang saya fahami dan pelajari dari buku ini :

PERTAMA : Pentingnya memahami matlamat pendidikan

Perkara yang paling penting bagi ibu bapa dan pendidik ialah memahami matlamat pendidikan yang sebenar agar hala tuju jelas bagaimana anak-anak ingin dibentuk. Keberhasilan pendidikan ditentukan oleh tujuan dan matlamat pendidikan.

Petikan gambar rajah dari Buku Ajari ku!

Sekurang-kurangnya TIGA PERKARA ASAS yang boleh dirumuskan sebagai matlamat terbesar dalam pendidikan manusia iaitu : Mengenal dan mencintai ALLAH, Membuahkan ADAB dan AKHLAK yang mulia dan membina KEBIJAKSANAAN, KEMAHIRAN dan POTENSI. Ketiga-tiga matlamat ini saling berkait antara satu sama lain. ‘Point’ utama ialah mestilah membawa anak-anak kepada mengenal dan mencintai Allah.

Justeru itu, luruskan niat kita dalam mendidik dengan tujuan membawa anak-anak kita mengenal Allah, memiliki akhlak dan adab yang baik walaupun mungkin tidak mampu cemerlang dalam subjek akademik. Potensi lain boleh dicungkil dalam dirinya kelak. 

KEDUA : Pendidikan Dalam Institusi Keluarga

Keluarga adalah sebuah institusi yang sangat penting dan paling dekat dengan anak-anak. Dalam melayari bahtera institusi keluarga, ibu adalah ibarat sekolah iaitu berperanan sebagai pembantu kepada Ayah. Ayah pula sebagai pencatur, banyak berfikir dan membuat keputusan manakala ibu pula sebagai pelaksana dan penggerak yang banyak bersama dengan anak-anak. Pendidikan awal yang dibentuk dari acuan keluarga sebenarnya tertanam kuat dalam diri anak-anak dari sudut pemikiran, jiwa dan akhlak yang akhirnya menjadi jati diri mereka.

Terdapat TIGA PERKARA ASAS yang patut dijadikan visi dan misi utama dalam setiap keluarga iaitu :

  1. Menanamkan benih tauhid & kecintaan kepada Allah
  2. Mendidik jiwa cinta Rasul dan akhlak mulia
  3. Mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk sebarkan kebaikan

Seorang ayah, bertindak sebagai pemimpin yang mesti mempunyai pengaruh yang kuat kepada setiap anaknya. Oleh kerana itu, Syaikh Abdullah Nasih Ulwan menyatakan dalam aspek mendidik, menjaga, mengajar dan membimbing, Allah telah menjadikan sifat-sifat tersebut terserlah di pihak ibu. Manakala dari sudut kewibawaan pula ia lebih condong kepada sifat kebapaan.

KETIGA : Pendidikan Di Sekolah

Terdapat TIGA FAKTOR kejayaan pendidikan di sekolah iaitu : Sistem yang baik, Guru yang baik dan Murid yang baik.

Sebuah sekolah wajib mempunyai suatu sistem yang boleh membawa keberhasilan matlamat. Dalam erti kata lain, pendidikan di sekolah perlu selari dengan tuntutan matlamat pendidikan sebagaimana kita bincang sebelum ini iaitu mengenal Allah, adab dan akhlak serta kebijaksanaan.

Sudah pasti sistem sekolah terbaik adalah sistem yang dioperasikan untuk mencapai keiga-tiga matlamat tersebut walau apa jua aliran sekolah. 

Berbalik kepada guru yang baik pula, perlu di ingatkan bahwa guru merupakan faktor terpenting dalam menjayakan aspirasi sekolah. Walau sebaik mana sistem yang ada di sekolah, namun jika guru tidak memainkan peranan dengan sewajarnya maka matlamat pendidikan hanyalah ibarat angan-angan kosong. Guru berjiwa murni pendidik perlu menjawab 3 SOALAN ini apabila mengajar iaitu WHAT (apakah ilmu yang ingin disampaikan kepada murid, HOW (bagaimana kaedah menyampaikan) dan WHY (kenapa kita mengajar dan mendidik).

Perkara penting yang perlu disedari oleh ibubapa terutamanya ialah pembentukan dan pendidikan anak sama sekali tidak boleh diswasta. Maksudnya ibubapa tidak sepatutnya menyerahkan 100% usaha dan tanggungjawab mendidik anak-anak keapda pihak sekolah semata-mata.

Pendidikan tetap bermula dari rumah. Sekolah hanya fasa lanjutan. Sekurang-kurangnya ibu bapa membimbing anak-anak agar mencukupi syarat menjadi murid yang baik agar memudahkan mereka belajar dan diajar oleh Guru mereka. Sarankan anak-anak hingga menjadi murid yang punyai EMPAT SIFAT murid yang baik seperti yang digariskan Syaikh Az Zarnuji dalam kitab Ta’lim Al Mutaallim:

  1. Niat yang benar dan ikhlas
  2. Memiliki kecerdasan
  3. Bersungguh-sungguh
  4. Memiliki kesabaran

KEEMPAT : Pendekatan SUHBAH dalam Pendidikan

Suhbah secara umumnya bermaksud bergaul, berdamping atau bersahabat. Dalam pembinaan rohani dan akhlak seorang insan, suhbah dapat memberi kesan secara langsung atau tidak langsung. Ianya boleh mempengaruhi seseorang itu sama ada ke arah kebaikan atau keburukan.

Dalam konteks pendidikan, ibubapa dan guru perlu mengambil suhbah ini sebagai satu pendekatan yang utama dalam mendidik anak-anak. Secara praktikal, subhah boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan kaedah. Mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk program ‘mentor – mentee’, jamuan makan, musafir, aktiviti kerohanian bersama atau lain-lain cara.

Aplikasi suhbah berdasarkan peringkat umur anak menurut Sayyiduna Ali k.w.h

Dalam mempraktikkan pendekatan suhbah dalam mendidik anak-anak, Sayyiduna Ali k.w.h telah membahagikan umur anak-anak kepada TIGA TAHAP dan memberikan panduan asas bagaimana bergaul dan melayani anak-anak berdasarkan tahap umur mereka. Ia seperti berikut :

Tahap SATU Anak Sebagai RAJA (Umur 0-7 tahun).

Tahap DUA Anak sebagai TAWANAN PERANG (Umur 8-14 tahun).

Tahap TIGA Anak sebagai SAHABAT (Umur 15-21 tahun).

Untuk mengetahui lanjut apakah perincian tahap-tahap dan maksud yang dikehendaki, sebaiknya para pembaca mendapatkan buku ini dari penulis. Di sini saya sertakan No 0139430346 (Ustaz Amirul).

KELIMA : Adab, Khidmat & Taat Sebagai Asas Modal Insan

Adab, khidmat dan taat merupakan asas-asas kepada modal insan. Ringkasnya, ketiga-tiga nilai ini perlu ada dalam diri setiap insan yang bergelar hamba Allah dan khalifah di muka bumi. Ketiga-tiga perkara ini bukanlah sesuatu yang bersifat lahiriah semata-mata, namun ianya perlu lahir dari jiwa spritiual. Satu ungkapan yang ringkas bagi menggambarkan ketiga-tiga nilai ini secara bersepadu adalah CINTA. Cinta merupakan dasar kepada nilai adab, khidmat dan taat. Sang pencinta pasti tingkah lakunya penuh beradab dengan orang yang dicintainya. Manakala, ketaatan dan khidmat kepada orang yang dicintai adalah satu kepuasan.

Di dalam buku ini juga, penulis telah berkongsi cadangan kaedah dan aktiviti untuk penerapan nilai adab, khidmat dan taat mengikut fasa umur dalam satu bab yang khusus.

Kesimpulan

Saya punyai gambaran bahawa buku ini meskipun kecil tetapi sangat membantu para pendidik, ibu bapa dalam seni membimbing anak-anak mereka. Tanggungjawab mendidik bangsa adalah penglibatan semua anggota masyarakat secara kolektif, ia akan melahirkan peradaban dan kekuatan insaniah. Seusai pengambil alihan Kerajaan baru ini, perkara utama dan fokus kerajaan pimpinan Perdana Menteri hari ini adalah PENDIDIKAN. Saya sarankan mereka membaca buku ini untuk mendapat kunci-kunci utama bagaimana sepatutnya mendidik anak-anak bangsa menjadi seorang manusia yang bermanfaatkan kepada agama, bangsa dan negaranya.

Sekian, Angah Sunan


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.