Secara umum, individu yang berbadan besar dan gempal terutamanya wanita dilihat tidak menarik dalam kebanyakan budaya. Paras yang ramping dan langsing menjadi piawaian utama kepada kecantikan fizikal di seluruh dunia. Namun begitu, keadaan sebaliknya berlaku di negara-negara rantau Sahara Barat seperti Sudan, Nigeria, Mauritania dan selatan Maghribi. Perempuan berbadan gemuk dan berisi adalah lambang kecantikan, kesuburan dan kekayaan dalam masyarakat mereka. Berbanding wanita kurus, wanita gemuk di negara-negara ini  mendapat lebih banyak tawaran perkahwinan.

Lelaki-lelaki yang masuk meminang akan menawarkan mas kahwin yang tinggi dalam bentuk puluhan atau ratusan ekor haiwan ternakan. Semakin gemuk seseorang wanita itu, semakin banyak haiwan ternakan yang akan diterima keluarganya. Disebabkan imbuhan lumayan tersebut, ibu bapa memaksa anak-anak gadis mereka makan sehingga menjadi cukup gemuk untuk dikahwinkan. Budaya memaksa gadis makan untuk menggemukkan diri bagi tujuan perkahwinan dipanggil leblouh.

Amalan ini berasal dari etnik nomad Arab yang berpindah randah di seluruh gurun untuk mencari sumber air dan tempat untuk pertanian. Wanita gemuk mempunyai status penting dalam kelompok nomad Arab yang menghadapi ancaman kebuluran disebabkan kemarau. Secara perlahan-lahan tradisi ini diterima dan diteruskan oleh masyarakat setempat di negara-negara tersebut.

Lelaki yang memperisterikan wanita berbadan gempal dihormati masyarakat kerana ia menunjukkan kemampuan kewangan mereka untuk menyara keluarga. Manakala perempuan berbadan kurus dianggap sakit dan tidak subur untuk melahirkan zuriat.

Dari seawal usia lima tahun, kanak-kanak perempuan sudah melalui persiapan untuk digemukkan dengan cara dihantar ke kem khas selama beberapa minggu. Di kem khas, mereka akan diberi makanan dan minuman berkalori tinggi sehingga memperolehi berat dan bentuk badan yang diingini, iaitu segemuk yang boleh.

Setiap hari gadis-gadis akan dipaksa makan sekurang-kurangnya empat kali dengan makanan berlemak seperti daging kambing, roti, kurma dan susu unta. Semua gadis yang dihantar ke kem khas ini dipantau oleh penjaga iaitu wanita-wanita berumur yang diupah ibu bapa mereka.

Jika ada peserta kem yang enggan makan, mereka akan dipukul atau dihukum dengan cara hujung kaki dikepit di antara celah dua rotan. Bagi menghentikan penderaan yang menyakitkan, gadis-gadis terpaksa mengalah dan terus makan sehingga muntah atau pitam.

Setiap kali selepas waktu makan, mereka dilarang daripada melakukan sebarang kegiatan fizikal dan hanya dibenarkan berehat. Makan minum secara paksa ini akan dihentikan apabila para gadis mencapai berat badan yang dikehendaki ibu bapa. Penjaga wanita yang memantau pemakanan akan diberi ganjaran tambahan jika tubuh gadis tersebut mempunyai garis selulit dan lipatan lemak yang banyak.

Disebabkan tekanan yang tinggi untuk menjadi gemuk tetapi enggan menyertai kem khas yang menyeksakan, ramai gadis beralih kepada kaedah alternatif yang lebih mudah dan cepat. Pengambilan pil atau suntikan hormon termasuk hormon haiwan dan juga steroid mempercepatkan proses kegemukan berbanding proses leblouh. Namun begitu pada awal dekad 2000an, tradisi ini mendapat kritikan hebat apabila kesan buruk mula muncul terutamanya dari aspek kesihatan.

Wanita-wanita yang dipaksa menjadi gemuk menghadapi masalah kesihatan serius yang berpunca daripada berat badan berlebihan. Antaranya ialah seperti penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi, sakit jantung dan sakit sendi. Di Mauritania, satu kajian yang dijalankan oleh WHO (World Health Organization) mendapati sebanyak 20 peratus wanita mengalami obesiti berbanding hanya 4 peratus lelaki.

Bagi menghalang amalan leblouh daripada berterusan, NGO berkaitan kesihatan di negara-negara tersebut melancarkan pelbagai usaha untuk memberi kesedaran tentang bahaya kegemukan. Walaupun terdapat perubahan, ia berlaku sangat perlahan kerana generasi dewasa masih menggalakkan leblouh yang dianggap dapat memberikan jodoh dan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak perempuan. Kegilaan lelaki di negara-negara terbabit terhadap wanita gemuk juga menyukarkan kerajaan untuk menghalang budaya yang tidak sihat itu.

Ramai kanak-kanak digemukkan oleh keluarga sejak bayi supaya mereka dapat dikahwinkan dengan secepat mungkin. Manakala wanita-wanita dewasa pula berlumba-lumba untuk menggemukkan tubuh bagi merebut perhatian lelaki. Sehingga kini, leblouh masih berleluasa terutamanya di kawasan pedalaman Mauritania, Nigeria, Sudan dan Maghribi. Selagi masyarakat di sana berpegang teguh dengan adat tersebut, selagi itu kaum wanita mereka akan dipaksa makan dan dipaksa menjadi gemuk.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Surirumah. Penulis Amatur. Jurugambar Amatur. Murid sepanjang hayat.

Comments are closed.