Jepun dan bencana alam tidak boleh dipisahkan lagi. Kedudukan Jepun yang semestinya telah pun ditakdirkan terletak di atas kawasan Lingkaran Api Pasifik memberi kesan kepada negara itu. Saban tahun, pasti ada laporan berita mengenai gempa bumi, tsunami dan juga beberapa bencana alam yang lain.
Di mana ada bencana, di situlah akan datang bantuan kemanusiaan. Segala organisasi tidak melepaskan peluang untuk menghulurkan bantuan. Kumpulan Yakuza juga tidak melepaskan peluang keemasan ini.
Pertama sampai dengan 70 buah trak
Pada 11 Mac 2011, satu gempa bumi telah berlaku di kawasan Tohoku sekuat 9 Skala Ritcher. Ia juga menyebabkan berlakunya tsunami yang merosakkan tiga reaktor nuklear di Loji Jana Kuasa Fukushima. Tiga reaktor ini meletup, mencair dan melepaskan bahan radioaktif di kawasan sekitar.
Keadaan kritikal ini membawa kepada arahan kerajaan Jepun agar 200 ribu orang penduduk berpindah. Bencana gempa bumi dan tsunami telah menyebabkan sekurang-kurangnya 27,000 kematian dan kehilangan.
Dalam suasana yang begitu getir dan genting ini, media-media melaporkan bahawa Yakuza adalah kumpulan pertama yang datang menghulurkan bantuan. Kumpulan itu sekurang-kurangnya membawa 70 buah trak ke kawasan terjejas dengan anggaran bekalan berjumlah USD 500,000.
Punyalah merendah diri kumpulan yakuza dalam bab bagi bantuan kemanusiaan ini sehinggakan tiada jawapan diberikan ketika cuba dihubungi oleh pihak media antarabangsa, Reuters. Ketika itu pihak Reuters cuba menghubungi ibu pejabat salah satu kumpulan Yakuza terkenal, Inakagawa-Kai, namun jawapannya ringkas,
“Kami tak nak bercakap”
Faks yang dihantar oleh pihak Reuters untuk berhubung dengan orang nombor dua kumpulan Inakawai-Kai juga tidak berbalas. Memang zuhud sungguh!
Ada udang disebalik batu, broker yakuza buat kerja tepi
Mencurah-curah bantuan yang dihantar oleh pelbagai kumpulan yakuza. Tak dapat dinafikan memang ada yang betul-betul ingin membantu, namun, tak boleh dinafikan juga bahawa di sebalik bantuan yang dihantar, ada udang disebalik batu.
Tujuan utamanya untuk menunjukkan kepada masyarakat setempat bahawa mereka juga adalah golongan yang baik. Ini penting agar kebarangkalian untuk orang awam membuat aduan mengenai mereka sama ada menelefon skuad anti-yakuza atau buat panggilan ke pusat pembasmian kumpulan yakuza akan berkurangan. Lagi-lagi di saat genting ini, orang awam tak boleh terlalu memilih dalam menerima bantuan. Apa yang dapat, kita bedal.
Jika perkara ini tercapai, maka ia lebih mudah untuk operasi seterusnya bagi kumpulan Yakuza. Kemusnahan yang berlaku ini akan membawa kepada projek-projek baru yang akan dilakukan dari segi pembinaan semula kawasan tersebut. Bermula dari projek permbersihan hingga projek-projek pembangunan yang banyak pada masa akan datang. Inilah yang ditunggu-tunggu oleh broker-broker pekerja buruh dari kumpulan Yakuza iaitu tehaishi.
Sekalipun, di Fukushima ketika itu telah mewartakan undang-undang untuk menghalang Yakuza dari terlibat dengan sebarang projek, namun kesuntukan masa yang ada selepas bencana telah menyebakan semakan ke atas kredibiliti bagi sesiapa yang memohon kerja, bantuan kecemasan dan kontrak pembersihan sisa toksik dilakukan ala kadar.
Kerja-kerja pembersihan perlu dipercepatkan
Dalam keadaan terkejar-kejar, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) yang terlibat dengan pengurusan Loji Nuklear Fukushima yang terjejas itu tidak mengumumkan sebarang prosedur yang mengahalang sebarang operasi melibatkan yakuza.
Di Loji Nombor 1 Fukushima, terdapat keperluan yang sangat mendesak untuk mendapatkan ramai pekerja buruh bagi bekerja dalam kawasan yang sangat-sangat bahaya. Tahap radiasinya tinggi. Tersebar berita bahawa gaji yang tinggi akan dibayar. Ketika itu juga, aktivis-aktivis anti-nuklear ramai yang mengingatkan pekerja agar jangan pergi tawarkan diri bekerja di sana. Memang kiranya terlalu bahaya.
Namun ramai yang tidak mengendahkan sehingga dikatakan terdapat 3,000 pekerja di dalam loji jana kuasa itu setiap hari. Ada yang bekerja secara kontrak pendek kerana tak mahu terdedah lama dengan radiasi dan juga sebaliknya. Dilaporkan bahawa 10 peratus pekerja yang terlibat datangnya dari broker yakuza. Broker yakuza ini memberi jaminan kepada pekerja yang diambil dengan bayaran 80 ribu yen sehari hingga 200 ribu yen untuk yang bekerja dalam loji.
Salah seorang broker yakuza pernah mengakui bahawa dia berjaya mendapatkan keuntungan sebanyak 1.5 juta yen dari setiap pekerja yang berjaya dibawa masuk. Pihak pengurusan tidak dapat membendung keadaan ini kerana aktviti membersihkan bahan radioaktif mesti dipercepatkan. Disebabkan di Loji Nombor 1 Fukushima yang tidak memerlukan sebarang kad pengenalan diri atau gambar untuk keluar masuk, maka mereka yang bekerja melalui broker yakuza tidak boleh dikesan.
Lebih meggemparkan lagi apabila sekumpulan yakuza di Chiba mengumpulkan sejumlah gelandangan lalu membawa mereka ke kawasan terjejas. Di situ mereka mengajar gelandangan tadi cara-cara untuk mendapatkan bantuan kewangan kecemasan. Orang yang sama digunakan untuk memohon bantuan kewangan dibeberapa kawasan berbeza. Setiap gelandangan boleh menerima wang sehingga berjumlah 750 ribu Yen manakala kumpulan yakuza ini akan mengambil separuh darinya.
Kod ninkyo yakuza atau menunggang bantuan kemanusiaan?
Sebenarnya, wujud beberapa lagi aktiviti yakuza sepanjang proses pemulihan kawasan terjejas di Fukushima dan sekitar. Ia bercampur antara baik dan buruk. Dalam budaya yakuza memang ada satu kod yang dipanggil “ninkyo’. Kod ini mempunyai nilai keadilan, tanggungjawab dan menghalang orang lain daripada kesengsaraan.
Hinggakan Miyazaki yang merupakan anak kepada bekas ketua yakuza mengakui bahawa tujaun bantuan kemanusiaan diberi secara keseluruhannya hanya untuk kepuasan diri mereka serta kebanggaan. Jika dilihat laporan-laporan mengenai aktiviti yakuza yang ada udang disebalik batu, pada sisi yang lain, apakah yakuza menunggang nilai bantuan kemanusiaan?
Sumber:
Andrew Rankin. (2012). 21st Century Yakuza: Recent Trends in Organized Crime in Japan-Part 1. The Asia-Pacific Journal.
Jones, Terril Yue. (2011). Yakuza among first with relief supplies in Japan. Reuters. https://www.reuters.com/article/us-yakuza/yakuza-among-first-with-relief-supplies-in-japan-idUSTRE72O6TF20110325
IFL Science. (n.d). At Chernobyl and Fukushima, radioactivity has seriously harmed wildlife. https://theconversation.com/at-chernobyl-and-fukushima-radioactivity-has-seriously-harmed-wildlife-57030
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih