Sekiranya anda merupakan penganut ajaran Bumi Datar, artikel ini bukan untuk anda.

Gambar di atas merupakan gambar bumi kita. Pertama sekali, kita mampu lihat di suatu bahagian atas dan bawah Bumi kita, terletaknya Kutub Utara dan Kutub Selatan. Bahagian ini merupakan bahagian yang akan berada tetap sewaktu Bumi sedang berputar dari timur ke barat, dan di bahagian tengah Bumi kita terletaknya garisan Khatulistiwa, garisan pemisah yang terletak di tengah-tengah, antara Kutub Utara dan Kutub Selatan.

Gambar 2: Gambar menunjukkan putaran bumi dengan kedua-dua Kutub Utara dan Kutub Selatan terletak pada titik yang sama sepanjang putaran tersebut.

Baik. Kini kita bicarakan serba sedikit mengenai fenomena magnetisme pula. Magnetisme merupakan kejadian alam di mana objek yang memiliki sifat magnetik akan menunjukkan ciri-ciri magnet, seperti mempunyai dua kutub (Kutub Utara dan Kutub Selatan), dan ia mempunyai sifat menolak dan menarik. Kalau dua kutub yang sama didekatkan, ia akan menolak. Dan andaikata dua kutub berbeza didekatkan, ia akan menarik. Bumi merupakan salah satu contoh magnet yang besar, dan akan dijelaskan dengan lebih lanjut.

Sekarang, bayangkan anda ada sebiji kompas magnet. Kompas magnet, sama seperti Bumi, mempunyai dua kutub, Kutub Utara dan Kutub Selatan. Bayangkan kompas anda sedang menghadap ke arah Utara. Hal ini bermakna – Kutub Utara bagi kompas magnet anda sedang menghadap ke arah Kutub Utara Bumi.

Dan ini sebenarnya adalah sesuatu yang pelik.

Kenapa? Sebab sekiranya magnet dalam kompas kita itu hujungnya adalah Kutub Utara, dan ia sedang menunjuk ke arah Kutub Utara Bumi, hal ini ganjil kerana dua Kutub Utara sepatutnya saling menolak antara satu sama lain apabila ia dipertemukan!

Kutub Utara Magnet dan Kutub Utara Geografi

Dari situasi ini, saintis sedar bahawa kita telah meletakkan Kutub kita pada tempat yang salah. Sepatutnya, seandainya kita memiliki kompas, dan hujung kompas kita menunjukkan arah utara, arah yang kompas kita tunjukkan adalah arah Kutub Selatan, kerana Kutub Utara dan Kutub Selatan akan menarik antara satu sama lain.

‘Kesalahan’ ini telah melahirkan dua istilah yang berbeza dalam sains, iaitu istilah Kutub Utara Geografi yang merujuk kepada Kutub Utara Bumi kita, dan istilah kedua adalah Kutub Utara Magnet, yang merujuk kepada arah sebenar Kutub Selatan Magnet yang pada asalnya ‘salah’. Untuk pemahaman lebih lanjut, boleh rujuk gambar di bawah.

Gambar 3: Dua istilah yang berbeza – Kutub Utara Geografi yang merujuk kepada Kutub Utara, dan Kutub Utara Magnet yang merujuk kepada Kutub Utara Magnet.


Bagaimana Kutub Geomagnetik Bumi Terbentuk?

Sebelum kita pergi ke topik lebih berat, ayuh kita berkenalan terlebih dahulu dengan lapisan-lapisan dalam Bumi. Lapisan yang pertama bagi Bumi adalah lapisan kerak Bumi. Kerak Bumi ini adalah tempat tinggal kita, dan ia berterusan sedalam antara 5 km hingga 70 km ke dalam Bumi. Selepas lapisan kerak Bumi, kita ada lapisan Mantel Bumi yang terletak antara 35 km hingga 3000 km ke dalam Bumi dan lapisan Teras Bumi yang terletak antara 3000 km hingga 6000 km. Mantel Bumi terdiri dari Mantel Atas Bumi dan Mantel Bawah Bumi, manakala Teras Bumi pula boleh dibahagi kepada Teras Luar Bumi dan Teras Dalam Bumi (Nilai ini merupakan anggaran kasar penulis, nilai sebenar boleh disemak di rujukan).

Gambar 4: Gambaran bagi lapisan Bumi.

Satu perkara yang kita perlu fahami adalah, semakin dalam Bumi kita, tekanan yang ada juga semakin tinggi. Hal ini menyebabkan kita mengalami kesukaran untuk meneroka Bumi kita sendiri, dengan penggerudian saintifik paling dalam yang pernah dilakukan adalah di Rusia (Kola Superdeep Borehole), dengan kedalaman sejauh 12 km. Bayangkan, dengan menggali kedalaman hanya sejauh 12 km, suhu yang dicatatkan di bahagian paling dalam itu adalah 180oC!

Sekiranya kita tidak pernah meneroka sehingga ke dalam Bumi, jadi bagaimana kita tahu kedalaman Bumi dan komposisi Bumi? Kita main teka-teka ke? Tidak! Dalam kajian saintifik, saintis dilarang untuk meneka, sebaliknya saintis mengumpul data tentang sesuatu perkara, dan dari kesemua data yang ada, saintis akan membuat pemodelan matematik (mathematical modeling) yang digunakan bagi kajian penentuan suatu perkara.

Benda ini samalah macam kajian lohong hitam. Kita tahu manusia tidak pernah sampai ke mana-mana lohong hitam, namun dengan pemahaman kita terhadap Relativiti Umum (General Relativity), Radiasi Jasad Hitam (Blackbody Radiation), Thermodinamik (Thermodynamics) dan Fizik Kuantum (Quantum Physics), kita mampu meneroka lohong hitam berdasarkan model yang kita bina.

Hal yang sama juga teraplikasi bagi kes Bumi. Saintis menggunakan pengetahuan mereka terhadap sifat bahan dan melakukan pemodelan Bumi. Dalam kes medan Geomagnet Bumi atau Kutub Geomagnet Bumi, antara teori yang terkini yang digunapakai bagi menjelaskan kejadian Medan Geomagnet Bumi adalah Teori Dinamo (Dynamo Theory). Dalam Teori Dinamo, disebabkan lapisan Teras Luar Bumi terdiri daripada cairan besi (ya, besi di Teras Luar adalah dalam bentuk cairan akibat daripada suhu dalam Teras Luar Bumi yang amat panas), dan cairan besi ini sentiasa bergerak akibat putaran bumi, melahirkan medan Geomagnet.

Analogi yang selalu penulis gunakan untuk menerangkan situasi ini adalah sama seperti dinamo pada basikal. Pada basikal selalunya kita letakkan magnet, dan apabila kita mengayuh basikal, pergerakan kita itu akan menyebabkan terhasilnya elektrik bagi lampu pada basikal kita. Kiranya, sifir mudah di sini adalah pergerakan + magnet = elektrik. Terbalik pula halnya bagi Bumi, disebabkan lapisan Teras Luar Bumi terdiri daripada cairan besi, pergerakan cairan besi ini akan menghasilkan arus elektrik, dan elektrik ini akan menghasilkan induced magnetic field. Sifirnya: pergerakan + elektrik = magnet.

Perubahan Kutub Magnetik Bumi dan Kiamat

Disebabkan Kutub Magnetik Bumi sendiri masih lagi dalam bentuk pemodelan matematik, perlu ditekankan bahawa masih terdapat beberapa lompong dari segi pengetahuan kita terhadap medan magnet Bumi. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita bahawa Kutub Utara Magnet kita sedang berubah. Kebanyakan orang kelihatan agak khuatir dengan situasi ini, dan menyatakan bahawa ini berkemungkinan besar merupakan tanda-tanda kiamat.

Perlu penulis tekankan bahawa medan magnet kita terjadi akibat cairan besi dalam Bumi. Apabila saintis menyatakan bahawa perubahan kutub sedang berlaku, perubahan kutub yang dimaksudkan adalah perubahan Kutub Magnet Bumi, dan bukan perubahan Kutub Geografi Bumi. Maksudnya, Kutub Utara kita (Kutub Utara Geografi) masih lagi terletak di utara Bumi, cuma medan magnet kita (Kutub Utara Magnet) kita yang sedang mengalami perubahan. Mungkin berlaku perubahan pada pergerakan cecair besi dalam Teras Bumi, siapa tahu?

Perubahan Kutub Magnet ini bukan sahaja terjadi di Bumi, bahkan Matahari kita sendiri berubah kutub pada setiap 11 tahun. Maka, untuk mengatakan bahawa perubahan kutub ini adalah sesuatu yang terjadi secara alamiah adalah suatu pernyataan yang tepat. Banyak lagi objek-objek ala yang menunjukkan perubahan kutub yang terjadi secara semulajadi. Justeru, tidak ada apa yang perlu kita risaukan. Bukan?

Namun begitu, bagi kebanyakan umat Islam, kita percaya bahawa kiamat tidak akan terjadi sehinggalah matahari terbit dari arah barat. Hal ini tercatit dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat enam tanda besar kiamat dicatatkan.

Dalam satu riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah dalam beramal sebelum datang enam perkara: Terbitnya matahari dari barat, asap, Dajjal, al-Dabah, perkara khusus daripada kalangan kamu (kematian) dan urusan umum (kiamat).”

Melihat kepada alam dari pandangan penulis, penulis dapati Allah s.w.t tidak menjadikan tanda-tanda kiamat dalam keadaan tiba-tiba, sebaliknya ia berlaku dalam keadaan semulajadi. Antara contoh tanda kiamat kecil yang kini kelihatan seperti wabak semulajadi adalah berleluasanya zina, yang kini dianggap satu perkara biasa dalam dunia Barat.

Maka menurut pandangan penulis, apabila berlakunya Keterbalikan Geomagnet (Geomagnetic Reversal), Utara yang sering kita kenali dulu kini akan bertukar arah, dan hal ini akan mengubah kedudukan arah mata angin kita sendiri.  Sekiranya sebelum ini Utara sering digambarkan di atas, dengan Selatan di bawah, Timur di kanan dan Barat di kiri, apabila berlakunya perubahan Kutub Magnet, arah Utara akan berada di bawah, manakala Selatan akan berada di atas, Barat akan berada di kanan dan Timur akan berada di sebelah kiri.

Maksudnya, meskipun putaran Bumi tidak berubah, namun sekiranya kita mengubah arah mata angin kita, kita akan memberi definasi baru bahawa Matahari akan terbit dari arah Barat, dan menuju ke Timur!

Ini mungkin cuma spekulasi, namun cukuplah ini sebagai peringatan bahawa tanda-tanda kiamat itu sedang menghampiri kita.

Gambar 5: Arah mata angin kita sekarang, dan sekiranya arah mata angin kita berubah secara teknikalnya matahari akan terbit dari arah ‘barat’ menuju ke ‘timur’

Video dan link –

National Centers for Environmental Information – https://www.ngdc.noaa.gov/geomag/faqgeom.shtml#What_are_the_magnetic_elements

“What is a geodynamo?” https://www.dw.com/en/what-is-a-geodynamo/av-18606203

“Recreating Earth’s Core in the Lab” https://www.youtube.com/watch?v=JaNtlZA4724

Rujukan:

Astro Awani (7 Februari 2019). “Medan magnetik Kutub Utara dikesan semakin beralih – Kajian”.

A. Casselman (28 Februari 2008). “The Earth Has More Than One North Pole”. Scientific Americana.

B. A. Buffett (16 Jun 2000). “Earth’s Core and the Geodynamo”. ScienceMag, Vol 288, pp. 2007-2012.

Byrd, Deborah (21 Ogos 2018). “Researchers find fast flip in Earth’s magnetic field”. EarthSky. Retrieved 22 August 2018.

M. Williams (7 Disember 2015). “What are Earth’s layers?” Phys.org


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.